Aziz Singah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Datuk
Aziz Singah
KelahiranAbdul Aziz bin Eddy Zaid Singah
(1941-10-03)3 Oktober 1941
Rembau, Negeri Sembilan, Malaya British, (kini Malaysia)
Meninggal dunia1 Julai 2016(2016-07-01) (umur 74)
Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Kampung Bongek Acheh Rembau
PekerjaanPelakon, penyampai radio, suara latar
Tahun aktif1963–2016
Terkenal keranaPJ Holdings, Maria Mariana & Impian
PasanganKhatijah Abu Hassan (1967–1990)
Datin Zunita Mohamed (1991–2016; kematiannya)
Anak6 (termasuk Bob Singah)

Datuk Abdul Aziz Eddy Zaid Singah (3 Oktober 1941-1 Julai 2016) merupakan pelakon lelaki Malaysia yang bergiat aktif di televisyen dan filem. Dengan kerjayanya yang bertahan selama lima dekad, beliau telah membintangi lebih 500 drama dan 13 filem sepanjang hayatnya.[1]

Dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan, Aziz meniti kehidupan ketika kanak-kanak tanpa belaian seorang bapa.[2] Dalam temuramah pada Ogos 1998, beliau menceritakan yang bapanya seorang askar sama unit dengan Leftenan Adnan terkorban pada usia 24 tahun dibunuh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Usia Aziz ketika itu dua bulan.[2] Aziz memulakan kerjaya awal sebagai Penyelia Kolej Makmal Dockyard, Sembawang, Singapura (1960-1964), Juruhebah Radio Televisyen Singapura (1964-1971), Juruhebah, Penerbit Drama Radio, Penyelia dan Ketua Unit Kasting RTM (1971-1992).[2]

Bakat lakonan Aziz mula diuji pengarah M. Amin dalam filem Jahanam pada 1971. Selama menjawat Ketua Unit Kasting RTM, Aziz melahirkan ramai dramatis baru dan salah seorangnya Fauziah Nawi melalui drama Tahan Kinabalu. Lebih 500 drama dibintangi bermula dengan Malam Tiada Bintang pada 1965, lakonan Aziz cukup sinonim sebagai "datuk" atau "tokoh korporat". Watak Rosman yang dipegang dalam drama PJ mengaitkannya dengan JR Ewing (lakonan Larry Hagman) dalam Dallas.[2]

Aziz dipilih menjadi Presiden Persatuan Seniman Malaysia pada 3 Julai 1999 untuk sesi 1999/2001, cabarannya cukup getir apabila beberapa AJK lama persatuan itu menghantar surat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan meminta Mesyuarat Agung Seniman itu dibatalkan. Di bawah kepimpinan beliau juga Seniman dengan kerjasama ACS Production melancarkan projek Hari Seniman pada 22 Mac 2000. Selaku Presiden, Aziz mahukan seniman tanah air diiktiraf.[2] Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman telah berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Setia Negri Sembilan (DSNS), yang membawa gelaran "Datuk" kepada beliau pada 18 Julai 2005.

Kehidupan peribadi dan kematian[sunting | sunting sumber]

Aziz telah berkahwin sebanyak dua kali, beliau berkahwin dengan pelakon Khatijah Abu Hassan pada 1967 dan bercerai pada 1990, pasangan ini dikurniakan tiga anak. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Datin Zunita Mohamed pada 1991 dan dikurniakan tiga lagi anak.[3] Beliau meninggal dunia akibat kanser prostat di kediamannya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada jam 11 malam, 1 Julai 2016 pada usia 75 tahun.[4] Beliau meninggalkan balu, Datin Zunita dan enam anak yang semuanya lelaki. Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor dan disembahyangkan sekali lagi di Masjid Kariah Kampung Bongek dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bongek Acheh, Rembau.[5][6] [7]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Catatan
1971 Jahanam Pak Unggar Filem pertama
1990 Suci Dalam Debu
1993 Ops Belantara
1995 Amelia
1996 Maria Mariana
Impian Tan Sri Azman
1997 Sate
2005 Sembilu 2005
Kemarau Cinta
2009 Pulau Asmara Osman
2012 8 Jam Hakim Kemunculan khas
2013 Paku Tuan Kamil Kemunculan khas
2017 Balun Filem terakhir, dikeluarkan secara anumerta

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
1978 Belum Ajal RTM
PJ Holdings
2009 - 11 Si Capik Datuk Hazim TV2
2013 Metro Skuad (Musim 2) TV2 Episod: Cinta Awang Hitam
2013 Tanah Kubur (Musim 7) Astro Oasis Episod: Suami Dayus

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2003 Cinta Si Penggali Kubur TV3

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Farhana Ab Rahman (2 Julai 2016). Aziz Singah sukar dicari ganti - Yusof Haslam Berita Harian. Dicapai pada 24 November 2016.
  2. ^ a b c d e Adam Salleh (20 Julai 2016). Asal usul nama Singah, rahsia nombor 383 Harian Metro. Dicapai pada 24 November 2016.
  3. ^ Pelakon Aziz Singah Meninggal Dunia Akibat Kanser Prostat mStar Online (1 Julai 2016). Dicapai pada 1 Ogos 2016.
  4. ^ Aziz Singah meninggal dunia Berita Harian (2 Julai 2016). Dicapai pada 22 Mei 2018.
  5. ^ Jenazah pelakon Aziz Singah selamat dikebumikan di Rembau Astro Awani (2 Julai 2016). Dicapai pada 24 November 2016.
  6. ^ Jenazah Pelakon Veteran Aziz Singah Selamat Dikebumikan Di Rembau mStar Online (2 Julai 2016). Dicapai pada 24 November 2016.
  7. ^ Tuty Haryanti Ahmad Rodzi (2 Julai 2016). Jenazah Aziz Singah selamat dikebumikan Berita Harian. Dicapai pada 24 November 2016.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]