Bukit Aman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Bukit Aman ialah Kompleks Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia. Di sinilah juga pejabat Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan Pengarah-Pengarah PDRM Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Cawangan Khas dan juga Pasukan Petugas Khas. Dari Bukit Amanlah polisi-polisi, arahan-arahan atau perintah-perintah untuk seluruh pasukan polis digubal dan dikeluarkan. Disamping itu, yang penting lagi ialah letaknya Pusat Kawalan Malaysia (Malaysia Control Centre - MCC) yang dapat disifatkan sebagai nadi Negara.

Bukit Aman dulunya dikenali sebagai Bluff Road Hill. Sebelum wujudnya pasukan polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Bluff Road Hill merupakan Ibu Pejabat Pasukan Polis Selangor. Kapten H.C. Syers, Penguasa Polis Selangor telah memindahkan Ibu Pejabat Pasukan Polis Selangor dari Kelang ke Bluff Road kerana pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur di samping adanya pelbagai kemudahan yang memudahkannya mengawal pasukan polis dengan lebih berkesan lagi.

Pada tahun 1903, Police Force Enacment dikuatkuasakan. Undang – undang ini merupakan titik tolak kepada pemusatan pentadbiran polis di Bluff Road. Pesuruhjaya Polis semasa undang – undang ini dikuatkuasakan ialah Kapten H.L Talbot.

Di penghujung tahun 1926 hingga awal tahun 1927, Bluff Road menghadapi tekanan tugas yang berat kerana bah besar melanda seluruh negara. Rakyat meletakkan harapan penuh kepada polis untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda. Bluff Road juga merupakan pusat penggerak usaha polis di Negeri-negeri Melayu Bersekutu sebagai sumber untuk mendapatkan nasihat.

Dalam Perang Dunia Kedua, Bluff Road juga turut mencatat sejarah di mana ia menjadi pusat perancangan pertahanan Inggeris untuk menentang kemaraan tentera Jepun. Bila Kuala Lumpur jatuh, Jepun menjadikan Bluff Road sebagai pusat gerakan tenteranya pula.

Dengan berakhirnya Perang Dunia Kedua, Pasukan Polis Malayan Union dibentuk serentak dengan penubuhan Malayan Union (1964) yang menyatukan semua negeri-negeri Melayu dalam sebuah kesatuan. Bluff Road terus dikekalkan sebagai Ibu Pejabat Pasukan Polis Malayan Union. Kedudukan Bluff Road sebagai pejabat polis diteruskan bila Pasukan Polis Tanah Melayu (1948) dibentuk dan keadaan ini kekal bila PDRM wujud dengan terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 16 September, 1963. Di sinilah terletaknya pejabat Ketua Polis Negara, yang disifatkan sebagai nadi PDRM.

Pusat pentadbiran Polis Bluff Road ini telah diisytiharkan kepada nama Bukit Aman pada 25 Mac, 1975 oleh Bekas Ketua Polis Negara ke - 4, Tun Muhammed Hanif bin Omar

Bukit Aman Lama

Pautan luar[sunting | sunting sumber]