Bukit Malawati

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Bukit Melawati)

Bukit Malawati[1] merupakan sebuah bukit berkubu yang terletak di Kuala Selangor, Selangor, Malaysia. Bukit Malawati adalah di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan merupakan tarikan pelancong tempatan yang popular. Kedudukan bukit berkubu ini mempunyai kepentingan strategik bersejarah kerana ia terletak di muara Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka, dengan sudut pandang yang menghadap laut Selat Melaka dan Sumatra, Indonesia. Beberapa peninggalan bersejarah di Bukit Malawati adalah termasuk sebuah rumah api lama serta tinggalan Kota Malawati. Bukit Malawati juga telah dijadikan tempat bersemayam untuk tiga Sultan Selangor yang terawal. Bukit Malawati juga pernah dijadikan tempat bersemayam Sultan Abdul Samad sebelum baginda dipindahkan ke Bukit Jugra di Kuala Langat.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kubu di Bukit Malawati mula dibina oleh orang Melayu tempatan pada awal kurun ke-16 atas kerahan Tun Mahmud Shah dari Melaka. Menjelang akhir abad ke-17, peneroka Bugis mula bertapak di pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu dan menabalkan Raja Lumu sebagai Sultan Selangor pertama pada tahun 1742. Berikutan pertabalan itu, baginda menobatkan dirinya Sultan Salahuddin Shah. Pada tahun 1778, Sultan Ibrahim Shah yang menggantikan Raja Lumu lantas mengerahkan kubu berkenaan diperkukuhkan lagi sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi Kuala Selangor daripada kemungkinan serangan Belanda. Namun, Kuala Selangor tetap jatuh ke tangan tentera Belanda apabila mereka menyerang kubu itu pada tahun 1874. Diketuai oleh Dirk van Hogendorp, kempen sengit itu dilakukan sebagai balasan terhadap beberapa siri serangan yang dilancarkan oleh sekutu Sultan Ibrahim, Raja Haji Fisabilillah, terhadap kubu A Famosa di Melaka yang merupakan kubu jajahan Belanda pada masa itu. Walaupun Raja Haji terbunuh dalam pertempuran berkenaan, Belanda tetap ingin membalas dendam terhadap Sultan Ibrahim Shah kerana tindakannya memberi sokongan tentera laut kepada Raja Haji. Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) kemudiannya menghantar armada kapal mereka ke Kuala Selangor untuk menyerang Sultan Ibrahim Shah. Armada VOC yang diketuai van Hogendorp itu membedil kubu Bukit Melawati bertubi-tubi dengan meriam kapal dari kawasan perairan selama dua minggu. Tentera Sultan Ibrahim Shah terpaksa mundur ke arah kawasan hutan yang berhampiran. Sultan Ibrahim Shah sendiri melarikan diri ke arah Bernam, dan seterusnya ke Pahang. Berikutan pelariannya, pihak Belanda berjaya menawan kubu itu. Mereka menamakannya Fort Altingburg sebagai penghormatan kepada Willem Arnold Alting yang merupakan Gabenor Jeneral Hindia Belanda dari 1780 hingga 1797. Sultan Ibrahim Shah kembali pada tahun 1785 untuk menawan semula kubu itu dengan bantuan itu saudaranya, Dato' Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Kubu itu akhirnya musnah apabila Perang Kelang tercetus.

Ciri Keistimewaan[sunting | sunting sumber]

Bukit Malawati terletak berhampiran tarikan pelancong lain, seperti Taman Kelip-kelip Kampung Kuantan dan Taman Alam Semula Jadi Kuala Selangor. Bukit Malawati juga mempunyai beberapa tarikan popular termasuk kereta api, makam diraja dan muzium.

Di antara ciri-ciri menarik yang terdapat di atas Bukit Malawati termasuk:

Di bahagian bawah pula terdapat :

Rumah Api Kuala Selangor[sunting | sunting sumber]

Bangunan yang turut dikenali sebagai Rumah Api Altingsburgh itu pada asalnya dibina oleh pihak penjajah Belanda pada tahun 1794. Ia diubah suai secara meluas oleh pihak penjajah British pada tahun 1907 sebelum dibuka semula secara rasmi pada tahun 1910. Rumah api itu masih berfungsi sepenuhnya dan kini dianggap sebagai salah satu tarikan istimewa Bukit Malawati. Rumah api yang berukuran 83 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat itu beroperasi menggunakan tenaga elektrik. Ia berupaya memutar dan menyuluhkan pancaran cahaya yang kuat yang boleh dilihat sejauh 56 kilometer. Suluhan cahaya itu dipancarkan sebanyak dua kali pada setiap 15 saat.

Batu Hampar[sunting | sunting sumber]

Batu Hampar yang berukuran 5x5x1 kaki persegi ini merupakan sebuah batu besar yang diletakkan di sebelah barat halaman Bukit Malawati. Menurut sejarah tempatan, batu ini digunakan untuk tujuan hukuman mati, di mana pengkhianat Sultan akan dihamparkan di atas permukaan ratanya untuk dipancung. Di samping itu, menurut lagenda tempatan, Sultan Selangor yang keempat iaitu Sultan Abdul Samad sering menghabiskan waktu petangnya duduk termenung di atas batu tersebut sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.

Kota Malawati[sunting | sunting sumber]

Meriam dipasang di keliling kubu untuk mengukuhkan lagi kota yang dibina oleh penduduk kampung semasa pemerintahan Sultan Selangor kedua, Sultan Ibrahim Shah pada abad ke-18.

Muzium Sejarah Kuala Selangor[sunting | sunting sumber]

Tidak jauh dari rumah api terdapat sebuah muzium tempatan yang mempamerkan koleksi peninggalan bersejarah dan artifak termasuk pelbagai jenis senjata purba, diorama, spesimen mata wang lama dan lain-lain lagi. Pengunjung boleh mempelajari tentang sejarah tempatan Kuala Selangor, termasuk penempatan awal, budaya nelayan tempatan dan sejarah perdagangan daripada pameran berkenaan.

Perigi Beracun[sunting | sunting sumber]

Sejarah tempatan mendakwa perigi beracun ini digunakan untuk menyeksa pengkhianat. Pelaku salah diletakkan di dalam perigi berkenaan yang berisi dengan air yang dicampur dengan bahan perengsa, seperti lateks dan pucuk rebung yang mencapai paras dagu sebagai hukuman. Kini, pelawat yang datang berkunjung boleh melihat perigi itu dengan lebih dekat. Pergi itu telah ditutup dengan jeriji besi untuk keselamatan pelawat bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini.

Makam Diraja[sunting | sunting sumber]

Makam Diraja ini merupakan tempat bersemayam tiga Sultan Selangor yang terawal, iaitu Sultan Salahuddin Shah, Sultan Ibrahim Shah, dan Sultan Mahmud Shah. Kawasan ini ditutup kepada khalayak awam.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Hakcipta Terpelihara 2013 © Majlis Daerah Kuala Selangor". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-05-26. Dicapai pada 2015-08-02.