Bani Syaibah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bani Syaibah (bahasa Arab: Banī Shaybah بني شيبه) adalah suku Arab yang beragama Islam yang memegang dan memelihara kunci pintu emas Kaabah. Ahli suku ini akan diminta untuk menemani pelawat yang akan masuk ke dalam Kaabah khususnya ketika aktiviti pembersihan bahagian dalam dan atap Kaabah. Salah seorang dari suku ini juga akan membuka dan mengikuti lawatan ke dalam Kaabah bagi para jemaah VIP dan Raja-raja.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asalnya tugasan menjaga kunci Kaabah dianugerahkan kepada Tasm, salah satu suku kabilah Aad yang wujud sebelum kaum Arab Quraisy. Lalu tugasan ini diberikan kepada Khuzaah, kemudian kepada Qusai bin Kilab, lalu diberikan kepada anak lelakinya Abd-al-Dar bin Qusai, yang terus memeliharanya hinggalah akhirnya diserahkan kepada anak lelakinya Othman. Pemeliharaan kunci Kaabah berterusan turun-temurun hingga akhirnya kepada Syaibah bin Hashim (Abdul Muttalib). Pemeliharaan kunci berterusan turun temurun dari Syaibah hinggalah kepada keturunannya yang wujud pada hari ini.[perlu rujukan]

Dipercayai perpindahan penjagaan kunci Kaabah dari Bani Hashim kepada Bani Syaibah adalah suatu bentuk peralihan kuasa yang ditentukan oleh Allah SWT. Apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah peralihan kuasa penjagaan kunci Kaabah dan penguasaan Makkah adalah dibawah Bani Syaibah.

Namun apabila orang Islam kembali ke Makkah pada tahun ke-7 Hijrah dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah, Nabi Muhammad telah menghantar Saidina Ali bin Abi Talib untuk mengambil kunci pintu Kaabah daripada Bani Syaibah. Saidina Ali telah pergi menemui Bani Syaibah dan merampas kunci tersebut. Bani Syaibah telah menyerahkan kunci Kaabah tersebut kepada Saidina Ali tetapi suatu peristiwa telah berlaku, apabila pintu Kaabah hendak dibuka, kunci itu tidak berfungsi bagi membuka pintu Kaabah. Lantas, Malaikat Jibril a.s telah menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dari Allah berupa ayat Al-Quran dengan tujuan teguran Allah kepada Nabi Muhammad, Firman Allah dalam Surah An-Nisaa' ayat 58 bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya”

Lantaran itu Nabi Muhammad telah memulangkan kembali kunci Kaabah itu kepada Bani Syaibah, walaupun ketika itu Bani Syaibah belum Islam lagi. Atas pemberian kunci itu kembali kepada mereka, Bani Syaibah mengganggap Muhammad tentu seorang Nabi. Mereka beranggapan jika Muhammad bukan Nabi pasti dia seorang yang gila kuasa kerana memegang kunci ini adalah satu penghormatan turun temurun. Namun hanya seorang yang berfikiran rasional dan jujur serta ikhlas sahaja yang akan memulangkan kunci Kaabah itu kepada empunya hak menjaganya. Atas dasar kejujuran dan keikhlasan ini membuatkan ketua Bani Syaibah terbuka hatinya memeluk Islam kemudian semua pengikutnya memeluk Islam sehingga hari ini.

Atas perintah Allah, Nabi Muhammad S.A.W, Rasulullah, telah menganugerahkan wasiat penjagaan kunci Kaabah kepada Bani Syaibah pada tahun dimana kisah Pembukaan Kota Mekah terjadi. Baginda bersabda, "Ambillah (kunci Kaabah ini), Wahai Bani Talhah, hinggalah tibanya Hari Kiamat, dan ia tidak akan diambil dari kamu sehinggalah (berlakunya) ketidakadilan dan penindasan"[perlu rujukan]

Rujukan[sunting | sunting sumber]