Bangau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bangau
Bangau di Henry Doorly Zoo
Pengelasan saintifik
Alam:
Filum:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Bubulcus

Spesies:
B. ibis
Nama binomial
Bubulcus ibis
(Linnaeus, 1758)

Bangau adalah jenis burung terangkum dalam genus-genus bawah keluarga Ardeidae termasuk Egretta, Ardea, Bubulcus dan Mesophoyx yang dikenali kerana kakinya yang panjang dan bulunya yang berwarna putih. Spesies jenis ia adalah Bubulcus ibis.

Ciri fizikal[sunting | sunting sumber]

Panjangnya dari hujung paruh ke hujung ekor lebih kurang 51 cm (20 inci). Paruhnya yang panjang itu berwarna kuning manakala kakinya berwarna kehitam-hitaman.

Dalam fasa putihnya ini, bangau kelihatan hampir serupa dengan pucung batu (yang juga berbulu putih tetapi boleh juga terdapat dalam bulu kelabu tua. Bagaimanapun, kedua-dua spesies bangau dan Pucung Batu ini dapat dibezakan menerusi tabiat dan persekitaran fizikalnya iaitu pucung batu suka bersendirian dan mendiami kawasan pesisir manakala bangau hidup berkelompok di sawah atau padang ragut terutamanya di sekililing kerbau dan lembu.

Tabiat[sunting | sunting sumber]

Sekawan bangau di sawah padi di Tanah Merah, Kelantan.

Pemakanan[sunting | sunting sumber]

Bangau gemar bertenggek di atas lembu atau kerbau atau berada tidak jauh dari mamalia ini untuk mencari makanan seperti kutu atau tempiras di badan kerbau dan lembu serta belalang dan serangga lain yang bertempiaran lari apabila kerbau dan lembu meredah rumput-rumpai di sawah. Burung bangau juga gemar mencari ikan di kawasan berair cetek seperti lopak dan kubang di sawah padi.

Penghijrahan[sunting | sunting sumber]

Bangau adalah burung penghijrah yang berasal dari hemisfera utara ketika negara-negara Asia di sana mengalami musim sejuk. Burung ini berhijrah ke Semenanjung Malaysia dari September hingga April (Tweedie, 1960, 1970) setiap tahun. Ketika inilah burung ini kelihatan berbulu putih melepak. Bagaimanapun, sekali-sekala burung ini tinggal terus di negara ini hingga musim panas untuk membiak. Ketika ini, bulunya berubah menjadi jingga di kepala dan dada. Mengikut Tweedie lagi (1960, 1970), hanya terdapat satu rekod pembiakannya di negara ini iaitu di utara Kelantan.

Hubungan dengan manusia[sunting | sunting sumber]

Burung bangau mendapat tempat yang baik dalam masyarakat Melayu. Misalnya, terdapat lagu kanak-kanak Bangau oh bangau dan peribahasa "Setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau".

Tabiat burung bangau terutamanya dari yang jenis bangau kerbau mempunyai perlambangan bermakna dalam kalangan masyarakat nelayan Melayu terutamanya di Kelantan dan Terengganu sebagai pendorong mendapatkan rezeki tangkapan ikan yang banyak serta pembawa keselamatan; motif kepala bangau sering dinampakkan pada ukiran haluan perahu kolek sehinggakan sendirinya diberi nama bangau perahu.[1][2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir; Asyaari Muhamad (Jun 2018). "Koleksi Bangau Perahu di Jabatan Muzium Malaysia: Tema dan Makna". Asian Journal of Environment, History and Heritage. 2 (1): 289–304. ISSN 2590-4213.
  2. ^ Nila Inangda Manyam Keumala Daud; Ezrin Arbi; Mohammad Faisal (Disember 2012). "Pengaplikasian ukiran kayu Melayu dalam seni bina di Malaysia". Journal of Design and Built Environment. Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina Universiti Malaya. 11: 1–14.