Dayang Nurfaizah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dayang Nurfaizah
Dayang mengadakan persembahan dalam rancangan MeleTOP pada 9 Februari 2016.
Latar belakang
Nama lahirDayang Nurfaizah binti Awang Dowty
Juga dikenali sebagai
DN
Kelahiran (1981-07-20) 20 Julai 1981 (umur 42)
Kuching, Sarawak, Malaysia
GenrePop, R&B, Balada
PekerjaanPenyanyi, penerbit rakaman, penulis lagu
InstrumenVokal
Tahun aktif1998-kini
Syarikat rakaman
Delima Records (1999)
Broadway Entertainment (2000 - 2002)
DNAD (2003 - kini)
New Southern Records - edaran (2005 - 2009)
Universal Music - edaran (2011 - kini)
Pengkarya berkait
Hael Husaini

Dayang Nurfaizah Awang Dowty (lahir 20 Julai 1981) ialah seorang penyanyi wanita Malaysia.[1][2] Memulakan kerjayanya pada usia 18 tahun, Dayang sudahpun mencapai status terbaik dalam arena seni suara dengan menghasilkan 7 buah album studio dan meraih pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Nama beliau sebaris dengan penyanyi wanita seangkatan seperti Siti Nurhaliza, Misha Omar, Liza Hanim dan Jaclyn Victor.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Dayang Nurfaizah dilahirkan di Kuching, Sarawak. Bakat besar yang dimiliki oleh Dayang sudah pun dikesan sejak kecil lagi bila mana beliau telah berjinak-jinak dalam bidang nyanyian sejak dari sekolah rendah. Di zaman persekolahannya, Dayang sememangnya terkenal sebagai penyanyi undangan pada setiap majlis sekolah diadakan sehingga namanya begitu terkenal. Dengan kebolehan luar biasa menyanyikan lagu-lagu asli Melayu serta lagu bergenre R&B, Dayang mula mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan nyanyian di negerinya sendiri antaranya memenangi Bintang Asli Remaja 1996 dan ke peringkat akhir dalam pertandingan Bintang Remaja Sarawak 1996 dan akhirnya muncul juara dalam edisi 1997. Bertitik tolak daripada itu, beliau memberanikan diri untuk keluar dari Kuching dan menyertai pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia iaitu Golden Teen Search 1997 di Kuala Lumpur. Pertandingan bakat nyanyian lagu-lagu Bahasa Inggeris ini ternyata mengakui kehebatan Dayang hingga meraih gelaran juara ketika beliau baru berusia 17 tahun.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

1996–1999: Penampilan sulung ke puncak populariti[sunting | sunting sumber]

Dengan kemenangan di Golden Teen Search nama beliau mula meniti di bibir peminat dan berjaya menambat hati maestro muzik terkenal Adnan Abu Hassan untuk menerbitkan album studio sulung beliau di bawah naungan Delima Records yang ketika itu dikoordinasikan oleh Adnan sendiri. Maka pada 7 Mei 1999, lahirlah album sulung Dayang yang berjudul "Dayang Nurfaizah". Album ini berkonsepkan pop dengan majoriti lagu dicipta oleh Adnan. Adnan mengenal pasti kekuatan Dayang menerusi pop Melayu dan tanda dagangnya dalam muzik rhythm & blues. Lagu "Hakikat Cinta" merupakan lagu pertama yang memperkenalkan Dayang kepada pendengar Melayu. Lagu ini berjaya memanjat anak tangga carta muzik biarpun wajah dan namanya masih tidak begitu dikenali dengan meluas. Single kedua yang rancak berjudul "Rindu" bagaimanapun tidak berjaya menyambung hayat populariti Dayang apabila lagu itu jarang diputar dan ditambah pula dengan masalah pengedaran album oleh Delima Records. Syarikat itu tidak berjaya mencetak dan mengedar album terbitannya hingga terpaksa ditutup biarpun baru setahun jagung. Ekoran daripada konflik ini kerjaya seni Dayang mula tidak menampakkan sinarnya. Atas kepercayaan dan keyakinan Adnan bahawa Dayang mampu pergi dengan lebih jauh, beliau akhirnya ditampilkan dalam projek khas sebuah album berjudul "Jelita Hebat" yang diterbitkan pada September 1999. Menerusi album ini, Dayang bekerjasama dengan penyanyi tersohor Ziana Zain untuk berduet dalam lagu ciptaan penggubah lagu-lagu R&B iaitu Azalea yang berjudul "Pusaka Rimba". Gandingan hebat antara Dayang dan penyanyi hebat ini membuahkan hasil apabila lagu ini dicalonkan dalam kategori Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2000. Lebih menarik lagi, nama Dayang disenaraikan sebagai finalis untuk kategori Artis Baru Terbaik. Ketika berlangsungnya malam penganugerahan, Dayang dipanggil untuk membuat persembahan solo menerusi sebuah lagi lagu ciptaan Azalea yang pernah dimuatkan dalam album sulungnya berjudul "Kembalilah Sayang". Persembahan inilah yang menjadi titik mula kerjaya seni Dayang. Penyanyi wanita Indonesia Kris Dayanti mengakui terpaku menonton nyanyian langsung Dayang yang disifatkan sebagai menakjubkan dan penuh jiwa. Maka, lagu tersebut mula berkumandang di radio-radio sebagai keluaran siaran radio ekoran ketiadaan album sulung beliau di pasaran. Pada malam tersebut juga bermula polemik apabila Dayang tewas dalam kategori Artis Baru Terbaik di tangan penyanyi irama latin Shawn Baharin.

2000–2002: Seandainya Masih Ada Cinta[sunting | sunting sumber]

Kekalahan tersebut tidak menjadi kudis, sebaliknya nama Dayang mula disebut-sebut hingga syarikat rakaman Broadway Entertainment di bawah kelolaan penerbit Boon Tan menyunting Dayang daripada kontrak yang terbengkalai dengan Delima Records. Broadway bernaung edarannya di bawah EMI Music ketika itu namun menerbitkan 100% album solo kedua Dayang. Album keduanya yang pada awalnya dijudulkan sebagai "Ikatan Kita" sempena single pengenalan pada hujung tahun 2000 itu mula dipasarkan pada 8 Februari 2001 dengan judul rasmi "Seandainya Masih Ada Cinta" (SMAC). Nama Dayang mula meledak dengan lagu "Seandainya Masih Ada Cinta" yang menjuarai hampir kesemua carta muzik nasional dan regional. Tambah manis lagi fenomena lagu ciptaan Ajai & Syed EnV ini mula sampai ke Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam. Lagu ini akhirnya menjadi lagu pengenalan beliau dan meraih banyak anugerah hebat seperti di Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik dan memenangi anugerah Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2002 serta meraih kedudukan keempat dalam senarai 100 Terhangat di Era 2001.

Susulan daripada kejayaan SMAC, album tersebut berjaya terjual sebanyak 65,000 unit serta mengeluarkan keseluruhan 6 buah single dan paling diingati ialah lagu pop "Bahagia" juga ciptaan Ajai & Syed EnV yang mara ke peringkat akhir AJL ke-16 serta lagu R&B seperti "Sekali Lagi" dan "Sedingin Mana Cintamu" yang juga mendominasi carta-carta muzik. Dalam masa setahun, Dayang meraih kedudukan selesa sebagai penyanyi wanita terkenal di Malaysia hinggakan pernah dikatakan hanya satu langkah di belakang Siti Nurhaliza apabila Siti sendiri mengakui Dayang ialah pesaing terdekatnya ketika itu. Persaingan antara Siti dan Dayang dapat dilihat daripada pertandingan-pertandingan di majlis-majlis anugerah yang mana silih berganti diraih oleh kedua-dua penyanyi tersebut. Dayang tewas kepada Siti dalam merebut anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita (AIM) dan Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001.

Ekoran populariti yang begitu hebat ketika menjengah tahun 2002, Broadway mengambil keputusan untuk menerbitkan semula album sulung Dayang selepas syarikat itu mendapat kesuluruhan hak cipta penyiaran lagu-lagu dalam album tersebut. Maka lahirlah album bungkusan semula berjudul "Disini Bermula" pada 3 Februari 2002 dengan single "Di Sini Bermula". Ternyata album itu berjaya terjual 10,000 unit dalam tempoh sebulan pertama. Dayang dan Boon Tan mula bersiap untuk menerbitkan album ketiga beliau dengan pengumpulan material namun album itu mengambil tempoh lama untuk diterbitkan memaksa Broadway mengeluarkan sebuah single promosi. Maka terlahirlah lagu rakaman semula "Rindu Bayangan" yang dinyanyikan secara duet bersama abang kandung Dayang sendiri iaitu Dino. Lagu ini telah popular dan sering diputarkan di radio-radio hingga dicalonkan di Anugerah Era 2002 untuk kategori Duo/Kumpulan Pilihan.

2002–2006: Kes saman Broadway, kesuraman kerjaya seni dan "Dayang Sayang Kamu"[sunting | sunting sumber]

Dayang mengadakan persembahan pada 2005.

Sinar terang kerjaya seni Dayang bagaimanapun terpalit kelam apabila secara tiba-tiba pada 21 November 2002 iaitu 7 hari sebelum album ketiganya diedarkan di pasaran, Dayang Nurfaizah menyaman tiga buah syarikat yang terbabit dengan album keduanya kerana beliau mendakwa telah menandatangani Perjanjian Pengurusan yang berunsur menindas dan merugikannya. Dalam writ saman itu, Dayang Nurfaizah juga memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah supaya tiga syarikat berkenaan memulangkan wang termasuk jumlah yang sepatut beliau peroleh sebanyak RM600,000. Beliau juga menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun dikira atas jumlah RM600,000 atau lebih bermula dari tarikh 31 Julai 2002 sehingga penyelesaian penuh kesnya. Dalam saman tersebut, Dayang Nurfaizah menamakan defendan pertama syarikat pengurusan, Bintang Seni Sdn. Bhd; defendan kedua syarikat rakaman Broadway Entertainment (M) Sdn. Bhd, dan defendan ketiga syarikat rakaman Lindung Seni Sdn. Bhd.

Ramai yang meramalkan karier seni Dayang akan mula merudum kerana tuntutan saman ini dijangka mengambil masa yang panjang malahan album ketiganya juga dicetak tanpa wajah Dayang pada kulit album. Album tersebut disifatkan sebagai black album kerana tidak diberikan judul dan hanya dipasarkan dengan nama Dayang pada kulit album berwarna hitam. Menurut Boon Tan, beliau tidak akan menunaikan sebarang tuntutan Dayang malahan kesal kerana beliau berusaha keras menerbitkan album ketiga Dayang yang diadun di Australia. Hanya pada 20 Disember 2002, album tersebut yang terjual 8,000 unit pada bulan pertama diulang cetak dengan menggunakan judul "Hembusan Asmara". Selepas single pertama yang berentak jazz berjudul "Hanyalah Kasihmu" gagal di radio, Broadway mempertaruhkan lagu pop moderate "Pintaku Yang Terakhir" ciptaan Efendi dan balada "Hembusan Asmara" ciptaan Adnan Abu Hassan. Kedua-dua lagu tersebut meledak di stesen-stesen radio namun Dayang tidak dapat sepenuhnya mempromosikan album tersebut ekoran halangan oleh Broadway. Broadway telah permohonan injunksi oleh sebuah syarikat pengurusan bagi menghalang Dayang membuat persembahan agar terlebih dahulu mendapat keizinan daripadanya[[:]]. Bintang Seni memohon supaya Dayang dihalang daripada membuat sebarang persembahan dan mengenakan atau mendapat bayaran daripada persembahan itu agar terlebih dahulu mendapat keizinan daripada syarikat itu ekoran pada 4 Ogos 2003, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan syarikat itu supaya Dayang merujuk setiap tawaran dan persembahan yang diperoleh oleh beliau kepada syarikat itu.

Biarpun album tersebut terjual dengan baik tetapi Dayang tidak sepenuhnya terlibat dalam mempromosikan lagu-lagu dalam album tersebut sebaliknya hanya bergantung kepada promosi di radio. Single daripada album tersebut seperti "Jangan Datang Lagi" dan "Bahaya" (menampilkan Mizz Nina) bagaimanapun secara tidak langsung memperkenalkan arah muzik Dayang ke pasaran yang lebih urban sekaligus menyaksikan Dayang bersiap sedia untuk merakamkan album studio keempatnya secara bebas ekoran beliau tidak dapat memilih untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman biarpun banyak yang hadir menawarkan kontrak yang lumayan. Album "Hembusan Asmara" dicalonkan dalam dua kategori termasuk Album Pop Terbaik di AIM 2003. Pada penghujung tahun 2003 Broadway menerbitkan album "The Best of Dayang Nurfaizah" yang memuatkan lagu-lagu popular penyanyi itu sepanjang bernaung sekaligus memperkenalkan lagu "Mana Mungkin" yang mendominasi carta pada penghujung tahun itu.

Pada 20 hingga 22 Februari 2004 menciptakan sejarah tersendiri buat Dayang apabila berpeluang membuat konsert khas tiga hari berturut-turut di Istana Budaya, Kuala Lumpur bersama penyanyi Adibah Noor. Istana Budaya (IB) memilih kedua-dua penyanyi itu menjayakan "Konsert Putera Puteri (A Tribute to Past Composers)" yang mempersembahkan karya hasil ciptaan Jimmy Boyle, Tan Sri P. Ramlee, Pak Lomak, Yusoff B, Ahmad Jaafar, Osman Ahmad, Zubir Said, Saiful Bahri, Achmad C.B dan Abu Kassim. Konsert tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengetengahkan karya penggubah-penggubah terbabit malah ia turut memberi peluang kepada penggubah semasa antaranya Ruslan Mohd. Imam, Danny Francisco dan Ayub Ibrahim menyusun kembali lagu-lagu yang dipilih. Konsert yang menampilkan lagu-lagu popular di era komposer terbabit bukan sekadar mengembalikan nostalgia silam, sebaliknya bertujuan untuk menarik perhatian generasi muda. Antara lagu yang diperdengarkan dengan iringan 68 anggota pemuzik orkestra ialah "Putera-Puteri", '"Kweek Mambo", "Jauh-Jauh", "Ibu", "Malamku Bermimpi", "Seri Mersing", "Seri Dewi Malam", "Senjakala" dan "Cincin Belah Rotan". Biarpun rakaman konsert ini tidak dapat dipasarkan, namun ia menjadi titik mula kepada inisiatif Dayang untuk menerbitkan sebuah album khas yang memuatkan lagu-lagu klasik seperti yang dijelmakan dalam album "Kasih" pada tahun 2005.

Biarpun Dayang tidak lagi bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman dan terikat dengan kes mahkamah, dia tetap meneruskan niatnya untuk merakamkan album solo keempat. Dayang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk proses rakaman album terbaru itu. "Kau Pergi Jua" dan "Biar Akhirnya Di Sini" ciptaan Afdlin Shauki merupakan dua buah lagu pertama yang dirakamkan oleh Dayang. Menerusi lagu ciptaan Afdlin tersebut, Dayang menjemput pemain biola tersohor Indonesia iaitu Henry Lamiri untuk mengiringinya. Apabila album tersebut sudah siap barulah Dayang akan mencari dan memilih syarikat rakaman yang sesuai untuk menerbit serta mengedarkan album keempat itu nanti. Dalam album terbarunya itu, Dayang bukan sahaja mengekalkan konsep R&B tetapi dia turut terbabit secara langsung dalam pembikinannya memandangkan sebelum ini, Dayang hanya menyanyikan sahaja lagu yang diberikan. Namun selepas setahun disiapkan dengan bajet yang tinggi, album tersebut tidak dapat dipasarkan ekoran kes saman yang belum selesai. Akhirnya Dayang menjual sendiri album berjudul "Dayang Sayang Kamu" tersebut secara 'bawah tanah' di mana-mana persembahan tertutupnya. Lagu berbahasa Inggeris berjudul "Need A Break/Seketika" mula meraih sokongan pendengar bandar sementara lagu "Erti Hidup" yang dijadikan modul dalam Program Latihan Khidmat Negara mula meniti bibir peminat. Dayang sendiri mencetak dan mengedarkan CD kepada peminat-peminat hingga berjaya terjual 5000 unit pada sebulan pertama jualan pada Ogos 2004. Dayang juga mempromosikan lagu "Dayang Sayang Kamu" dengan persembahan perdana di Anugerah Era 2004 dengan berduet bersama penyanyi Adam. Akhirnya album tersebut diedarkan secara kebanyakan pada 30 November 2004 di bawah label DNAD Entertainment, syarikat rakaman hak milik penuh Dayang sendiri.

Album "Dayang Sayang Kamu"(DSK) sebenarnya ialah album penyambung hayat buat Dayang biarpun diancam dengan penerbitan album "Buat Kamu" oleh Broadway yang merupakan album bungkusan semula "Hembusan Asmara" sebulan sebelum edaran DSK. Broadway juga menerbitkan album kompilasi "The Best of Anuar Zain & Dayang Nurfaizah" sebelum itu yang menampilkan single "Melerai Prasangka" bergema di corong-corong radio. Dalam pada itu lagu "Erti Hidup" berjaya mara ke AJL 19 dan akhirnya memenangi kategori Etnik Kreatif dan menaikkan semula nama Dayang dan memperkenalkan bakat Afdlin sebagai penggubah. Pada 28 Julai 2005, industri seni digemparkan apabila Dayang mengambil keputusan untuk menggugurkan saman terhadap Broadway dan 2 buah lagi syarikat setelah kes itu berlarutan selama 3 tahun. Dayang enggan mengulas mengenai perkara itu namun menyatakan ia satu pengalaman yang manis buatnya kerana daripada pengalaman itu, beliau terpaksa melalui pelbagai pengalaman yang mendewasakan lagi perjalanannya sebagai anak seni. Banyak pengajaran yang Dayang belajar semasa menghasilkan album berjudul DSK antaranya menguruskan bajet serta terpaksa menjual album itu sendiri, memaksa peminat beli album tersebut. Pengalaman itu menurut Dayang tidak dapat dipelajari di mana-mana. Kini, Dayang bernaung di bawah syarikat rakaman New Southern Records (NSR). Ketua Bahagian Melayu NSR, Iman Wan berkata NSR telah mengeluarkan jumlah wang yang besar untuk membeli semula semua kontrak Dayang dengan syarikat-syarikat yang disamannya. Jumlah pembelian kontrak itu bagaimanapun enggan dinyatakannya.

Pada 16 September 2005, secara rasminya New Southern Records (NSR) menjadi pengedar rasmi album DSK dan seiring itu album bungkusan semula DSK yang mana memuatkan lagu "Kasih Maafkan" mendapat perhatian peminat. Bersama Iman Wan yang mengelola NSR ketika itu, Dayang bekerjasama menerbitkan album khas lagu-lagu klasik berjudul "Kasih" pada 25 Oktober 2005 selepas kejayaan konsert Putera Puteri di IB dan populariti lagu "Kau Pergi Jua" dan single pengenalan lagu dodoi berjudul "Suriram". Kehebatan Dayang dalam mengalunkan lagu-lagu klasik menyaksikan album tersebut dicalonkan di AIM 2006 untuk kategori Album Pop Terbaik dan album ini juga memenangi anugerah Rakaman Album Terbaik. Lagu "Kasih" berjaya meletakkan nama Dayang ke kedudukan yang lebih selesa apabila lagu keroncong yang dijazzkan itu meraih populariti berganda di radio dan televisyen.

Dayang mula melihat persaingan berlaku di kalangan penyanyi wanita di Malaysia di saat Siti Nurhaliza mendominasi sebehagian besar pasaran, nama-nama seperti Misha Omar dan Jaclyn Victor sudahpun mengukuhkan nama mereka sebaris dengan Dayang. Dayang juga berdepan dengan lambakan peserta TV realiti yang memasuki pasaran dan menjadi demam baru industri. Menyedari peluang meneroka pasaran baru makin terbatas, akhirnya Dayang memberanikan diri menyertai program realiti anjuran stesen 8TV iaitu One In A Million yang menyaksikan penyanyi amatur dan profesional merebut hadiah bernilai RM1 juta berserta kontrak rakaman Monkey Bone. Penyertaan Dayang menimbulkan polemik tersendiri di kalangan pemerhati seni kerana kedudukan Dayang sebagai penyanyi yang sudah kukuh sedangkan beberapa peserta lain ialah penyanyi profesional yang gagal di pasaran. Di samping itu, keberanian Dayang menyertai program yang 100% bersandarkan undian peminat juga menimbulkan konflik tersendiri. Namun Dayang tekad dengan keputusannya dan akhirnya berjaya mara ke peringkat Top 4 sebelum tersingkir seminggu sebelum malam final. Biarpun tewas kepada peserta lain yang kini popular seperti Aliff Sattar dan Faizal Tahir, Dayang positif kerana setidak-tidaknya beliau telah berjaya meneroka pasaran baru. Perkara pertama yang dilakukan Dayang apabila tersingkir daripada saingan OIAM ialah mengukuhkan pasaran Singapuranya dengan berkolaborasi dengan penyanyi negara tersebut seperti Imran Ajmain dan kumpulan Bhumiband.

2007–2010: "20 07"[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2007 bersama Iman Wan, Dayang menerbitkan album solo keenamnya yang berjudul "20 07" pada 21 Julai 2007. Album pop ini menampilkan lagu-lagu hits seperti "Ingin Ku Miliki" , "Hilang" dan "Tiga" yang mana kesemuanya menyaksikan kolaborasi bersama penggubah Audi Mok. Ketika album ini dipasarkan Dayang mengambil keputusan untuk menyertai sebuah program TV pencarian "Ikon Malaysia'"yang mana pemenangnya akan mewakili Malaysia ke pertandingan "Ikon Asean". Sekali lagi Dayang dikritik kerana berani memperjudikan kedudukannya sebagai penyanyi profesional apabila terpaksa bersaing dengan angkatan penyanyi lain seperti Jaclyn Victor dan Mawi. Akhirnya tuah sekali lagi tidak memihak kepada Dayang apabila sekadar meraih hadiah Naib Johan Ikon Malaysia 2007 apabila tewas kepada Jaclyn. Dalam pada itu, Dayang boleh tersenyum bangga kerana album "20 07" telah dicalonkan dalam 4 kategori di AIM 2008 menerusi kategori vokal, album pop, susunan muzik dan juga kulit album. Biarpun tewas namun setidak-tidaknya album tersebut masih menjadi bukti keutuhan Dayang dalam industri.

Meraikan sedekad pembabitan beliau dalam Industri, Dayang mengadakan konsert mini yang dirakamkan di dalam sebuah album yang diberi judul Live!. Ia memuatkan rakaman persembahan live beliau di Planet Hollywood pada tahun 2008. Semasa ia dipasarkan pada 18 April 2009, Dayang terlibat dalam projek Global One Music yang menyaksikan nama Dayang tersenarai sebagai wakil Malaysia dalam sebuah album yang menggabungkan hampir 36 orang penyanyi dari seluruh dunia. Dayang berkolaborasi bersama rapper Singapura, Daly merakamkan lagu berjudul "Lately / Tanpamu" dalam dua versi – bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dayang meraih kejayaan manis apabila album "Live" berjaya meraih anugerah Album Pop Terbaik menewaskan dua buah album Siti Nurhaliza. Sebagai peringatan, sebelum itu Dayang sudah 4 kali dicalonkan dalam kategori tersebut.

2011–2014: "Sayang & Cahaya"[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2011, Dayang melancarkan album studio ketujuhnya berjudul "Sayang & Cahaya" pada 2 Mei.[3] Ia merupakan album kedua yang diterbitkan sendiri oleh syarikat DNAD sendiri manakala ia tidak lagi dipasarkan oleh NSR sebaliknya Dayang menyerahkan hak edaran kepada Universal Music. Sebelum itu Dayang berkolaborasi bersama Alibi Music menghasilkan dua buah single pengenalan iaitu "Sayang" dan "Ku Temu Cahaya". Lagu "Sayang" menyaksikan Dayang berduet bersama penyanyi Indonesia Marcell. Lagu tersebut berjaya mara ke pencalonan Anugerah Planet Muzik 2011 untuk kategori Duo/Kolaborasi Terbaik. Di samping single terbaru berjudul "Saat Itu", Dayang juga berkolaborasi bersama penyanyi veteran Ramli Sarip dalam lagu "Musafir Rindu" dalam album penyanyi tersebut juga bersama penyanyi Indonesia Harvey Malaiholo dalam lagu rakaman semula "Gerimis Mengundang" untuk projek filem usahasama Malaysia-Indonesia.

Lebih sedekad berada dalam bidang seni suara nama Dayang Nurfaizah menjadi sebuah jenama yang kukuh dengan jualan album keseluruhan mencecah 200,000 unit sekaligus menjadikan beliau sebagai salah seorang artis wanita terlaris dekad 00-an. Pelbagai kejayaan telah diraih oleh penyanyi yang digelar sebagai Diva R&B Alaf Baru ini. Ternyata bukan mudah untuk Dayang mencapai kedudukan selesa kini, di saat rakan penyanyi seangkatan mula beransur hilang nama beliau masih kukuh dan diminati ramai. Dayang mempunyai pengikut tersendiri dan tidak mustahil suara Dayang akan terus berkumandang selama mungkin.

2015–kini: Kesinambungan kejayaan[sunting | sunting sumber]

Dari 20 hingga 22 November 2015, Dayang menjadi sebahagian daripada pementasan semula Malam Terang Bulan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Dianjurkan oleh Khazanah Nasional untuk kali kedua, orkestra konsert yang berlangsung tiga hari dengan penceritaan ialah bagaimana lagu cinta menjadi lagu kebangsaan Malaya. Beliau mempersembahkan lagu Jauh-Jauh dan Tanah Pusaka.[4]

Dayang merakamkan lagu bertajuk "Lelaki Teragung" hasil nukilan komposer baharu, Natasya dan Iman Imran. Dayang berkongsi bahawa bapanya menjadi sumber inspirasi dalam kehidupannya.[5] Lagu ini merupakan antara 12 lagu yang bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL. Beliau menyanyikan lagu itu sebagai tanda penghargaan untuk Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017.[6] "Lelaki Teragung" muncul sebagai Juara Lagu ke-31 (AJL 31), menewaskan 11 lagu lain di pentas akhir, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi serta baucar bernilai RM10,000.[7]

Beliau diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema Sukan SEA 2017 yang bertajuk "Bangkit Bersama".[8] Dayang muncul sebagai artis jemputan untuk acara seni persembahan Universiti Teknologi Petronas, "Tapestry of Colours 2017", di Dewan Filharmonik Petronas pada 29 Julai. Beliau juga menyertai barisan penyanyi terkenal termasuk Faizal Tahir dan Azlan Rosle, penyanyi Indonesia Cakra Khan, Judika dan Syahrini di Konsert Nova di Stadium Malawati Shah Alam pada 5 Ogos.[9]

Pada Januari 2018, Dayang mengadakan konsert solo pertamanya di Esplanade, Singapura. Konsertnya berjaya menarik perhatian 1,500 penonton.[10][11][12]

Dayang muncul dengan single terbaru, "Sebentar" hasil nukilan Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Romeo. Beliau menjayakan Konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya yang berlangsung pada 21 Julai 2019, iaitu sehari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-38.[13][14]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Kehidupan peribadi Dayang banyak diperkatakan di media, terutamanya hubungannya dengan penyanyi dan penerbit rakaman Hael Husaini.[15][16][17]

Beliau ialah seorang yang tidak begitu aktif di media sosial.[18]

Dayang juga meminati K-Pop biarpun beliau bukanlah peminat tegar, namun mengagumi Big Bang dan 2NE1.[19]

One in a Million[sunting | sunting sumber]

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Status Anugerah Utama
Anugerah Industri Muzik Anugerah Juara Lagu Anugerah Planet Muzik Anugerah Era
Menang 6 3 2 1
Jumlah Pencalonan 23 4 11 6

Anugerah Industri Muzik[sunting | sunting sumber]

Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM)
Tahun Kategori Karya Tercalon Album Keputusan
1999

(AIM 7)

Artis Baru Terbaik Dayang Nurfaizah Tercalon
Lagu Terbaik Pusaka Rimba (duet Ziana Zain)
(Azlan Abu Hassan / Azalea)
Jelita Hebat Tercalon
2001

(AIM 9)

Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Seandainya Masih Ada Cinta Tercalon
Album Pop Terbaik Tercalon
Lagu Terbaik Seandainya Masih Ada Cinta
(Ajai / Syed EnV)
Menang
2002

(AIM 10)

Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Hembusan Asmara Tercalon
Album Pop Terbaik Tercalon
2005

(AIM 13)

Rakaman Album Terbaik Kasih Menang
Album Pop Terbaik Tercalon
2007

(AIM 15)

Kulit Album Terbaik Pereka: Nizam Rahmat 20 07 Tercalon
Album Pop Terbaik Tercalon
Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) Tercalon
Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu Inginku Miliki
Penggubah: Audi Mok
Tercalon
2009

(AIM 17)

Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) Hilang (Live Version) Live! Tercalon
Rakaman Album Terbaik Tercalon
Album Pop Terbaik Menang
Album Terbaik Tercalon
2010-2011

(AIM 18)

Persembahan Vokal Duo/Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu Sayang (dengan Marcell Siahan) Sayang & Cahaya Tercalon
Album Terbaik Tercalon
2012-2013

(AIM 20)

Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu Bila Resah
Penggubah: Jenny Chin
Anuar & Dayang Live at Dewan Filharmonik Petronas Menang
Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik di Dalam Lagu Sedetik Lebih (dengan Anuar Zain) Menang
Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) Seandainya Masih Ada Cinta (live) Menang
Album Terbaik Tercalon
2014-2016

(AIM 22)

Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) Lelaki Teragung Tercalon

Anugerah Juara Lagu[sunting | sunting sumber]

Anugerah Juara Lagu (atau AJL) merupakan acara tahunan yang mengiktiraf komposisi muzik lagu yang berdasarkan kerjasama tiga pihak – penulis lirik, penggubah lagu dan artis. Program mingguan akan mengumpulkan perseorangan dan pencalonan lagu daripada pelbagai artis di mana mereka akan bertanding sehingga lagu-lagu mereka disenarai pendek sebagai finalis sebelum akhirnya dicalonkan untuk dihakimi oleh juri profesional. Dari tahun 1986 sehingga 1991, peserta akhir dipilih berdasarkan pemenang bulanan, dan dari 1992 hingga 2008, lagu-lagu telah dipisahkan kepada tiga kategori utama – Balada, Irama Malaysia dan Etnik Kreatif dan Pop Rock. Walau bagaimanapun, dari 2009 dan seterusnya, persembahan anugerah yang telah diberi nafas baru dan semua 12 peserta akhir telah dibuat untuk bersaing antara satu sama lain tanpa mengira kategori.

Anugerah Juara Lagu (AJL)
Tahun Lagu Album Pencipta Lagu Penulis Lirik Kategori Keputusan
2001 (AJL 16) Seandainya Masih Ada Cinta Seandainya Masih Ada Cinta Ajai Syed ENV Balada Menang

Juara Kategori

Bahagia Pop Rock Tercalon
2004 (AJL 19) Erti Hidup Dayang Sayang Kamu Afdlin Shauki & Aji Afdlin Shauki Etnik Kreatif Menang

Juara Kategori

2014 (AJL 29) Di Pintu Syurga Dayang Nurfaizah Tam Spider Iman Imran Terbuka Menang

Tempat Ketiga

Vokal Terbaik Menang
2015 (AJL 30) Tak Pernah Menyerah Akid Pojie Samad Terbuka Tercalon
Vokal Terbaik Menang
2016 (AJL31) Lelaki Teragung Natashah Iman Imran Terbuka Menang

Juara Keseluruhan

Vokal Terbaik Menang
2017 (AJL 32) Separuh Mati Ku Bercinta Ajai Ajai Terbuka Tercalon
2018 (AJL 33) Haram (duet bersama Hael Husaini) Hael Husaini & Ezra Kong Hael Husaini & Ezra Kong Terbuka Menang

Juara Keseluruhan

Anugerah Planet Muzik[sunting | sunting sumber]

Tahun Kategori Karya tercalon Album Keputusan
2002 Lagu Paling Popular APM Seandainya Masih Ada Cinta Seandainya Masih Ada Cinta Menang
Album Terbaik Tercalon
2011 Kolaborasi Terbaik (Artis) Sayang (duet bersama Marcell) Menang
2012 Kolaborasi Terbaik (Artis) Perlukan cinta (duet bersama Tompi) Tercalon
2014 Artis Terbaik (Wanita) Di Pintu Syurga Dayang Nurfaizah Tercalon
2015 Artis Terbaik (Wanita) Tak Pernah Menyerah Tercalon
2016 Artis Terbaik (Wanita) Langit Cinta Tercalon
2017 Artis Terbaik (Wanita) Lelaki Teragung Dayang Nurfaizah Menang
Lagu Terbaik Malaysia Menang
Lagu Paling Popular APM Tercalon
Artis Paling Popular APM Tercalon
2018 Artis Terbaik (Wanita) Separuh Mati Ku Bercinta Dayang Nurfaizah Tercalon
Lagu Terbaik Malaysia Tercalon

Anugerah Bintang Popular Berita Harian[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Keputusan
2014 Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-28 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
2015 Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-29 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
2018 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular (bersama Malique) Tercalon
2019 Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-32 Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular (bersama Hael Husaini) Menang
2023 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 Penyanyi Wanita Popular Tercalon

Lain-lain[sunting | sunting sumber]

  • Finalis Bintang Remaja Asli 1996 (Kunching, Sarawak)
  • Finalis Golden Teen Search 1996 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang Remaja Asli 1997 (Kuching, Sarawak)
  • Juara Golden Teen Search 1997 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang RTM 1998 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang Penghibur HMI 2000 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Lagu Paling Popular - Anugerah Planet Muzik 2002 - "Seandainya Masih Ada Cinta"
  • Anugerah Lagu Global Pilihan (Erti Hidup- Anugerah Era 2005)
  • Persembahan Kolaborasi Terbaik - Anugerah Planet Muzik 2011 - Lagu "Sayang" bersama Marcell Siahan

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Vince and Dayang Nurfaizah to perform in Miri". Malaysia Star. 12 Julai 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-07-12. Dicapai pada 20 April 2012.
  2. ^ "Sunday with ... Dayang Nurfaizah". Malaysia Star. 25 September 2005. Dicapai pada 20 April 2012.
  3. ^ Budiey (16 Jun 2011). Showcase Sayang & Cahaya Dayang Nurfaizah Sensasi Selebriti. Dicapai pada 14 Februari 2012.
  4. ^ Bibi Nurshuhada Ramli (6 November 2015). Dayang returns to perform in Malam Terang Bulan New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2016.
  5. ^ Kemalia Othman (5 Julai 2016). Bapa Simbolik 'Lelaki Teragung' Dayang Nurfaizah mStar Online. Dicapai pada 5 Julai 2016.
  6. ^ Adib Povera (15 Januari 2017). Dayang Nurfaizah to dedicate Anugerah Juara Lagu performance to Tok Nan New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2017.
  7. ^ Nadia Azam (22 Januari 2017). Lelaki Teragung dinobat juara AJL31 Malaysiakini. Dicapai pada 7 Februari 2017.
  8. ^ "Song #BangkitBersama". Official website. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-08. Dicapai pada 8 August 2017.
  9. ^ Dennis Chua (15 Jun 2017). Dayang honoured to sing Sea Games New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2018.
  10. ^ Tahir Alhamzah (2 Januari 2018). (Showbiz) Dayang Nurfaizah wows 1,500 of her fans at Singapore's Esplanade Concert Hall New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.
  11. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-04. Dicapai pada 2018-01-04.
  12. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-04. Dicapai pada 2018-01-04.
  13. ^ Zaidi Mohamad (8 Julai 2019). Dayang hargai doa peminat Berita Harian. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  14. ^ Tahir Alhamzah (29 Januari 2019). #Showbiz: Dayang to perform solo concert in July New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.
  15. ^ "Selagi tiada pengumuman kahwin, selagi itu boleh kenal" - Dayang Nurfaizah tak tutup peluang lelaki lain mStar Online (9 September 2019). Dicapai pada 10 September 2019.
  16. ^ Feride Hikmet Atak (17 Ogos 2019). Salahkah kami berkawan? - Dayang Nurfaizah Berita Harian. Dicapai pada 1 September 2019.
  17. ^ Syahrul Ramadan (9 September 2019). Dayang Nurfaizah Talks About Her Special Relationship With Hael Husaini Hype.my. Dicapai pada 10 September 2019.
  18. ^ Dayang’s not a fan of social media: "I don't need to share my personal life online" The Star Online (10 Ogos 2018). Dicapai pada 10 Ogos 2018.
  19. ^ Dennis Chua (28 Februari 2018). (Showbiz) Dayang Nurfaizah, a fan of BigBang and 2Ne1 New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]