Cerita Fitnah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Cerita Fitnah (Bahasa Arab: قصة الإفك - "Qiṣṣatul Ifki" atau حديث الإفك - "Hadīth al-Ifk") merupakan sebuah peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad , iaitu pada bulan Syaaban 5H, yang melibatkan isteri baginda sendiri, Aisyah. Cerita yang tersebar luas ini diterukkan lagi dengan ketiadaan bukti yang memihak kepada Aisyah lalu menggemparkan seluruh bandar Madinah hingga baginda sendiri pasrah kepada Allah untuk menunjukkan kebenaran. Cerita yang menyedihkan ini menyebabkan turunnya ayat 11–20 Surah An-Nur.

Perang Bani Mustalaq[sunting | sunting sumber]

Peperangan Bani Mustalaq berlaku pada Isnin, 2 Syaaban, 5 Hijrah. Pada waktu itu, Nabi Muhammad bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustalaq.

Dalam riwayat Imam Muslim, dijelaskan serangan terhadap Bani al-Mustaliq dibuat tanpa amaran. Perkara itu kerana Rasulullah sudah menyampaikan dakwah Islam kepada mereka. Bani itu dianggap berperang dengan orang Islam sejak membantu orang Quraisy Makkah dalam peperangan Uhud. Mereka yang diserang secara mengejut, kebingungan dan tidak mampu melawan dalam tempoh masa yang agak lama.

Daripada peperangan ini, dicatatkan rampasan perang yang diperoleh ialah 1,000 unta dan 5,000 biri-biri. Kira-kira 200 orang ditawan dan ada pendapat yang menyatakan 700 orang.

Dalam peperangan kali ini, Aisyah dan Ummu Salamah telah dibawa bersama Rasulullah ke peperangan Banu al-Mustalaq iaitu setelah dibuat cabutan undi, ini adalah kebiasaan Rasulullah (s.a.w) terhadap isteri-isterinya. [1] Yang menjadi masalah kini ialah penglibatan kaum Munafik dalam peperangan tersebut yang menyertai peperangan dalam keadaan berat hati serta sering menjadi batu api dalam tentera Muslimin.

Tercicirnya Aisyah[sunting | sunting sumber]

Semasa perjalanan pulang, mereka telah singgah di beberapa tempat persinggahan untuk berehat. Ketika itu, Aisyah telah keluar dari kawasan rombongan untuk membuang hajatnya, tiba-tiba kalung yang diperbuat dari Jas Azfar telah terjatuh, maka beliau berpatah balik semula ke tempat pembuangan hajatnya untuk mencari kalungan yang terjatuh.[2]

Pada masa yang sama, rombongan tentera tersebut telah memulakan kembali perjalanan dan sahabat yang bertanggungjawab menuntun kenderaan Aisyah mengangkat howdah atau sekedup (sejenis tandu) Aisyah itu ke atas unta tunggangannya, yang pada sangkaan mereka Aisyah sedang berada di dalam sekedup itu kerana Aisyah tidak terlalu berat. Tambahan pula, ketika itu beliau masih 14 tahun dan sekedup itu diangkat beramai-ramai. Maka, mereka tidak mengetahui ketiadaan Aisyah di dalamnya lalu terus bertolak.[3]

Selepas itu, Aisyah pulang ke tempat perkhemahan dan mendapati bahawa dia telah ditinggalkan keseorangan oleh rombongan tentera baginda. Maka, beliau duduk di tempat asalnya dengan harapan salah seorang dari ahli rombongan menyedari kehilangannya dan mencarinya di situ.[2] Beliau menunggu dalam keadaan ngantuk lalu beliau tertidur. Secara kebetulan, Safwan bin Al-Mu'attil As-Sulami Adh-Dhakwani yang ketinggalan ketika malamnya, telah bertolak ketika menjelang pagi dan dia terlihat kelibat manusia yang sedang tidur dan menghampirinya.

Disebabkan Safwan pernah terlihat muka Aisyah sebelum ini, maka dengan segera dia mengenali Aisyah lalu berkata "Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un" (Sesungguhnya kita daripada Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kita kembali). Terdengar perkataan Safwan itu, lantas Aisyah terjaga lalu mengenakan hijab untuk melindungi auratnya sebagai isteri Nabi. Safwan tanpa berlengah lagi mendudukkan untanya dan menyediakan tempat untuk Aisyah pada unta tersebut. Setelah selesai, Aisyah menaiki unta tersebut sementara Safwan menuntunnya hingga mereka bertemu kembali dengan rombongan yang lain ketika sedang berehat di waktu tengah hari. Selepas ketibaan mereka di kota Madinah, Aisyah telah jatuh sakit selama sebulan. Ketika ini, orang ramai sudah mula menyebarkan khabar angin tentang kebarangkalian yang berlaku ketika Aisyah tertinggal berdua dengan Safwan. Disebabkan Aisyah sakit dan tidak keluar dari rumah, Aisyah tidak mengetahui sebarang perkembangan sehingga perkara ini menjadi parah dan sampai ke pangkuan suaminya sendiri.

Kegemparan di Madinah[sunting | sunting sumber]

Muslihat Kaum Munafiq[sunting | sunting sumber]

Di Madinah, terdapat golongan Munafiq iaitu jenis yang berpura-pura dalam agama Islam. Mereka sebenarnya tidak berpuas hati dengan kekuasaan Islam di Madinah dan pengaruh yang wujud. Maka, golongan Munafiq ini berusaha melaga-lagakan dua golongan yang telah bersatu iaitu golongan Ansar dan Muhajirin dengan cuba pengaruhi kaum Ansar untuk tidak lagi bersekutu dengan kaum Muhajirin, serta meninggalkan Islam dan kaum Muslimin. Mereka mendesak kaum Ansar untuk berhenti memberikan pertolongan kepada Muhajirin kerana sebahagian mereka berkata, berdasarkan yang diceritakan dalam firman Allah:

"Sungguh, jika kita kembali ke Madinah (kembali daripada Peperangan Bani Mustaliq), orang yang kuat pasti mengusir orang yang lemah di sana."

al-Quran 63:8

Abdullah bin Ubay, yang merupakan salah seorang golongon Munafiq di Madinah, telah melihat Aisyah pulang bersendirian tanpa Rasulullah di sisi, malah bersama seorang pemuda asing. Baginya, dia telah jumpa peluang untuk memberikan tamparan kepada Nabi Muhammad dan kaum muslimin. [4][5][6]

Ketika berita tuduhan dan fitnah itu sampai ke telinga umat Islam yang berpandangan bersih dan para sahabat yang terkemuka, mereka telah mengetahui bahawa perkara itu hanyalah rekaan dan fitnah semata-mata. Namun, tuduhan Abdullah bin Ubay telah dibenarkan oleh tiga orang lain iaitu Hassan bin Thabit, Hamnah binti Jahsy dan Mishtah bin Uthathah, padahal Hassan dan Hamnah tidak menyaksikan langsung peristiwa tersebut kerana keduanya tidak menyertai peperangan Bani Mustalaq. Hassan menyebarkan fitnah bermotifkan permusuhan peribadinya dengan Shafwan dan iri hati melihatkan kaum Muhajirin mendapat posisi yang lebih terhormat berbanding dengan kaumnya sendiri di Madinah.[7]

Hamnah binti Jahsy pula ialah seorang saudara perempuan kandung kepada Zainab binti Jahsy, isteri Rasulullah . Beliau sangat mengetahui bahawa Rasulullah lebih menyayangi Aisyah. Maka, untuk menjatuhkan martabat Aisyah di hati Rasulullah dan mengalihkan cinta baginda kepada Zainab, Hamnah menyokong desa-desus yang tersebar mengenai keperibadian Aisyah.[8]

Mishtah pula sokongannya terhadap fitnah dan pembohongan ini tidak dapat dipastikan kerana beliau tidak mempunyai motif yang jelas untuk membenarkan tuduhan ini terutamanya kerana Mishtah itu pernah diasuh oleh Abu Bakar iaitu ayah Aisyah yang merasa kasihan melihatkan keadaan kehidupannya yang memerlukan perhatian. Apatah lagi, beliau masih lagi berhubungan rapat dengan Abu Bakar. Sehingga kini, motif Mishtah masih menjadi tanda tanya kebanyakan sarjana.[9]

Mula tersebarnya fitnah[sunting | sunting sumber]

Setelah sampai di Madinah, Aisyah telah jatuh sakit selama sebulan. Tanpa beliau menyedari, dalam tempoh yang sama, orang ramai sedang menyebarkan kisah yang kononnya beliau bersekedudukan dengan Safwan dalam perjalanan pulang dari penempatan Bani al-Mustalaq.

Pada suatu ketika dalam keadaan Aisyah sedang pulih, Ummu Mistah binti Abu Ruhmi yang menemaninya ketika itu telah secara tidak sengaja membongkarkan cerita kepada beliau. Kisah yang baru didengarinya itu menyebabkan sakitnya itu bertambah berat akibat daripada perasaan terkejut, malu, sedih, kecewa dan tertekan.

Kisah yang tersebar itu memberi kesan kepada Rasulullah sendiri apabila Aisyah sendiri merasakan kedinginan Rasulullah semasa tempoh kesakitan beliau. Terdapat riwayat yang menceritakan kisah sedih antara Rasulullah dengan Aisyah sewaktu tempoh ujian tersebut. Ketika Rasulullah datang berziarah ke rumahnya, dikhabarkan bahawa Rasulullah bertanya dengan suara yang serius tentang khabar Aisyah. Aisyah yang perasan tentang hal itu meminta izin untuk ke rumah ibu bapanya.

Sebaik sahaja sampai di sana, Aisyah bertanya kepada ibunya, Ummu Rumman tentang fitnah yang menimpa dirinya. Ibunya hanya mampu menjawab, "Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah, berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya." Mendengar jawapan ibunya itu, beliau sedar yang tuduhan yang dilontarkan kepada diri beliau amat serius. Maka, Aisyah berterusan menangis pada malam tersebut dan tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya.[10]

Jalan buntu[sunting | sunting sumber]

Setelah beberapa ketika, Rasulullah memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perihal isteri baginda itu. Usamah memberi pertimbangan kepada Rasulullah tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata yang Allah tidak menyulitkan baginda malah menganjurkan bahawa wanita selain daripada Aisyah masih ramai.

Ali mencadangkan kepada baginda untuk bertanya kepada pembantu rumah untuk memberikan keterangan. Lantas Rasulullah memanggil Barirah dan jika dia pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah. Barirah menafikan sebarang perkara tersebut.

Kemudian Rasulullah berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubay bin Salul itu. Dalam khutbah baginda, baginda bertanya siapakan yang ingin menolong baginda dari orang yang sanggup melukai hati keluarga baginda.

Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun dan berkata, "Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu". Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah, penghulu golongan Khazraj, bangun kerana tersinggung dengan kata-kata Saad tadi dan menghinanya. Berikutan itu pula, Usaid bin Hudair, sepupu Saad bin Muaz bangun dan menuduh Saad bin Ubadah seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain.[11]

Rasulullah masih tetap berdiri di atas mimbar sambil menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah diam.

Melihat keadaan itu, Aisyah menangis sepanjang hari. Ketika ibu bapa Aisyah sedang berada bersama Aisyah, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemui beliau. Setelah diizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis.

Ketika itu juga, Rasulullah masuk memberi salam, lalu duduk bersama Aisyah. Sejak sebulan iaitu sejak bermulanya fitnah terhadap Aisyah tersebar, baginda tidak pernah berbuat demikian. Rasulullah mengucapkan dua kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda:

"Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya."[12]

Mendengarkan sabda tersebut, ibarat halilintar, Aisyah bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aisyah memohon untuk ayahandanya dan ibundanya untuk membelanya tetapi mereka tidak tahu apa yang harus diperjelaskan.

Aisyah enggan mengulas panjang kerana beliau yakin beliau tidak bersalah. Sambil mengelap air matanya, Aisyah berkata:

"Aku hanya mampu mengatakan seperti yang pernah dikatakan oleh ayah Nabi Yusuf, 'bersabar lebih baik, dan kepada Allah sahajalah aku memohon pertolongan atas apa yang kalian ceritakan.'"[13]

Aisyah yang ketika itu sudah tidak tahu apa lagi hendak dilakukan, beredar ke tempat tidurnya dan berbaring dengan keyakinan bahawa Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah.

Turunnya Wahyu Pembelaan[sunting | sunting sumber]

Kata-kata jawapan Aisyah itu menyebabkan semua yang hadir mendiamkan diri dan terpaku. Kemudian, ketika Rasulullah menapak hendak beranjak pulang, perubahan kelihatan pada wajah baginda dan keadaan baginda pada ketika itu nampak begitu berat dan berkeringat membasahi wajahnya kerana beratnya wahyu yang diterima. Padahal waktu itu adalah pada musim sejuk.

Ketika itu, mulai nampak tanda kegembiraan pada Rasulullah dengan sebenar-benar gembira dan tersenyum. Yang pertama sekali beliau ucapan ialah:

"Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah membebaskan dirimu (dari belenggu fitnah)."[14].

Aisyah yang mendengar ucapan baginda melalui ibundanya menyambut dengan kalimah syukur.[15]

Ayat yang diturunkan pada waktu itu ialah surat An-Nur ayat ke-11 hingga ke-20:

(11) Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
(12) Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
(13) Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
(14) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-uuNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu;
(15) Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
(16) Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".
(17) Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
(18) Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukum-Nya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(19) Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
(20) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihan-Nya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).

al-Quran 24:11-20

Ayat ini lalu disusuli dengan ayat hukum kepada mereka-mereka yang menuduh dan menebarkan fitnah mengenai wanita-wanita muslimah yang suci (Surah al-Nur ayat 23-24).

Hukuman Kepada Pemfitnah[sunting | sunting sumber]

Maka, sebagai pelaksanaan hukum yang telah ditetapkan Allah, golongan yang menyebarkan fitnah dan pembohongan mengenai peribadi Aisyah yang ditangkap ialah Hamnah binti Jahsy, Misthah binti Athathah, Hassan bin Thabit dan lain-lain. Mereka dijatuhi hukuman sebat sebanyak 80 kali sebatan. Walau bagaimanapun, setelah menerima hukuman itu tadi, mereka kembali mendapat kasih sayang daripada Nabi Muhammad terutamanya Hassan bin Thabit kerana hukuman telahpun dijalankan dan masing-masing telah bertaubat. Baginda juga meminta kepada Abu Bakar dan Aisyah agar tidak mengurangkan kasihnya kepada Misthah.[16]

Rujukan Budaya[sunting | sunting sumber]

Kisah Hadith al-Ifk ini diceritakan semula melalui olahan lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza iaitu Nirmala gubahan Pak Ngah, dengan Che' Kem sendiri sebagai penulis liriknya. "Nirmala" yang bermaksud bersih, suci dan tidak ternoda menggambarkan bahawa isteri baginda, Aisyah, yang difitnah ketika itu tidak bersalah.[17] Lirik lagu ini menceritakan kesedihan yang ditanggung Aisyah disamping penceritaan semula Hadith al-Ifk dalam bait-bait susunan lagu. Penulis liriknya sendiri, iaitu Che' Kem mengakui akan kaitan lagu ini dengan kisah Aisyah tersebut.[18]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ * Mustafa Abdul Rahman, Sejarah Perjalanan Hidup Nabi Muhammad, The United Press, Pulau Pinang, 1963.
  2. ^ a b (Inggeris) "Episode 22: The incident of Al-Ifk…". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-03-09. Dicapai pada 2008-02-29. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  3. ^ "Seerah Nabawiyah" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-03-05. Dicapai pada 2008-02-29. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan); Cite has empty unknown parameter: |3= (bantuan)
  4. ^ "Al-Jihad: Istri-Istri Teladan Mujahidah". Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  5. ^ "Dairi Sang Chenoreans...: Aisyah R.A difitnah berlaku curang". Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  6. ^ (Inggeris) "Al-Ifk (the Slander)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-12-20. Dicapai pada 2008-02-29. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  7. ^ al-Nadawi, 2007: 120
  8. ^ Al-Husaini, 2007: 162
  9. ^ al-Nadawi, 2007: 124
  10. ^ http://mutiaraidamanku.blogspot.com/2011/01/hadith-al-ifk-fitnah-terhadap-saidatina_404.html
  11. ^ Sahih Imam Bukhari, Vol 6, Book 60. Hadith 274
  12. ^ www.hadices.com/malay/1501to1600.doc
  13. ^ al-Husaini, 2007: 165
  14. ^ Ahmad Khalil Jam’ah, 2002:244
  15. ^ al-Husaini, 2007: 166
  16. ^ al-Husaini, 2007: 168
  17. ^ DBP - Makna Nirmala
  18. ^ [https://ms-my.facebook.com/permalink.php?story_fbid=166121296864552&id=198856463493930