Batu Bersurat Telaga Batu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Batu Bersurat Telaga Batu

Batu Bersurat Telaga Batu ialah batu bersurat Srivijaya dari abad ke-7 yang ditemui di Sabokingking, 3 Ilir, Ilir Timur II, Palembang, Sumatera Selatan sekitar tahun 1950. Batu bersurat ini kini dipamerkan di Muzium Nasional Indonesia, Jakarta, dengan nombor inventori D.155. Beberapa tahun sebelumnya, sekitar 30 batu bersurat berkenaan Siddhayatra telah ditemui di sekitar Sumatera Selatan, kebanyakannya menceritakan tentang perjalanan Siddhayatra Dapunta Hyang Sri Jayanasa, yang menurut Batu Bersurat Kedukan Bukit berlaku sekitar tahun 605 saka (683 M). Kini, kesemua batu bersurat Siddhayatra ini disimpan di Muzium Nasional Indonesia.

Batu bersurat ini dihasilkan dari batu andesit yang berukuran 118 cm tinggi dan 148 cm lebar. Bahagian atasnya dihiasi dengan tujuh kepala naga, dan pada bahagian bawahnya terdapat bentuk seperti cerat yang mengalirkan air, yang berkemungkinan dicurah ketika upacara ritual kesetian. Batu bersurat ini ditulis dengan tulisan Pallava dalam ([Bahasa Melayu Kuno])

Pentafsiran[sunting | sunting sumber]

Teks pada batu bersurat ini agak panjang, bagaimanapun isi kandungan utamanya hanya berkisar tentang sumpahan-sumpahan ke atas sesiapa yang menderhaka kepada kedatuan Srivijaya atau melanggar perintah dātu. Menurut Casparis, jenis-jenis orang, pekerjaan atau pangkat kedudukan yang disebut dalam batu bersurat ini dikategorikan sebagai berpotensi membawa bahaya dan berkemungkinan memberontak terhadap ketuanan Srivijaya. Bagi mencegah sebarang cubaan menderhaka, pemerintah Srivijaya mewajibkan mereka ini menyatakan kesetian, dengan ancaman akan disumpah jika tidak berbuat demikian.[1]

Berikut adalah golongan-golongan dalam masyarakat yang disebut dalam batu bersurat ini: rājaputra (putera raja), kumārāmātya (menteri), bhūpati (pemerintah daerah), senāpati (panglima perang), nāyaka (pemimpin masyarakat setempat), pratyaya (bangsawan), hāji pratyaya (Raja bawahan), dandanayaka (hakim), tuhā an vatak (pengawas pekerja rendah), vuruh (buruh), addhyāksi nījavarna (penyelia rendah), vāsīkarana (tukang besi/pembuat senjata), cātabhata (askar), adhikarana (pegawai), kāyastha (pekerja kedai), sthāpaka (artisan), puhāvam (nakhoda kapal), vaniyāga (peniaga), marsī hāji (pelayan raja), hulun hāji (hamba raja).

Batu bersurat ini mengandungi senarai paling lengkap pegawai-pegawai kerajaan. Beberapa ahli sejarah berpendapat ibu kota Srivijaya sepatutnya terletak di Palembang, kerana kewujudan batu bersurat ini yang mengandungi pangkat-pangkat yang kompleks dan berstarata.[2] Bagaimanapun, Soekmono berpendapat batu bersurat yang mengandungi sumpahan ini tidak wajar terletak di ibu kota kerajaan, kerana ia mengandungi sumpahan yang menakut-nakutkan kepada sesiapa yang derhaka kepada kedatuan,[3] dan beliau yakin ibu kotanya terletak di Minanga (mungkin terletak sekitar Candi Muara Takus) seperti yang disebut dalam Batu Bersurat Kedukan Bukit.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Casparis, J.G., (1956), Prasasti Indonesia II: Selected Inscriptions from the 7th to the 9th Century A.D., Dinas Purbakala Republik Indonesia, Bandung: Masa Baru.
  2. ^ Irfan, N.K.S., (1983), Kerajaan Sriwijaya: pusat pemerintahan dan perkembangannya, Girimukti Pasaka
  3. ^ Madjelis Ilmu Pengetahuan Indonesia, (1958), Laporan Kongres Ilmu Pengetahuan Nasional Pertama, Volume 5.
  4. ^ Soekmono, R., (2002), Pengantar sejarah kebudayaan Indonesia 2, Kanisius, ISBN 979-413-290-X.