Cina Thai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Masyarakat Cina Thai merupakan masyarakat Cina luar negara yang tinggal di Thailand. Statistik rasmi menunjukkan mereka berjumlah 6 juta orang pada tahun 1987 atau lebih kurang 14% penduduk Thailand yang mendakwa mempunyai etnik Cina. Perkahwinan campur dengan orang Thai terutamanya pada masa dulu menyebabkan ramai yang mendakwa etnik Cina dan Thai. Etnik Cina Thai ini banyak tertumpu di kawasan persisir Thailand, terutamanya di Bangkok. Mereka mempunyai jaringan yang kuat pada semua tingkat masyarakat Thai dan memainkan peranan penting dalam perniagaan dan politik.

Lebih kurang separuh dari etnik Cina di Thailand berasal dari Chaozhau di utara Guangdong, berdasarkan dialek Minnan Chaozhou yang digunakan di kalangan etnik Cina di Thailand. Sebahagian kecil dari mereka pula berasal dari imigran Hakka dan Hainan.

Kebanyakan etnik Cina di Thailand fasih berbahasa Thai dan sejumlah besar juga boleh bercakap dalam bahasa Cina. Pada umumnya, etnik Cina menggunakan bahasa Thai sebagai bahasa bekerja dan bahasa Cina digunakan di rumah dan dengan saudara mara. Orang Thai berdarah Cina yang sudah berasimilasi pula selesa berbahasa Thai sebagai bahasa seharian dan kurang mahir dalam bahasa Cina. Dialek Teochew digunakan sebagai bahasa percakapan di antara masyarakat Cina perniagaan terutamanya di Bangkok.

Kefasihan berbahasa Thai di kalangan etnik Cina disebabkan subjek di sekolah yang wajib diajar dalam bahasa Thai, sementara pelajar dari sekolah berbahasa pengantar Cina lebih fasih dalam bahasa Cina. Beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan orang Cina menggunakan bahasa Mandarin untuk berkomunikasi sesama etnik Cina di Thailand.