Charles Anderson

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Charles Groves Wright Anderson, V.C.

Leftenan Kolonel Charles Groves Wright Anderson, VC, MC (1897–1988) adalah seorang pegawai tentera Australia yang menempa nama dalam Pertempuran Muar. Selepas menamatkan perkhidmatan sebagai pegawai tentera, Anderson menceburi bidang politik dan dilantik menjadi ahli parlimen Australia.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Anderson dilahirkan di Cape Town, Afrika Selatan pada 12 Februari 1897 dan mendapat pendidikan di Nairobi, Kenya sebelum melanjutkan pendidikan di Brendon College, England.

Pada 13 Oktober 1916, Anderson ditauliahkan sebagai pegawai muda dalam Rejimen King's African Rifles. Selepas pentauliahan sebagai Leftenan, Anderson berjuang bersama-sama Batalion Ke-3 King's African Rifles di dalam kempen Afrika Timur menentang askar Jerman dan askar-askar kolonial Jerman, seperti kumpulan Askari. Untuk keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan, Anderson diberikan anugerah Military Cross

Selepas tamat perkhidmatan tentera semasa Perang Dunia I, Anderson kembali ke Kenya di mana beliau menjadi seorang peladang. Beliau berkahwin dengan Edith Tout dalam bulan Februari 1931. Anderson bersama keluarganya berhijrah ke Australia dalam tahun 1934, di mana mereka mengusahakan sebuah ladang ternakan berhampiran Young, New South Wales. Anderson tidak meninggalkan bidang ketenteraan dan dalam bulan Mac 1939 Anderson menyertai pasukan militia Pasukan Tentera Rakyat (Citizens Military Forces) sebagai Kapten di dalam Batalion ke-56, Rejimen Riverina, Australian Military Forces.

Selepas Perang Dunia II meletus, Anderson menyertai Pasukan Kedua Imperial Australia (Second Australian Imperial Force). Semasa Batalion 2/19 Infantri Australia ditubuhkan, Anderson dilantik menjadi Penolong Pegawai Pemerintah. Dalam bulan Ogos 1941, Anderson dilantik menjadi Pegawai Pemerintah Batalion 2/19 Infantri Australia apabila batalion tersebut dihantar ke Malaya bersama-sama Divisyen ke-8 Australia..

Pertempuran Muar[sunting | sunting sumber]

Anderson diberikan anugerah Victoria Cross untuk kepimpinannya semasa Pertempuran Muar apabila Batalion 2/29 dan Batalion 2/19 dihantar ke Muar untuk membantu pertahanan Briged ke-45 India (45 Briged).

45 Briged mempunyai anggota-anggota yang tiada pengalaman bertempur dan tidak menerima latihan sepenuhnya untuk peperangan di Malaya. Apabila 45 Briged bertembung dengan pasukan elit dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun, Batalion 2/29 dan Batalion 2/19 dihantar untuk mengukuhkan pasukan tersebut.

Batalion 2/29 pergi ke Bakri untuk menguatkan 45 Briged sementara Batalion 2/19 membina pertahanan di Parit Sulong kira-kira 25 kilometer di selatan sebagai pertahanan sekunder. Apabila 45 briged menghadapi masalah menyekat kemaraan Divisyen Pengawal Imperial Jepun, batalion 2/19 mara ke arah Muar untuk membantu Batalion 2/29 dan bergabung semula dengan 45 Briged yang sudah terputus perhubungan.

Anderson dan pasukan Australia itu berjaya bertemu dengan 45 Briged tetapi kemudiannya mendapati bahawa mereka terkepung kerana pasukan Tentera Jepun telah menempatkan pasukan untuk menghalang laluan mereka. Anderson menubuhkan satu perimeter pertahanan dan mengumpulkan di dalamnya saki baki 45 Briged dan juga anggota-anggota dua batalion Australia tersebut. Pasukan ini kemudiannya diberikan gelaran Anderson Force dan memulakan satu pergerakan sambil tempur ke arah pertahanan sekunder yang telah disediakan di Parit Sulong.

Anderson sendiri memusnahkan dua buah kedudukan mesingan Jepun. Apabila Divisyen Pengawal Imperial Jepun cuba menyekat laluan pengunduran mereka, Anderson dan Brigadier Herbert Cecil Duncan melancarkan serangan balas. Duncan terbunuh dalam serangan balas ini. Selepas kematian Duncan, Anderson mengambil pemerintah 45 Briged dan mengarahkan pasukan itu berundur ke Parit Sulong.

Pada 21 januri 1942, Anderson mendapati pasukannya kini sudah terkepung seluruhnya dan menghadapi satu pasukan tentera Jepun yang menghalang laluannya untuk berundur ke arah Parit Sulong. Anderson memutuskan untuk menyerang pada waktu senja, tetapi dalam masa yang sama perlu menangani ancaman serangan oleh kereta kebal Jepun dari arah belakang perimeter pertahanannya. Anderson meminta bantuan artileri dan berjaya memusnahkan sekurang-kurangnya 10 buah kereta kebal Jepun.

Ketiak ini, pasukan pimpinan Anderson sudah di penghujung keupayaan mereka. Bekalan peluru sudah hampir kehabisan sementara ramai anggotanya yang cedera. Pada 22 Januari 1942, Anderson memerintahkan supaya semua kenderaan dan senjata berat dimusnahkan supaya tidak dapat digunakan oleh tentera Jepun, dan mengarahkan pasukannya untuk menyusup keluar daripada kepungan Jepun melalui jalan-jalan kampung supaya tidak tertawan oleh askar Jepun. Dengan cara ini Anderson berjaya membawa sebahagian daripada pasukannya keluar daripada kepungan askar Jepun dan mengelakkan kemusnahan keseluruhan pemerintahannya. Anderson terpaksa mengambil keputusan meninggalkan mereka yang cedera untuk diberikan rawatan oleh Tentera Jepun.

Tindakan beliau berjaya menyelamatkan 271 anggota daripada batalion 2/19 dan 130 anggota daripada Batalion 2/29. Ramai juga anggota dari 45 Briged dapat melepaskan iri daripada kepungan askar Jepun. Anderson diberikan anugerah pingat Victoria Cross untuk keberanian dan kepimpinan luar biasa yang ditunjukkannya semasa Pertempuran Muar, satu-satunya pegawai tinggi Australia yang menerima anugeah tersebut semasa Perang Dunia II. Askar-askar Jepun membunuh dengan kejam askar-askar Australia dan askar-askar India yang terpaksa di tinggalkan. Kejadian ini dikenali sebagai Pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong.

Anderson menjadi tawanan perang pada 15 Februari 1942 apabila Jeneral A. E. Percival mengarahkan Tentera Komanwel di Singapura di bawah pemerintahannya menyerah kalah. Anderson bersama ramai askar-askar yang lain dihantar ke Thailand untuk bekerja membina landasan kereta Burma–Thailand. Kumpulannya dikenali sebagai “Anderson force”. Walaupun kadar kematian dalam pasukannya tinggi akibat penyakit dan salah laku tentera Jepun, Anderson berjaya mempastikan keadaan moral anggota-anggotanya sentiasa tinggi …. “anggota-anggotanya sanggup mengikutinya ke mana sahaja”

Perkhidmatan tentera Anderson tamat pada 21 Disember 1945 dan beliau kembali ke ladangnya di New South Wales.

Akhir Hayat[sunting | sunting sumber]

Charles Anderson menyertai bidang politik dalam tahun 1949 dan memenangi kerusi Parlimen Hume mewakili Parti negara (Country Party) dengan peralihan sokongan sebanyak 18.8%. belai kalah kerusinya dalam pilihanraya umum tahun 1951, tetapi memenanginya semula dalam tahun 1955. Beliau mewakili kawasannya sehingga tahun 1961 apabila beliau tewas dalam pemilihan pilihanraya umum.

Semasa menjadi wakil rakyat, Anderson menyertai Jawatankuasa Bersama Wilayah persekutuan Australia (Joint Committee on the Australian Capital Territory) dan selepas persaraan dari bidang politik dalam tahun 1961, beliau berhijrah ke Red Hill di Canberra. Beliau meninggal dunia pada 11 November 1988.

Pingat Victoria Cross milik Anderson kini dipamerkan di peringatan PeranG Australia (Australian War Memorial), Canberra.