Bukit Batu Kapal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bukit Batu Kapal merupakan sebuah bukit batu yang dalam kawasan hutan simpan di Kampung Gerdong, Telemong, Hulu Terengganu. Ia mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai satu lagi produk pelancongan berasaskan alam semula jadi dan mitos yang menyelubunginya.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah, ia memiliki bentuk batuan unik seakan sebuah dek kapal yang terkandas, terletak berhampiran puncaknya dengan sebatang anak sungai jernih mengalir di sisi dalam alam belum terusik sudah cukup menjadi tarikan.[1]

Berdasarkan mitos orang kampung, dikatakan kapal berkenaan dimiliki oleh pedagang China dan akibat terkandas dalam tempoh yang lama menyebabkan ia bertukar menjadi batu. Menurut cerita, batu kapal sepanjang 21 meter dan setinggi 4.5 meter itu wujud sejak ratusan tahun dahulu, apabila sebuah kapal besar milik pedagang dari China terkandas pada beting pasir ketika melalui kawasan itu.[2]

Kapal dagang itu dikatakan berurus niaga perdagangan di Kuala Berang, tetapi tersangkut pada beting pasir kerana di situ terdapat sungai besar seperti laut. Walaupun ada usaha menarik keluar kapal itu, namun tidak berjaya hingga pengangkutan berkenaan terus tersadai di situ.

Lama-kelamaan kapal itu bertukar menjadi batu sehinggalah dipanggil batu kapal selain kawasan berkenaan menjadi bukit dan dipenuhi hutan. Begitulah cerita ringkas mengenai wujudnya batu berbentuk kapal di bukit yang berketinggian kira-kira 150 meter terletak di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu.

Mana-mana pihak atau individu yang ingin ke Bukit Batu Kapal, di Kampung Gerdong harus mendapatkan permit masuk daripada Jabatan Perhutanan terlebih dahulu berikutan lokasinya terletak di kawasan hutan simpan.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Bukit Batu Kapal tarikan terbaharu pelancong". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-12-26. Dicapai pada 2018-01-20.
  2. ^ "PELANCONGAN: KEUNIKAN, SEJARAH BUKIT BATU KAPAL JADI TARIKAN RAMAI". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-12-26. Dicapai pada 2018-01-20.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]