CETREE

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga atau Centre For Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) telah mula beroperasi sejak 2 Oktober 2000 dan dirasmikan pada 29 Julai 2002.

CETREE telah diwujudkan daripada hasil perbincangan dan kerjasama antara kerajaan Malaysia bersama kerajaan Denmark di dalam bidang tenaga diperbaharui yang bermula seawal tahun 90-an. Hasil daripada kerjasama ini, ia telah dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan bahawasanya perlu diwujudkan sebuah pusat yang dapat memberi pendidikan dan latihan selain memainkan peranan utama di dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai peranan tenaga yang diperbaharui dan kecekapan tenaga kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi, sekolah dan orang awam di Malaysia.

Hasil daripada persetujuan ini, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah menandatangani perjanjian bersama dengan kerajaan Denmark (melalui Danish Cooperation for Environment and Development –DANCED). Melalui perjanjian ini, Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik sebagai badan yang melaksana aktiviti CETREE selain menawarkan ruang pejabat, fasiliti latihan dan kakitangan yang pakar mengikut kepakaran tertentu. Selain itu, kerajaan Denmark juga memberi peruntukan pembiayaan kewangan melalui geran bagi pelaksanaan aktiviti–aktiviti CETREE selama 30 bulan, bermula Oktober 2000 sehingga tahun 2003. Penambahan pembiayaan kewangan bagi setahun lagi telah dipersetujui oleh kerajaan Denmark yang dilanjut sehingga Mac 2004.

Bermula pada April 2004 sehingga kini pembiayaan kewangan CETREE telah disalurkan oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Selain itu, usul penubuhan pusat CETREE peringkat kebangsaan juga disebut dalam plan Rancangan Malaysia Ke Lapan seperti tercatat dalam BAB 11 (TENAGA) bahagian 11.37 pada mukasurat 342. Usaha murni ini mendapat sokongan yang padu daripada pegawai-pegawai kerajaan, ahli akademik dan para penyelidik.

Sehingga kini, CETREE telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan Tenaga Diperbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT). Antaranya melaksanakan TD dan KT di peringkat sekolah menengah dan rendah, meningkatkan kesedaran awam melalui media massa, pertandingan, pameran dan sebagainya. CETREE juga mempunya sebuah van yang dipanggil unit pameran bergerak. Keunikan van ini adalah melibatkan 2 kaedah iaitu bahan api yang digunakan adalah minyak masak, manakala terdapat perkakasan elektrik seperti sebuah rumah mini yang dibekalkan kuasa elektrik melalui penjanaan kuasa suria. Kesinambungan kepada kejayaan dan kemajuan tersebut, CETREE pada ketika ini di dalam proses membangunkan sebuah bas mini yang memuatkan peralatan canggih serta perkakasan ‘hands on’ bersesuaian dengan keadaan semasa.

Objektif CETREE[sunting | sunting sumber]

Objektif CETREE adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai Tenaga Diperbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT). Untuk mencapai objektif ini, CETREE telah mengaplikasikan program pembelajaran tenaga di peringkat sekolah menengah, universiti dan kalangan tenaga profesional di samping menyebarkan maklumat tentang TD dan KT kepada masyarakat umum.

Kumpulan sasaran[sunting | sunting sumber]

- Sekolah
- Institusi Pengajian Tinggi
- Profesional
- Orang Awam

Komponen CETREE[sunting | sunting sumber]

Komponen aktiviti – aktiviti CETREE adalah terdiri daripada beberapa unit tugasan seperti berikut :

a) Sekolah
Menyediakan program yang berkaitan TD dan KT diperingkat pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah selain kepada guru–guru.

b) Universiti
Menyediakan program yang berkaitan TD dan KT diperingkat pengajian tinggi termasuk kepada pensyarah–pensyarah.

c) Profesional
Menyediakan program yang berkaitan TD dan KT golongan profesional.

d) Kesedaran Awam
Menyediakan saluran maklumat kepada orang ramai mengenai KT dan TD secara elektronik mahupun media massa

e) Teknologi Maklumat dan Web
Menyediakan saluran maklumat dan data kepada orang ramai mengenai KT dan TD secara atas talian serta terkini

f) Pameran Bergerak
Menyebarkan pengetahuan dan kemahiran mengenai KT dan TD kepada semua lapisan masyarakat melalui pameran yang memberikan pengalaman langsung penggunaan KTdan TD

g) Penyelidikan
Menjalan dan menyediakan penyelidikan serta menyalurkan data – data maklumat mengenai penyelidikan yang dijalankan serta mencari kaedah–kaedah terkini bagi penggunaan TD dan KT

Lokasi CETREE[sunting | sunting sumber]

Pada awalnya berada di Makmal Pusat Pengajian Sains Fizik USM dan pada tahun 2002, CETREE telah berubah lokasi ke bangunan EUREKA USM dan kini telah berpindah ke bangunan TORAY-USM, Knowledge Transfer Center.

Laman web rasmi[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]