Ayam Pegar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Ayam Pegar
Feuerrückenfasan (Lophura ignita nobilis) 01.jpg
Ayam Pegar jantan (L. i. nobilis)
Status pemuliharaan
Pengelasan saintifik
Alam: Haiwan
Filum: Chordata
Kelas: Burung
Order: Galliformes
Keluarga: Phasianidae
Subkeluarga: Phasianinae
Genus: Lophura
Spesies: L. ignita
Nama binomial
Lophura ignita
(Shaw, 1797)

Ayam pegar atau Lophura ignita merupakan salah satu daripada spesies burung liar yang boleh didapati di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Sumatera. Ayam pegar digolongkan dalam keluarga Phesanidae, bersama-sama dengan burung kuang raya, kuang cermin, kuang gunung, merah mata dan ayam hutan.[1]

Terdapat empat pecahan spesies dalam pengelasan ayam pegar (Lophura ignita) iaitu Lophura ignita ignita, Lophura ignita nobilis, Lophura ignita macartneyi dan Lophura ignita rufa, akan tetapi pada tahun 2014, Ayam Pegar Malaya yang dikenali sebagai "L. i. rufa" secara ilmiahnya telah dikelaskan sebagai spesies yang berbeza daripada yang lain iaitu "L. rufa".

Ayam pegar telah disenaraikan di dalam Lampiran III CITES di Malaysia, dan mendapat status mergastua yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.[2]

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Ayam pegar dikenali warga tempatan kerana daging kulit keras berwarna biru nila yang menutupi mukanya seperti topeng manakala bagi orang luar pula ayam pegar dikenali kerana bulu sejemput di bahagian belakang selangka ayam pegar jantan yang semacam api marak berwarna merah berlatarkan bulu biru kehitaman. Mata ayam pegar berwarna merah dan berparuh warna pucat. Ayam pegar bersaiz antara 55 sm sehingga 70 sm panjang, dengan panjang ekor 15-30 sm. Berat badannya antara 1.6 kg hingga 2.6 kg. Ayam pegar jantan bersaiz lebih besar daripada ayam pegar betina. Spesies ini mempunyai warna bulu yang berbeza mengikut jantinanya. Ayam pegar jantan mempunyai jambul kembang yang cantik dan berambu pada bahagian atasnya manakala jambul ayam pegar betina lebih mengucup dan mempunyai rambu dihujungnya. Ayam pegar jantan lazimnya berbulu pelepah biru hitam berkilat seperti baldu menutupi tubuhnya dan mempunyai bulu sejemput di belakangnya yang berwarna merah manakala ayam pegar betina pula lazimnya mempunyai bulu pelepah berwarna perang membaluti tubuhnya dan jaluran pendek putih hitam di dadanya.[3]

Perbezaan Ayam Pegar jantan[sunting | sunting sumber]

  • L. i. ignita dan L. i. nobilis mempunyai ekor bulu pelepah tengah yang berwarna perang, berkaki kelabu pucat, warna bulu pelepah belakang badannya berwarna perang, bersayap perang di hujungnya dan mempunyai bulu pelepah dada berwarna perang kehitaman.
  • L. i. rufa mempunyai ekor bulu pelepah tengah yang berwarna putih melepak, berkaki merah, warna bulu pelepah belakang badannya merah menyala, bersayap hitam biru keseluruhannya yang disisipi satu pelepah panjang berwarna putih.
  • L. i. macartneyi mempunyai ekor bulu pelepah tengah yang berwarna putih melepak, berkaki kelabu pucat dan berbintik putih hitam di dadanya
Ayam Pegar jantan (L. i. ignita)

Perbezaan Ayam Pegar betina[sunting | sunting sumber]

  • L. i. ignita dan L. i. nobilis mempunyai ekor bulu pelepah berwarna perang kehitaman, berkaki kelabu pucat, dan bertompok putih di dada.
  • L. i. rufa mempunyai ekor bulu pelepah berwarna perang berangan, berkaki merah.
  • L. i. macartneyi mempunyai ekor bulu pelepah tengah yang berwarna putih melepak, berkaki kelabu pucat dan berbintik putih hitam di dadanya
Ayam Pegar betina (L. i. macartneyi)

Ayam pegar menghasilkan bunyi mendecit-decit bernada tinggi pada awalnya dan bernada rendah perlahan seperti ada sesuatu yang melekat di kerongkong diakhirnya.[4]

Bunyi ayam pegar jantan berketak

Pemakanan[sunting | sunting sumber]

Ayam pegar bersifat omnivor yang memakan bijirin seperti padi, daun pucuk muda, buah-buahan dan haiwan-haiwan kecil seperti cacing dan siput.

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Pada musim mengawan, corak bulu ayam pegar jantan akan bertukar menjadi lebih menarik seperti baldu biru kehitam-hitaman yang berkilat. Warna biru nila kulit muka ayam pegar jantan akan tampak lebih menyerlah dan akan dikembangkan pada musim mengawan bagi menarik perhatian ayam pegar betina.[5] Ayam pegar bersifat monogami dan setia kepada pasangannya.[6]

Ayam pegar akan mula bertelur selepas usianya 2 tahun ke atas. Telur ayam pegar berwarna putih kekuningan. Sebanyak 4-8 telur akan dieramkan sehingga beberapa minggu pada bulan Mei (L. i. ignita) dan April (L. i. rufa) pada satu-satu masa. Anak ayam pegar mempunyai bulu coklat berbelang kehitaman di bahagian atas dan kelabu putih di bahagian bawah.[7]

Habitat[sunting | sunting sumber]

Ayam pegar ditemukan di hutan tanah pamah kawasan rendah kurang daripada 1000 meter kecuali hutan paya gambut di Malaysia dan Indonesia. Ia lebih menyukai kawasan yang berhutan tebal bersemak dan mengelak padang rumput yang lapang yang terdedah dengan bahaya. Ancaman utama ayam pegar adalah kemusnahan habitatnya di hutan yang dilapangkan menjadi ladang pertanian dan pemburuan haram bagi dijadikan haiwan peliharaan ekzotik.[8]

Pengelasan Spesies[sunting | sunting sumber]

  • Lophura ignita ignita, Ayam Pegar Borneo Kenit (Lesser Bornean Crested Fireback)[12][13][14]
  • Lophura ignita nobilis, Ayam Pegar Borneo Besar (Greater Bornean Crested Fireback)[15][16][17]
  • Lophura ignita macartneyi, Delacour's Crested Fireback[18]
  • Lophura rufa (dahulu dibawah kelas L. ignita rufa), Ayam Pegar Malaya (Vieillot's Crested Fireback atau Malayan Crested Fireback), [19][20][21]
    Ayam pegar (L. i. macartneyi). Ayam pegar jantan dan ayam pegar betina

Kebudayaan Tersirat[sunting | sunting sumber]

Ayam pegar telah menjadi haiwan yang terdapat dalam pepatah Bahasa Melayu, "Harapkan pegar, pegar makan padi." (.هارڤكن ڤڬر، ڤڬر ماكن ڤادي).[22] Maksud pepatah ini ialah harapan yang diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkan.[23] Perbincangan sama ada subjek yang dimaksudkan adalah pagar ataupun Ayam Pegar ini masih dalam perdebatan dan kajian berterusan.[24][25]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Senarai burung Burung merpati
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z