Campur Tangan Inggeris di Selangor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Raja Abdul Samad menjadi Sultan Selangor[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1859, Raja Abdul Samad bin Raja Abdullah ibni almarhum Sultan Ibrahim Shah, telah dilantik menjadi Sultan Selangor bergelar Sultan Abdul Samad menggantikan ayah saudara baginda almarhum Sultan Muhammad Shah yang telah mangkat pada tahun 1857. Sultan Abdul Samad bersemayam di Bandar Langat yang disebut Bandar Termasa.

Perang Kelang bermula[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1866, seorang cucu almarhum Sultan Muhammad Shah bernama Raja Mahadi bin Raja Sulaiman ibni almarhum Sultan Muhammad Shah, dengan pengikutnya dari Kuala Lumpur dan daerah sekitarnya, iaitu orang Bangkahulu, Batu Bara, Mendahiling dan Rawa yang berasal dari Sumatera, telah menyerang Kelang yang diperintah oleh Raja Abdullah bin Raja Jaafar adik Raja Jumaat Lukut.

Semasa serangan Raja Mahadi, Raja Abdullah telah melarikan diri ke Melaka sementara puteranya Raja Ismail menentang serangan tersebut. Raja Ismail telah dikalahkan oleh Raja Mahadi dan beliau juga telah melarikan diri ke Melaka. Sejak itu Raja Mahadi memerintah Kelang dan beliau membuat perkampungan di Pengkalan Batu.

Sultan Abdul Samad murka[sunting | sunting sumber]

Sebagai pemerintah Kelang, Raja Mahadi telah melaksanakan pungutan cukai keatas bijih timah yang dijual melalui Sungai Klang terutama bijih timah yang dilombong di Kuala Lumpur dan daerah sekitarnya. Walaubagimanapun, Raja Mahadi tidak memberi sebahagian daripada hasil cukai tersebut kepada Sultan Abdul Samad yang sebelum itu menerima $500.00 setiap bulan daripada Raja Abdullah. Ini telah menimbulkan kemurkaan Sultan Abdul Samad terhadap Raja Mahadi.

Wakil Yamtuan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1867, Sultan Abdul Samad telah mengahwinkan puteri baginda iaitu Tengku Arfah dengan seorang anak raja dari Kedah iaitu Tengku Dhiauddin ibni almarhum Sultan Zainul Rashid, iaitu adik kepada Sultan Kedah masa itu, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Tengku Dhiauddin lebih dikenali dengan nama Tengku Kudin.

Pada tahun 1868, Sultan Abdul Samad telah melantik Tengku Kudin sebagai wakil baginda dengan gelaran Wakil Yamtuan bagi menjalankan pentadbiran pemerintahan di seluruh negeri Selangor. Surat kuasa perlantikan Tengku Kudin telah dikurniakan dalam suatu istiadat yang dijalalankan pada 26hb Jun 1868.

Setelah perlantikan tersebut, Sultan Abdul Samad telah memberikan Langat kepada Tengku Kudin. Tindakan baginda ini tidak dipersetujui oleh putera baginda yang bernama Raja Musa, Raja Kahar dan Raja Yaakub yang dikenali juga dengan nama Tengku Alang. Raja Mahadi juga tidak bersetuju dengan tindakan baginda memberikan Langat kepada Tengku Kudin. Disebabkan penentangan tersebut, Tengku Kudin telah baik ke Kedah untuk mengumpulkan orang-orangnya untuk dibawa ke Selangor.

Perang Kelang II[sunting | sunting sumber]

Semasa Tengku Kudin berada di Kedah iaitu pada bulan Ogos 1869, Raja Ismail bin Raja Abdullah bersama dengan angkatannya seramai lebih kurang 100 orang telah datang dari Melaka untuk menyerang Raja Mahadi di Kelang. Perang tersebut bermula dengan angkatan Raja Ismail menyerang dan menawan kubu pihak Raja Mahadi di Kuala Kelang. Selepas itu, angkatan Raja Ismail telah mengepung pihak Raja Mahadi di Kelang. Raja Ismail juga meminta bantuan dari Tengku Kudin.

Setelah dua bulan lamanya angkatan Raja Ismail melaksanakan kepungan tersebut, dalam bulan Oktober 1869, Tengku Kudin dengan angkatannya seramai 500 orang telah tiba dan bersatu dengan angkatan Raja Ismail. Sultan Abdul Samad juga telah menghantar 200 ratus orang askar dari Langat unuk membantu Tengku Kudin dan Raja Iamail melawan Raja Mahadi. Semasa kepungan tersebut, pasukan meriam Tengku Kudin yang diketuai oleh seorang berbangsa Perancis bernama de Fontaine telah membedil kota Raja Mahadi di Pengkalan Batu dengan tidak berhenti-henti.

Setelah enam bulan lamanya kepungan keatas pihak Raja Mahadi dijalankan, pihak Raja Mahadi pun keputusan bekalan makanan. Ini menyebabkan Raja Mahadi lari meninggalkan Kelang dan Kelang pun jatuh ke tangan Tengku Kudin.

Perang Kanching[sunting | sunting sumber]

Semasa angkatan Raja Ismail, Tengku Kudin dan Sultan Abdul Samad mengepung pihak Raja Mahadi di Kelang, berlaku pula pertempuran dekat Bukit Kanching yang terletak tidak beberapa jauh di utara Kuala Lumpur, yang dikatakan berpunca dari pertelingkahan bekenaan jual beli bijih timah. Pertempuran tersebut adalah diantara angkatan Kapitan Cina Kuala Lumpur iaitu Yap Ah Loy bersama angkatan Raja Asal dan Sutan Puasa yang datang dari Kuala Lumpur menyerang pelombong-pelombong bijih timah Cina di Kanching. Dianggarkan seramai 30 orang Cina di Kanching telah dibunuh oleh angkatan Kapitan Yap Ah Loy.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15 - 19, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1985