Bakri, Johor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Bukit Bakri)
Bukit Bakri

Bakri atau Bukit Bakri adalah sebuah pekan di Daerah Muar, Johor, Malaysia. Ia terletak sepanjang Jalan Persekutuan 24. Pada 1991, ia mempunyai penduduk seramai 10,000 orang, yang bilangan itu digandakan oleh bancian pada tahun 2000 kepada 20,123 orang. Penduduk Bukit Bakri terkini adalah 30,280 orang. Ia terletak pada latitud 2° 3' U dan garis bujur 102° 40' T.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, bandar ini menjadi tapak pertempuran Tentera Jepun yang mara ke Singapura melalui Parit Sulong dan Kluang. Terdapat banyak perkuburan Islam, Cina, Hindu dan Kristian di bandar Bakri termasuk tanah perkuburan perang bersejarah Jepun dari Perang Dunia Kedua.

Bandar Bakri sebenarnya merupakan sebuah pekan kecil terletak di Batu 6 Jalan Bakri Muar. Ia lebih dikenali sebagai Pekan Bakri. Pekan Bakri dan Bandar Muar atau Bandar Maharani dihubungkan oleh Jalan Bakri yang telah dibina oleh peneroka Kampung Bakri iaitu Haji Mohamad Noh Bin Haji Lebai Muhamad (1850-1923) seorang saudagar raja dari Cerebon pada tahun 1869. Jalan ini kemudiannya diperbaiki dan diluruskan oleh Dato' Bentara Luar Johor, Dato' Mohd Salleh bin Perang pada tahun 1890 dan dinamakan Bakri sempena nama Sultan Abu Bakar. Nama ini diberi sebagai tanda kesetiaan penduduk Bakri yang terdiri dari orang-orang Jawa dan Melayu Pagoh yang mempunyai ikatan tali persaudaraan dengan Orang Kaya Muar. Jalan Bakri sebelum merdeka memegang rekod sebagai jalan terpanjang dan terlurus di Johor yang diukur dan dibina oleh Dato' Mohd Salleh Bin Perang. Jalan ini pernah menjadi kemegahan orang Muar khasnya orang Bakri apabila menceritakan keadaan jalan yang dianggap terbaik di Johor ketika itu. Orang boleh melihat kaki Bukit Bakri di Batu 6 walaupun sejauh 6 batu kerana lurusnya jalan ini.

Sebelum kawasan ini dikenali sebagai Bakri, kampung ini dikenali sebagai Kampung Jawa. Kampung Jawa telah dibuka pada tahun 1869 atas titah Temenggong Abu Bakar kepada Orang Kaya Joned. Orang Kaya Joned telah menyuruh anak angkatnya Hj Mohd Noh bin Hj Lebai Muhamad, seorang saudagar raja dari Cerebon yang kaya berasal dari Jawa dan baru menetap di Muar dengan orang-orangnya menebas hutan dan membuka kampung. Apabila Hj. Mohd Noh mewakafkan sebahagian tanahnya untuk mendirikan Sekolah Melayu di Batu 2 Bakri dan mula dibuka pada tahun 1900, semua kawasan sekitarnya dikenali sebagai Bakri.

Dari Bandar Maharani ke Bakri Batu 3, penduduknya terdiri kaum kerabat Hj Mohd Noh yang mempunyai pertalian dengan Orang Kaya Muar serta kerabat isterinya Tun Zainab atau Tun Hawa bt Engku Muda Mansor dari Pagoh berketurunan kerabat diraja Pahang. Manakala dari Batu 3 hingga ke Batu 5 didiami oleh kaum kerabatnya berketurunan Jawa dari Cerbon dan di Bakri Batu 6, beliau menggalakkan kaum Cina yang bekerja sebagai pelombong bijih dan pekebun mendiami satu kawasan padat yang akhirnya menjadi Pekan Bakri Batu 6 atau Pekan Bakri. Beliau telah menjadi Naib Penghulu tidak bertauliah kepada Orang Kaya Muar dari 1871 - 1915 apabila menyerahkan jawatannya kepada anak sulongnya Hj Long dan beliau meninggal pada 1923.

Koordinat: 2°03′N 102°40′E / 2.050°N 102.667°E / 2.050; 102.667