Audi Mok

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Audi Mok
Kelahiran
Audi Mok Chuang Yew

1973 (umur 50–51)
WarganegaraMalaysia
PekerjaanPemuzik, penggubah, penerbit muzik
PasanganNikki Palikat (2009–2022)
Anak-anak1

Audi Mok (lahir Audi Mok Chuang Yew; 1973) ialah seorang penggubah dan penerbit muzik Malaysia yang terkenal kerana menghasilkan karya-karya untuk penyanyi Malaysia, baik bintang terkemuka seperti Siti Nurhaliza, mahupun hasil pertandingan TV realiti seperti Akademi Fantasia dan One in a Million, khususnya menggubah lagu baru untuk para finalis menjelang malam kemuncak rancangan berkenaan, seperti Berdiri nyanyian Suki Low dan Mahakarya Cinta oleh Faizal Tahir.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Menurut keterangan dalam blognya, Audi Mok membesar di Melaka, dalam rumah tangga yang diriuhkan muzik dendangan ibunya. Dipengaruhi Howard Jones dan Chick Corea, beliau mengidam-idamkan papan nada sejak dalam Tingkatan 3. Ketika mencecah Tingkatan 5 barulah beliau dihadiahkan sebuah papan nada Roland D-20 oleh ibu bapanya. Bermula dengan mencuba lagu-lagu R&B terkenal ketika itu, beliau beransur-ansur mengasah bakat mencipta muzik sendirinya.[1]

Sebagai langkah pertama merealisasikan cita-cita, Audi menelefon pejabat EMI Malaysia untuk berhubung dengan kumpulan Freedom agar mereka mendendangkan sebuah lagu ciptaan beliau. Wanita yang mengangkat telefon di EMI memesan beliau agar menghubungi Shuib, penyanyi utama kumpulan itu. Audi terserempak dengan iklan kumpulan Freedom membuat persembahan di Piccadilly's, sebuah kelab malam di Petaling Jaya. Maka beliau menghubungi tempat itu dan akhirnya menghubungi Shuib, tetapi dimintanya agar berjumpa dengan Fauzi Marzuki, penerbit album kumpulan berkenaan ketika itu.[1]

Tidak lama kemudian, keluarnya album Hijau oleh Zainal Abidin. Maka Audi cuba menghubungi Mac Chew, penerbit album tersebut, dan menghantar berbilang demo kepada Mac Chew, yang seterusnya menyerahkan demo-demo tersebut ke Roslan Aziz. Akhirnya, Roslan menerima kemasukan Audi ke syarikat penerbitan muzik Music Works, maka berpindahlah Audi ke Kuala Lumpur pada tahun 1990. Itupun tidak kekal lama, setelah lima buah lagu berjaya dirakam, Audi kembali menuntut ilmu di luar negara.[1]

Pada tahun 1996, sekembalinya di Malaysia, Audi dijemput kembali oleh Music Works untuk menghasilkan sebuah lagu untuk Atilia bertajuk Pelangi Mimpi. Pada tahun berikutnya, beliau bertemu dengan Sam dari Innuendo yang mengesyorkan Ahmad Izham Omar, ketua syarikat Positive Tone, kepada beliau. Audi mengakui Izham sebagai orang yang betul-betul melancarkan kerjaya beliau.

Pada awal 2000-an, Audi Mok menyertai Fuse, sebuah syarikat rakaman muzik iklan dan pengurusan artis rakaman pimpinan Colin Pereira, selepas perniagaan sebelumnya menemui jalan buntu. Sepanjang tiga tahun di sana, beliau menghasilkan hampir seratus hasil lagu iklan untuk jenama-jenama seperti Celcom dan Malaysia Airlines, termasuklah pertama kali merakam bakat-bakat muzik seperti Steve Thornton, Orkestra Filharmonik Malaysia, Jaclyn Victor (yang ketika itu masih belum terkenal) dan juga seorang penyanyi Eropah Timur.[2]

Selain itu, beliau turut melibatkan diri dalam penghasilan lagu Shahila, Nurfatima dan Vince Chong. Beliau mengaku dalam blognya itu bahawa Cinta Datang Lagi nyanyian Dina merupakan lagu ciptaan beliau pertama yang menarik perhatian orang, tetapi kurang disambut baik; diikuti Generasiku dendangan kumpulan OAG, itupun tiada yang menyangka beliaulah penciptanya; akhirnya Caramu nyanyian Nikki dan Zahid "membuka pintu".[1]

Pada Jun 2006, Audi bersua dengan Pereira sekali lagi untuk meluahkan azam beliau untuk memperbaharui muzik bahasa Melayu Malaysia yang dicabar hebat oleh kedatangan muzik Indonesia. Lebih setahun kemudian, beliau menjadi sebahagian daripada Satu Music Entertainment di mana beliau meneruskan perjuangan melahirkan nafas segar dalam industri muzik Malaysia.[2]

Pada 27 Jun 2009, Audi berkahwin dengan penyanyi Nicolette Palikat di Gereja St Francis Xavier, Petaling Jaya.[3] Mereka melahirkan anak pertama, seorang lelaki, pada 27 Oktober 2010.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d "How It All Started..." 2007-05-20. Dicapai pada 2008-06-19.
  2. ^ a b "The Reluctant Music Label Executive". 2007-09-13. Dicapai pada 2008-06-20.
  3. ^ Li Ee Kee (27 Jun 2009). "Audi-Nikki Sah Suami Isteri". gua.com.my. Dicapai pada 27 Jun 2009.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]