Batu Bersurat Dong Yen Chau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Batu Bersurat Dong Yen Chau[1][2] adalah sebuah batu bersurat berbahasa Cam yang ditulis dalam tulisan Brahmi Selatan Kuno[3] yang ditemui pada tahun 1936 di Đông Yen Châu, yang terletak di sebelah barat laut Trà Kiệu, tidak jauh dari ibu negara Kerajaan Campa lama di Inderapura (kini termasuk negara Vietnam).[4] Batu bersurat ini ditulis dalam bentuk prosa, yang merupakan batu bersurat tertua di Cam, dan menunjukkan kepercayaan orang Cam zaman purba di Kerajaan Campa.[5][2] Walaupun tidak ada tarikhnya, frasa yang digunakan menyerupai benar dengan yang digunakan pada batu bersurat bertarikh dalam bahasa Sanskrit, yang dikeluarkan oleh Raja Bhadravarman I dari dinasti kedua Campa (memerintah pada akhir abad ke-4 M).[6] Kandungan tulisan itu merupakan mantera untuk menghormati 'naga raja yang suci', yang besar kemungkinan merupakan binatang pelindung yang suci dari suatu mata air atau sumur. Penggunaan pertuturan bahasa basahan pada batu bersurat ini menunjukkan bahawa pada abad ke-4, kawasan yang kini berada di tengah Vietnam itu didiami oleh populasi berbahasa Austronesia.[7][8] Bukti monumen dan palaeografi juga menunjukkan bahawa Hinduisme adalah sistem kepercayaan yang dominan pada masa itu.[9][10]

Persamaan tatabahasa dan perbendaharaan kata yang digunakan dalam tulisan ini kepada berbagai-bagai batu bersurat bahasa Melayu,[11] telah menyebabkan beberapa penyelidik tempatan di Malaysia berpendapat bahawa peninggalan ini boleh dianggap sebagai contoh tertua dari bentuk bahasa Melayu Kuno[12][13][14] yang diduga lebih tua daripada batu bersurat paling awal yang terdapat di Sumatera.[15] bagaimanapun para penyelidik memiliki pendapat khas bahawa tulisan ini ditulis dalam bahasa Cam Kuno yang masih satu rumpun dengan bahasa-bahasa melayu kuno di Asia Tenggara,[2][16] bahasa Camik dan Malayik berkait rapat, keduanya adalah dua subkumpulan bahasa Malayik-Camik,[17] iaitu cabang keluarga bahasa Malayo-Polinesia dari keluarga bahasa Austronesia.

Kandungan[sunting | sunting sumber]

Bahasa yang digunakan dalam prasasti itu dalam hal-hal tatabahasa dan perbendaharaan kata tidak begitu berbeza dengan bahasa Cam dan Melayu moden. Kemiripan dengan tatabahasa Cam serta Melayu dapat dilihat dalam penggunaan penanda relatif yang dan ya, penggunaan kata dengan dan penanda lokatif di, sintaks ayat kalimat yang sama "Ni yang naga punya putauv" yang bermaksud "inilah naga suci kepunyaan raja", penggunaan penanda genitif punya, dan lain-lain. Pengaruh India muncul dalam istilah Sanskrit Siddham, mantera seruan yang sering digunakan untuk keberuntungan; nāga (ular, naga); svarggah (syurga), naraka (neraka), dan kulo (keluarga).[18] Kandungan prasasti itu sendiri, yang berhubungan dengan sebuah sumur dekat Indrapura, cukup singkat tetapi menunjukkan kebahasaan seperti berikut:

Transliterasi Rumi[19]

Siddham! Ni yang nāga punya putauv.
Ya urāng sepuy di ko, kurun ko jemā labuh nari svarggah.
Ya urāng paribhū di ko, kurun saribu thun davam di naraka, dengan tijuh kulo ko.

Terjemahan bahasa Melayu

Sejahtera! Inilah naga suci kepunyaan Raja.
Orang yang menghormatinya, turun kepadanya permata dari syurga.
Orang yang menghinanya, akan seribu tahun diam di neraka, dengan tujuh keturunan keluarganya.

Dong Yen Chau Lema Melayu moden Catatan etimologi dan lain-lain
ni ini Dari Proto-Austronesia *i-ni.
nāga naga Dari Sanskit नाग (nāga).
punya punya
urāng orang
labuh labuh (jatuh)
nari daripada/dari
svarggah syurga/surga (Indonesia) Dari Sanskrit स्वर्ग (svarga).
saribu seribu
thun tahun Dari Proto-Melayu-Polynesia *taqun.
davam diam (menetap) Juga bererti 'tetap'.
di di
naraka neraka Dari Sanskrit नरक (naraka).
dengan dengan Dari Proto-Melayu-Polynesia *deŋan.
tijuh tujuh
kulo keluarga Dari Sanskrit कुल (kulo).

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ngọc Chừ Mai: Văn hóa Đông Nam Á. Đại học quốc gia Hà Nội, 1999, p. 121; Anne-Valérie Schweyer: Viêt Nam: histoire, arts, archéologie. Olizane, 2011, p. 424.
  2. ^ a b c Griffiths, Arlo. "Early Indic Inscriptions of Southeast Asia". Academia.edu. Dicapai pada 20 January 2015.
  3. ^ O'Reilly 2014, halaman 18
  4. ^ Coedès 1968, halaman 48
  5. ^ O'Reilly 2006, halaman 134–135
  6. ^ Marrison 1975, halaman 52–59
  7. ^ Coedès 1968, halaman 48
  8. ^ Bellwood & Glover 2004, halaman 48
  9. ^ Coedès 1968, halaman 48
  10. ^ Bellwood & Glover 2004, halaman 48
  11. ^ Thurgood 1999, halaman 3
  12. ^ Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain 2004, halaman 27
  13. ^ Abdul Rahman Al-Ahmadi 1991, halaman 16
  14. ^ Arkib Negara Malaysia 2014, halaman 3
  15. ^ Thurgood 1999, halaman 3
  16. ^ Thurgood 1999, halaman 3
  17. ^ "Malayo-Chamic", ethnologue.com
  18. ^ Thurgood 1999, halaman 3–4
  19. ^ Thurgood 1999, halaman 3

Sumber bacaan[sunting | sunting sumber]