Daerah Kuala Penyu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Daerah Kuala Penyu
Peta daerah Kuala penyu
Peta daerah Kuala penyu
Lokasi Daerah Kuala Penyu
Negara Malaysia
Negeri Sabah
BahagianPedalaman
Pusat pentadbiranKuala Penyu
Pentadbiran
 • BadanMajlis Daerah Kuala Penyu
 • Pegawai daerahEdmund Teo
Keluasan
 • Jumlah455 km2 (176 batu persegi)
Penduduk
 (2020)[1]
 • Jumlah23,710
 • Kepadatan52/km2 (130/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (WPM)
Nombor platSK
Laman sesawangpdkotamarudu.sabah.gov.my

Kuala Penyu merupakan sebuah daerah di Bahagian Pedalaman, barat negeri Sabah, Malaysia. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Pekan Kuala Penyu. Antara pekan lain yang terdapat dalam daerah ini termasuklah Pekan Menumbok. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan masyarakat Dusun Tatana dan Bisaya.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Nama "Kuala Penyu" berasal daripada lagenda sebiji batu berbentuk seekor mamalia menyerupai penyu yang terbenam di kuala Sungai Sitompok di daerah ini.[2]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Daerah Kuala Penyu terletak di barat negeri Sabah, tepatnya di barat laut Bahagian Pedalaman. Daerah Kuala Penyu hanya bersempadan dengan Daerah Beaufort di selatan dan timur manakala di bahagian utara dan barat merupakan Laut China Selatan. Labuan juga terletak berdekatan dengan pesisir pantai barat daerah ini.

Bentuk muka bumi daerah Kuala Penyu hampir keseluruhannya merupakan dataran rendah dan rata. Titik tertinggi Daerah Kuala Penyu terletak di puncak Bukit Batung yang mempunyai ketinggian mencapai 120 meter.[3] Daerah Kuala Penyu juga mempunyai garis pantai sepanjang 50 kilometer.[2] Sungai terpanjang di daerah ini merupakan Sungai Klias.

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Daerah Kuala Penyu ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Penyu yang berpusat di Pekan Kuala Penyu. Majlis Daerah Kuala Penyu juga mentadbir Daerah Kecil Menumbok yang terletak dalam daerah ini. Daerah Kuala Penyu terbahagi kepada tujuh mukim;

  • Bundu
  • Kerukan
  • Kilugus
  • Mantabawan
  • Mempakul
  • Sitompok
  • Tanjung Aru

Demografi[sunting | sunting sumber]

Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
200061,642—    
201066,374+7.7%
202069,528+4.8%
Sumber: [4]

Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Kuala Penyu ialah seramai 23,710 orang dengan kepadatan penduduk 52 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sederhana.[5] Majoriti penduduk di daerah Kuala Penyu merupakan Bumiputera termasuklah etnik Bisaya, Dusun Tatana, Kedayan, Bajau dan Melayu.[6][1]

Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[5]
Status Bangsa Jumlah
Warganegara Melayu 7,087
Bumiputera lain 15,100
Cina 266
India 15
Lain-lain 169
Bukan warganegara - 1,073
Jumlah 23,710

Agama[sunting | sunting sumber]

Di daerah Kuala Penyu, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 64 peratus diikuti agama Kristian sebanyak 33 peratus dan Agama Buddha sebanyak dua peratus. Agama Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[1]

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Daerah Kuala Penyu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam di sekitar daerah. Terdapat 24 buah sekolah rendah, empat buah sekolah menengah, sebuah hospital daerah, tiga buah klinik kesihatan dan dua klinik desa di sekitar daerah.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
  2. ^ a b Zainul, Mohd Nazllie (10 Mei 2015). "Menjelajahi keunikan Kuala Penyu". Berita Harian. Dicapai pada 16 April 2024.
  3. ^ "Kuala Penyu topographic map, elevation, terrain". Topographic maps (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-04-16.
  4. ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
  5. ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
  6. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan :0 tidak disediakan