Hussein Onn

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Dato' Hussein Onn)

Hussein Onn

DK (I) (Johor); DK (Selangor); DK (Terengganu); DK (Kelantan); SMN; SPMJ (Johor); SIMP (Pahang); SPCM (Perak); SSIJ (Johor); SPDK (Sabah); DUPN (PP); DP (Sarawak); SPNS (NS); PIS (I) (Johor)
حسين عون
Malaysia Perdana Menteri Malaysia ke-3
Digelar sebagai
Bapa Perpaduan
Dalam jawatan
15 Januari 1976 – 16 Julai 1981
RajaSultan Yahya Petra (1975 - 1979)
Sultan Ahmad Shah (1979 - 1984)
TimbalanTun Dr. Mahathir Mohamad (1976 - 1981)
Didahului oleh Tun Abdul Razak Hussein
Digantikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad
Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-3
Dalam jawatan
13 Ogos 1973 – 15 Januari 1976
RajaSultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (1970 - 1975)
Sultan Yahya Petra (1975 - 1979)
Perdana MenteriTun Abdul Razak Hussein
Didahului olehTun Dr. Ismail Abdul Rahman
Digantikan olehTun Dr. Mahathir Mohamad
Menteri Pelajaran Malaysia
Dalam jawatan
September 1970 – 1973
RajaSultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (1970 - 1975)
Didahului olehTun Abdul Rahman Ya'kub
Digantikan olehTun Dr. Mahathir Mohamad
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Sri Gading
Dalam jawatan
1974–1981
Didahului olehKonstituensi baharu
Digantikan olehMustaffa Mohammad
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Johore Bahru Timor
Dalam jawatan
1971–1974
Didahului olehFatimah Abdul Majid
Digantikan olehKonstituensi dibubarkan
Butiran peribadi
LahirHussein bin Onn
(1922-02-12)12 Februari 1922
Johor Bahru, Johor, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, British Malaya (kini Malaysia)
Meninggal dunia29 Mei 1990(1990-05-29) (umur 68)
San Francisco, California, Amerika Syarikat
Sebab kematianSerangan jantung
Tempat persemadianMakam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur
KewarganegaraanMalaysia
KerakyatanMelayu
Parti politik UMNO
Barisan Nasional
UMNO
PasanganTun Suhailah Tan Sri Mohamed Noah (k. 1948)
Anak-anakDatin Roquaiya Hanim
Puan Sri Dr. Suraiya Hani
Rozia Hanis
Dato' Seri Hishammuddin
Dr. Rozita Halina
Dato' Haris Onn
IbuDatin Halimah Hussein
BapaDato' Onn Jaafar
HubunganDato' Jaafar Haji Muhammad (datuk)
Tan Sri Mohamed Noah Omar (bapa mentua)
Tun Abdul Razak Hussein (biras)
Tun Rahah Mohamed Noah (adik ipar)
Tan Sri Dato' Mohd Ghazali Mohd Seth (adik ipar)
Tun Dr. Awang Hassan (besan)
Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz (sepupu)
Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (sepupu)
Profesor Dato' Dr. Syed Hussein Alatas (sepupu)
Tan Sri Dato' Dr. Yahya Awang (menantu)
Datuk Onn Hafiz Ghazi (cucu)
KediamanSeri Taman
PendidikanEnglish College Johor Bahru
Alma materMaktab Tentera Sandhurst, Dehradun, India
Lincoln's Inn, London
PekerjaanMenteri, Ahli Politik
ProfesionPeguam

Tun Hussein bin Dato' Onn (Jawi: حسين بن عون; 12 Februari 1922 – 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan di Johor Bahru serta merupakan anak sulung kepada Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Ibunya bernama Datin Halimah Hussein.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst, di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19 (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik beliau sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Bermula tahun 1942, beliau terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin, Iran dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, beliau ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras Tun Hussein merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.

Beliau pulang ke Malaya (kemudian Persekutuan Tanah Melayu; kini Semenanjung Malaysia) pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara daripada perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, beliau dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Seterusnya, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Beliau juga pernah bekerja di negeri Selangor sebagai pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.

Politik[sunting | sunting sumber]

Semangat Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam bidang politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Di samping penglibatannya dalam bidang politik, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1949, beliau telah menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Pada tahun 1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

Walau bagaimanapun, penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila bapanya menarik diri daripada UMNO, beliau kemudiannya menyertai bapanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, beliau meninggalkan bidang politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.

Sekembalinya ke Malaya, beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu, beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan mempunyai enam orang anak. Beliau kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak yang menjadi Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri daripada arena politik, tetapi UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana beliau memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah pada Mei 1969.

Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Abdul Razak Hussein. Beliau maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972, beliau telah menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden yang dipilih. Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973, beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian daripada Ismail Abdul Rahman. Apabila Ismail meninggal dunia, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 sekaligus merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia ketiga dari 15 Januari 1976 hingga 16 Julai 1981.

Hussein Onn menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Garis masa[sunting | sunting sumber]

  • 1922: Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari.
  • 1942: Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.
  • 1945: Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.
  • 1946: Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.
  • 1950: Dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
  • 1951: Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.
  • 1958: Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln's Inn, England.
  • 1964: Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO
  • 1969: Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO) pada Jun.
  • 1970: Menjadi Menteri Pelajaran pada September.
  • 1972: Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO
  • 1973: Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
  • 1976: Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.
  • 1981: Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Mahathir Mohamad.
  • 1990: Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung.