Pergi ke kandungan

Beting Beras Basah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Beting Beras Basah yang terletak di kawasan persisir hujung Sungai Perak, Bagan Datoh, Perak berhampiran dengan muara Sungai Perak merupakan kawasan pantai pasir yang kadangkala timbul dan kadangkala tenggelam apabila air pasang berlaku. Kawasan ini boleh dilawati melalui jalan darat dengan datang ke kawasan Kampung Sungai Ular Bagan Datoh, perjalanan menggunakan kereta/motorsikal mengambil masa dalam 7 minit dari pekan Bagan Datoh Ke Beting Beras Basah.

Beting Beras Basah dikaitkan dengan Sultan Perak yang pertama telah menjejakkan kaki di sini. Setiap kali pertabalan Sultan Perak, Sultan berkenaan wajib menghilir Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah.[1]

Istiadat Simbolik

[sunting | sunting sumber]

Pada 14 Mei 2015, Istiadat Menziarahi Beting Beras Basah bermula dari Jeti Bagan Datoh. Istiadat ini dilakukan sebagai simbolik adat signifikan tempat pertama Sultan Muzaffar Shah I Marhum Tanah Abang (1528-1549), Sultan Perak yang pertama, menjejakkan kaki ketika mula sampai di negeri Perak.[1]

Sejarah Asal

[sunting | sunting sumber]

Di zaman munculnya Kerajaan Beruas dan Manjung terdapat juga beberapa daerah di Perak yang memerintah secara persendirian. Di Temong misalnya terdapat seorang perempuan yang dikenali sebagai Tok Temong dan di Hulu Perak terdapat seorang lelaki bernama Tun Saban anak Bendahara Tun Perak Melaka. Begitulah keadaannya sebelum wujud kesultanan Perak.[2]

Kesultanan Perak bermula pada kurun ke-16, apabila putera kedua Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir, setelah Negeri Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511 dilantik menjadi Sultan Perak yang pertama pada tahun 1528. Putera tersebut bernama Raja Mudzaffar Shah. Menurut cerita lisan yang diperolehi daripada Almarhum Sultan Idris Almutawakkil Alallah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-33. Orang-orang Perak telah menyuruh Tun Saban menjemput Raja Mudzaffar untuk dirajakan di Perak. Waktu bakal Sultan ini bermudik di Sungai Perak, bahtera kenaikan Baginda telah tersangkut di Beting Beras Basah yang terletak di Kuala Sungai Perak. Raja Mudzaffar telah berseru:[2]

"Sekongkong Tanah Minangkabau

Selilit Pulau Perca

Di lengkong ular Saktimuna

Perpisahan Beta di selat Melaka

Jika Sah Beta Raja berdaulat

Lepaslah sekalian malapetaka"[2]

Selepas seruan Baginda diucapkan, bahtera kenaikan Baginda itu bergerak, dan Orang-orang Besar dan beribu-ribu rakyat Negeri Perak yang menyambut Baginda menyebut "Daulat Tuanku" sebanyk tiga kali berturut-turut. Kemudian Baginda diarak mudik Sungai Perak hingga ke tempat yang bernama Tanah Abang dan disitulah Baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama.[2]


  1. ^ a b "Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, 6 Mei 2015". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-04-20. Dicapai pada 2015-04-17.
  2. ^ a b c d "Beting Beras Basah". sultan.perak.gov.my. Dicapai pada 2025-12-11.