Ayam sutera

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ayam sutera
Seekor ayam sutera betina berwarna putih
Nama lainSilky
Negara asalChina
Ciri-ciri
BeratJantan: 2-3 lbs.
 Betina: 1.5-2 lbs.
Warna kulitHitam atau biru
Warna telurKrim
Jenis balungWalnut
Klasifikasi
APAAsiatik
PCGBSoft Feather: Light[1]
Ayam
Gallus gallus domesticus
Ayam sutera hitam betina dan anak ayam bukan sutera. Baka ini terkenal dengan sikap suka mengeram dan kebolehan menjaga anak.

Ayam sutera (Jawi: أيم سوترا)  merupakan baka ayam yang dinamakan sempena bulunya yang gebu luar biasa malah dikatakan terasa seperti sutera. Baka ini mempunyai sifat-sifat luar biasa lain seperti kulit dan tulang hitam, cuping telinga biru, dan kaki bercakar lima sedangkan ayam lain hanya ada empat cakar setiap kaki. Ayam sutera sering diperagakan di pertunjukan pesta dan terdapat dalam pelbagai warna. Selain daripada rupa luaran yang tersendiri, ayam sutera dikenali dengan pembawaan yang tenang dan mesra. Ia merupakan baka ayam yang jinak sekali. Ayam betinanya amat suka mengeram dan pandai menjaga anak. Biarpun bertelur sederhana iaitu sekitar tiga biji seminggu, ayam sutera digunakan untuk mengeram telur baka lain atau unggas lain kerana bersifat perinduk (suka mengeram).

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tidak diketahui sebenarnya dari mana atau bila asalnya ayam yang lengkap bercirikan ayam sutera, namun titik asal-usul yang paling jelas disejarahkan adalah di negara Cina purba. Juga disebut tempat-tempat di Asia Tenggara seperi India dan Jawa juga kemungkinan besar tempat asal-usulnya.[2] Catatan terawal yang masih wujud mengenai ayam sutera datangnya daripada Marco Polo yang menulis tentang "ayam berbulu tebal" ketika menjelajahi Asia pada abad ke-13.[3] Pada 1598, Ulisse Aldrovandi, seorang penulis dan naturalis di Universiti Bologna, Itali, menerbitkan karangan menyeluruh tentang ayam yang masih dibaca dan dipuji hingga ke hari ini, yang mana ditulisnya mengenai "ayam berbulu bebiri" dan ayam yang "memakai bulu ibarat kucing hitam".[4]

Telur ayam sutera

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Ayam sutera dianggap baka katik di sesetengah negara, sedangkan banyak piawaian baka sedunia menggolongkan ayam sutera sebagai ayam besar pada dasarnya dengan ayam sutera katik sebagai varieti berasingan. Hampir semua strain ayam sutera Amerika Utara bersaiz katik, sedangkan di Eropah ayam sutera bersaiz piawai adalah ayam sutera yang asli. Namun demikian, ayam sutera piawai pun agak kecil, yang mana ayam jantan beratnya hanya 1.8 kg, dan ayam betinanya 1.36 kg.[3] American Standard of Perfection menuntut supaya ayam sutera jantan berberat 1 kg dan yang betina pula 910 gram.[2]

Ayam sutera betina yang berwarna partridge

Kegebuan bulu begini pada mulanya hanya terdapat ayam sutera, tetapi akhir-akhir ini perbuluan ayam sutera telah dimajukan kepada beberapa baka lain, terutamanya Chabo yang telah dipiawaikan di Britain dan Belanda.[5][6] Bulunya diserupakan dengan sutera[7] dan bulu binatang, maka jadinya rupa luaran yang lembut lagi gebu. Bulunya kekurangan barbisel berfungsi, oleh itu tidak dapat terbang.[2]

Ayam sutera terbahagi kepada yang berjanggut dan tidak berjanggut. Ayam sutera berjanggut ada satu lagi sarung bulu di bawah paruh yang menutup cuping telinga.

Ayam sutera turut terbahagi mengikut corak warna. Corak warna yang sesuai untuk peragaan ialah hitam, biru, kuning pucat, kelabu, partridge, dan putih. Corak warna lain termasuk cuckoo, gandaria, merah, dan tompokan. Piawaian kesempurnaan menuntut supaya semua ayam sutera mempunyai balung kecil berwarna walnut, pial hitam, dan cuping telinga biru firus. Tambahan pula, kaki ayam sutera bercakar lima. Baka ayam yang bercakar lima termasuk Dorking, Faverolles, dan Sultan.[3]

Semua ayam sutera mempunyai kulit hitam, tulang hitam dan daging hitam kekelabuan. Ayam sutera dalam bahasa Cina dipanggil wu gu ji (烏骨雞[8]) yang bermaksud "ayam tulang hitam".[7] Melanisme yang menjangkau dari kulit kepada tisu perantara jarang sekali berlaku, bahkan pada ayam disebabkan oleh fibromelanosis, iaitu mutasi jarang ada yang dipercayai bermula di Asia. Ayam sutera dan beberapa baka lain yang keturunan Asia memiliki mutasi ini.[9] Tanpa mengira warnanya, baka ini tidak banyak hasilnya seperti baka ayam pedaging yang umum.[2]

Ayam sutera bertelur cukup-cukup sahaja. Telurnya berwarna putih kuning, tetapi pengeluaran telur selalu diganggu kerana ayam mempunyai sifat perinduk (nafsu hendak mengeram) yang teramat. Seekor ayam sutera boleh bertelur sebanyak 100 biji setahun. Kebolehannya untuk mengeram yang dibiakbakakan secara berpilih daripada ayam-ayam penelur, sering dipergunakan oleh pembela ayam dengan membuat ayam sutera menjaga anak unggas lain. Selain ibu yang baik, ayam sutera terkenal di seluruh jagat dengan pembawaan yang tenang dan mesra. Ia hidup senang dalam kurungan dan senang bergaul dengan kanak-kanak. Kejinakan ini boleh menyebabkan ayam sutera ditindas oleh burung-burung yang lebih cergas atau agresif apabila disimpan dalam kawanan baka bercampur.[3]

Ayam katik[sunting | sunting sumber]

Menurut American Standard of Perfection, berat ayam sutera katik jantan yang piawai ialah 1 kg dan yang betina pula 907 g.[10] Australian Poultry Standard dan British Poultry Standard menuntut ayam sutera katik yang lebih kecil; berat piawai di Australia ialah 680 g untuk jantan dan 570 g untuk betina.[11] Berat piawai British pula 600 g untuk jantan dan 500 g untuk betina.[12]

Sebagai makanan[sunting | sunting sumber]

Sup ayam sutera yang dijual di Bukit Batok, Singapura

Daging ayam sutera yang berwarna hitam merupakan ramuan gourmet di sesetengah negara Asia, terutamanya sekali dalam masakan Cina tetapi juga umum terdapat dalam beberapa hidangan Jepun, Korea, Kemboja dan Vietnam. Kawasan-kawasan yang kuat dipengaruhi oleh masakan Cina seperti Malaysia mungkin ada memasak ayam sutera. Ilmu perubatan Cina tradisional sejak seawal abad ke-7 percaya bahawa sup ayam sutera boleh menawar penyakit.[7] Kaedah memasak ayam sutera yang umum sekali ialah membuat kaldu, merebus, dan kari. Sup ayam sutera Cina tradisional juga menggunakan ramuan seperti buah goji, ubi cina, kulit oren, dan halia segar.[13] Beberapa restoran fusion di kawasan kotaraya Barat juga memasak ayam sutera untuk masakan Amerika atau Perancis tradisional, seperti dalam confit.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Breed Classification Diarkibkan 2018-06-12 di Wayback Machine. Poultry Club of Great Britain. Accessed August 2014.
  2. ^ a b c d Ekarius, Carol (2007). Storey's Illustrated Guide to Poultry Breeds. North Adams, Massachusetts: Storey Publishing. m/s. 158–159. ISBN 978-1-58017-667-5.
  3. ^ a b c d Graham, Chris (2006). Choosing and Keeping bla Chickens. London: Octopus Publishing. m/s. 130–131. ISBN 978-0-7938-0601-0.
  4. ^ Smith, Page; Daniel, Charles (1975). The Chicken Book. Little, Brown & Company. m/s. 49. ISBN 0-3168-0151-8.
  5. ^ Ahrens, Udo; Warnshuis, Ardjan (2012). "Chabo Photos" (PDF). ChaboClub.de. Chabo Club, Aviculture Europe. Dicapai pada July 9, 2012.
  6. ^ British Poultry Standards. John Wiley & Sons. 2009. m/s. 142.
  7. ^ a b c d Louie, Elaine (January 17, 2007). "Now, a Chicken in Black". The New York Times. Dicapai pada June 23, 2008.
  8. ^ Dunlop, Fuchsia (2003). Land of Plenty. W. W. Norton & Company. m/s. 236, 372. ISBN 0-393-05177-3.
  9. ^ "Genetic study of black chickens shed light on mechanisms causing rapid evolution in domestic animals". ScienceDaily. December 22, 2011. Dicapai pada May 21, 2014.
  10. ^ "Bantam Silkie Standard". American Poultry Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-05. Dicapai pada 2017-01-13.
  11. ^ Australian Poultry Standard. Victorian Poultry Association. 1998.
  12. ^ "British Poultry Standard for Silkies". Poultry Club of Great Britain.
  13. ^ "Recipe: Black-Skinned Chicken Soup". The New York Times. January 17, 2007. Dicapai pada June 23, 2008.