Benteng Kuto Besak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tentera Diraja Hindia Belanda (KNIL) dengan kanak-kanak di depan pintu Benteng Kuto Besak, Palembang, c. 1900-1940

Benteng Kuto Besak adalah kubu lama yang terletak di Palembang, Indonesia. Ia merupakan struktur seni bina tempatan yang tertua dan terbesar, dan juga sebagai simbol kuat sejarah diraja pada masa lalu di Palembang.[1] Berbeza dengan banyak kubu lain di Indonesia, ia tidak dibina oleh kuasa penjajah tetapi oleh sultan-sultan Palembang sendiri.[1] Benteng Kuto Besak kini adalah salah satu daya tarikan pelancongan rasmi yang terkenal di Palembang.[2]

Nama[sunting | sunting sumber]

Erti kata Kuto dalam Bahasa Melayu Palembang bermakna benteng, kubu, atau dinding berpagar tinggi;[3] manakala kata Besak bermakna besar.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kubu ini dirancang oleh Sultan Mahmud Badaruddin I (1724-1758) dan dibina oleh anaknya, Sultan Mahmud Bahauddin (1776-1801).[1] Pembinaannya mengambil masa tujuh belas tahun untuk disiapkan, dan ia akhirnya dirasmikan pada tahun 1790.[1]

H.M. baron de Kock, c. 1826-1857

Sejak pembinaannya, Benteng Kuto Besak telah berkhidmat sebagai simbol keyakinan penentangan tempatan kepada kuasa-kuasa Eropah, iaitu Britain dan Belanda.[1] Kubu ini di bawah kepimpinan Sultan Mahmud Badaruddin II mengalami tiga kali serangan Belanda, yang cuba untuk menakluk Kesultanan Palembang. Serangan pertama pada Julai 1819 di bawah kepimpinan Pesuruhjaya H.W. Muntinghe mahupun serangan kedua pada Oktober 1819 di bawah kepimpinan Laksamana Muda C.J. Wolterbeek tidaklah berjaya, dan tentera Belanda dapat ditangkis.[4] Barulah pada serangan ketiga pada Jun 1821 di bawah kepimpinan Jeneral H.M. de Kock, Belanda dapat berjaya menembusi pertahanan kubu ini.[4] Sultan Mahmud Badaruddin II kemudiannya ditangkap, dan dibuang ke Ternate, Maluku Utara.[5]

Selepas pengambilalihan kuasa oleh Belanda pada 1823, mereka menempatkan tenteranya di kubu ini.[1] Keadaannya sekali lagi bertukar oleh penempatan tentera Indonesia, iaitu selepas Kemerdekaan Indonesia[2]

Bangunan[sunting | sunting sumber]

Kubu ini dibina di tebing Sungai Musi yang mengalir dari hulu ke arah hiliran, terbentang barat ke timur. Satu ciri yang tersendiri kubu ini terletak pada kewujudan tiga katelum (bastion). Pembinaan kubu cukup besar, iaitu berukuran panjang 289 meter panjang, lebar 184 meter, dan tinggi 10 meter.[1] Pintu masuk utama kubu terletak di sebelah selatan, yang menghadap ke Sungai Musi.[3]

Dahulunya di dalam kubu ini terletak istana sultan, tempat kediaman putri bangsawan, sebuah taman, dan juga sebuah kolam.[1] Pada masa kini, terdapat satu detasmen tentera (Kodam II Sriwijaya) dan sebuah hospital tentera (Hospital Dr. A.K. Gani) yang masih berpejabat di dalam kubu.[2]

Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Tampak hadapan Benteng Kuto Besak, dilihat dari kejauhan

Bersebelahan dengan kubu terdapat muzium bandar, iaitu Muzium Sultan Mahmud Badaruddin II, yang dahulu didirikan sebagai kediaman Residen Belanda yang pertama, J.L. van Sevenhoven.[2] Bangunan ini cukup besar, dengan dua tangga mengesankan yang menurun daripada lantai tingkat atas ke bahagian depan bangunan, dan memiliki bumbung berbentuk "Limas", sejenis bumbung yang biasanya digunakan di rumah-rumah elit tempatan.[2] Pada bahagian dalam dan luar muzium bertaburan batu-batuan dan patung-patung peninggalan arkeologi.[2] Lokasi bangunan ini sebenarnya adalah bekas kubu kedua yang lebih tua, yang dipanggil Benteng Kuto Tengkurek atau Benteng Kuto Lamo, yang telah dirobohkan oleh Belanda.[2]

Di hadapan kubu terdapat medan terbuka, yang dipanggil Plaza Benteng Kuto Besak (Plaza BKB) oleh rakyat tempatan.[3] Medan ini terletak di pinggir Sungai Musi dan bersebelahan dengan Jambatan Ampera.[3] Keindahan Sungai Musi dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti-aktiviti di sungai dan juga pada bangunan-bangunan di sekitar kawasan.[3] Setiap hari, Plaza BKB senantiasa ramai dengan pengunjung, untuk berehat atau makan hidangan tempatan, sejak dari tengah hari sehingga petang.[3] Lampu berwarna-warni mulai menerangi landskap apabila matahari mulai terbenam, dan ia menjadi tarikan utama untuk pelancong di bandar.[3]

Lihat pula[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h Nas & Nas 2003, m/s. 173.
  2. ^ a b c d e f g Nas & Nas 2003, m/s. 174.
  3. ^ a b c d e f g Sukawi (26 November 2009). "Menikmati Musi di Kuto Besak". 
  4. ^ a b Poesponegoro & Notosusanto 2008, m/s. 46.
  5. ^ Poesponegoro & Notosusanto 2008, m/s. 47.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]