Daulat (filem 2020)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Daulat
PengarahImran Sheik
PenulisHaziq Jamaludin
Imran Sheik
Dihasilkan olehSiti Marzuliana Marzuki
DibintangiVanida Imran
Rashidi Ishak
Tony Eusoff
Jasmine Suraya Chin
Cristina Suzanne Stockstill
Zul Zamir
SinematografiNurhanisham Muhammad
Disunting olehJohan Bahar
Syarikat
penerbitan
Lacuna Pictures
Tarikh tayangan
6 April 2020 (Iflix)
Masa tayangan
1 jam 41 minit
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu
Bahasa Inggeris
BajetRM 500,000

Daulat ialah sebuah filem ngeri politik Malaysia 2020. Filem ini menceritakan seorang ahli politik dan partinya yang merancang untuk menang dalam pilihan raya seterusnya dengan apa jua cara sekalipun, setelah kalah dalam pilihan raya lepas.

Ia dikeluarkan pada 4 April 2020 oleh Iflix di Internet.[1][2][3][4]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Parti politik MUNA telah kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini. Presiden parti itu, Hassan kemudian melantik ahli politik Suri sebagai timbalan presiden parti. Suri seorang yang sanggup lakukan apa sahaja demi matlamatnya tercapai. Beliau dengan parti itu bertekad untuk menang lagi dalam pilihan raya seterusnya walau dengan apa jua cara sekalipun. Sanggup berkorban apa-apa sahaja, Suri dan partinya mulakan pelan terperinci untuk mencapai kuasa. Apa yang akan berlaku?[5]

Plot penuh[sunting | sunting sumber]

Parti Wawasan di bawah Tun Malik telah memenangi pilihan raya umum dan beliau dinobatkan sebagai Perdana Menteri. Presiden parti MUNA, Hassan berkomplot dengan timbalan presidennya Suri untuk memastikan bahawa kemenangan di pilihan raya seterusnya akan menjadi milik mereka. Mereka berdua berhasrat untuk melakukan sedemikian dengan cara menimbulkan perpisahan antara Tun Malik dan Dato' Seri Ali, timbalannya yang menginginkan jawatan Perdana Menteri secepat yang mungkin. Cara kedua adalah dengan membuat perikatan bersama parti Hizbul Muslimin (HM) dan parti Liberal ciptaan mereka agar dapat memastikan pengundi mereka datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Keputusan kedua ini tidak dipersetujui oleh exco MUNA yang terdiri daripada lelaki yang disifatkan oleh Hassan sebagai mempunyai minda tertutup dan juga bersifat perkauman dengan seksis.

Kekalahan MUNA telah menyebabkan syarikat Media Raya mengalami kerugian kerana tidak lagi berada di bawah naungan MUNA. CEO Media Raya, Idrus juga merupakan suami Suri dan meminta rakan kongsinya Nadiya untuk mencari wang RM20 juta agar dapat mendirikan portal atas talian yang dapat melawan tandingan mereka MCC. Jasmine merupakan wartawan yang bekerja di Media Raya. Ayahnya memerlukan pembedahan yang berharga RM100 ribu. Oleh itu, Jasmine berhasrat untuk menggoda Idrus agar diberikan jawatan General Manager yang meraih gaji yang lebih tinggi agar mampu membayar pembiayaan pembedahan tersebut. Dia berjaya melakukan sedemikian dan menodai Idrus. Idrus meminta Jasmine untuk mengeluarkan berita bahawa MUNA dan HM akan bekerjasama.

Suri telah bertemu dengan ketua parti HM, Saiful dan memohon agar mereka dapat menggembleng usaha untuk memastikan nasib bangsa Melayu-Islam dapat dipelihara. Dengan tersebarnya berita Jasmine, HM dan MUNA mengumumkan persatuan parti-parti mereka. Hassan tidak puas dengan rancangan Suri untuk meletakkan perempuan India untuk menjadi ketua parti Liberal yang menjadi asas rancangan mereka berdua. Dia menghempas dan mencekik Suri sambil menyuruhnya mencari lelaki Melayu-Islam untuk menduduki jawatan itu. Suri tidak bersetuju dan tetap menjadikan Melissa ketua parti itu dengan membuatkannya sebagai hero dalam Women's March yang dilangsungkan, menentang Dato' Seri Ali yang digambarkan sebagai hipokrit kerana memutar belit katanya sendiri.

Nadiya merupakan anak kepada Hassan. Dia meminta sejumlah wang daripada bapanya yang kini di bawah skrutini suruhanjaya pencegah rasuah. Dia juga berjumpa dengan Ramzi, seorang pelabur yang merupakan kawan akrab Idrus untuk meminta duit. Ramzi memberikannya wang itu dengan syarat akan membayar semula secepat yang mungkin. Namun, portal Media Raya ditutup atas tuduhan akta penghasutan. Ini menyebabkan Nadiya tidak dapat membayar semula duit Ramzi sebelum tarikh yang dipersetujui. Ramzi marah dan mengancam nyawa anak Nadiya. Ini menyebabkan Nadiya berasa cemas dan menelefon bapanya untuk membantunya. Hassan bertemu dengan Ramzi dan cuba untuk membayarnya sejumlah wang yang tidak dipersetujui oleh Ramzi. Ramzi mempersendakan Hassan yang membuat Hassan naik angin dan bertindak menembak Ramzi mati.

Suri duduk di dalam pejabatnya apabila seorang lelaki misteri muncul dan memberitahunya bahawa dia mempunyai bukti bahawa Idrus dan Jasmine sedang melakukan hubungan intim. Suri menyatakan bahawa dia tidak gentar dengan tersebarnya gambar tersebut. Lelaki itu memberikan amaran akhir dan menyebabkan Suri menyuruh orang bawahannya untuk mencari punca gambar itu. Mereka memberitahunya bahawa kamera itu bersambungan dengan komputer Idrus. Ini menyebabkannya marah terhadap suaminya atas kecuaian tersebut. Idrus menenangkan isterinya dengan menyatakan bahawa ada pihak yang cuba memisahkan mereka.

Ali mencabar Hassan untuk berdebat dengannya atas dasar-dasar kerajaan. Hassan memenangi pertarungan itu dengan menyatakan bahawa kerajaan Ali hanya menumpukan tenaga mereka dalam menyalahkan kesilapan Hassan daripada melakukan kerja yang efektif untuk membantu rakyat. Selepas itu, terdapat kejadian pengeboman ke atas kelab malam. Saiful dimarahi Melissa kerana menyatakan bahawa pengeboman itu tidak salah kerana kematian yang berlaku hanyalah mereka yang berdosa. Mereka berdua disuruh oleh Suri dan Hassan untuk berhenti bergaduh dan mengingat kepentingan yang lebih besar iaitu memenangi pilihan raya. Mereka tidak akan dapat mencapai hasrat jika asyik bertembung. Suri menemui Ali dan meyakinkannya untuk membangkitkan 'vote of no confidence' terhadap Tun Malik. Ali pada awalnya tidak bersetuju, tetapi berbuat juga demikian.

Pergerakan ini tidak berhasil. Ini menyebabkan perpecahan dalam parti Wawasan. Perpecahan ini membantu Perikatan Pragmatis untuk memenangi pilihan raya seterusnya. Nadiya kembali ke pejabat untuk mendapati bahawa syernya telah dibeli oleh Jason dan Idrus, menyebabkannya hanya memiliki 0.2% daripada Media Raya. Idrus juga telah menamatkan hubungannya dengan Jasmine yang mengancam untuk melepaskan maklumat bahawa Idrus menyuruhnya menciptakan tajuk berita. Jasmine berjalan berseorangan apabila diikuti oleh sebuah motosikal. Motosikal itu mengejarnya dan menyebabkan Jasmine ditembak mati. Suri dan Hassan menyambut kemenangan mereka. Suri tahu bahawa Hassan merupakan dalang di sebalik ancaman yang diterimanya dan mendedahkan bahawa kot Ramzi mempunyai kamera yang disambungkan ke komputer Idrus. Kamera itu telah merakamkan pembunuhan Ramzi oleh Hassan. Suri menyuruh Hassan meletakkan jawatan, lantas memberinya peluang untuk menjadi Perdana Menteri dengan Melissa sebagai Timbalannya.

Dalam babak pertengahan kredit, Suri memandang kamera dan memberitahu penonton bahawa pemimpin yang terbaik ialah mereka yang efektif tetapi juga mampu untuk menjadi kejam.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Keluaran[sunting | sunting sumber]

Filem ini adalah fiksyen dan disiapkan pada 2019 sebelum krisis politik Malaysia 2020 berlaku. Filem ini dikeluarkan atas talian secara percuma dan tanpa tapis di Iflix pada 6 April 2020. Pihak produksi pada awalnya ingin mengeluarkan filem di pawagam, tetapi telah bertukar ke media penstriman untuk mengelakkan penapisan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Daulat, Malaysia's own House of Cards". The Malaysian Insight.
  2. ^ "No problem acting with ex-husband, says Vanidah". New Straits Times.
  3. ^ "Jasmine Suraya bakal bintangi filem Daulat". Cinema.com.my.
  4. ^ "Teaser trailer for Daulat". Youtube.
  5. ^ "Kenali Watak-watak Filem Daulat". BuzzPOP.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]