Bangunan Warisan Parit Sulong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


SEJARAH

Bangunan berek JKR ini dahulunya dikenali sebagai berek PWD (Public Work Department), dibina oleh British sebelum Perang Dunia II sebagai tempat penginapan bagi kakitangan JKR yang bekerja dalam pembinaan jalan raya, jambatan dan fasiliti lain di Parit Sulong. Berek ini telah menjadi saksi pertempuran antara pasukan Anderson dengan tentera Jepun semasa Perang Dunia Ke-2. Bangunan ini mempunyai nilai yang tinggi dari segi sejarah.

Apabila Jepun yang semakin mara dan menduduki kawasan pertempuran ini, tentera berikat yang cedera parah yang ditinggalkan dalam trak di jalan raya di luar berek ini telah ditangkap dan dipaksa melintasi parit dan dipenjarakan didalam dua unit hujung berek JKR ini sementara menunggu ketibaan Jeneral Takuma Nishimura mengeluarkan arahan untuk membunuh mereka semua.

Tawanan perang yang diikat tangan mereka dipaksa ke kawasan terbuka di belakang bangunan ini di mana mereka kemudiannya ditembak dengan mesingan, disiram dengan petrol dan dibakar. Ada diantara mereka yang masih hidup 3 orang tentera Australia, Reginald Wharton dan Sarjan Ronald Croft berjaya melepaskan diri dari api yang sedang membakar mereka. Leftenan Ben Hackney yang berpura-pura mati berhampiran parit pada awalnya juga terselamat dalam tragedi itu.

Sebilangan besar penduduk tempatan yang disyaki bersubahat dengan tentera bersekutu dan tahanan tentera British yang ditangkap berhampiran Bukit Pelandok juga dibunuh di atas jambatan pada hari hari berikutnya.


BANGUNAN BERSEJARAH

Pada tahun 207, Kerajaan Australia telah mendirikan tugu peringatan di tebing sungai Simpang Kiri Parit Sulong untuk memperingati semua tentera dan orang awam yang telah terkorban di Muar, Bakri dan Parit Sulong.

Berek yang bersejarah ini mengalami kerosakan yang teruk ditelan zaman, tetapi pada tahun 2015, hasil usaha Y.B Dato' Zulkurnain Kamisan (Ahli Parlimen Parit Sulong), Jabatan Warisan Johor dan penduduk tempatan, bangunan ini telah dipulihkan sepenuhnya. Ianya kini menjadi peringatan yang nyata tentang pertempuran yang pernah berlaku dan pembunuhan beramai-ramai terhadap tentera yang cedera sebagai salah satu kekejaman paling teruk yang dilakukan terhadap tentera Bersekutu dalam Perang Dunia II.