Pekan Cina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Chinatown)
Jalan Petaling, Chinatown di Malaysia

Pekan Cina, (jawi:ڤکن چينا) (Cina: 唐人街, bahasa Inggeris: Chinatown) ialah satu tempat di kawasan bandar yang merupakan perkampungan orang Cina di luar negara majoritinya etnik Cina di China Raya. Pekan Cina terdapat di seluruh dunia, termasuk Asia Timur, Asia Tenggara, Amerika Utara, Australia dan Eropah.

Dahulunya, Pekan Cina yang penuh sesak di kawasan bandar biasanya dielak oleh masyarakat bukan Cina yang memandangnya sebagai kawasan setinggan etnik serta pusat-pusat tidak bermoral dan gaya hidup di mana berkumpulnya "orang-orang asing yang tidak boleh berasimilasi". Kini, banyak Pekan Cina lama dan baru dianggap sebagai pusat-pusat komersial dan pelancongan yang penting.

Kebanyakan Pekan Cina tertumpu pada pelancongan komersial, sementara yang lain merupakan komuniti penempatan dan pekerjaan sebenar; ada juga yang kedua-duanya sekali. Pekan Cina juga terdapat dalam pelbagai bentuk dari kawasan setinggan hingga tapak-tapak moden daripada pembangunan terkini. Dalam sesetengah Pekan Cina, pelaburan baru telah menghidupkan semula kawasan-kawasan yang terbiar dan terjejas yang kemudiannya membangun menjadi pusat-pusat kegiatan ekonomi dan sosial. Adakalanya, ini membawa kepada pemulihan dan pengurangan sifat kecinaan di kawasan ini.

Sesetengah Pekan Cina mempunyai sejarah yang panjang misalnya yang terletak di bandaraya Nagasaki, Jepun, atau Jalan Yaowarat di Bangkok, di mana kedua-duanya diasaskan oleh pedagang Cina lebih 200 tahun dahulu. Pekan Cina, San Francisco, California merupakan Pekan Cina pertama yang didirikan di luar Asia, ketika berlangsungnya Kerubut Emas California yang bermula pada tahun 1848. Bandar-bandar lain di Amerika Utara di mana Pekan Cina didirikan pada pertengahan abad ke-19 merangkumi hampir semua penempatan utama sepanjang Pantai Barat dari San Diego hingga Vancouver.

Menjelang separuh kedua abad ke-19, wujudnya juga Pekan Cina yang sibuk di New York dan Chicago. Penemuan emas di Australia mencetuskan pendirian Pekan-pekan Cina yang agak kecil di bandaraya tersebut, dan penghijrahan orang Cina ke New Zealand dan Afrika Selatan menghasilkan penempatan kecil yang juga bergelar "Chinatown" di sana. Pekan-pekan Cina di Eropah seperti yang terdapat di Jerman, Belanda dan United Kingdom, kebanyakannya lebih kecil dan lebih baru berbanding Pekan-pekan Cina di Amerika Utara. Di Itali, gerakan haluan kanan telah cuba menghadkan penubuhan "Pekan Cina" di beberapa bandaraya. Pekan-pekan Cina lain yang lebih baru, seperti di Las Vegas, Dubai, dan Santo Domingo turut meraih pengiktirafan rasmi.

Chinatown, Melbourne
Pintu besar Pekan Cina Montreal's di mana terdapat restoran-restoran Cina, Jepun, Korea, dan Vietnam dalam kompleks.