Notasi bahagian per

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Bahagian per setrilion)
Satu bahagian per setrilion (ppt) adalah perkadaran yang sama dengan 1/20 daripada setitis air di dalam kolam renang bersaiz Olimpik.

Dalam bidang sains dan kejuruteraan, notasi bahagian per ialah satu pseudounit yang digunakan untuk menggambarkan nilai-nilai kecil pelbagai kuantiti tanpa dimensi seperti pecahan mol atau pecahan jisim. Oleh kerana pecahan-pecahan ini adalah ukuran kuantiti-per-kuantiti, ia adalah nombor tulen tanpa sebarang unit ukuran. Bahagian-bahagian per yang biasa digunakan adalah ppm (bahagian per sejuta, 10-6), ppb (bahagian per sebilion, 10-9), ppt (bahagian per setrilion, 10-12) dan ppq (bahagian per sekuadrilion, 10-15).

Gambaran keseluruhan[sunting | sunting sumber]

Notasi bahagian per sering kali digunakan dalam kimia untuk menggambarkan larutan-larutan cair seperti kelimpahan relatif mineral terlarut atau bahan pencemar di dalam air. Unit "1 ppm" boleh digunakan untuk pecahan jisim sekiranya bahan pencemar yang terdapat di dalam air adalah sebanyak satu per sejuta gram untuk setiap gram sampel larutan.

Sama juga, notasi bahagian per juga digunakan dalam fizik dan kejuruteraan untuk menyatakan nilai pelbagai fenomena berkadaran. Contohnya, sejenis metal aloi tertentu mungkin mengembang sebanyak 1.2 mikrometer per meter panjang untuk setiap darjah Celsius dan ini akan dinyatakan sebagai "α = 1.2 ppm/°C". Notasi bahagian per boleh juga digunakan untuk menyatakan perubahan, kestabilan atau ketidaktentuan dalam ukuran. Misalnya, kejituan ukuran mengukur tanah apabila menggunakan penilik julat laser mungkin setepat 1 milimeter per kilometer jarak; ini boleh dinyatakan sebagai "Kejituan = 1 ppm".[nota 1]

Kesemua notasi bahagian per adalah kuantiti tanpa dimensi. Dalam pernyataan matematik, unit ukuran selalunya dikeluarkan. Dalam pecahan seperti "2 nanometer per meter":

Oleh itu, hasil-hasil bahaginya adalah pekali-pekali bernombor tulen dengan nilai positif kurang daripada 1. Apabila notasi bahagian per bersama-sama simbol peratus (%) digunakan dalam prosa biasa (berlawanan dengan pernyataan matematik), ia masih lagi kuantiti tanpa dimensi bernombor tulen. Namun, ia biasanya mengambil erti kata "bahagian per" secara harfiah, iaitu sebagai nisbah perbandingan (contohnya, "2 ppb" biasanya difahami sebagai "2 bahagian dalam sebilion bahagian").[1]

Notasi bahagian per boleh dinyatakan untuk sebarang unit dengan ukuran yang sama. Contohnya, pekali pengembangan terma untuk aloi loyang tertentu, α = 18.7 ppm/°C, boleh dinyatakan sebagai 18.7 (µm/m)/°C atau 18.7 (µin/in)/°C; nilai nombor yang menyatakan perkadaran relatif tidak berubah dengan adanya unit-unit ukuran berbeza.[nota 2] Serupa juga halnya dengan pam-pam bermeter yang menyuntikkan sejumlah kecil bahan kimia ke dalam talian pemprosesan utama pada kadar aliran berkadaran Qp = 125 ppm; ia melakukan yang demikian pada kadar yang boleh dinyatakan dalam pelbagai unit isipadu, termasuklah 125 µL/L, 125 µgal/gal, 125 cm3/m3, dan lain-lain.

Bahagian per sejuta juga adalah satu ukuran anjakan kimia dalam spektroskopi resonans magnet nuklear dan melambangkan perbezaan frekuensi dalam bahagian per sejuta daripada frekuensi rujukan (isyarat).

Ungkapan-ungkapan bahagian per[sunting | sunting sumber]

  • Satu bahagian per seratus biasanya digantikan dengan simbol peratus (%) dan menyatakan perkadaran satu bahagian daripada 100 bahagian, satu bahagian daripada 102, dan bernilai 1 × 10-2. Perkadaran ini bersamaan dengan setitis air daripada 5 mililiter air (satu sudu penuh), ataupun kira-kira 15 minit daripada sehari.
  • Satu bahagian per seribu sepatutnya ditulis penuh dan bukannya seperti "ppt" (yang biasanya difahami mewakili "bahagian per setrilion"). Ia boleh juga dinyatakan dengan simbol permil (‰). Namun, kadangkala sesetengah disiplin sains seperti analisis kepekatan garam dalam air laut dan juga latihan-latihan pembelajaran, menggunakan singkatan "ppt" ini. "Satu bahagian per seribu" melambangkan satu bahagian daripada 1000, satu bahagian daripada 103, dan bernilai 1 × 10-3. Ini bersamaan dengan setitis air yang dicairkan di dalam 50 mililiter air (10 sudu penuh), atau kira-kira satu minit setengah daripada sehari.
  • Satu bahagian per sepuluh ribu digambarkan dengan simbol permiriad (‱). Sebaliknya, dalam kewangan, titik dasar ialah satu kuantiti dengan dimensi (masa-1) dan biasanya digunakan untuk menggambarkan perubahan dalam atau perbezaan antara kadar faedah. Contohnya, perubahan dalam kadar faedah daripada 5.15% setahun kepada 5.35% setahun boleh dinyatakan sebagai perubahan sebanyak 20 titik dasar. Walaupun ia jarang digunakan dalam sains (ppm lebih biasa digunakan), satu bahagian per sepuluh ribu bersamaan dengan satu bahagian daripada 10,000 bahagian, satu bahagian daripada 104, dan mempunyai nilai 1 × 10-4. Perkadaran ini bersamaan dengan setitis air daripada setengah liter air, atau kira-kira 9 saat daripada satu hari.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ini adalah penjelasan yang diringkaskan. Penilik julat laser mempunyai kegranulan ukuran di antara satu hingga sepuluh milimeter. Oleh itu, spesifikasi penuh untuk kejituan ukuran jarak mungkin ditulis seperti berikut: Kejituan: ±(1 mm + 1 ppm). Oleh yang demikian, ukuran jarak sejauh hanya beberapa meter tetap akan mempunyai kejituan sebanyak ±1 mm dalam contoh ini.
  2. ^ Dalam kes pekali pengembangan terma ini, pengubahan unit kepada unit inci (salah satu daripada unit-unit kelaziman A.S.) biasanya diikuti dengan pengubahan kepada darjah Fahrenheit. Oleh kerana selang suhu Fahrenheit hanyalah 59 daripada selang suhu Celsius, nilai ini biasanya dinyatakan sebagai 10.4 (µin/in)/°F berbanding 18.7 (µin/in)/°C.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]