Bawang Putih Bawang Merah (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bawang Putih Bawang Merah
PengarahS. Roomai Noor
PenulisSalleh Ghani
Lakon layarSalleh Ghani
Dihasilkan olehHo Ah Loke & Loke Wan Tho
Dibintangi
SinematografiHitam-putih
Muzik olehZubir Said
Syarikat
penerbitan
Tarikh tayangan
1959
Masa tayangan
100 minit
NegaraMalaya
(Singapura & Malaysia)
BahasaMelayu

Filem Bawang Putih Bawang Merah merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1959. Filem Bawang Putih Bawang Merah diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.

Pengarah[sunting | sunting sumber]

Filem Bawang Putih Bawang Merah diarah oleh pengarah S. Roomai Noor pada 1959. Filem ini diadaptasikan dari novel Bawang Putih Bawang Merah hasil karya oleh Salleh Ghani yang diterbitkan pada tahun 1955 melalui Syarikat Geliga Press. Beliau juga bertindak sebagai penolong pengarah dan dibantu oleh Hussain Haniff.

Ringkasan[sunting | sunting sumber]

Mengisahkan Pak Ali (Shariff Medan) mempunyai dua orang isteri iaitu Labu (Minah Yem) dan Kundor (Siti Tanjung Perak). Hasil dari perkahwinannya yang pertama, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Bawang Merah (Latifah Omar). Isteri keduanya, Kundor turut melahirkan seorang anak perempuan bernama Bawang Putih (Umi Kalthum). Selepas kematian Pak Ali yang disengat oleh seekor ikan sembilang, hidup Labu dan Bawang Merah semakin terseksa apabila mereka dipaksa melakukan pelbagai kerja rumah oleh Kundor. Tambah menyedihkan, madunya tergamak membunuh Labu di dalam sebuah perigi dibelakang rumah mereka. Pembunuhan ini disebabkan cinta Kundor tidak dibalas oleh Pak Mat (Puteh Lawak). Pak Mat merupakan sahabat kepada arwah Pak Ali.

Suatu hari, Bawang Merah didatangi sebuah mimpi mengenai ibunya yang telah meninggal dunia ekoran tindakan dari ibu tirinya. Kini jasadnya telah bertukar menjadi seekor ikan kaloi di dalam perigi tersebut. Untuk keesokkan harinya, ibunya sempat berpesan agar membawa nasi melukut dengan sayur keladi untuk dibuat makanan bagi si ikan kaloi. Alangkah gembira hatinya si Bawang Merah apabila ibunya munculkan diri dan makan makanan yang dibawanya. Tetapi tindakan Bawang Merah ini telah diperhatikan oleh Bawang Putih. Dia bergegas pulang dan memberitahu ibunya yang makcik Labu kini sudah bertukar menjadi seekor ikan kaloi di dalam perigi tersebut. Kundor yang berang terus memaksa Bawang Merah segera mencari ubat sebagai penawar baginya yang sedang sakit. Sedangkan itu hanyalah sekadar sandiwara. Dengan masa yang singkat itu, Kundor dan Bawang Putih pula bergegas pergi ke perigi tersebut dan terus menangkap ikan tersebut untuk dibuat lauk gulai buat Bawang Merah. Beberapa jam kemudian, Bawang Merah pun tiba di rumah, dengan layanan yang baik, Kundor mempelawa Bawang Merah dengan makanan yang telah dihidangkan. Sungguh berselera Bawang Merah makan ibunya sendirinya akibat dari perbuatan zalim Kundor dan anaknya. Di sebelah petangnya, Bawang Merah pergi ke perigi untuk memberi makan kepada ibunya tetapi kali ini ibunya tidak memunculkan diri lagi. Sungguh sedih hati Bawang Merah kerana ibunya telah hilang.

Di malam harinya, Bawang Merah sekali didatangi sebuah mimpi yang menyatakan lauk yang dimakan tengah hari tadi adalah ibunya sendiri. Sebagai pengubat hatinya kelak, kumpulkan tulang-temulang tersebut dan tanam di kawasan tanah lapang. Satu perkara ajaib akan berlaku kelak. Selepas Bawang Merah tersedar dari mimpi tersebut, dia terus mencari tulang ibunya di bawah rumah namun tidak berjaya. Dengan bantuan dari semut-semut, tulang ikan tersebut berjaya ditemui dan dia terus menanam seperti yang diarahkan oleh mimpi tersebut.

Keesokkan harinya, Bawang Merah bergegas pergi ke kubur ibunya, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati kubur ibunya telah digantikan dengan sepohon pokok beringin beserta buaian. Bawang Merah terus berbuai sambil bersenandung sehingga suara nyanyiannya didengari oleh rombongan putera raja (lakonan Mustapha Maarof) yang sedang berburu di dalam hutan. Kelembutan, kecantikan dan kemerduan suara Bawang Merah telah berjaya menambat hati seorang putera raja negeri itu. Baginda mengarahkan agar Datuk Bendahara (Mahmud June) dan pembantunya (lakonan Aman Belon) pergi mencari siapa pemilik suara itu. Namun, Bawang Merah perasan yang dirinya sedang diperhatikan dan diekori seseorang. Dia segera memberitahu Kundor yang siang hari tadi dia diekori oleh pembesar istana. Selepas mendapat perkhabaran tersebut, Kundor sudah memasang niat untuk mengahwinkan Bawang Putih dengan putera raja tersebut keesokkan harinya.

Tiba hari yang ditunggu-tunggukan, Datuk Bendahara dan pembantunya memanggil Kundor untuk membawa bersama anak perempuannya untuk mempersembahkan nyanyiannya di hadapan putera raja tersebut. Tetapi sayagnya, muslihat itu tidak berjaya sehinggakan Datuk Bendahara mengugut Kundor agar menyerahkan seorang lagi anak perempuannya sebelum nyawanya dicabut. Kundor akhirnya menurutkan sahaja arahan tersebut. Selepas Bawang Merah mepersembahkan nyanyiannya maka dengan iu putera raja tersebut melamar Bawang Merah. Mereka berkahwin dan hidup bahagia. Kundor dan Bawang Putih semakin cemburu. Dalam diam mereka berhasrat untuk menghancurkan perkahwinan tersebut.

Antara perkara kejam yang dihasutnya ialah Bawang Merah diperdayakan untuk menaburkan habuk / debu miang dari pokok buluh dan diletakkan diatas katil pada bahagian tidur suaminya, ekoran kejadian itu, Baginda tetap memaafkan isterinya dan beberapa hari kemudian, Bawang Merah telah dipukau dan disuruh mencampakkan sebilah kapak tepat di wajah suaminya untuk menguji kasih sayang terhadapnya. Kali ini, baginda tidak dapat memaafkan lagi perbuatan Bawang Merah dan telah dijatuhkan hukuman sula sampai mati. Keesokkan harinya di hari penghukuman, dengan kuasa tuhan, jasad Bawang Merah telah ghaib dan terus muncul di atas pohon beringin sambil bersenandung sehinggalah seorang dayang istana memberitahu perkara sebenarnya kepada Baginda mengenai siapakah dalang yang telah memperdayakan Bawang Merah. Baginda yang terkejut terus menitahkan agar Kundor ditangkap dan dijatuhi hukuman sula sampai mati. Tetapi kerana murninya hati Bawang Merah yang memaafkan ibu tirinya dan dia telah memujuk suaminya agar memaafkan ibunya buat kali yang terakhir. Di kesudahannya cerita, baginda menurutkan sahaja permintaan dari isterinya itu dan Kundor terus menyesal akan perbuatannya selama ini terhadap Bawang Merah. Upacara hukuman mati dibatalkan dan Bawang Merah dan suaminya hidup aman dan damai semula.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Lagu[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]