Bahasa fleksi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Bahasa fleksi, ialah satu jenis bahasa sintesis yang menambahkan morfem tunggal kepada kata dasar untuk menentukan nahu, sintaksis, atau semantik. Contohnya, kata nama book ("buku") dalam bahasa Inggeris boleh ditambah akhiran -s untuk hasilkan books dan menjadikan ia kata majmuk. Perkataan laugh yang berada dalam kala kini boleh dijadikan dalam kala lampau dengan menambahkan -ed, makanya, laughed. Gejala fleksi tidak wujud dalam bahasa Melayu.[1]

Contoh bahasa-bahasa yang ada gejala ini ialah bahasa Kashmir, Sanskrit, Pashto, bahasa-bahasa Indo-Arya baharu seperti Punjabi, Hindustan, Bengali; Yunani (klasik dan moden), Latin, Itali, Perancis, Sepanyol, Portugis, Romania, Ireland, Jerman, Faroe, Iceland, Albania, semua bahasa-bahasa Baltik dan Slavik.

Satu kumpulan bahasa fleksi yang elok dibincangkan ialah bahasa-bahasa Semitik; namun, bahasa Ibrani Moden memaling lebih ke arah bahasa analitik berbanding Ibrani Klasik di mana “kedua-duanya ada kata nama dengan kata kerja”.[2] Bahasa Arab basahan lebih bersifat analitik berbanding bahasa Arab baku, dan hilang tasrifannya, dan sering kali juga meringkaskan konjugasi.

Bahasa-bahasa yang banyak penggunaan fleksi ialah Finno-Ugrik, Ural dan Samoyed, seperti bahasa Hungary, Estonia, Finland, dan juga bahasa-bahasa Sami, seperti Skolt Sami.[petikan diperlukan] Di Amerika Utara, anehnya bahasa Navajo juga kadangkala dikatakan menggunakan fleksi kerana mempunyai morfologi yang kompleks dan tercantum.[3][4]

Satu contoh dalam menerangkan proses pemfleksian ialah perkataan bonus dalam bahasa Latin ("bagus"). Imbuhan akhiran -us menandakan genus, kasus nominatif dan bilangan tunggal. Jika digunakan untuk kes yang berbeza, imbuhan -us mesti ditukarkan supaya patuh situasi ayat. Dalam bentuk bonum, imbuhan akhiran -um menandakan kasus akusatif maskulin tunggal, kasus akusatif neuter tunggal ataupun kasus nominatif neuter tunggal.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bahasa-bahasa fleksi biasanya hilang sifat tersebut dengan perubahan zaman—ada yang cepat hilangnya, ada yang perlahan.[5] Walaupun bahasa Proto-Indo-Eropah dahulunya fleksi, bahasa-bahasa turunannya telah bertukar ke struktur yang lebih beranalitik, seperti bahasa Inggeris Moden, Denmark dan Afrikaans, ataupun bahasa lekatan, seperti Parsi dan Lamender. Bahasa-bahasa turunan lain yang kekalkan fleksi termasuklah bahasa Sanskrit, Yunani Purba, Lithuania, Latvia, Slavik, Latin dan bahasa-bahasa Romawi dengan beberapa bahasa-bahasa Jermanik.

Sesetengah bahasa bertukar sedikit demi sedikit daripada bahasa lekatan kepada fleksi. Contohnya, walaupun kebanyakan bahasa-bahasa Ural bersifat lekatan, bahasa Estonia semakin berubah ansur menjadi bahasa fleksi. Sementara itu, saudaranya bahasa Finland menunjukkan sifat-sifat fleksi yang semakin berkurangan dan mengikut haluan ke arah lekatan.

Tasrif[sunting | sunting sumber]

Salah satu ciri bahasa fleksi ialah sistem penasrifan, yakni menambahkan imbuhan pada apa-apa jenis perkataan. Kata nama dan kata kerja diberikan imbuhan akhiran untuk menyatakan kasus nahu (kegunaannya dalam klausa), bilangan, dan genus tatabahasa; kata ganti nama dapat mengubahkan bentuk mereka untuk sampaikan maklumat tersebut. Dalam kebanyakan bahasa-bahasa Romawi dan Inggeris Moden, pengekodan kasus hanya tinggal sekelumit sahaja kerana tasrif tidak lagi menyentuh kata nama dan kata sifat tetapi hanya menyentuh kata ganti nama. Bandingkan egli (nominatif maskulin tunggal), gli (datif maskulin tunggal, atau objek tidak langsung), lo (akusatif maskulin tunggal) dan lui (akusatif maskulin tunggal juga namun lebih tegas dan kasus tidak langsung dan digunakan dengan kata depan) dalam bahasa Itali dengan he, him yang lebih sedikit dalam bahasa Inggeris.

Konjugasi[sunting | sunting sumber]

Konjugasi ialah pengubahan bentuk kata kerja[6] untuk mengimbuh maklumat berkenaan modus nahu, ragam, kala, aspek, diri, genus dan bilangan. Dalam bahasa fleksi, maklumat-maklumat seperti ini dapat disampaikan dengan satu morfem, biasanya dalam bentuk imbuhan akhiran.

Misalnya, dalam bahasa Perancis imbuhan kata kerja berubah mengikut modus, kala dan aspek kata kerja, serta siapa dan berapa orang yang melakukannya. Dengan itu, bahasa Perancis dapat hasilkan empat ke lima bentuk kata kerja yang sama untuk situasi yang berbeza: manger "makan" dapat hasilkan je mange "saya makan", tu manges "awak makan", il/elle mange "dia makan (lelaki/wanita)" dan sebagainya. Situasi berbeza menggunakan akhiran berbeza, itulah ciri khas dalam bahasa fleksi.

Bahasa Inggeris ada dua contoh pemfleksian konjugasi. Akhiran -s menandakan subjek melakukan sesuatu dalam kala kini dengan diri ketiga serta secara tunggal, manakala akhiran -ed, yang digunakan dalam kata kerja tanpa kata bantu, menyampaikan aspek tidak progresif dan berada dalam kala lampau.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Safiah, K., Farid, M. O., Hashim, . H. M., & Abdul, H. M. (2015). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789836294845. h. 47.
  2. ^ Rujuk hh. 50-51 dalam Zuckermann, Ghil'ad (2009), "Hybridity versus Revivability: Multiple Causation, Forms and Patterns", Journal of Language Contact, Varia 2, hh. 40-67.
  3. ^ Sloane, Thomas O. (2001). Encyclopedia of Rhetoric. Oxford University Press. m/s. 442. ISBN 978-0-195-12595-5. 
  4. ^ Mithun, Marianne (2001). The Languages of Native North America. Cambridge University Press. m/s. 323. ISBN 978-0-521-29875-9. 
  5. ^ Deutscher, Guy (2006). The unfolding of language: an evolutionary tour of mankind's greatest invention (edisi cetakan semula). New York: Holt Paperbacks. ISBN 978-0-8050-8012-4. [halaman diperlukan]
  6. ^ Hawkins, J. (2019). Kamus Dwibahasa Oxford Fajar. (eds. ke-6). ISBN 9789834722074. h. 90.