Dataran Pahlawan Negara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dataran Pahlawan Negara
PemilikKerajaan Malaysia
Pembinaan
Dikomisenkan pada2011
Pembinaan bermula2012
Siap dibina2013
Lain-lain
Terkenal kerana

Dataran Pahlawan Negara siap pada 2013. Setelah siap, ia akan menjadi lokasi sambutan Hari Pahlawan setiap tahun di Malaysia yang selaras dengan fatwa oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 1998 dan yang terbaru April 2009.

Rekabentuk Dataran Pahlawan Negara ini hasil idea seorang Arkitek JKR yang juga merupakan anak bekas anggota polis (bapanya mula bertugas pada tahun 1950). Rekabentuk bangunan mengambil ilham sebuah kubu atau kota pertahanan. Gerbang utama bukan sahaja mengalu-alukan kedatangan pelawat bahkan menjadi bingkai gambar yang menyimpan kenangan di dalamnya. Di hadapan gerbang terdapat barisan batu-batu peringatan di kiri dan kanan yang penuh dengan peristiwa kepahlawanan. Berbaris tegap bagaikan pahlawan yang setia. Pemilihan warna putih mengambarkan keikhlasan hati para pasukan keselamatan bermandi darah dan keringat demi mempertahankan tanah air tercinta.

Di hadapan bangunan terdapat terpahat nama-nama pahlawan yang gugur semasa bertugas diukir diatas marmar hitam yang besar dan ditemani air pancut yang membangkitkan suasana yang mendamaikan. kedamaian yang dibayar dengan darah dan keringat.

Terdapat beberapa fasiliti yang disediakan di Dataran Pahlawan Negara ini. Antaranya ialah dataran kawad, pentas di Raja, tempat duduk VIP, tempat duduk awam, tandas awam, Dewan Serbaguna, surau, ruang menunggu VIP, bilik rawatan dan ruang galeri pahlawan di aras 1.

Sambutan Hari Pahlawan[sunting | sunting sumber]

Pada 31 Mac 2010 , Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setuju memindahkan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai ke Putrajaya. Ini kerana patung menyerupai manusia tidak selaras dengan ajaran Islam. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 hingga 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera. Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.[1]

Sambutan Hari Pahlawan 2010 diadakan di Dataran Merdeka buat pertama kali. 806 turut serta. Antaranya dari Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia . Tiada lagi kalungan bunga dan bertafakur seperti di Tugu Negara.Tugu Negara di Taman Tasik Perdana bertentangan dengan hukum syarak. Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada majlis tersebut. [2]

Sambutan Hari Kebangsaan[sunting | sunting sumber]

Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63 dengan tema Malaysia Prihatin disambut di sini pada tahun 2020 mengikut norma baharu pencegahan wabak COVID-19. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berangkat ke majlis sambutan tersebut bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baginda berdua disambut oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan barisan Kabinet.[3]

Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 dengan tema Malaysia Prihatin disambut seterusnya pada tahun 2021 di tempat yang sama tanpa kehadiran secara fizikal Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob kerana sedang dalam tempoh kuarantin akibat ada kontak rapat dengan penghidap yang positif COVID-19. Bagaimanapun, Ismail hadir bersama isteri, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin secara maya apabila sebuah skrin besar diletakkan di dataran tersebut bagi menggantikan kehadiran fizikal beliau.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]