Bai Salam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bai’ al-Salam didefinasikan sebagai : Menjual sesuatu yang dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan lafaz al-Salam atau al-Salaf. Sayyid Saabiq di dalam bukunya Fiqh al-Sunnah menyebut al-Salam dinamakan juga sebagai al-Salaf. Ianya penjualan sesuatu dengan dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan bayaran segera.

Di dalam buku Fiqh dan Perundangan Islam, Bai’ al-Salam didefinasikan sebagai menjual sesuatu yang bertangguh dengan yang segera, ataupun menjual suatu yang disifatkan dalam tanggungan, iaitu dengan mendahulukan harga dan menangguhkan barangan untuk ke suatu tempoh. Dengan perkataan lain, ia menyerahkan tukaran yang ada untuk tukaran yang ditetapkan sifatnya dalam tanggungan sehingga ke suatu tempoh.

Para fuqaha’ (الفقهاء) menamakan juga Bai’ al-Salam ini sebagai al-Mahaawiij (المحاويج – Barang-barang yang diperlukan), kerana ia adalah jualan sesuatu yang tidak ada (غائب) di dalam majlis jual-beli, dimana kedua-dua pihak yang melakukan jual beli memerlukan antara satu sama lain. Pemilik wang (صاحب رأس المال) memerlukan barang jualan, manakala pemilik barang (صاحب السلعة) memerlukan wang. Maka ini termasuk dalam maslahat keperluan. Pembeli disebut sebagai al-Muslim (المسلم) atau pemilik al-Salam (رب السلم) iaitu yang menyerahkan bayaran, dan penjual disebut sebagai al-Muslam ‘Alai (المُسلمُ عليه), dan barang yang dijual disebut sebagai al-Muslam fiih (المسلم فيه), dan harganya disebut sebagai Ra’su Maal al-Salam (رأس مال السلم).

Maka Bai’ al-Salam atau al-Salaf adalah jual beli secara tempahan, dimana pembeli menempah barang dan melunaskan harganya. Manakala penjual menerima bayaran dan barangan yang ditempah akan diserahkan kepada pembeli dalam suatu tempoh tertentu. Sebagai contoh, pelanggan dan penjual. Pelanggan menempah 100 biji kuih kepada si penjual. Kuihnya belum berada di depan mata, tetapi si penjual meminta bayaran dahulu sebagai modal untuk membuat kuih tersebut dan pelanggan bersetuju untuk membuat pembayaran dahulu walaupon barang tiada di depan mata.<http://bin-sahak.blogspot.com/2009/06/bai-al-salam.html>