Baju Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Untuk kegunaan lain, sila lihat Baju tradisional Melayu.
Baju Melayu cekak musang dipakai lengkap bersama sampin dan songkok.
Baju Melayu dipakai oleh mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia semasa Aidil Fitri

Baju Melayu (Jawi: باجو ملايو) ialah pakaian tradisional dan kebangsaan lelaki Melayu. Baju Melayu terbahagi kepada dua bahagian iaitu baju (kemeja lengan panjang) dan seluar panjang serta dilengkapi dengan samping dan songkok. Baju Melayu terdapat dua jenis garisan leher iaitu teluk belanga dan cekak musang. Baju Melayu biasanya dipakai sebagai pakaian harian terutama sekali untuk bersembahyang, ke pejabat, majlis formal, dan sebagai pakaian adat. Baju Melayu juga merupakan pakaian rasmi Malaysia.

Baju Melayu bewarna hitam dengan kain songket hitam bersulam dengan benang emas dianggap satu bentuk pakaian rasmi, dan pakaian rasmi diperlukan semasa acara-acara rasmi negara, terutama orang-orang yang sangat formal seperti sambutan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong rasmi di Malaysia. Duta Malaysia membentangkan kelayakan mereka kepada ketua negeri asing juga dikehendaki untuk memakai hitam Baju Melayu. Baju Melayu berwarna putih dipakai oleh kerabat diraja Malaysia apabila berkabung lulus dari ahli keluarga diraja.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Baju Melayu Sumatra yang dipakai oleh Putera Melayu dari Rumah Diraja Deli, Langkat dan Serdang kerajaan Sumatera Timur (sekarang Sumatra Utara), Indonesia

Pemakaian Baju Melayu telah berkuat kuasa sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Shah, Melaka (1424-1444) sultan ketiga dari empayar Kesultanan Melayu Melaka. Beliau telah mengeluarkan satu bentuk titah yang melarang orang-orang Melayu memakai cara atas angin (Arab, India & Eropah) serta cara bawah angin (China & Khmer).[perlu rujukan] Pada hari jumaat juga semua lelaki Melayu dikehendaki pergi ke masjid dengan memakai sepersalinan bersih dan cantik lengkap bertanjak dengan wangian kasturi. Pemakaian serban Arab bagi lelaki Melayu hanya dibenarkan di dalam masjid sahaja.

Baju Melayu, baju Sikap atau baju Layang adalah berlengan pendek (3 suku). Ada juga baju Melayu yang dibuat tidak berlengan. Baju Melayu asalnya semua dicipta dengan gaya leher ‘teluk belanga’ dan gaya leher ‘cekak musang’ hanya boleh dipakai oleh Raja atau Sultan sahaja.[perlu rujukan] Seluar juga adalah pendek paras betis kaki semasa zaman Bendahara Paduka Raja Abdul Jalil atau Sultan Abdul Jalil IV diangkat menjadi Sultan Johor. Setelah mangkatnya Sultan Mahmud Shah II (mangkat dijulang) pada tahun 1699, beliau telah mengubah pemakaian baju dan seluar dengan memanjangkan kain sehingga ke pangkal lengan (baju) dan ke pangkal buku lali (seluar). [perlu rujukan] Semua buatan baju Melayu dan seluar adalah berkekek dan berpesak. Kebiasaannya, baju Melayu dijahit menggunakan fabrik kapas atau campuran yang selesa dipakai.

Pakaian[sunting | sunting sumber]

Baju Melayu Teluk Belanga[sunting | sunting sumber]

Pemakaian lengkap baju Melayu Teluk Belanga.

Baju Melayu Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar tatkala Almarhum bersemanyam di Teluk Belanga Singapura dan berpindah ke Tanjung Puteri pada tahun 1866 (kini dikenali Johor Bahru). Almarhum menetapkan supaya baju lelaki labuhnya sehingga kebawah punggung dengan leher yang berlapik lebar dan berkocek dua manakala baju perempuan pula labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan pada bahagian leher seperti mata lalat, tulang belut dan insang pari. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pakaian tersebut telah diubah mengikut cadangan Allahyarham Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor Pertama, kocek pada baju lelaki ditambah menjadi tiga dan alas lehernya halus seperti baju perempuan dan diadakan satu kocek pada baju perempuan. Seluar yang dipakai disebut 'seluar kabul' yang bertongkah atau bertakak seperti seluar Cina dan kakinya lebih luas dari seluar yang dipakai dengan pakaian barat. Pada masa itu terdapat beberapa jenis seluar yang dipakai oleh orang lelaki iaitu;

  • seluar sampak ( paras peha )
  • seluar katok ( paras lutut )
  • seluar Acheh ( paras betis )
  • seluar panjang iaitu seluar pakaian orang barat.

Bagi menseragamkan pakaian, seluar Cina telah ditetapkan yang mana ianya bertongkah atau bertakak iaitu terdapat sambungan kain dibahagian atas seluar bagi membolehkan diikat tanpa menggunakan tali pinggang. Pakaian tersebut dilengkapkan dengan kain Samping yang dipakai secara dagang dalam samada dari kain pelikat, kain Bugis, kain mastuli atau kain sutera. Kepala kain diletak dibelakang dan kain dipakai selabuh paras lutut atau kebawah lutut. Kain dagang luar hanya dipakai oleh anak-anak Raja dan Tuan Sayed. Almarhum Sultan Abu Bakar juga menetapkan supaya songkok dipakai bersama Pakaian Melayu. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, Jaafar bin Haji Muhammad menetapkan supaya songkok dijadikan pakaian Melayu Johor. Sepatu seperti yang dipakai dengan pakaian barat atau selipar yang bertekat dengan manik atau kelingan atau benang sutera dipakai bersama pakaian Melayu.

Baju Sikap atau Baju Layang[sunting | sunting sumber]

Baju sikap atau baju layang pula hanya boleh dipakai oleh golongan bangsawan yang berdarah Raja dan juga orang-orang yang di anugerahi gelaran seperti Datuk, Tun dan sebagainya.

Hiasan Kepala[sunting | sunting sumber]

Pemakaian tanjak, destar, ikat kepala juga telah ditetapkan mengikut darjat dan pangkat masing-masing dari jenis kain yang digunakan sehingga cara ikatan dan lipatan. Puncak tanjak yang dipanggil ‘daun’ pula dihalakan ke sebelah kiri bagi rakyat biasa dan ke sebelah kanan (atau duduk) di tengah-tengah bagi golongan bangsawan dan DiRaja.[perlu rujukan] Manakala ekor tanjak yang disebut ‘pucuk’ pula perlu disimpan ke dalam bagi semua lapisan rakyat jelata melainkan 2 golongan sahaja iaitu Raja (termasuk ahli keluarga) dan Laksamana. Pucuk ini adalah lambang kuasa yang ada pada seseorang. Begitu juga dengan lapisan ‘tingkat’ lipatan, makin besar darjat dan pangkat seseorang, makin tinggi lipatan tanjaknya.

Seluar[sunting | sunting sumber]

Seluar pula, terdapat pelbagai rekaan dalam alam Melayu. Golongan panglima, pahlawan dan sebagainya gemar mengenakan seluar dari gaya ‘gunting Aceh’ yang mempunyai buatan kekek yang amat besar (kelihatan seperti kain sarung), manakala bagi orang-orang lain termasuk Sultan, mereka hanya mengenakan seluar biasa dari gaya ‘gunting Cina’ yang mempunyai buatan kekek yang kecil.[perlu rujukan]

Sampin[sunting | sunting sumber]

Perkataan sampin berasal daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Apabila pakaian ini tersebar sampai ke Kepulauan Riau, mereka menggelarnya dengan perkataan samping. Pemakaian sampin pula adalah wajib bagi semua golongan di dalam istana. Di luar istana pula adalah pilihan. Bagi penduduk asal kawasan-kawasan tertentu, kebanyakkan mereka mengenakan samping dengan cara ‘Berdagang Dalam’ (kain sampin dipakai di bawah baju Melayu macam gaya Orang Johor sekarang dan baju di luar) manakala bagi golongan pedagang yang bukan berasal dari situ pula mengenakan samping cara ‘Berdagang Luar’ (kain sampin dipakai di atas baju Melayu dan baju di selit ke dalam kain).[perlu rujukan] Dengan cara ini orang-orang Melayu dahulu kala dengan mudah mengenali siapa pedagang luar dan siapa penduduk asal sesuatu tempat. Cara mengikat samping juga dibahagikan dalam 3 cara mengikut pangkat dan darjat iaitu:

  • Ikatan pancung (Raja, Sultan dan kerabat sahaja)
  • Ikatan kembung (Pembesar dan orang-orang bergelar)
  • Ikatan lingkup (orang kebanyakkan)

Kancing[sunting | sunting sumber]

Rekaan kancing baju Melayu.

Baju Melayu cekak musang berhias lima butir kancing atau tiga butang mengikut tempat. Bagi rekaan lima butir kancing, dua butir bertindih di cekak leher, dan diikuti dengan tiga butir di bahagian bawah (belahan).

  • Menurut teori seorang bekas budayawan dari UKM, dari segi entnografi sosiobudaya kancing itulah lambang keharmonian rumah tangga masyarakat melayu. Dua butir bertindih di bahagian atas ibarat kerukunan di antara pasangan suami isteri iaitu ayah dan ibu. Tiga butir di bawahnya melambangkan tiga orang anak mereka iaitu sulung, tengah dan bungsu.
  • Teori ini kemudiannya disangkal oleh Azah Aziz (Mak Ungku) kerana beliau menyatakan bahawa kalangan bangsawan atau raja di istana menggunakan tujuh butir pada baju Melayu mereka.[perlu rujukan]
  • Dalam hal ini ia juga harus merujuk kepada sistem nombor, yang juga wujud dalam rekabentuk keris iaitu berlok 3 – 11. Lok 11 ialah milik sultan iaitu pemerintah termasuk permaisuri, lok 9 (Cik Siti Wan Kembang), lok 5 untuk bendahara dan anak-anak raja. Begitu juga tangga rumah Melayu dikira berurutan 3-9 mata.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Negara yang terlibat[sunting | sunting sumber]

Malaysia[sunting | sunting sumber]

Baju Melayu biasanya dipakai di Malaysia kerana merupakan pakaian rasmi Malaysia. Lelaki Malaysia biasanya memakai baju untuk majlis-majlis keagamaan yang umum, seperti melawat masjid atau untuk perhimpunan agama atau menyambut perayaan umum seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Walaupun begitu, di Malaysia, ia biasanya dipakai di acara-acara formal, seperti perkahwinan. Sesetengah syarikat membenarkan pekerja lelaki beragama Islam untuk memakai baju Melayu untuk menunaikan Solat Jumaat pada hari Jumaat. Baju Melayu juga menjadi lebih popular dan dipakai bukan sahaja di acara-acara tradisional, tetapi juga di majlis-majlis rasmi. Pegawai kerajaan akan memakai baju Melayu dengan bangganya semasa acara-acara rasmi (acara kebangsaan) seperti Istiadat Mengangkat Sumpah. Ia juga dipakai sebagai pakaian seragam dalam Silat, seni mempertahankan diri tradisional Melayu khususnya di Malaysia.

Brunei Darussalam[sunting | sunting sumber]

Rakyat Melayu Brunei sering memakai pakaian Baju Melayu sewaktu majlis-majlis formal khususnya bagi golongan Diraja Brunei yang kerap menggunakan pakaian tersebut. Bagi rakyatnya, Baju Melayu biasanya dipakai sewaktu perayaan-perayaan umum seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sama seperti Malaysia. Bukan itu sahaja, cara pemakaian Baju Melayu Brunei dan Malaysia juga tidak ada bentuk perbezaannya.

Singapura[sunting | sunting sumber]

Rakyat Melayu Singapura dilihat kurang mengenakan pakaian Baju Melayu kerana Melayu merupakan minoriti di Singapura. Namun, pemakaian ini sering digayakan sewaktu Hari Raya Aidilfitri. Ia juga dipakai sewaktu hari Jumaat.

Thailand[sunting | sunting sumber]

Di Thailand, pakaian Baju Melayu juga digayakan oleh rakyat Melayu beragama Islam yang kebanyakannya menetap di wilayah Pattani, Yala, Songkhla dan Narathiwat. Namun, hanya sebilangan sahaja yang dilihat memakai pakaian tersebut kerana mengalami konflik agama yang tercetus diantara Islam dan pemerintah Thailand.

Indonesia[sunting | sunting sumber]

Di Indonesia, kedua-dua Baju Melayu dalam kedua-dua gaya kolar (dan lain-lain pakaian Melayu seperti baju Kurung) adalah popular di wilayah besar dengan penduduk Melayu seperti Riau, Kepulauan Riau, Kalimantan Barat dan wilayah beberapa yang lain.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Siti Zainon Ismail (2006). Pakaian Cara Melayu. Bangi: Penerbit UKM.
  • Ramlah Abas et.al (2003). Busana Melayu Melaka Warisan Bangsa . Melaka: Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).
  • Mohd Said Sulaiman (2008). Pakai Patut Melayu. Bangi: Penerbit UKM.

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]