Augustus

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Fail:Aug11 01.jpg
Patung muka Augustus Caeser.

Augustus Caesar (Bahasa Latin: IMPERATOR CAESAR DIVI FILIVS AVGVSTVS;[1] 23 September 63 SM19 Ogos AD 14) dikenali sebagai Gaius Julius Caesar Octavianus (dalam bahasa Inggeris: Octavian) untuk jangka hayatnya sebelum 27 SM merupakan maharaja pertama dan antara yang terpenting dalam sejarah empayar Rom.

Walaupun beliau telah mengekalkan bentuk luaran Republik Rom, beliau memerintah sebagai autokrat selama lebih 40 tahun dan tempoh pemerintahannya merupakan garis pembahagian antara Republik dan Empayar Rom. Beliau telah menamatkan satu abad perang saudara dan memberikan Rom satu era keamanan, kemakmuran dan kehebatan empayar yang dikenali sebagai Pax Romana ataupun Keamaman Rom.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau telah dilahirkan di Rom (atau Velletri) pada 23 September 63 SM dengan nama Gaius Octavius. Bapanya juga bernama Gaius Octavius dan berketurunan keluarga terhormat darjah kebesaran equestrian akan tetapi tidak terkenal dan merupakan gabenor Macedonia. Tidak lama selepas kelahiran Octavius, bapanya telah memberikannya gelaran Thurinus, yang berkemungkinan bersempena kemenangannya di Thurii menghadapi penentangan hamba-hamba. Ibunya, Atia merupakan anak saudara kepada Julius Caesar yang kemudian menjadi jeneral Rom yang paling berjaya dan menjadi diktator. Dia menghabiskan tahun-tahun awalnya di rumah datuknya berhampiran Veletrae (nama moden Velletri). Pada 58 SM, semasa beliau berusia empat tahun, bapanya telah meninggal dunia. Bapa tirinya, Lucius Marcius Philippus kemudian telah menjaganya.

Pada 51 SM sewaktu beliau berusia sebelas tahun, Octavius telah berucap di pengebumian neneknya Julia, kakak kepada Julius Caesar. Caesar meminta Octavius mengikuti rombongannya dalam sebuah kempen di Afrika, akan tetapi dibantah Atia, yang mengatakan bahawa dia terlampau muda. Atia akhirnya memberikan kebenarannya pada tahun berikutnya iaitu 46 SM untuk menemani Caesar di Hispania, akan tetapi Octavius sendiri telah jatuh sakit dan tidak dapat mengembara. Setelah pulih, dia berlayar ke kawasan pertembungan, tetapi kapalnya karam. Beliau bersama beberapa orang sahabat berjaya menyelamatkan diri ke persisiran pantai dan merentasi kawasan musuh ke kem ketenteraan Caesar, dan keberaniannya ini membuatkan datuk saudaranya itu kagum. Caesar dan Octavius telah pulang dalam pedati yang sama, dan Caesar telah secara rahsia menukar kandungan wasiatnya.

Kenaikan pangkat[sunting | sunting sumber]

Patung gangsa Augustus di sebuah muzium arkeologi di Athens

Apabila Caesar terbunuh pada tanggal Ides of March (15hb) 44 SM, Octavius sedang menuntut di Apollonia, Illyria. Apabila wasiat Caesar dibacakan, ia mendedahkan bahawa Caesar telah mengangkat cucu saudaranya Octavius sebagai anak dan pewaris utamanya memandangkan Caesar sendiri tidak mempunyai anak yang sah. Melalui pengangkatannya, Octavius telah mendapat nama Gaius Julius Caesar. Tradisi Rom menyatakan bahawa beliau mesti menggunakan gelaran Octavianus (Octavian) untuk mewakili keluarga biologinya; tetapi tiada bukti beliau telah menggunakan nama ini. Mark Antony kemudiannya mendakwa bahawa Octavius telah mendapat angkatan itu melalui pemberian hubungan seksual, walaupun Suetonius mengatakan bahawa dakwaan Antony itu satu fitnah politik.[2]

Octavian merekrut kuasa kecil di Apollonia. Kemudian, beliau menyeberang ke Itali, menguatkan tentera peribadinya dengan askar legion veteran Caesar, dan mendapatkan sokongan dengan menekankan statusnya sebagai pewaris Caesar. Dengan lantaran baru berusia lapan belas tahun, dia sentiasa dipandang rendah oleh musuhnya yang inginkan kuasa.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Imperator Caesar, anak kepada yang didewakan, Augustus.
  2. Suetonius, Augustus 68, 71.