Darurat Kelantan 1977

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Darurat Kelantan 1977 merupakan sebuah peristiwa darurat yang telah berlaku di Kelantan, Malaysia dari November 1977 hingga Februari 1978. Keadaan darurat tersebut telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kelantan pada ketika itu pada 8 November 1977 atas permintaan kerajaan pusat berikutan kebuntuan politik dan berlakunya rusuhan ganas di Kelantan.[1] Pengisytiharan darurat tersebut merupakan pengisytiharan darurat kelima yang pernah dikuatkuasakan di Tanah Melayu dan Malaysia selepas Darurat Tanah Melayu (1948 - 1961), Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1963 - 1966), Krisis Perlembagaan Sarawak 1966, dan Peristiwa 13 Mei 1969, dan sebelum darurat jerebu di Malaysia pada tahun 1997, 2005 dan 2013, darurat Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya pada tahun 2020, dan Proklamasi Darurat 2021.

Krisis kepemimpinan PAS Kelantan[sunting | sunting sumber]

Menteri Besar Kelantan pada tahun 1977 ialah Mohamed Nasir daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada masa itu dan sejak 1972, PAS merupakan sebahagian daripada Parti Perikatan yang kemudiannya bangkit sebagai Barisan Nasional (BN) pada tahun 1973, yang merupakan parti gabungan kerajaan pusat. Penyertaan PAS dalam gabungan tersebut merupakan usaha Mohd Asri bin Haji Muda dan penyertaan tersebut telah dikuasakuasakan pada 1 Januari 1973.

Ketika tahun 1977, berlaku percanggahan antara Mohd Asri dan Mohamed Nasir yang digemari oleh UMNO, atas siasatan yang dilakukan oleh Nasir dalam urusan kewangan Asri. Hal ini menyebabkan munculnya ketidakpuasan hati dalam PAS terhadap kepimpinan Nasir itu sendiri. Perkara ini membawa kepada pembentangan usul tidak percaya di dewan undangan negeri yang 20 orang ADUN PAS diketuai Dato' Haji Ishak Lotfi Omar menyokong usul itu sementara 13 orang ADUN Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan seorang ADUN Persatuan Cina Malaysia (MCA) membantah.[2] Mohamad Nasir enggan meletakkan jawatannya. Beliau kemudian meminta Pemangku Raja Kelantan (sebagai ketua negeri) untuk membubarkan DUN bagi memberi jalan kepada sebuah pilihan raya tetapi ia ditolak. Penyokong Mohamed Nasir kemudian berdemonstrasi di jalanan yang mengakibatkan rusuhan.

Pengisytiharan darurat dan penyingkiran PAS[sunting | sunting sumber]

Pada 8 November 1977, Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Kelantan, mengisytiharkan darurat di negeri Kelantan. Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 diluluskan oleh Parlimen pada keesokan harinya yang memberikan kuasa tersirat kepada kerajaan pusat untuk memerintah negeri ini. Walaupun merupakan sebahagian daripada gabungan Barisan Nasional, 12 daripada 14 orang anggota Parlimen PAS telah menentang pelaksanaan Akta tersebut. Akibatnya, kerajaan membuat keputusan menyingkirkan PAS dari dari gabungan BN pada 13 Disember 1977.[3][4]

Semasa darurat, Mohamed Nasir mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar tetapi dengan kuasa terhad kerana kuasa eksekutif tertinggi telah terletak pada Pengarah Kerajaan Persekutuan untuk negeri Kelantan, iaitu Tan Sri Hashim Aman.

Pada 11 Mac 1978, pilihan raya telah diadakan di Kelantan, beberapa bulan menjelang pilihan raya umum. Pilihan raya itu ditandingi oleh PAS, UMNO dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), sebuah parti baru yang telah ditubuhkan oleh Mohamed Nasir. UMNO memenangi pilihan raya dengan memenangi 23 kerusi, sementara BERJASA memenangi 11 dan PAS dengan 2 kerusi membuka jalan bagi UMNO untuk membentuk kerajaan di Kelantan untuk pertama kalinya.

Selepas pilihan raya, BERJASA bergabung dengan Barisan Nasional dan Mohamed Nasir menjadi ahli Dewan Negara dan Menteri tanpa portfolio dalam kerajaan persekutuan manakala Mohamed Yaacob daripada UMNO menjadi Menteri Besar Kelantan yang baru. Mohammed Yaacob mengekalkan jawatan itu hingga tahun 1990 apabila PAS kembali menguasai Kelantan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Cheah, Boon Kheng (2002). Malaysia: The Making of a Nation. ISEAS Library Cataloguing-in-Publication Data.
  2. ^ Cheah, Boon Kheng (2002). Malaysia: The Making of a Nation. ISEAS Library Cataloguing-in-Publication Data. m/s. 178–181.
  3. ^ Crouch, Harold A (1996). Government and society in Malaysia. Ithaca, N.Y. : Cornell University Press.
  4. ^ MOHD NASIR, Md. Rozimi bin (2017). "KELANTAN DI BAWAH PENTADBIRAN KUASA DARURAT 1977". SEJARAH: Journal of the Department of History. v. 17 – melalui University of Malaya.