Kudat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Daerah Kudat)
Kudat
Transkripsi Lain
Kudat town centre
Bandar Kudat
Mohor rasmi Kudat
Etimologi: Tomborungus (Tomu do Rungus)
Lokasi bandar dan daerah Kudat
Lokasi bandar dan daerah Kudat
Kudat is located in Bumi
Kudat
Kudat (Bumi)
Koordinat: 6°53′N 116°50′E / 6.883°N 116.833°E / 6.883; 116.833Koordinat: 6°53′N 116°50′E / 6.883°N 116.833°E / 6.883; 116.833
Negara Malaysia
Negeri Sabah
BahagianBahagian Kudat
DaerahKudat
Kerajaan
 • BadanLembaga Bandaran Kudat
 • Pegawai DaerahSapdin Ibrahim
 • MPYang Berhormat Dato' Verdon Bin Bahanda (BEBAS) (Kudat)
Keluasan
 • Jumlah1,287 km2 (497 batu persegi)
Penduduk
 (2010)
 • Jumlah29,025
 Populasi di sekitar Kudat sahaja tidak termasuk secara keseluruhan daerah Kudat.
Tamu MingguanRabu
Nombor platSK
Laman sesawangwww.sabah.gov.my/pd.kdt www.sabah.gov.my/lbk/

Kudat ialah sebuah bandar dan daerah di negeri Sabah, Malaysia. Bandar Kudat terletak kira-kira 190km dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu di bahagian utara negeri Sabah berhampiran dengan Tanjung Simpang Mengayau yang merupakan bahagian paling utara pulau Borneo.

Sebagai bandar terbesar di kawasan yang didiami etnik Rungus, Kudat merupakan pusat kebudayaan utama untuk kumpulan etnik tersebut. Selain itu, Kudat merupakan antara kawasan pertama di negeri Sabah yang diduduki oleh orang Cina Malaysia, terutamanya daripada suku Hakka.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Asal-usul Kudat[sunting | sunting sumber]

Sebelum kedatangan penjajah British, kawasan Kudat diberi nama 'Tomborungus' (sebutan asal: Tomu do Rungus) oleh masyarakat Rungus setempat. Terkadang ada yang memanggil Tomborungan berikutan nama Sungai Tomborungan di sebelah Tomu do Rungus (Tomborungus) yang tidak lagi mengalir pada zaman moden. Mengikut cerita orang tempatan, tatkala penjajah British bertanya tentang nama tempat tersebut, penduduk tempatan salah faham dan menganggap bahawa pihak British ingin tahu nama sejenis rumput lalang yang banyak didapati di kawasan tempat kapal British berlabuh tersebut. Rumput tersebut dikenali sebagai kutad dalam bahasa Rungus. Lama-kelamaan, perkataan ini telah menggantikan nama 'Tomborungus' sebagai nama tempat tersebut dan sebutannya berubah kepada 'Kudat'.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pembukaan pekan Kudat[sunting | sunting sumber]

Pemandangan pekan lama Kudat pada tahun 1890

Penghuni asal kawasan Kudat ialah suku kaum Rungus. Mereka menetap dalam rumah panjang di kawasan pedalaman supaya selamat daripada serangan lanun yang kerap berlaku di persisiran pantai.

Pada akhir kurun ke-19, Franz Witti, seorang penjelajah yang bekerja dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB) telah menemui minyak di sebuah tempat yang terletak 26km dari lokasi bandar Kudat moden. Penemuan ini mungkin menjadi salah satu faktor yang mendorong pegawai-pegawai SBUB untuk membuka sebuah pekan di kawasan tersebut.[2] Pekan Kudat telah dibuka dengan rasminya pada 7 Disember 1881. Sejurus selepas itu, pegawai-pegawai SBUB mula membuka tanah di situ dengan bantuan beberapa orang berketurunan Melayu Brunei bagi memastikan Kudat dapat diisytiharkan sebagai ibu negeri Borneo Utara British pada tahun berikutnya. Pihak SBUB turut menandatangani perjanjian damai dengan Temenggung Kurantud (pemimpin masyarakat Rungus Kudat) dan Datu Harun (pemimpin masyarakat Islam Kudat) untuk menjamin ketenteraman yang berterusan di ibu negeri baru itu.

Antara projek awal pihak British di Kudat ialah pembinaan kelab golf pertama di negeri Sabah, yakni Kelab Golf Kudat.[3]

Kemasukan buruh Cina[sunting | sunting sumber]

Kuil Fuk Tek Kung dibina oleh masyarakat Cina Kudat

Selepas pekan Kudat dibuka, fokus SBUB telah beralih kepada kegiatan ekonomi, terutamanya pertanian. SBUB kurang berminat melibatkan orang tempatan dalam kegiatan tersebut, sebaliknya membawa masuk buruh dari China. Hal ini demikian kerana pihak SBUB berpendapat bahawa "nilai produktif dan industri pendatang asing... jauh melebihi orang pribumi Borneo... [dan] tempoh yang lama diperlukan sebelum orang pribumi menjadi aset yang berharga kepada kerajaan negeri seperti pendatang asing".[4] Pada tahun 1882, Gabenor Borneo Utara British, William Cowie, telah meminta Walter Medhurst (yang baru sahaja menjadi Pesuruhjaya Imigresen di China) supaya menghantar buruh Cina ke Borneo Utara British. Medhurst mengumumkan bahawa orang Cina yang ingin bekerja di Borneo Utara British akan dihantar ke situ dengan percuma. Tawaran tersebut telah menggalakkan ramai orang Cina berhijrah ke Borneo Utara British. Kebanyakan daripada mereka menetap di Kudat dan Sandakan kerana bandar-bandar tersebut merupakan bandar terbesar di Borneo Utara British pada masa itu. Sewaktu Medhurst kembali ke United Kingdom pada tahun 1885, seramai 348 daripada 937 penduduk di Kudat merupakan orang Cina. Dalam kalangan 348 orang Cina tersebut, seramai 222 orang bekerja sebagai peniaga.[5]

Kepentingan Kudat menurun secara mendadak selepas Sandakan dijadikan ibu negeri Borneo Utara British yang baru. Walaupun kedatangan pekerja Cina ke Kudat kekal berterusan sehingga ke tahun 1940an, namun kadar kemasukan pendatang baru menjadi semakin perlahan.

Perang Dunia Kedua[sunting | sunting sumber]

Semasa Perang Dunia Kedua, tentera Jepun telah membina sebuah lapangan terbang di Kudat. Mereka tidak membinanya sendiri, sebaliknya mengerah penduduk tempatan untuk kerja pembinaan. Mereka juga membawa masuk pekerja kerahan dari Jawa, Indonesia. Ramai pekerja kerahan, khasnya yang dibawa masuk dari Jawa, terkorban disebabkan kebuluran dan penyakit. Pada tahun 1945, Tentera Udara Amerika Syarikat mengebom lapangan terbang tersebut berkali-kali dengan menggunakan pesawat B-25 Bomber. Lapangan Terbang Kudat yang wujud pada hari ini dibina di lokasi yang sama.

Selepas Perang Dunia Kedua[sunting | sunting sumber]

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Kudat tidak mengalami perkembangan yang pesat kerana kegiatan ekonomi, kebudayaan dan politik bertumpu di Kota Kinabalu (yang pada masa itu dikenali sebagai Jesselton) dan Sandakan. Tambahan pula, sesiapa yang ingin ke Kudat terpaksa menaiki kapal laut sehinggalah jalan Kota Kinabalu-Kudat dibina pada tahun 1960an. Penduduk tempatan kebanyakannya terlibat dalam penanaman pokok kelapa dan mengutip hasil laut. Industri pelancongan di Kudat tidak diberi tumpuan sehingga tahun 1990an, apabila pelancong mula melawat Kudat untuk mendalami budaya dan adat tradisi kaum Rungus.

Kebanyakan bangunan kedai yang dibina di pusat bandar Kudat semasa penjajahan British masih wujud

Pada tahun 2000an, beberapa projek pembangunan telah dilaksanakan untuk mempertingkat taraf infrastruktur di Kudat. Hasilnya, Kudat mendapat beberapa hotel baru, sebuah kompleks sukan, Esplanad Sidek, dan sebatang jalan baru yang menghubungkan bandar Kudat dengan Lebuhraya Pan Borneo. Selain itu, padang golf di Kelab Golf Kudat telah diperbesar kepada 18 lubang.

Demografi penduduk[sunting | sunting sumber]

Etnik[sunting | sunting sumber]

Jumlah penduduk sekitar Kudat[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan statistik jumlah penduduk pada tahun 2010, jumlah penduduk di sekitar Kudat seramai 29,025. Pengiraan jumlah penduduk akan dilakukan pada hari banci pada 7 Julai 2020 untuk mengemaskini maklumat bilangan statistik penduduk terkini.[6]

Berikut merupakan jumlah penduduk di sekitar Kudat pada tahun 2010 mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia;

Jumlah penduduk mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia, 2010[7]
Tahun Melayu Brunei Kadazan/Dusun Bajau Murut Bumiputera Lain Cina India Lain-lain Bukan Warganegara Malaysia Jumlah Keseluruhan
2010 1,626 1,193 10,287 80 10,303 3,005 37 129 2365 29,025
2020 (Akan Datang)

Jumlah penduduk keseluruhan daerah Kudat[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2010, bilangan penduduk di daerah Kudat dianggarkan berjumlah 83,140.[8] Komposisi etnik yang terbesar ialah kaum Rungus yang merupakan salah satu etnik peribumi di bahagian utara Sabah. Kaum Cina membentuk kira-kira 10% daripada jumlah penduduk Kudat dan kebanyakan daripada mereka berketurunan suku Hakka. Selain itu, terdapat juga masyarakat minoriti yang terdiri daripada orang Bajau, Kadazandusun, Murut, Suluk, dan Melayu Brunei. Kawasan Kudat turut dihuni oleh pendatang asing dari Filipina, terutamanya dari kawasan Sulu dan Mindanao. Kebanyakan daripada pendatang Filipina ini merupakan pendatang tanpa izin.

Berikut merupakan jumlah keseluruhan di daerah Kudat pada tahun 2010 mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia;

Jumlah penduduk mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia, 2010[7]
Tahun Melayu Brunei Kadazan/Dusun Bajau Murut Bumiputera Lain Cina India Lain-lain Bukan Warganegara Malaysia Jumlah Keseluruhan
2010 2,489 3,674 17,695 154 45,420 4,928 65 355 8,360 83,140
2020 (Akan Datang)

Jantina[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan jumlah penduduk sekitar Kudat pada tahun 2010 mengikut pecahan jantina seperti berikut;

Jantina[7]
Tahun Lelaki Perempuan Jumlah
2010 14,425 14,600 29,025

Budaya[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Cina Hakka[sunting | sunting sumber]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Hakka di Kudat merupakan antara masyarakat Cina yang tertua di negeri Sabah. Penglibatan orang Hakka di Kudat bermula pada tahun 1880an apabila Walter Medhurst menawarkan perjalanan percuma kepada orang Cina yang ingin bekerja di Borneo Utara British.

Inisiatif ini mendapat sokongan hebat daripada Persatuan Mubaligh Kristian Basel di China. Salah satu ahli persatuan tersebut, iaitu Rudolph Lechler, digelar sebagai 'bapa penghijrahan orang Kristian di China'.[9] Beliau menggalakkan orang Kristian berketurunan suku Hakka di wilayah Guangdong untuk menerima tawaran Walter Medhurst. Kumpulan pendatang Cina yang pertama tiba di Kudat pada tahun 1883 dan membuka petempatan Lau San (Bahasa Cina: 老山; Pinyin: Lǎo Shān; maksud: 'Bukit Lama'). Pada tahun 1889, satu lagi kumpulan pendatang Cina telah tiba dan membuka petempatan Sin San (Bahasa Cina: 新山; Pinyin: Xīn Shān; maksud: 'Bukit Baru').[10] Pendatang-pendatang selanjutnya telah membuka petempatan yang lebih jauh dari pekan Kudat. Petempatan-petempatan tersebut termasuklah Pinangsoo (Tulisan Cina Tradisional: 槟榔樹; Bahasa Hakka: 'Bin long soo'; Pinyin: Bīnláng shù; maksud: 'pokok pinang'), Tamalang, dan Sikuati (Bahasa Cina:: 西瓜地; Pinyin: Xīguā dì). Meskipun kebanyakan daripada pendatang Cina tersebut berketurunan suku Hakka, ada juga di antara mereka yang berketurunan suku Hokkien, Kantonis, dan Hainan.[11]

Gereja Basel di Lau San didirikan oleh pendatang Hakka pada akhir abad ke-19

Pihak SBUB memberi setiap pendatang Cina sebidang tanah seluas 10 ekar dan alat-alat pertanian serta bekalan makanan selama enam bulan selepas ketibaan mereka di Kudat. Pendatang tersebut pula ditugaskan membuka tanah yang diberi dan menggunakan separuh daripada tanah tersebut untuk menanam padi sawah. Mereka dibenarkan menggunakan tanah yang selebihnya untuk tanaman sara diri. Ramai di antara pendatang Hakka tersebut yang menanam ladang kelapa yang luas. Ladang-ladang tersebut masih menjadi ciri utama geografi Kudat pada hari ini. Seluas 5,740 hektar tanah di kawasan Kudat kini digunakan untuk penanaman pokok kelapa, dan seramai 3,000 buah keluarga terlibat dalam pengendalian ladang-ladang demikian.[12]

Zaman moden[sunting | sunting sumber]

Orang Hakka masih merupakan golongan yang penting dalam masyarakat Kudat. Kebanyakan kedai di bandar Kudat dan pekan-pekan lain di serata daerah Kudat (seperti Sikuati dan Matunggong) dikendali oleh orang Hakka. Selain itu, terdapat beberapa nama tempat di kawasan Kudat yang berasal daripada bahasa Hakka, contohnya Lau San, Sin San, Pinangsoo, dan Pakka Choon (Bahasa Cina: 百家村; Pinyin: Bǎijiā cūn; maksud: 'Kampung seratus keluarga'). Begitu juga dengan nama beberapa batang jalan raya di Kudat, seperti Jalan Sak Fu dan Jalan Tai Cheong, yang juga mendapat nama mereka daripada perkataan-perkataan Hakka. Tambahan pula, beberapa batang jalan di bandar Kudat telah dinamakan sempena tokoh-tokoh tempatan yang berketurunan Hakka. Antaranya termasuklah Jalan Wan Siak (dinamakan sempena Leong Wan Siak; tulisan Cina tradisional: 梁萬錫; Pinyin: Liáng Wànxī), Jalan Chin Sham Choi (tulisan Cina tradisional: 陳三才; Pinyin: Chén Sāncái) dan Jalan Lo Thien Chok (tulisan Cina tradisional: 羅天爵; Pinyin: Luó Tiānjué).

Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Budaya Rungus[sunting | sunting sumber]

Program Satu Kampung, Satu Industri telah dilaksanakan di beberapa buah kampung di daerah Kudat berdasarkan kegiatan tradisional penduduk Rungus setempat. Pelancong boleh melawat kampung-kampung tersebut untuk melihat bagaimana penduduk tempatan melaksanakan kegiatan tersebut. Umpamanya, di Kampung Gombizau, pelawat boleh melihat kegiatan pemeliharaan lebah madu dan pemprosesan madu lebah, manakala Kampung Sumangkap terkenal untuk kegiatan penghasilan gong. Kampung Bavanggazo pula mempunyai rumah-rumah panjang yang digunakan sebagai inapan desa (Bahasa Inggeris: homestay) bagi pelawat yang ingin mendalami budaya dan gaya hidup orang Rungus. Para pelancong juga boleh mengalami gaya hidup etnik Rungus di inapan desa Misompuru yang terletak di Kampung Minyak.

Bandar Kudat[sunting | sunting sumber]

Masjid Asy-Syakirin

Industri pelancongan di Kudat banyak bergantung kepada suasananya yang aman dan kedudukannya yang berhampiran dengan pinggir pantai. Pelancong dari seluruh negeri Sabah melawat Kudat untuk membeli hasil lautnya yang segar dan menikmati suasana luar bandar yang tenang. Antara tarikan-tarikan pelancong di pusat bandar Kudat termasuklah Kelab Golf Kudat, Esplanad Sidek, pasar am, dan pasar ikan.

Persisiran pantai[sunting | sunting sumber]

Pantai Bak-Bak

Terdapat beberapa pantai di kawasan Kudat yang merupakan antara pantai yang terindah di negeri Sabah, contohnya Pantai Bak Bak, Pantai Pasir Putih, Pantai Kalampunian, Pantai Torungkungan, Pantai Kelambu, Pantai Pasir Hitam, Pantai Tanjung Bangau, Pantai Tindakon Dazang, Pantai Pulau Balambangan dan Pantai Maliangin.[13] Tambahan pula, Tanjung Simpang Mengayau (yang merupakan bahagian paling utara pulau Borneo) turut terletak di kawasan Kudat.[13]

Pengangkutan[sunting | sunting sumber]

Darat[sunting | sunting sumber]

Kudat merupakan bandar yang paling utara di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo. Lebuhraya tersebut menghubungkan Kudat dengan Kota Kinabalu dan bandar-bandar lain di pantai barat negeri Sabah hingga ke sempadan negeri Sarawak. Antara bandar-bandar tersebut termasuklah Kota Belud, Tuaran, Papar, Beaufort, dan Sipitang. Perjalanan kereta dari Kudat ke Kota Kinabalu mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Udara[sunting | sunting sumber]

Lapangan Terbang Kudat

Lapangan Terbang Kudat terletak ke utara bandar Kudat. Syarikat penerbangan MASwings menyediakan penerbangan dari Kudat ke Kota Kinabalu dan Sandakan. Penerbangan ke Kota Kinabalu mengambil masa 40 minit manakala penerbangan ke Sandakan pula mengambil masa 50 minit.

Laut[sunting | sunting sumber]

Bot di Kudat

Pada bulan Februari 2015, Menteri Tugas-tugas Khas dalam Jabatan Ketua Menteri Sabah, Teo Chee Kang, telah mengumumkan bahawa perkhidmatan feri jenis RO-RO bakal disediakan bagi menghubungkan Kudat dengan bandar Brooke's Point di wilayah Palawan, Filipina.[14] Bagi membolehkan penumpang keluar dan masuk kawasan Malaysia menggunakan feri tersebut, sebuah Pusat Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) telahpun disiapkan. Infrastruktur lain yang berkaitan dengan perkihdmatan feri tersebut sedang dibina.

Asalnya, perkhidmatan feri Kudat-Palawan dijangka bermula pada bulan Mei 2016. Namun, pada bulan April 2016, Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Musa Aman mengumumkan bahawa pelaksanaan pekhidmatan tersebut akan ditangguhkan tanpa tarikh sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penculikan empat orang rakyat Malaysia oleh pengganas Abu Sayyaf dari Filipina di perairan daerah Semporna.[15]

Orang terkenal[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hutton, Wendy: "Sabah Colour Guide: Kudat", Natural History Publications (Borneo), 2003, ISBN 983-812-073-1, p.30.
  2. ^ Hutton, 2003, p.8.
  3. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-05-10. Dicapai pada 2015-08-12.
  4. ^ "A Report on the Census of North Borneo, 1921", London, 1922, p.6. Quoted by Lee Yong Leng, North Borneo: A Study in Settlement Geography, Singapore: Eastern University Press, 1965, p.66.
  5. ^ Danny Wong Tze Ken, The Transformation of an Immigrant Society: A Study of the Chinese of Sabah, London: Asean Academic Press, 1998, p.2.
  6. ^ "Apa itu Banci". www.mycensus.gov.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-06. Dicapai pada 2020-02-14.
  7. ^ a b c "Jumlah penduduk mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia, 2010" (PDF). 2012-02-27. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-02-27. Dicapai pada 2020-03-07.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
  8. ^ "Total population by ethnic group, administrative district and state, Malaysia, 2010" (PDF). Department of Statistics, Malaysia. 2010. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-02-27. Dicapai pada 3 May 2014.
  9. ^ Zhang, Delai: "The Hakkas of Sabah", Sabah Theological Seminary, 2002, ISBN 983-40840-0-5
  10. ^ Hutton, 2003, p.11.
  11. ^ Hutton, 2003, p.13.
  12. ^ Hutton, 2003, p.13.
  13. ^ a b "Feri: Kudat 'pintu masuk' empat tapak warisan dunia". www.utusanborneo.com.my. 2018-01-17. Dicapai pada 2020-03-08.
  14. ^ http://www.theborneopost.com/2015/02/05/kudat-palawan-ferry-service-soon/
  15. ^ http://www.benarnews.org/malay/berita/my-tukarbarangsabah-160406-04062016180822.html

Pautan luar[sunting | sunting sumber]