Bokser Jerman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Boxer Jerman)
Bokser Jerman
Bokser perang kekuning-kuningan, telinga dan ekor tidak terpotong
Nama lainBokser
Negara asalJerman
Trait
Berat Jantan 30–32 kg (66–70 lb)[1]
Betina 25–27 kg (55–60 lb)
Tinggi Jantan 56–64 cm (22–25 in)[2]
Betina 53–61 cm (21–24 in)
Bulu pendek, berkilat, licin, rapat
Warna perang kekuning-kuningan atau brindle, dan putih
Saiz perinduk purata 6–8 ekor
Jangka hayat 11.3 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)
Bokser perang kekuning-kuningan

Bokser Jerman[a] atau hanya bokser[b] ialah satu baka anjing berbulu pendek sederhana hingga besar daripada jenis mastif yang dikembangkan di Jerman. Lapis bulunya licin dan ketat; warnanya ialah perang kekuning-kuningan atau brindle, atau putih, dengan tanda-tanda putih atau tanpa tanda-tanda putih. Bokser berkepala pendek (bertengkorak lebar dan pendek), mempunyai muncung segi empat sama, prognatisme rahang bawah, rahang sangat kuat, dan gigitan berkuasa yang ideal untuk berpaut pada buruan besar. Bokser dibiakbakakan daripada buldog lama Inggeris dan bullenbeisser yang kini pupus melalui pembiakbakaan silang dan bukan melalui kemerosotan baka. Bokser ialah anggota Kumpulan Pekerja bagi kedua-dua The Kennel Club dan American Kennel Club (AKC).[3]

Kelab bokser pertama ditubuhkan pada tahun 1895 dengan bokser yang pertama kali dipamerkan dalam pertunjukan anjing untuk anjing Santo Bernard di Munich pada tahun berikutnya. Berdasarkan statistik American Kennel Club tahun 2013, bokser kekal sebagai baka anjing ketujuh paling popular di Amerika Syarikat selama empat tahun berturut-turut.[4] Menurut tapak web AKC,[5] bokser kini baka anjing ke-11 paling popular di Amerika Syarikat.

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Perkadaran kepala dan tubuh
Seekor bokser brindle
Dua ekor bokser perang kekuning-kuningan

Kepalanya ialah ciri paling distingtif bagi bokser. Piawaian baka menentukan bahawa kepalanya mesti berperkadaran sempurna dengan tubuh dan, yang paling penting, kepalanya tidak boleh terlalu ringan.[6] Nilai paling besar ditempatkan pada muncung yang dalam bentuk betul dan berperkadaran mutlak dengan tengkorak. Panjang muncung dengan seluruh kepala patut memiliki nisbah 1:3. Lipatan sentiasa hadir dari akar hidung langsung ke bawah pada kedua-dua belah muncung dan hujung hidung patut terletak agak lebih tinggi daripada akar muncung. Sebagai tambahan, bokser patut sedikit prognatus, iaitu, rahang bawah patut menonjol melepasi rahang atas dan membengkok sedikit ke atas dalam hal yang umumnya dipanggil underbite atau "undershot bite".[7]

Bokser pada asalnya merupakan baka dengan ekor dan telinga terpotong dan ini masih dilakukan di sesetengah negara,[8] tetapi oleh sebab desakan daripada persatuan veterinar, kumpulan hak asasi haiwan, dan orang awam, pemotongan kedua-dua telinga dan ekor telah dilarang di banyak negara di seluruh dunia dan tidak diiktiraf oleh piawaian baka yang ditetapkan oleh The Kennel Club di United Kingdom. American Kennel Club masih mengizinkan telinga terpotong. Satu susur galur bokser berekor pendek (ekor kontot) semula jadi dikembangkan di United Kingdom dalam jangkaan larangan pemotongan ekor di sana;[9] selepas beberapa generasi pembiakbakaan terkawal, anjing-anjing ini diterima dalam pendaftaran The Kennel Club (United Kingdom) pada tahun 1998, dan kini, wakil bagi susur galur berekor kontot terdapat di banyak negara. Pada tahun 2008, Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI) menambahkan "ekor kontot secara semula jadi" sebagai kecacatan penyingkir dalam piawaian baka mereka, bermakna bahawa bokser yang lahir dengan ekor kontot tidak lagi dapat ditunjukkan di negara-negara anggota FCI. Di Amerika Syarikat dan di Kanada setakat tahun 2012, telinga terpotong masih lebih umum pada anjing pertunjukan, walaupun amalan pemotongan telinga kosmetik pada masa ini ditentang oleh American Veterinary Medical Association.[10] bulan Mac 2005, piawaian baka AKC telah diubah untuk menyertakan perihal bagi telinga tidak terpotong, tetapi untuk seteruknya mendenda ekor tidak terpotong. Ekor bokser biasanya terpotong sebelum rawan terbentuk sepenuhnya, dari usia 3–5 hari.[11] Tatacara ini tidak memerlukan sebarang sutur apabila dilaksanakan pada usia muda ini dan anestesia tidak digunakan. Pemotongan ekor tidak diizinkan di bawah piawaian baka The Kennel Club United Kingdom.

Bulu dan warna[sunting | sunting sumber]

Bokser ialah baka berbulu pendek dengan lapis bulu licin yang terhampar ketat-ketat pada tubuh. Warna yang diiktiraf merupakan perang kekuning-kuningan dan brindle,[3] kerap dengan perut putih dan warna putih pada kaki. Tanda-tanda putih ini,[12] dipanggil "kilat", kerap memanjang ke leher atau ke muka dan anjing yang mempunyai tanda-tanda ini dikenali sebagai anjing "berkilau". "Perang kekuning-kuningan" menandakan julat warna yang terdiri daripada cahaya warna mungkin diperihalkan secara pelbagai sebagai sawo matang atau kuning muda, sawo matang kemerah-merahan, mahogani, atau merah rusa, dan madu-perang muda gelap. Di United Kingdom di dan Eropah, bokser perang kekuning-kuningan biasanya berwarna pekat dan kerap dipanggil "merah". "Brindle" merujuk kepada anjing dengan belang-belang hitam pada latar belakang perang kekuning-kuningan. Sesetengah bokser brindle sungguh berbelang-belang sehinggakan belang-belang itu memberikan penampilan "brindle berbalik", iaitu belang perang kekuning-kuningan pada tubuh hitam; anjing ini lazimnya dipanggil "brindle berbalik", tetapi itu sebenarnya misnomer—ia masih anjing perang kekuning-kuningan dengan belang-belang hitam. Sebagai tambahan, piawaian baka menyatakan bahawa latar belakang perang kekuning-kuningan mesti sejelasnya berkontras dengan brindle atau terpapar melalui brindle.

Bokser tidak membawa gen untuk warna lapis bulu hitam pejal, jadi bokser hitam tulen tidak wujud. Bokser yang terlihat dengan warna hitam sebenarnya amat berbelang-belang, iaitu warna perang kekuning-kuningan sepenuhnya terlitup oleh belang-belang hitam. Ini kerap dirujuk sebagai bokser "terlitup" dan bukan pewarnaan yang diiktiraf oleh AKC.[13]

Bokser putih[sunting | sunting sumber]

Bokser dengan tanda-tanda putih yang meliputi lebih daripada sepertiga daripada lapis bulunya – lazimnya dipanggil bokser "putih" – bukan albino mahupun jarang; kira-kira 20–25% daripada semua bokser yang lahir adalah putih.[14] Secara genetik, anjing ini sama ada berwarna perang kekuning-kuningan atau brindle dengan tanda-tanda putih berlebihan yang meliputi warna lapis bulu dasar. Seperti manusia berkulit cerah, bokser putih mempunyai risiko lebih tinggi bagi selaran matahari dan kanser-kanser kulit berkaitan berbanding dengan bokser lebih gelap. Gen piebald ekstrem, yang bertanggungjawab untuk tanda-tanda putih pada bokser, dihubungkan dengan kepekakan saraf deria kongenital pada anjing. Anggaran 18% daripada bokser putih adalah pekak pada sebelah atau kedua-dua belah telinga,[15] walaupun pertubuhan penyelamatan bokser menyaksikan kira-kira dua kali ganda jumlah itu.[16][17]

Pada masa lalu, pembiak baka kerap mengeutanasia anak anjing putih pada waktu kelahiran. Sebuah kajian tahun 1998 tentang bokser di Belanda menunjukkan bahawa 17% daripada anak-anak bokser dieutanasia kerana anjing-anjing itu putih.[18] Sebelum itu, American Boxer Club "secara tidak rasmi mengesyorkan eutanasia untuk haiwan-haiwan ini".[19] Sebab untuk eutanasia anak-ank anjing putih termasuk pandangan bahawa penjualan anjing dengan "kecacatan" adalah tidak beretika, yang sangat bertentangan pula dengan keutamaan AKC untuk ekor terpotong. Tambahan pula, terdapat tanggapan bahawa bokser putih berisiko lebih tinggi untuk ditinggalkan dalam penyelamatan.[20] Kini, pembiak baka semakin enggan mengeutanasia anak-anak anjing sihat[19] dan sebaliknya mungkin memilih untuk meneuterkan dan menempatkan anjing-anjing ini di rumah haiwan peliharaan.

Perangai[sunting | sunting sumber]

Perwatakan bokser adalah paling penting dan menuntut perhatian paling teliti. Ia terkenal sejak zaman dahulu kerana kecintaan dan kesetiaan besarnya terhadap tuan dan rumah tangganya. Ia tidak berbahaya dalam keluarga, tetapi dapat menjadi kurang percaya terhadap orang asing, berperangai riang dan mesra bermain, tetapi berani dan tekun apabila terangsang. Kecerdasan dan kerelaannya, kesopanan dan kebersihannya menjadikannya anjing keluarga yang sangat diingini dan pendamping ceria. Ia jiwa kejujuran dan kesetiaan, dan tidak pernah berpura-pura atau khianat walaupun pada usia tuanya.

— Piawaian baka Bokser AKC tahun 1938[21] [terjemahan]

Penampilan umum

Kemuliaan tinggi, berbulu licin, bersaiz sederhana, tubuh segi empat sama, tulang kuat dan otot jelas dan cukup terbentuk.

Ciri

Bersemangat, kuat, setia kepada pemilik dan keluarga, tetapi kurang percaya terhadap orang asing. Patuh, mesra bermain, tetapi dengan naluri penjagaan.

Perangai

Tenang, mudah patuh, tidak takut, berkeyakinan diri.

— 2021 The Kennel Club breed standard [terjemahan]

Bokser ialah baka pintar, bertenaga, dan suka bermain dan cenderung sangat baik dengan kanak-kanak.[3] Ia sabar dan bersemangat dengan kanak-kanak, tetapi juga bersikap pelindung, menjadikannya pilihan popular untuk keluarga.[3] Ia anjing aktif dan kuat yang memerlukan senaman mencukupi untuk mengelakkan tingkah laku berkaitan dengan kebosanan seperti pengunyahan, penggalian, atau penjilatan. Bokser telah memperoleh sedikit reputasi sebagai anjing "keras kepala", yang dapat dikaitkan dengan pelatihan kepatuhan tidak sesuai. Oleh sebab kecerdasannya dan ciri-ciri baka pekerjanya, pelatihan berdasarkan pembetulan kerap mempunyai kegunaan terhad. Bokser, seperti haiwan lain, biasanya berespons dengan lebih baik kepada teknik pengukuhan positif seperti pelatihan klik, iaitu pendekatan berdasarkan pelaziman operan dan behaviorisme, yang menawari anjing berkenaan kesempatan untuk berfikir secara bebas dan menyelesaikan masalah.[22][23] Tinjauan Stanley Coren tentang jurulatih kepatuhan, yang diringkaskan dalam buku beliau The Intelligence of Dogs, meletakkan bokser pada nombor 48—purata kecerdasan kerja/kepatuhan. Ramai yang pernah bekerja dengan bokser agak kuat membantah keputusan tinjauan Coren dan mengekalkan pendirian bahawa jurulatih mahir yang menggunakan kaedah berasaskan ganjaran akan mendapati bahawa bokser mempunyai kecerdasan dan keupayaan kerja yang jauh melebihi purata.[22][23][24]

Bokser menurut sifat bukan baka agresif atau ganas. Ia merupakan penjaga yang menurut naluri dan dapat menjadi sangat terikat dengan keluarganya. Seperti semua anjing, ia memerlukan sosialisasi betul.[25]Semua rencana kekurangan rujukan yang boleh dipercayai[sumber lebih baik diperlukan] Bokser pada umumnya bersabar dengan anjing dan anak anjing yang lebih kecil, tetapi kesukaran dengan anjing dewasa lebih besar, terutamanya yang sejantina, mungkin hadir. Bokser pada umumnya lebih selesa dengan pendampingan, sama ada dalam bentuk manusia atau anjing. Ia sangat sabar dan bagus untuk diadopsi sebagai anjing keluarga kerana ia baik dengan kanak-kanak dan semua jenis orang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bokser ialah mastif pemburu yang dikembangkan di Jerman pada lewat abad ke-19 daripada bullenbeisser yang kini pupus, anjing keturunan mastif Inggeris, dan buldog yang dibawa masuk dari Great Britain.[3] Bullenbeisser telah bekerja sebagai anjing pemburu selama berabad-abad, digunakan dalam pengejaran beruang, babi hutan, dan rusa. Tugasnya adalah untuk menerkam mangsa dan menahannya sehingga pemburu tiba. Pada tahun-tahun kemudian, anjing lebih pantas digemari dan bullenbeisser lebih kecil dibiakbakakan di Brabant, di Belgium utara. Bullenbeisser Brabant pada umumnya diterima sebagai leluhur langsung bagi bokser kini.[26]

Pada tahun 1894, tiga orang Jerman, Friedrich Robert, Elard König, dan R. Höpner, berkeputusan untuk menstabilkan baka ini dan mempamerkannya dalam pertunjukan anjing. Ini dilakukan di Munich pada tahun 1896 dan pada tahun sebelum itu mereka mengasaskan kelab bokser pertama, iaitu Deutscher Boxer Club. Kelab itu terus menerbitkan piawaian baka bokser pertama pada tahun 1904, yakni dokumen terperinci yang tidak banyak diubah sejak itu.[27]

Bokser dalam pameran bokser pertama, Munich, tahun 1896

Baka ini diperkenalkan ke negara lain di Eropah pada lewat abad ke-19 dan ke Amerika Syarikat pada sekitar permulaan abad ke-20. AKC mendaftarkan bokser pertama pada tahun 1904,[3] dan mengiktiraf juara bokser pertama, Dampf vom Dom, pada tahun 1915. Semasa Perang Dunia Pertama, bokser dipilih untuk kerja ketenteraan, dengan bertindak sebagai anjing utusan berharga, pembawa pek, anjing penyerang, dan anjing pengawal.[3] Bokser tidak menjadi popular di seluruh dunia sehingga selepas Perang Dunia Kedua. Setelah dibawa pulang oleh askar yang pulang, anjing ini diperkenalkan kepada khalayak lebih ramai dan tidak lama kemudian menjadi kegemaran sebagai teman, anjing pertunjukan, dan anjing pengawal.

Genealogi awal[sunting | sunting sumber]

Carta genealogi awal bokser
Flocki, bokser pertama

Warganegara Jerman George Alt, seorang penduduk Munich, mengawankan seekor anjing betina berwarna brindle yang diimport dari Perancis bernama Flora dengan seekor anjing tempatan dengen keleluhuran yang tidak diketahui, yang dikenali hanya sebagai "Boxer", lalu menghasilkan seekor jantan perang kekuning-kuningan dan putih, bernama Lechner's Box sempena pemiliknya.

Anjing ini dikawankan dengan ibu sendiri, Flora, dan salah seekor anaknya ialah seekor betina yang dipanggil Alt's Schecken. George Alt mengawankan Schecken dengan seekor buldog bernama Dr. Toneissen's Tom untuk menghasilkan anjing yang ketara dalam sejarah, Mühlbauer's Flocki. Flocki ialah bokser pertama yang memasuki Buku Pembaka Jerman selepas memenangi pertunjukan yang tersebut di atas untuk anjing Santo Bernard di Munich pada tahun 1896, yang merupakan acara pertama yang mempunyai kelas khusus untuk bokser.[26][27]

Anjing betina putih Ch. Blanka von Angertor, iaitu saudari kepada Flocki, malah lebih berpengaruh apabila dikawankan dengan Piccolo von Angertor (cucu kepada Lechner's Box) untuk menghasilkan anjing betina yang kebanyakannya berwarna putih (warna-warni) Meta von der Passage, yang, walaupun hanya serupa sedikit dengan piawaian bokser moden (fotograf-fotograf awal menggambarkannya sebagai anjing yang terlalu panjang, berbelakang lemah, dan bermuka rendah), dianggap sebagai ibu kepada baka ini.[28][29] John Wagner, dalam The Boxer (yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1939) mengatakan yang berikut mengenai anjing betina ini:[30]

Meta von der Passage memainkan peranan paling penting antara lima ekor leluhur asli. Susur galur hebat kami bagi induk-induk jantan kesemunya dijejaki terus kepada betina ini. Ia bertubuh besar, rendah ke tanah, berwarna-warni brindle dan putih, kurang rahang bawah, dan sangat berbibir. Sebagai betina yang membiak, hanya sedikit dalam mana-mana baka yang dapat memadani rekodnya. Ia secara tekal melahirkan anak-anak anjing daripada jenis mengagumkan dan dengan kualiti jarang. Anak-anak anjingnya yang dibapai oleh Flock St. Salvator dan Wotan mendominasi semua pedigri masa kini. Digabungkan dengan anak-anak Wotan dan Mirzl, anjing-anjing ini menghasilkan baka bokser.

Nama baka[sunting | sunting sumber]

Nama "Boxer" kononnya diterbitkan daripada kecenderungan baka ini untuk bermain dengan berdiri dengan tungkai belakangnya dan "bertinju" ("boxing") dengan kaki hadapannya.[3] Menurut Pet Owner's Guide to the Boxer ("Panduan Pemilik Haiwan Peliharaan untuk Bokser") karya Andrew H. Brace, teori ini ialah penjelasan paling tidak munasabah.[28] Beliau mendakwa, "bangsa yang sungguh diselubungi nasionalisme tidak mungkin akan memberi salah satu baka paling masyhurnya nama yang begitu jelas diinggeriskan".

Bukti linguistik dan sejarah Jerman menemukan sumber bertulis terawal untuk perkataan Boxer pada abad ke-18, iaitu dalam teks dalam Deutsches Fremdwörterbuch ("Kamus Kata Asing Jerman"),[31] yang memetik seorang pengarang bernama Musäus dari tahun 1782 yang menulis "daß er aus Furcht vor dem großen Baxer Salmonet ... sich auf einige Tage in ein geräumiges Packfaß ... absentiret hatte". Pada masa itu, ejaan "Baxer" menyamai "Boxer". Kedua-dua kata kerja itu (boxen [Bahasa Melayu "bertinju, bertumbuk"]) dan kata nama itu (Boxer) merupakan perkataan umum bahasa Jerman seawal lewat abad ke-18. Istilah Boxl, yang juga ditulis Buxn atau Buchsen dalam dialek Bavaria, memaksudkan "seluar pendek (kulit)" atau "seluar dalam". Istilah Boxerl yang berbunyi sangat serupa, juga daripada dialek Bavaria, ialah istilah pemanis untuk Boxer.[32] Lebih selari dengan fakta sejarah, Brace menyatakan bahawa banyak teori lain mungkin menjelaskan asal usul nama baka itu. Antara teori-teori itu, beliau lebih terdorong kepada yang mendakwa bahawa bullenbeisser (Brabant) yang lebih kecil juga dikenali sebagai Boxl dan bahawa Boxer hanyalah terbitan daripada perkataan itu.[32]

Ada teori selari yang berdasarkan hakikat bahawa sekumpulan anjing dikenali sebagai Bierboxer di Munich menjelang masa perkembangan baka ini. Anjing-anjing ini merupakan hasil daripada campuran bullenbeisser dengan baka-baka serupa lain. Bier ("bir") mungkin merujuk Biergarten, taman bir tipikal Munich, restoran ruang terbuka yang didatangi oleh orang ramai yang membawa anjing mereka bersama. Nama gelaran "deutscher Boxer" ("bokser Jerman") berasal daripada Bierboxer dan Boxer juga mungkin terbitan daripada Bierboxer atau singkatan daripada deutscher Boxer.[33]

Kupasan daripada buku The Complete Boxer oleh Milo G Denlinger menyatakan:

Nama "Boxer" telah didakwa digunakan secara berseloroh oleh seorang perantau Inggeris yang memerhatikan kecenderungan anjing itu untuk menggunakan kakinya dalam pertempuran. Ini kelihatannya mustahil. Sebarang tindakan sedemikian mungkin akan menyebabkan tungkai digigit dengan teruk jika tidak patah. Sebaliknya, seorang pembiak baka Jerman yang berpengalaman selama 40 tahun menyatakan secara positif bahawa Boxer tidak menggunakan kakinya, kecuali untuk cuba memadam nyalaan kecil seperti mancis menyala. Tetapi Boxer memang bertinju dengan kepalanya. Ia akan memukul (bukan menggigit) kucing dengan muncungnya dengan cukup kuat untuk memengsankan [kucing itu] dan ia akan bertinju dengan bola dengan hidungnya. Atau mungkin, oleh sebab kamus Jerman menterjemahkan Boxer sebagai "pejuang hadiah", nama itu dianugerahkan sebagai penghargaan kualiti pertempuran baka itu dan bukannya kerana tekniknya.

Boxer juga merupakan nama seekor anjing yang dimiliki oleh John Peerybingle, watak utama dalam buku terlaris tahun 1845 The Cricket on the Hearth oleh Charles Dickens yang merupakan bukti bahawa "Boxer" umumnya digunakan sebagai nama anjing menjelang awal abad ke-19 sebelum pengasasan baka ini menjelang penghujung abad sama.

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Seekor anak bokser sihat

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 11.3 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[34]

Isu kesihatan utama yang kepadanya bokser terdedah termasuk kanser, keadaan jantung seperti stenosis aorta dan kardiomiopati ventrikel kanan aritmogenik (yang dipanggil "kardiomiopati bokser"),[35] hipotiroidisme, displasia pinggul, dan mielopati degeneratif dan epilepsi; keadaan lain yang mungkin terlihat merupakan volvulus pendilatan gastrik (juga dikenali sebagai kembung), masalah usus, dan alahan (walaupun ini mungkin lebih berkaitan dengan diet berbanding dengan baka).[36][37] Entropion, iaitu malformasi kelopak mata yang memerlukan pembedahan pembetulan, kadang-kadang terlihat, dan sesetengah susur galur mempunyai kecenderungan terhadap spondilosis deformans, iaitu percantuman spina,[38] atau distosia.[39] Keadaan lain yang kurang umum tetapi berlaku dengan lebih kerap pada bokser berbanding dengan baka lain merupakan kolitis ulseratif histiosisis (kadang-kadang dipanggil kolitis bokser), iaitu jangkitan E. coli invasif,[40] dan ulser kornea indolen, yang kerap dipanggil ulser mata bokser.

Kebimbangan kesihatan yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan bokser ialah Penyakit Buah Pinggang Juvenil Bokser (JKD), yang melibatkan buah pinggang yang tidak berkembang secara normal semasa gestasi dan membawa kepada kegagalan buah pinggang kronik.[41][42] JKD paling kerap didiagnosis pada anjing di bawah usia 3 tahun dan kerap lebih awal daripada ini pada anak anjing sebelum usia 12 bulan. Terdapat bukti kukuh untuk mencadangkan bahawa JKD ialah keadaan terwarisi pada bokser dengan penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Ohio untuk menentukan mutasi gen, serta kerja lain secara berasingan oleh UK Boxer Breeder Council.

Kira-kira 22% anak anjing mati sebelum mencapai umur tujuh minggu.[43] Lahir mati ialah punca kematian paling kerap, diikuti oleh jangkitan. Mortaliti akibat jangkitan meningkat dengan ketara dengan peningkatan pembiakbakaan dalam.[43]

Menurut tinjauan kesihatan The Kennel Club, kanser menyumbang kepada 38.5% daripada kematian bokser, diikuti oleh usia lanjut (21.5%), masalah jantung (6.9%), dan isu berkaitan dengan gastrousus (6.9%). Baka ini khususnya terdedah kepada tumor sel masta, iaitu kanser sistem imun.[44] Jangka hayat median ialah 10.25 tahun.[45] Pembiak baka bertanggungjawab menggunakan ujian tersedia untuk menyaring ternakan pembiakbakaan mereka sebelum pembiakbakaan, dan dalam sesetengah kes sepanjang hayat anjing berkenaan, dalam usaha untuk meminimumkan kejadian penyakit ini pada generasi akan datang.[46]

Sebagai baka atletik, senaman dan pelaziman betul adalah penting untuk kesihatan berterusan dan kelanjutan usia bagi bokser.[3] Perhatian mesti diberikan untuk tidak menyenamkan anjing muda secara berlebihan kerana ini mungkin merosakkan tulang yang sedang membesar, tetapi sesetelah matang, bokser dapat menjadi teman cemerlang untuk joging atau berlari. Oleh sebab kepala brakisefaliknya, ia tidak berprestasi baik dengan haba tinggi atau kelembapan tinggi, dan akal patut diutamakan apabila menyenamkan bokser dalam keadaan-keadaan ini.

Pemakanan[sunting | sunting sumber]

Bokser memerlukan banyak senaman, yang bermaksud bahawa dietnya patut mengandungi kalori berkualiti tinggi. Sumber utama kalori ini mestilah protein haiwan tanpa lemak, yang termasuk ayam, ayam belanda, kambing, dan ikan tanpa lemak.[47] Semasa menjalani diet berkalori tinggi, pemilik patut mengambil kira jumlah hidangan ganjaran yang diberikan kerana ini cenderung menyebabkan obesiti.[3] Pemilik patut mengambil kira nisbah makanan dengan snek yang dimakan oleh bokser berkenaan apabila menentukan bilangan hidangan ganjaran yang boleh diterima.[47] Sesetengah snek sihat termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran mentah.[47]

Bokser juga terdedah kepada masalah gigi, yang meningkatkan kerentanannya terhadap nafas berbau; makanan anjing kering yang besar dan sukar dikunyah meningkatkan kemungkinan penanggalan plak.[48] Plak juga dapat dikeluarkan oleh serat kasar dalam kibble, yang mempunyai struktur boleh lentur yang meningkatkan waktu kunyah.[49] Makanan anjing kering kerap bersalut dengan polifosfat, yang selanjutnya mengurangkan pembentukan plak dengan menghalang penghasilan kalsium di dalam air liur.[48] Pengeluaran bau dari mulut bokser mungkin dapat dikurangkan jika gigi dan rongga mulutnya dikekalkan dalam keadaan sihat.

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Seekor bokser di atas bot di Tasik Lanier, Carolina Selatan

Bokser ialah teman ramah dan bersemangat yang popular sebagai anjing keluarga.[3] Kecurigaannya terhadap orang asing, kewaspadaannya, ketangkasannya, dan kekuatannya menjadikannya anjing pengawal yang menggerunkan. Ia kadang-kadang muncul dalam ujian ketangkasan anjing atau ujian kepatuhan anjing dan acara flyball. Haiwan kuat dan cerdas ini juga telah digunakan sebagai anjing khidmat, anjing pembimbing untuk orang kurang upaya penglihatan, anjing terapi, anjing polis dalam unit K9, dan kadang-kadang menggembala lembu atau biri-biri. Keserbagunaan bokser diiktiraf awal-awal oleh pihak tentera yang telah menggunakannya sebagai anjing utusan berharga, pembawa pek, dan anjing penyerang dan pengawal semasa peperangan.

Bokser ketara[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: بوکسر جرمن; Jerman: deutscher Boxer; bahasa Inggeris: German boxer
  2. ^ Jawi: بوکسر; Jerman: Boxer; bahasa Inggeris: boxer

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  2. ^ American Kennel Club. "Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris).
  3. ^ a b c d e f g h i j k http://www.akc.org/dog-breeds/boxer/#standard "Get to Know the Boxer" (Inggeris), American Kennel Club, Dicapai pada 8 Januari 2024.
  4. ^ American Kennel Club. "Registration Statistics" (dalam bahasa Inggeris).
  5. ^ "Boxer Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  6. ^ The Worldwide Boxer. "The Boxer Head" (dalam bahasa Inggeris).
  7. ^ American Boxer Club Illustrated Standard. "The Boxer Bite" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Oktober 2006. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  8. ^ "How People Perceive Dogs With Docked Tails and Cropped Ears". Psychology Today (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Januari 2024.
  9. ^ Bruce Cattanach. "Genetics Can Be Fun" (dalam bahasa Inggeris).
  10. ^ American Veterinary Medical Association. "Ear Cropping and Tail Docking of Dogs" (dalam bahasa Inggeris).
  11. ^ "The Boxer and Tail Docking". www.pedigree.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Januari 2024.
  12. ^ Sheila Schmutz: Boxer Markings (Inggeris) Diarkibkan 8 September 2017 di Wayback Machine
  13. ^ "Position statements - black Boxers" (dalam bahasa Inggeris). American Boxer Club. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  14. ^ "Boxer Club of Canada Code of Ethics" (dalam bahasa Inggeris).
  15. ^ Cattanach, Bruce. "White Boxers and Deafness" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Ogos 2006. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  16. ^ R.D. Conrad & Ann Gilbert. "Coat Colors in Boxers and the American Boxer Club, Inc" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Oktober 2007. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  17. ^ Claudia Moder, Green Acres Boxer Rescue of WI. "A Boxer is a Boxer is a Boxer: Deaf Whites in Rescue" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2011. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  18. ^ Nielen, A. L. J.; Van Der Gaag, I.; Knol, B. W.; Schukken, Y. H. (1998). "Investigation of mortality and pathological changes in a 14.month birth cohort of boxer puppies". Veterinary Record (dalam bahasa Inggeris). 142 (22): 602–606. doi:10.1136/vr.142.22.602. PMID 9682419. S2CID 35709645.
  19. ^ a b "A "White" Paper" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). AKC gazette. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 27 Mei 2014. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  20. ^ "A proposal for the betterment of our breed" (dalam bahasa Inggeris). American Boxer Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mac 2016. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  21. ^ "1938 AKC Boxer Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Julai 2011. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  22. ^ a b Karla Spitzer (2006). The Everything Boxer Book (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Avon, Massachusetts, Amerika Syarikat: F+W Publications, Inc. m/s. 174–175. ISBN 1-59337-526-3.
  23. ^ a b Joan Hustace Walker (2001). Training Your Boxer (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: Barron's Educational Series, Inc. m/s. 7, 11, 16–17. ISBN 0-7641-1634-7.
  24. ^ Abraham, Stephanie (Julai 1994). "Your Boxer's IQ: Breaking The Code" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Boxer Club/AKC Gazette. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 25 Februari 2012. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  25. ^ "Boxer Disposition and Temperament" (dalam bahasa Inggeris). Boxer-dog.org. 24 Mei 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 September 2009. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  26. ^ a b John Wagner. "Short History of the Boxer Breed" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Januari 2024.
  27. ^ a b Anne Rogers Clark and Andrew H. Brace, penyunting (1995). The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris) (ed. 1st). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book house. m/s. 140–142. ISBN 0-87605-624-9. OCLC 32697706.
  28. ^ a b Brace, Andrew H. (2004). Pet Owner's Guide to the Boxer (dalam bahasa Inggeris). Interpet Ltd. ISBN 1-86054-288-3.
  29. ^ Wagner, John (1939). The Boxer (dalam bahasa Inggeris).
  30. ^ Wagner, John (1950). The Boxer (dalam bahasa Inggeris). m/s. 47.
  31. ^ Strauss, Gerhard; Kämper-Jensen, Heidrun; Nortmeyer, Isolde (1997). Deutsches Fremdwörterbuch Bd. 3 (dalam bahasa Jerman). Berlin, Jerman: de Gruyter; Auflage: 2., vollst. neubearb. Aufl. m/s. 468. ISBN 3-11-015741-1.
  32. ^ a b Institut untuk Bahasa Jerman, Mannheim dan Universiti Osnabrück, Institut untuk Sains Linguistik dan Kesusasteraan.
  33. ^ "Chronik des Boxer-Klub E.V. Sitz München" (dalam bahasa Jerman). Boxer-Klub E.V. – Sitz München – Deutscher Boxerklub. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  34. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  35. ^ "Arrhythmogenic Right Ventricular Cardiomyopathy". Genetic Welfare Problems of Companion Animals (dalam bahasa Inggeris). Universities Federation for Animal Welfare. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Februari 2015. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  36. ^ American Boxer Club. "Boxer Health Information" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2006. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  37. ^ American Boxer Club. "Genetic and Suspect Diseases in the Boxer" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 September 2006. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  38. ^ Fred Lanting. "Spondylosis Deformans" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Oktober 2007.
  39. ^ A survey of dystocia in the Boxer breed (Inggeris)
  40. ^ Mansfield, CS; dll. (2009). "Remission of histiocytic ulcerative colitis in Boxer dogs correlates with eradication of invasive intramucosal Escherichia coli". Journal of Veterinary Internal Medicine (dalam bahasa Inggeris). 23 (5): 964–9. doi:10.1111/j.1939-1676.2009.0363.x. PMID 19678891.
  41. ^ Sumner, Helen (18 April 2016). "Juvenile renal disease in a boxer" (PDF). Vet Times (dalam bahasa Inggeris).
  42. ^ Chandler, M. L.; dll. (2007). "Juvenile nephropathy in 37 boxer dogs" (PDF). Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 48 (12): 690–694. doi:10.1111/j.1748-5827.2007.00401.x. PMID 17727634.
  43. ^ a b van der Beek S, Nielen AL, Schukken YH, Brascamp EW (1999). "Evaluation of genetic, common-litter, and within-litter effects on preweaning mortality in a birth cohort of puppies". Am. J. Vet. Res. (dalam bahasa Inggeris). 60 (9): 1106–10. PMID 10490080.
  44. ^ "Mast Cell Tumour". Genetic Welfare Problems of Companion Animals (dalam bahasa Inggeris). Universities Federation for Animal Welfare. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Februari 2015. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  45. ^ "Summary results of the Purebred Dog Health Survey for Boxers" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 6 Februari 2011. Laporan daripada The Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association Scientific Committee
  46. ^ American Boxer Club. "Recommendations for Health Screening of Boxers in Breeding Programs" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Januari 2024.
  47. ^ a b c "How to Feed Your Boxer Dog". Boxer Fan Club (dalam bahasa Inggeris). 15 April 2015.
  48. ^ a b Case, L. P., Daristotle, L., Hayek, M. G., & Raasch, M. F. (2010). Canine and Feline Nutrition-E-Book: A Resource for Companion Animal Professionals (Inggeris). Elsevier Health Sciences.
  49. ^ Grandjean, D; Butterwick, R. (2009). Waltham pocket book of essential nutrition for cats and dogs (Inggeris). [Sumber elektronik] Walthan-on-the-Wolds: Waltham Centre for Pet Nutrition.
  50. ^ "PDSA Dickin Medal" (dalam bahasa Inggeris).