Azmil Mustapha

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Azmil Mustapha
Kelahiran
Azmil bin Mustapha Kamil

(1953-01-01)1 Januari 1953
Meninggal dunia14 Februari 2018(2018-02-14) (umur 65)
Shah Alam, Selangor, Malaysia
Sebab kematianKomplikasi jantung
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor
PendidikanSarjana Muda Filem, Radio dan Televisyen
Pusat pendidikanUniversiti Indiana Bloomington, Amerika Syarikat
PekerjaanPelakon, pengarah, penerbit, penceramah
Tahun aktif1982—2004 (sebagai pelakon)
2005—2018 (sebagai penceramah)
Terkenal kerana'Ali' (Ali Setan)
'Taufik' (Suara Kekasih)
'Johari' (drama bersiri PJ)
PasanganJamaliah Jamari
Anak-anak5 (termasuk Alya Iman)
BapaMustapha Kamil Mohd Yassin

Ustaz Azmil Mustapha Kamil (1 Januari 1953 – 14 Februari 2018) ialah seorang bekas pelakon dan penceramah lelaki Malaysia yang pernah menjadi fenomena pada lewat tahun 1980-an di Malaysia. Bermula dengan filem yang mencecah kutipan pecah panggung iaitu filem Mekanik (1983) yang turut dibintangi legenda bola sepak tanah air iaitu Dato' Mokhtar Dahari sebagai pelakon undangan. Antara filem yang turut melonjakkan nama beliau ialah Ali Setan (1985), Ali Setan 2 (1986) dan Suara Kekasih (1986). Gandingan paling ideal pada era tersebut adalah antara beliau dan Ogy Ahmad Daud. Selain itu, antara filem yang turut mendapat sambutan adalah seperti Driving School (1990), Fifty/Fifty (1991) dan Iman Alone (1998).

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Azmil merupakan bekas mahasiswa dari Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat. Beliau menuntut selama lima tahun di Universiti Indiana dengan membawa pulang segulung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang filem, radio dan televisyen ketika kembali ke Malaysia pada tahun 1979.

Azmil merupakan anak sulung kepada karyawan terkenal, Allahyarham Dato' Dr Mustapha Kamil bin Yassin yang menghasilkan drama popular, Atap Genting Atap Rumbia dalam tahun 1968.

Sekembalinya dari Amerika Syarikat, nasib tidak menyebelahinya apabila negara dilanda kegawatan ekonomi. Azmil menyertai syarikat produksi, Showmaster yang diasaskan oleh tauke panggung, Ali Bakar. Azmil menimba pengalaman di syarikat itu selama dua tahun sebelum dia membuat keputusan untuk aktif sebagai pelakon secara sepenuh masa.

Azmil juga pernah merakamkan sebuah album, Pilihan Ku. Album yang lahir pada tahun 1983 itu membawa genre jazz serta r&b, yang agak jarang dikaitkan dengan pemuzik dan penyanyi Melayu. Ia antara album genre jazz yang pertama di Malaysia. Sekalipun tidak mendapat sambutan yang menggalakkan, dua lagu daripada album tersebut - "Pilihan Ku" dan "Jai" - mendapat tempat di hati peminat dan sering kedengaran di corong radio ketika itu.

"Pilihan Ku" menjadi runut bunyi kepada filem Mekanik lakonan beliau dan juga pernah muncul dalam siri drama swasta PJ, ketika Azmil melakonkan watak seorang penyanyi dalam satu episod. Dalam satu temu bual, Azmil pernah menjelaskan tajuk lagu "Jai" merupakan olahan daripada nama isteri pertamanya, yang dipanggil Aji.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Beliau bersara ketika nama beliau di kemuncak kerjaya sekitar 1990-an. Namun, beliau tidak pernah sesal dengan keputusan yang diambil. Kemudian, beliau menumpukan hidup beliau dengan memberi ceramah-ceramah agama. Sebelum ini, Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga, namun kedua-duanya tidak kekal lama. Melalui perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Shamira,[1] seorang mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM), manakala dengan isteri kedua pula, beliau dikurniakan empat orang anak iaitu Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri dan Nur Alia Iman.[1] Perubahan yang berlaku dalam hidup ayah tunggal kepada lima orang anak dan datuk kepada seorang cucu, Alexandria Carina itu disifatkan sebagai satu nikmat yang terlalu indah buatnya.

Sahabat seni seangkatan[sunting | sunting sumber]

Dalam kerjaya lakonan Azmil, terdapat rakan artis yang turut sama meningkat naik menerusi filem-filem lakonan beliau. Filem Ali Setan turut juga memperkenalkan pelakon-pelakon pembantu yang cukup hebat dalam menjadikan jalan cerita filem itu hidup dengan kelebihan watak masing-masing. Antaranya ialah Allahyarham Izi Yahya (Jeff), Liza Abdullah (Aini), Ebby Saiful (Latiff), Dato' Sri Shah Rezza (Jali) dan Sheila Majid (Tipah).

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Azmil bersama Ogy Ahmad Daud dalam salah satu babak filem Suara Kekasih.
Tahun Tajuk Watak Catatan
1982 Pemburu Filem pertama, dikreditkan sebagai Azmil Yassin
1983 Mekanik Shamyl
1984 Matinya Seorang Patriot Jamali Juga sebagai penerbit eksekutif
1985 Ali Setan Ali
Madu dan Racun Leo Filem usahasama Malaysia-Indonesia
Gadis Hitam Putih
1986 Suara Kekasih Taufik
Dewi Cinta Micky Filem usahasama Malaysia-Indonesia
Ali Setan 2 Ali
1987 Kepala Angin Fandi Juga sebagai pengarah
1990 Driving School Helmi
1992 Fifty/Fifty Kolonel Kota Filem pertama Hollywood sebagai pelakon tambahan
XX Ray Juga sebagai idea asal
1995 XX Ray II Sultan Mansor Shah
1997 Hanya Kawan Pengarah Penampilan khas
1998 Iman Alone Dahari
2001 Cheritera (suara)
2004 Puteri Gunung Ledang Utusan Dari Demak Filem terakhir

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1983–1984 PJ Holdings Johari TV1 di samping Osman Zailani, Yusof Haslam & Uji Rashid
1990 Tangisan Terakhir

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
1994 Cinta Buta

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Festival Filem Malaysia[sunting | sunting sumber]

Festival Filem Malaysia (FFM)
Tahun Kategori Karya Tercalon Keputusan
1983 Pelakon Harapan Lelaki Mekanik Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Tercalon
1985/1986 Pelakon Lelaki Terbaik Ali Setan Menang
1990 Pelakon Lelaki Terbaik Driving School Tercalon

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada 14 Februari 2018, Azmil telah meninggal dunia di kediaman keluarganya di Shah Alam, Selangor.[1] Beliau meninggal dunia ketika tidur pada pukul kira-kira 12:40 tengah hari waktu tempatan. Semasa hidupnya, beliau menghidap komplikasi jantung, dan pernah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada November 2017 kerana kesukaran untuk bernafas.[2] Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat Asar lalu dibawakan ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 untuk dikebumikan.[3] Majlis pengebumian selesai pada sekitar pukul 6:20 petang.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Mohamad, Zaidi (14 Mac 2018). "Azmil Mustapha meninggal dunia | Lain-lain (Hiburan) | Berita Harian". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-14. Dicapai pada 25 Februari 2024.
  2. ^ "Veteran 'Ali Setan' actor Azmil Mustapha dies - Nation | The Star Online". The Star Online (dalam bahasa Inggeris). 15 Februari 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-02-15. Dicapai pada 25 Februari 2024.
  3. ^ Bernama (14 Februari 2018). "Actor Azmil Mustapha dies | New Straits Times". NST Online (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2024-02-25. Dicapai pada 25 Februari 2024.
  4. ^ Khalid, Israr (14 Februari 2018). "Selamat tinggal, Taufik..." Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-02-14. Dicapai pada 25 Februari 2024.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]