Cempedak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Cempedak
YosriPokokCempedak.jpg
Pengelasan saintifik
Alam: Plantae
Divisi: Magnoliophyta
Kelas: Magnoliopsida
Order: Rosales
Keluarga: Moraceae
Tribus: Artocarpeae
Genus: Artocarpus
Spesies: A. integer
Nama binomial
Artocarpus integer

Cempedak [cĕm-pĕ-dak] atau campedak merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Buah cempedak banyak dijual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Nama saintifiknya ialah Artocarpus integer[1][2][3] sinonim Artocarpus champeden (Thunb.) Merr., Artocarpus polyphema Pers.). Pokok cempedak turut diperkenalkan ke Queensland. Pokok cempedak cepat tumbuh, dan pokok bersaiz serdahana mampu menghasilkan buah yang banyak. Di Malaysia terdapat spesies liar yang dikenali sebagai pokok Bangkong yang juga boleh dimakan.[4]

Tanaman ini berasal dari Semenanjung Melayu di mana ia menyebar luas mulai dari wilayah Tenasserim di Burma, Thailand, dan sebahagian kepulauan dalam Indonesia termasuk pulau-pulau Sumatera, Jawa (terutamanya di bahagian barat,[5]) Borneo, Sulawesi, Maluku hingga sejauh Papua dan Queensland di Australia.

Pokok ini turut juga memiliki beberapa nama setempat tersendiri - antara lain termasuk bangkong (cempedak hutan, bentuk liar di Malaysia)[6], baroh (Kepulauan Lingga dan Johor), nangka beurit (Sunda), nongko cino (Jawa), cubadak hutan (Minangkabau) dan tiwadak (Banjar).

Botani[sunting | sunting sumber]

Batang dan dedaun[sunting | sunting sumber]

Pokok ini merupakan pokok saka yang boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Ia mempunyai daun ringkas yang kebanyakkannya berbentuk elliptik. Bahagian bawah urat daun (midrib) biasanya dipenuhi dengan bulu-bulu halus. Pangkal daun berbentuk tirus hingga obtus manakala hujung daun kebanyakkannya berbentuk kupsidat

Bahagian atas daun berwarna hijau tua manakala bahagian bawah daun berwarna hijau muda. Terdapat varieti cempedak di mana permukaan atas daun dikatakan sedikit malap manakala terdapat varieti di mana ia kelihatan berkilat. Pokok cempedak hampir menyerupai pokok nangka. Perbezaannya jelas pada hujung tangkai daun di mana pada cempedak terdapat bulu-bulu halus berwarna coklat dihujung tangkai daun manakala pada nangka tiada bulu halus ditemui.

Bunga[sunting | sunting sumber]

Pokok cempedak adalah monoecious di mana bunga jantan dan bunga betina terdapat pada pokok yang sama. Namun begitu, bunga jantan dan betina terdapat dalam jambak yang berlainan - jambak-jambak bunga jantan dan betina terdiri dari gugusan banyak bunga-bunga yang bergabung lalu terbentuk dalam seludang nipis berwarna hijau. Apabila jambak kian membesar, seludang akan mula memecah dan jambak bunga akan terbit keluar. Seludang akan bertukar warna menjadi perang dan kemudiannya akan gugur.

Jambak bunga jantan selalunya tirus dan pendek dengan ukuran sehingga lebih kurang 1.5 sm x 5.5 sm dan terdapat pada hujung ranting serta juga pada dahan pokok. Manakala jambak bunga betina biasanya lebih gemuk dan besar serta hanya terdapat pada dahan pokok sahaja. Bunga jantan, setelah 4-5 hari mengorak akan reput menjadi kehitaman lalu kemudiannya gugur manakala bunga betina akan terus membesar membentuk buah.

Buah[sunting | sunting sumber]

Buah cempedak
Buah cempedak yang telah dikupas

Pokok cempedak menghasilkan buah secara bermusim di mana dalam setahun hanya terdapat satu musim utama. Ini berbedza dengan nangka di mana buahnya tidak bermusim. Buah cempedak dikenali sebagai 'multiple fruit' memandangkan ia terdiri daripada gugusan banyak bunga betina dalam satu jambak. Buah cempedak mengambil masa 100 hingga 120 hari untuk masak setelah bunganya mengorak.

Buah cempedak juga hampir sama dengan buah nangka di mana kulitnya dipenuhi dengan duri-duri halus yang pendek. Walau bagaimanapun, bentuk buah ini membujur panjang dan saiz buah cempedak adalah lebih kecil dari buah nangka.

Penanaman[sunting | sunting sumber]

Pokok ini jarang ditanam secara meluas kerana ia mudah diserang oleh bakteria tertentu seperti Erwinia caratovora di mana dahan pokok yang diserang akan mengeluarkan getah berwarna kehitaman dan akhirnya dahan tersebut akan mati.

Ia juga tidak sesuai ditanam dikawasan yang mudah ditengelami banjir atau tanah yang tinggi kelembapannya. Pokoknya mudah mati pada kawasan sedemikian. Bagi kawasan berpasir seperti tanah bris, pokoknya kurang menghasilkan buah seandainya pengairan dan pembajaan yang kerap tidak dijalankan.

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Dalam pemakanan[sunting | sunting sumber]

Cempedak
Nilai pemakanan per 100 g (3.5 oz)
Tenaga 117.0 kJ (28.0 kcal)
Karbohidrat 25.8 g
- Serabut diet 3.4 g
Lemak 0.4 g
Protein 2.5 g
Air 66.7 g
Besi 1.1 mg (8%)
Peratusan dianggarkan
menggunakan syor A.S. untuk orang dewasa.

Buah ini sedia dimakan baik secara terus mahupun dimasak - misalnya digoreng celur dengan bater yang boleh dihidangkan sebagai minum petang bersama teh atau kopi. Bijinya dapat digoreng, direbus atau dibakar, sebelum dimakan dengan sedikit garam. Buah mudanya, sebagaimana nangka muda, dapat dijadikan sayur.[5]

Di Kalimantan, cempedak atau bahasa Banjarnya tiwadak, selain dikonsumsi daging buah dan bijinya, kulitnya pun dapat diolah menjadi makanan. Kulit cempedak sendiri biasanya dikonsumsi masyarakat luas sebagai salah satu lauk dengan diolah secara dimasak tumis atau digoreng yang dinamakan mandai atau ada juga yang menyebutnya dami. Mandai dibuat dengan cara mengupas kulit buah sampai terlihat putih kemudian direndam dengan air garam untuk mengawetkan dan melunakkan teksturnya. Rendaman dapat dilakukan selama beberapa jam bahkan hingga sebulan. Mandai biasanya dikonsumsi dengan menggorengnya hingga kecoklatan.

Bahagian lain[sunting | sunting sumber]

Kayunya bermutu baik, kuat dan tahan lama sehingga kerap digunakan dalam pembinaan bangunan, perabot atau perahu. Kulit kayunya yang bersegah dapat digunakan sebagai tali manakala getahnya untuk memukat burung. Dari kayunya juga dapat dihasilkan bahan pewarna kuning.[5]

Galeri[sunting | sunting sumber]

Buah cempedak yang telah masak sepenuhnya
Buah cempedak di batang pokok
Buah cempedak yang telah masak sepenuhnya
Buah cempedak sebelum dan selepas dikupas
Buah cempedak selepas dikupas
Buah cempedak dibelah bagi mendedahkan isi di dalam yang mengelilingi setiap biji benih.
Buah cempedak di pasar Cina.
Longgokan buah cempedak dijual di pasar Kalimantan Timur, Indonesia
Gerai menjual buah cempedak

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Senarai pokok Pokok mangga
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • Jabatan Pertanian Malaysia[1]