Azhar Salleh (penulis)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Azhar Salleh merupakan salah seorang penulis di Malaysia yang berasal dari negeri Pulau Pinang dan kini menetap di Johor Bahru.

Azhar dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 November 1972. Beliau mendapat pendidikan di SK Hashim Awang, SM Datuk Haji Ahmad Badawi, dan kemudiannya melanjutkan pengajian di Institut Perguruan Darul Aman, Kedah dalam jurusan Pengajian Melayu. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam jurusan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau berkhidmat sebagai guru sejak tahun 1995 dan kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Johor sebagai SISC+. Beliau pernah bertugas sebagai tutor jurusan linguistik dan Tamadun Islam di Pusat Pendidikan Luar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pensyarah luar subjek Bahasa Kebangsaan dan Pengurusan Gerko di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). Beliau merupakan Munsyi Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 2002 dan sering diundang sebagai penceramah dan pembimbing kursus bahasa, sastera dan penerbitan untuk kakitangan sektor awam, swasta dan pelajar institusi pendidikan.

Beliau memiliki pusat akademiknya sendiri, iaitu Pusat Akademik Munsyi dan Penerbitan Witra. Beliau merupakan kolumnis majalah Dewan Pelajar. Beliau merupakan penyampai dalam rancangan “Betulkan yang Biasa” dan penulis skrip rancangan “Mutiara Cendekia” dan “Secantik Bahasa” dalam JohorFM. Di samping itu, beliau turut menjadi ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ). Dalam bidang penulisan, beliau banyak menghasilkan makalah bahasa, puisi, dan cerpen yang tersiar dalam pelbagai media seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Mingguan Wanita, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, dan Jendela Selatan. Beliau memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim V, VI dan VII dalam genre puisi eceran. Karyanya banyak termuat dalam antologi puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Persatuan Penulis Johor, dan Yayasan Warisan Johor. Buku tulisannya yang telah diterbitkan oleh Penerbitan Witra ialah “Memanah Kejora” dan “Guru Jutawan”.

Antara bidang kepakarannya termasuklah penulisan dokumen rasmi, tatabahasa, komunikasi, motivasi keibubapaan dan kecemerlangan pelajar, dan penulisan kreatif. Beliau sering diundang sebagai penceramah dan pembimbing dalam bengkel dan seminar UPSR, PT3 dan SPM di seluruh negara. Beliau boleh dihubungi melalui telefon 012-7645831.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]