Bichon frisé

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Bichon Frisé)
Bichon frisé
Nama lain
  • Bichon keriting
  • Bichon berbulu keriting
  • Bichon Tenerife
Negara asal
  • Kepulauan Canaria (Sepanyol)
  • Belgium/Perancis (perkembangan lanjut)
Trait
Tinggi Jantan 25–30 cm (10–12 in)
Betina 23–29 cm (9–11 in)
Bulu sederhana panjang, bak sutera, tekstur dengan keritingan melingkar-lingkar
Warna putih
Saiz perinduk 1–6 ekor[perlu rujukan]
Jangka hayat 12–21 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Bichon frisé, bichon keriting, atau bichon berbulu keriting[a] ialah satu baka anjing daripada jenis bichon.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Bichon frisé

Perkataan bahasa Perancis bichon berasal daripada bichon bahasa Perancis Tengah ("anjing kecil"), diminutif bagi biche bahasa Perancis Kuno ("anjing betina", seasal dengan bitch bahasa Inggeris), daripada bicce bahasa Inggeris Kuno, dan berkaitan dengan perkataan lain bahasa-bahasa Jermanik dengan maksud sama, termasuk bikkja bahasa Norse Kuno, dan Betze bahasa Jerman.[1][2] Sesetengah pihak berspekulasi bahawa asal usul bichon ialah hasil daripada aferesis, atau penyingkatan, bagi perkataan barbichon ("pudel kecil"), terbitan daripada barbiche ("anjing kasar dan berjumbai"); walau bagaimanapun, ini bermungkinan mustahil, kerana perkataan bichon (ternyata pada tahin 1588) adalah lebih tua daripada barbichon (ternyata pada tahun 1694).[3][4] Nama untuk baka ini, bichon frisé, diterbitkan daripada bichon à poil frisé bahasa Perancis yang memaksudkan "anjing kecil berbulu keriting".[5]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

The White Duchess, dilukis oleh Francisco de Goya pada 1795, yang menampilkan Duchess Alba dan bichon beliau[6]

Bichon frisé kerap digambarkan sebagai anjing Perancis. Walaupun jenis baka bichon pada asalnya merupakan anjing Sepanyol, yang digunakan sebagai anjing pelayaran, juga sebagai anjing gembala kadang-kadang, orang Perancis mengembangkannya menjadi keragaman anjing riba lemah lembut. Jenis bichon bangkit daripada anjing air dan diturunkan daripada anjing jenis pudel dan sama ada barbet atau salah satu kelas baka spaniel air.[7]

Oleh sebab watak riangnya, leluhur bichon banyak mengembara dan kerap digunakan sebagai barter oleh pelayar Itali semasa mereka bergerak dari benua ke benua.[8] Anjing-anjing itu menemukan kejayaan awal di Sepanyol dan pelaut Sepanyol pada umumnya dipercayai memperkenalkan baka awal ke Tenerife di Kepulauan Canaria. Perkaitannya dengan kebangsawanan Eropah bermula pada abad ke-13 dengan kemasukan ke pekarangan istana diraja Sepanyol, Itali, dan Perancis.[9] Pada abad ke-14, pelayar Itali menemukan anjing-anjing itu semula dalam pelayaran mereka dan dikreditkan kerana pemulangannya ke Eropah benua.[10]

Anjing Tenerife, yang sering dipanggil bichon, mencapai kejayaan di Perancis semasa Renaisans di bawah François I (1515–1547), tetapi kepopularannya meningkat di pekarangan istana Henri III (1574–1589), apabila ia telah menjadi popular sesama kebangsawanan Perancis sebagai pendamping istana dan anjing riba.[11]

Pada 5 Mac 1933, piawaian rasmi bagi baka ini diterima pakai oleh Société Centrale Canine, kelab kenel kebangsaan untuk Perancis.[12] Pada 18 Oktober 1934, bichon frisé dimasukkan ke dalam buku pembaka Société Centrale Canine.

Bichon dibawa ke Amerika Syarikat pada tahun 1955.[13]

Bichon frisé menjadi layak untuk memasuki Kelas Lain-lain AKC pada 1 September 1971. Pada Oktober 1972, baka ini dimasukkan ke dalam pendaftaran dalam Buku Pembaka American Kennel Club. Pada 4 April 1973, baka ini menjadi layak untuk ditunjukkan dalam Kumpulan Bukan Sukan dalam pertunjukan anjing AKC. Pada tahun 2001, seekor bichon frisé bernama J.R. memenangi best in show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club. Di Amerika Syarikat, bichon frisé diperingkatkan sebagai baka ke-40 paling popular pada tahun 2013 menurut American Kennel Club.[14]

Bichon diperkenalkan ke Australia pada tahun 1970-an dan sejak pengenalannya telah terbukti berjaya sebagai anjing pertunjukan dan teman.[15] Pada tahun 1973, dua orang pembiak baka Amerika berhijrah ke United Kingdom dengan dua ekor bichon yang menghasilkan seperinduk lima ekor anak anjing, lalu memperkenalkan baka ini ke negara itu.[16]

Ciri[sunting | sunting sumber]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Bichon frisé ialah anjing kecil yang berdiri setinggi 23–30 cm (9–12 in) pada paras kelasa dan berukuran seberat hampir-hampir 5 kg (11 lb), beratnya berbeza-beza secara berperkadaran dengan ketinggian. Tengkoraknya agak rata, tetapi mungkin kelihatan membulat; muncungnya menirus hanya sedikit dan ukurannya dua perlima panjang kepala. Hidungnya hitam dan matanya gelap dan bulat.[17][18]

Lapis bulunya mempunyai keriting halus dalam bentuk pilin atau skru gabus dengan lapis bulu bawah lembut tebal. Lapis bulunya sentiasa putih metah; hanya pada anjing yang berusia kurang daripada setahun mungkin lapis bulunya mempunyai sedikit sentuhan kuning air yang mencakupi tidak lebih daripada 10% luas tubuh. Kepala dan tungkai berperkadaran dari segi saiz dengan tubuh.[17][18]

Perangai[sunting | sunting sumber]

American Kennel Club merujuk bichon frisé sebagai anjing "riang" dan "ingin tahu"[13] dan piawaian baka mensyaratkan anjing yang "berbudi bahasa, sensitif, suka bermain, dan penyayang". Anjing ini pada umumnya sangat mudah bergaul dan bergaul dengan baik dengan pemilik yang membawanya bersama-sama semasa bersiar-siar serta penyayang dan cerdas. Jika bergabung dengan wilayah tertentu dan digalakkan oleh pemilik, ia dapat menjadi sangat teritorial.[19]

Jangka hayat[sunting | sunting sumber]

Pada usia enam belas tahun

Bichon frisé di United Kingdom, di Amerika Syarikat, dan di Kanada (menurut tinjauan pemiliknya) mempunyai purata jangka hayat kira-kira 12–15 tahun.[20] Kelanjutan usia baka ini adalah serupa dengan baka lain dengan saiznya dan agak lebih panjang daripada anjing baka tulen pada umumnya.[21]

Bichon frisé tertua yang mempunyai rekod yang boleh dipercayai dalam pelbagai tinjauan Amerika Utara telah mati pada usia 21 tahun. Rekod menunjukkan, di London, United Kingdom, Bambi sebagai bichon frisé tertua yang masih hidup pada usia 18 tahun dan 9 bulan setakat tahun 2013.[22]

Dalam tinjauan The Kennel Club United Kingdom tahun 2004, punca utama kematian bichon frisé merupakan usia lanjut (23.5%) dan kanser (21%).[23] Dalam tinjauan pembiak baka Amerika Syarikat/Kanada tahun 2007, punca utama kematian merupakan kanser (22%), punca tidak diketahui (14%), masalah hematologi (11%), dan usia lanjut (10%).[22] Punca hematologi bagi kematian terbahagi antara anemia hemolisis autoimun (AIHA) dan trombositopenia berantarakan imun (ITP). AIHA dan ITP bertanggungjawab atas bilangan terbesar bagi "tahun hilang" bichon frisé (ukuran bagi takat yang sehingganya sesuatu keadaan membunuh anggota sesuatu baka secara pramatang). Walaupun kanser ialah punca lebih umum bagi kematian berbanding dengan AIHA dan ITP, bichon frisé yang mati akibat kanser mati pada usia median 12.5 tahun.[22] Kematian hematologi berlaku pada usia median lima tahun sahaja. Bichon frisé dalam tinjauan United Kingdom mempunyai kadar kematian hematologi lebih rendah (3%) berbanding dengan tinjauan Amerika Syarikat/Kanada (11%).[23]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Bichon frisé ialah baka agak sihat. Ia mungkin menghidap katarak, kencing manis, atau alahan, yang mungkin menyebabkan keadaan kulit dan menyebabkan kegatalan yang mengakibatkan penggaruan dan pengunyahan kaki. Keadaan kesihatan lain yang dapat terlihat pada bichon frisé merupakan kehelan tempurung lutu, penyakit jantung, batu dan kanser pundi kencing, dan penyakit hati.[24]

Untuk pembiak baka bichon frisé, Orthopedic Foundation for Animals (OFA) mengesyorkan penyaringan untuk keadaan kesihatan berikut untuk menerima pensijilan CHIC: displasia pinggul, kehelan tempurung lutut, CERF (kesihatan mata), penilaian jantung, dan Legg-Calves-Perthes.[25]

Bichon frisé dianggap hipoalergenik kerana ia tidak mudah menggugurkan bulu (salin bulu)[26] dan oleh itu pada umumnya sesuai untuk orang dengan alahan.[27]

AIHA dan ITP[sunting | sunting sumber]

Anemia hemolisis autoimun (AIHA, yang juga dipanggil anemia hemolisis berantarakan imun, atau IMHA) dan trombositopenia berantarakan imun (ITP) bertanggungjawab atas banyak kematian pramatang bichon frisé. Penyakit-penyakit ini dapat menyerang dengan sedikit amaran atau tanpa amaran langsung dan membunuh dengan sangat cepat. Dalam AIHA, sistem imun anjing berkenaan menyerang sel darah merah sendiri, lalu membawa kepada anemia parah dan mengancam nyawa. Gejala termasuk kelemahan, kehilangan tenaga, kekurangan selera makan, muntah, cirit-birit, denyutan jantung cepat, pernafasan cepat, air kencing gelap, dan gusi pucat atau kuning.[28]

ITP kerap mengiringi AIHA.[29] Dalam ITP, platelet darah (yang menyebabkan pembekuan darah) dimusnahkan. Tanda-tanda klinikal paling umum merupakan perdarahan pada kulit dan membran mukus.[29] Kadar mortaliti sebanyak 20% hingga 80% dilaporkan.[28]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: بيشون فريزي, بيشون کريتيڠ, بيشون بربولو کريتيڠ, Sebutan bahasa Melayu: [biʃɔn frize]; Perancis: bichon à poil frisé; bichon frisé, Sebutan bahasa Perancis: [biʃɔ̃ fʁize]; /ˈbʃɒn frɪˈz/, /ˈbʃɒn ˈfrz/

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Auguste Scheler, Dictionnaire d'étymologie française d'après les résultats de la science moderne (Perancis), "bichon".
  2. ^ Donkin, Diez, An etymological dictionary of the Romance languages (Inggeris), "biche".
  3. ^ Centre National de Ressources Textuelles et Lexicales, "bichon" (Perancis).
  4. ^ "French etymology of barbiche" (dalam bahasa Inggeris). myEtymology.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Julai 2011. Dicapai pada 8 Februari 2024.CS1 maint: unfit URL (link)
  5. ^ "Bichon Frise Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Februari 2024.
  6. ^ "María Cayetana de Silva, 13th Duchess of Alba", Art Hive (dalam bahasa Inggeris), 2 Disember 2020, dicapai pada 8 Februari 2024
  7. ^ Stregowski, Jenny. "Bichon Frise: Dog Breed Profile". sprucepets.com (dalam bahasa Inggeris).
  8. ^ "11 Fluffy Facts About the Bichon Frise". mentalfloss.com (dalam bahasa Inggeris). 3 Ogos 2015.
  9. ^ "Bichon Frise History: Time's Sociable Survivor". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 14 Jun 2021. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  10. ^ "History of the Bichon Frise". bichon.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 13 April 2021. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  11. ^ "Bichon Frise Breed Information - All You Need To Know" (dalam bahasa Inggeris).
  12. ^ "Bichon Frise Page". AKC.org (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 2012. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  13. ^ a b "Get to Know the Bichon Frise" (Inggeris), American Kennel Club, dicapai pada 8 Februari 2024
  14. ^ "2013 Dog Registration Statistics Historical Comparisons & Notable Trends". AKC.org (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 2014. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  15. ^ "Bichon Frise". pedigree.com (dalam bahasa Inggeris).
  16. ^ James, Elizabeth (2015). Bichon Frisé: Dog Expert (dalam bahasa Inggeris). Pet Book Publishing Company Ltd. m/s. 22. ISBN 978-1-906305-74-1.
  17. ^ a b "Standard FCI N° 215 BICHON A POIL FRISE" [Piawaian FCI No. 215 Bichon Berbulu Keriting] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). Disemak dan dikemaskinikan oleh Dr. C. Guintard. 2 September 2016. Dicapai pada 8 Februari 2024.CS1 maint: others (link)
  18. ^ a b "FCI-Standard N° 215 BICHON FRISE" [Piawaian FCI No. 215 Bichon Frisé] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Ian Nicholson. Disemak dan dikemaskinikan oleh Dr. C. Guintard. 2 September 2016. Dicapai pada 8 Februari 2024.CS1 maint: others (link)
  19. ^ "Meet the Breeds: Bichon Frise". AKC.org (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 2012. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  20. ^ Cassidy, Kelly M., penyunting (1 Februari 2008). "Breed Longevity Data". Dog Longevity (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Februari 2024.[sumber terbitan sendiri]
  21. ^ Cassidy, Kelly M., penyunting (26 Disember 2007). "Survey Comparisons". Dog Longevity (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Februari 2024.[sumber terbitan sendiri]
  22. ^ a b c "Surveys and Reports". BichonHealth.org (dalam bahasa Inggeris). Bichon Frise Club of America. 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Mac 2013. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  23. ^ a b "Purebred Dog Health Survey Results". TheKennelClub.org.uk (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Januari 2016. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  24. ^ "Bichon Frisé" (dalam bahasa Inggeris). www.petmd.com. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  25. ^ "Orthopedic Foundation For Animals" (dalam bahasa Inggeris).
  26. ^ "Dogs that do not shed – Retrieved 7 September 2008" (dalam bahasa Inggeris). Go Pets America. 25 Julai 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2018. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  27. ^ "Dogs and Allergies". AKC.org (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 2012. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  28. ^ a b McDonald, Nancy (2013). "Immune Mediated Hemolytic Anemia". BichonHealth.org (dalam bahasa Inggeris). Bichon Frise Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 September 2007. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  29. ^ a b Merck Veterinary Manual online. Immune System chapter, Immunopathologic diseases section (Inggeris). Dicapai pada 8 Februari 2024.