Bandar rekaan dalam Need for Speed

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Di bawah ialah nama-nama bandar raya rekaan di dalam siri permainan video Need For Speed. Para permain berlumba haram di waktu malam sahaja (Need For Speed: Underground dan Need for Speed: Carbon) atau di waktu siang dan malam (Need For Speed: Most Wanted dan Need for Speed: Undercover).

Need For Speed: Underground[sunting | sunting sumber]

Papan iklan di Olympic City menunjukkan peta Texas, menandakan bandar tersebut mungkin berada di sana.

Bandar raya di dalam Need for Speed: Underground bernama "Olympic City" seperti yang ditunjukkan di papan-papan iklan di serata bandar raya. Ia menyerupai bandar raya New York dan Los Angeles. Beberapa mercu tanda kemudiannya kelihatan di Bayview, di dalam permainan Need for Speed: Underground 2. Adalah berkemungkinan bandar raya tersebut terletak di Texas berikutan banyak papan iklan yang memaparkan gambar yang menyerupai peta Texas.

Mercu tanda serupa[sunting | sunting sumber]

Need For Speed: Underground 2[sunting | sunting sumber]

Bandar "Bayview" ialah bandar raya rekaan di mana pelumba berlumba haram atau sekadar merayau-rayau secara bebas. Ia terletak di kawasan pantai barat serta menampilkan pelbagai jenis perlumbaan mengikut lokasi daripada kawasan tanah tinggi sehinggalah ke kawasan perindustrian. Pemain perlu mencari sendiri perlumbaan yang ditandakan di serata bandar raya ini yang biasanya ditandakan pada peta GPS, walaupun ada juga perlumbaan yang tersembunyi dan hanya boleh dicari secara sendirian. Sebaik sahaja pemain memenangi semakin banyak perlumbaan serta memperoleh reputasi semakin baik, semakin banyak alat ganti serta bahagian bandar raya dapat dicapai.

Selain perlumbaan, pelumba juga perlu mencari sendiri pelbagai jenis kedai alat ganti, daripada kedai cat sehinggalah kepada kedai peralatan prestasi. Jika pemain berjaya meneroka kedai baru, alatan baru akan dapat dicapai di samping kedai tersebut akan dipaparkan lokasinya di dalam peta GPS.

Bandar raya ini hanya boleh diterokai pada waktu malam. Ia mempunyai banyak bangunan pencakar langit, lampu neon serta pemandangan yang cantik. Pemain dapat meronda-ronda di sekitar bandar raya melalui jaringan jalan raya sejumlah lebih 200 km merangkumi lorong belakang sehinggalah ke lebuh raya. Terdapat tiga lebuh raya utama di Bayview iaitu Lebuhraya Lingkaran Luar (Lebuhraya 27), Lebuhraya Coal Harbor (Lebuhraya 7) serta Lebuhraya Lapangan Terbang (tiada kod lebuh raya).

Terdapat 5 daerah utama di Bayview iaitu Pusat Bandaraya, Beacon Hills, Jackson Heights, Coal Harbor, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayview.

Need For Speed: Most Wanted[sunting | sunting sumber]

Peta bandar Rockport.

Bandar "Rockport" ialah bandar raya rekaan di dalam permainan Need for Speed: Most Wanted. Ia merupakan sebuah bandar raya pelabuhan yang terletak di bahagian pantai timur.

Tidak seperti Olimpic City, Bayview dan Palmont di mana aktiviti lumba haram berlaku di sebelah malam, semua aktiviti lumba haram di Rockport berlaku di sebelah siang, menyebabkan pelumba haram amat terdedah kepada risiko ditangkap polis Rockport yang sentiasa berkeliaran di setiap kawasan di bandar raya itu. Skuad pencegah lumba haram di Jabatan Polis Rockport diketuai oleh Sarjan Cross yang menaiki kereta Chevrolet Corvette.

Bandaraya Rockport terdiri daripada 4 kawasan utama iaitu Downtown Rockport (pusat bandar raya), Rosewood, Gray Point dan Point Camden. Keempat-empat kawasan ini dihubungkan melalui satu jaringan jalan raya dan lebuh raya yang sangat baik. Terdapat banyak lebuh raya di Rockport termasuklah 2 lebuh raya lingkaran iaitu Lebuhraya Persekutuan 99 (mengelilingi Rosewood) serta Lebuhraya Persekutuan 201 (mengelilingi pusat bandar raya Rockport). Hampir kesemua lebuh raya tersebut dikenakan tol.

Need For Speed: Carbon[sunting | sunting sumber]

Permainan bertempat di sebuah bandar raya rekaan "Palmont" yang wujud bersama-sama Rockport seperti di dalam Need for Speed: Most Wanted, Bayview seperti di dalam Need for Speed: Underground 2, dan Olympic City seperti di dalam Need for Speed Underground. Semasa perlumbaan kanyon di "Eternity Pass" (litar di mana pemain berlumba dengan Darius), anda boleh melihat pemandangan keseluruhan Palmont serta kelibat Rockport, pulau di sebelah kiri; dan Bayview, pulau di sebelah kanan, dengan memecahkan penghalang pertama yang dilalui.

Terdapat tiga kanyon utama di Palmont iaitu kanyon Timur, Barat dan Carbon. Kawasan pantai utama merangkumi bahagian barat daya bandar raya tersebut. Terdapat beberapa batang sungai utama serta sebuah tasik berhampiran Carbon Canyon.

Bandar raya tersebut terbahagi kepada 4 daerah pada permulaan permainan, setiap satu dikuasai geng lumba haram utama. Walau bagaimanapun, selepas anda menamatkan mod Karier, Palmont tidak lagi terbahagi memandangkan keseluruhan bandar raya tersebut menjadi jajahan anda. Lebuh raya utama, Lebuhraya 142, menghubungkan seluruh bahagian di bandar raya Palmont.

Need For Speed: Undercover[sunting | sunting sumber]

Peta bandar Tri-City, bandar rekaan di dalam Need for Speed Undercover.

Undercover menampilkan satu peta "dunia terbuka" terbaru yang terdiri daripada sejumlah lebih 160 km jalan raya serta satu sistem lebuh raya yang besar - termasuklah sebatang lebuh raya lingkaran yang sangat panjang - menjadikannya sebagai persekitaran dunia terbuka Need for Speed yang terbesar pernah direka oleh EA. Peta ini memaparkan bandar raya "Tri-City" sebuah bandar raya rekaan yang diasaskan daripada beberapa bandar raya utama di sebelah pantai barat AS. Bandar raya ini terdiri daripada empat boro utama iaitu Palm Harbor, Port Cresent, Gold Coast Mountains, dan Sunset Hills.

Ia menampilkan pemandangan kawasan bukit yang cantik serta buruan polis yang menakjubkan.