Bahasa Malaysia Saintifik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Bahasa Melayu Saintifik)
Bahasa Malaysia Saintifik
Bahasa Melayu Saintifik
Kulit buku terbitan 2005
Umum
PengarangProf. Datuk Dr. Asmah Haji Omar
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu
GenreBuku linguistik
Penerbitan
PenerbitDewan Bahasa dan Pustaka
Tarikh penerbitan
1987
Jenis media
Cetakan (kulit nipis)
Halaman138 m.s. (edisi pertama)
Kawalan kewibawaan
ISBNISBN 983-62-8164-9

Bahasa Malaysia Saintifik ialah buku pedoman dan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains yang ditulis oleh Profesor Datuk Dr. Asmah Haji Omar pada 1987. Perkataan "saintifik" yang digunakan dalam buku ini tidak terhad kepada pengertian sains seperti fizik, kimia, biologi, dan matematik, malah merangkumi juga bidang-bidang seperti sains sosial. Justera, perkataan "saintifik" sebagaimana digunakan di dalam buku ini sama sahaja maknanya dengan perkataan "akademik". Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Bahasa Malaysia Saintifik dicetak semula pada tahun 2005.

Ciri utama[sunting | sunting sumber]

Istilah[sunting | sunting sumber]

Apabila disebut sahaja perkataan "saintifik", kebanyakan orang hanya memikirkan istilah. Istilah sebenarnya merupakan hanya salah satu daripada banyak ciri bahasa saintifik yang dapat dilihat pula daripada berbagai-bagai segi, termasuk laras dan gaya bahasa, serta juga modus dan teks. Meskipun demikian, yang menjadi isu penting dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa saintifik sekarang ini ialah istilah.[1] Lebih-lebih lagi, oleh sebab laras berlatarkan bidang, maka unsur-unsur yang memberi ciri kepada laras ialah perkataan-perkataan khusus, iaitu istilah yang digunakannya. Maka dengan itu, Bahasa Malaysia Saintifik memberi tumpuan khusus kepada istilah daripada segi jenis, bentuk, sistem, dan penggunaannya.

Dan jikalau kebanyakan orang awam hanya memikirkan istilah apabila memikirkan bahasa saintifik, maka ahli-ahli daripada bidang masing-masing menganggap bahawa penggunaan bahasa dalam bidang mereka adalah unik dan tidak serupa dengan bahasa yang digunakan sehari-hari, bahkan tidak sama juga dengan bahasa yang digunakan dalam penulisan bidang yang lain.[2] Misalnya, orang-orang sains menaruh anggapan bahawa mereka tidak menggunakan bahasa yang berjela-jela seperti orang dalam bidang sastera. Lantaran ini, Asmah menumpaskan salah tanggapan tersebut dengan memberikan sebilangan contoh perenggan sains bagi membuktikan bahawa yang berbeza daripada segi penggunaan istilah hanya sekitar 7% hingga 11% sahaja.[3] Justera, sebahagian besar bahasa yang digunakan dalam ilmu sains masih serupa sahaja dengan bahasa am.

Gaya didaktik dan gaya berkeperibadian[sunting | sunting sumber]

Disebabkan oleh sifat pengajaran ilmu sains yang merupakan pengajaran uji kaji dan penyelesaian masalah, ciri didaktik dan keperibadian diperlukan. Lebih tingginya kadar didaktif, lebih tinggi keperibadiannya. Justera, gaya yang terdapat dalam buku-buku sains memperlihatkan kadar didaktik dan keperibadian yang jauh lebih tinggi, berbanding dengan buku-buku bukan sains.[4] Penemuan Asmah ini menyangkal pendapat yang selama ini mengatakan bahawa bahasa sains selalunya tidak berkeperibadian sifatnya, berbanding dengan buku-buku bukan sains.[5] Sebaliknya, pengajaran ilmu sastera tidak mempunyai uji kaji, tetapi lebih banyak menumpukan pengkonsepan, perkara-perkara abstrak, dan soal-soal kemanusiaan. Semuanya itu tidak memerlukan gaya didaktik atau gaya berkeperibadian.[5] Itulah perbezaan yang besar antara buku sains dengan buku bukan sains. Bahasa yang betul-betul berkeperibadian sifatnya dalam aliran sastera ialah bahasa dalam kesusasteraan kreatif, iaitu novel, cerpen, dan sajak.[5] Walaupun demikian, perbincangan yang berkenaan dengan kesusasteraan masih dapat dilakukan dengan gaya yang cukup tidak berkeperibadian sifatnya.[5]

Kandungan[sunting | sunting sumber]

  1. Gaya dan Laras dalam Bahasa Sains
  2. Penggunaan Kata dalam Bahasa Saintifik
  3. Bentuk dan Jenis Kata dalam Bahasa Saintifik
  4. Frasa sebagai Istilah
  5. Modus Bahasa Saintifik
  6. Teks Saintifik

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Asmah Haji Omar. Bahasa Malaysia Saintifik. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 983-62-8164-9

  1. ^ Cetakan kedua, 2005, m.s. xi.
  2. ^ Cetakan kedua, 2005, m.s. 1.
  3. ^ Cetakan kedua, 2005, m.s. 7-10.
  4. ^ Cetakan kedua, 2005, m.s. 14.
  5. ^ a b c d Cetakan kedua, 2005, m.s. 6.