Death Busters

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Death Busters (デスバスターズ, Desu Basutāzu) adalah sekumpulan watak fiksyen yang merupakan antagonis utama dalam siri ketiga Sailor Moon yang dicipta oleh Naoko Takeuchi. Adaptasi Inggeris menggelar mereka sebagai "Heart Snatchers" (Peragut Hati) dan "Bureau of Bad Behavior" (Biro Tingkahlaku Jahat).

Tujuan utama Death Busters adalah untuk membangkitkan Puan 9 supaya membawa makhluk asing dari dimensi lain, iaitu Pharaoh 90 ke Bumi, yang mana akhirnya membawa kepada kemusnahannya yang disebut Kesunyian. Kumpulan ini diketuai oleh Profesor Soichi Tomoe, dibantu oleh Kaolinite. Mereka mempunya konco-konco bergelar 5 Ahli Sihir untuk menggerakkan rancangan mereka.

Watak-Watak Utama[sunting | sunting sumber]

Profesor Soichi Tomoe[sunting | sunting sumber]

Profesor Soichi Tomoe (土萠 創一) merupakan ketua Death Busters dan ayah kepada Hotaru Tomoe. Di dalam manga, dia adalah seorang saintis sehinggalah dia disingkir dari komuniti ilmiahnya kerana cuba menjalankan eksperimen luarbiasa. Selepas menjual sebahagian dari penemuannya, dia membeli suatu kawasan di mana dia membina makmal dan sekolahnya sendiri. Dia meneruskan kajiannya, akan tetapi berlaku insiden panahan petir yang mengakibatkan kebakaran besar serta mengorbankan isterinya, Keiko dan anak perempuannya Hotaru cedera parah.

Dia menyelamatkan anak perempuannya dengan mencipta tubuh sibernetik untuknya dan mengikat perjanjian dengan Pharaoh 90. Dengan kuasa Pharaoh 90, dia menghidupkan semula anak perempuannya, namun sebagai gantinya, dia berubah menjadi seorang yang jahat. Dia menanam Telur Daimon ke dalam tubuh anak perempuannya; yang mana telur tersebut tiba bersama Pharaoh 90 ketika insiden panahan petir; kemudiannya menanamnya juga ke dalam tubuh pembantunya, Kaori dan juga dirinya sendiri.

Selepas itu, dia menumpukan perhatiannya kepada penciptaan "Manusia Agung", menggunakan pelbagai teknik saintifik termasuklah genetik, farmakologi dan sibernetik. Tubuh manusia digunakan sebagai "bekas". Selain itu, dia juga menghasilkan beberapa Daimon dari Telur sahaja dan berjaya menghasilkan 5 Ahli Sihir.

Apabila Super Sailor Moon tiba di makmalnya bersama Uranus, Neptune dan Pluto, Daimon menyerang mereka dan Profesor Soichi bertukar menjadi makhluk bernama Germatoid. Sailor Moon memusnahkan dia dengan serangan "Pelangi Hati Bulan" dan untuk seketika, Hotaru muncul untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya, yang dia tahu, telah lama tiada selepas kematian ibunya.

Di dalam anime, beliau terlibat di dalam satu kemalangan di makmal dan anak perempuannya cedera parah. Semasa meratapi anaknya, suatu entiti asing iaitu Germatoid muncul dan membuat perjanjian untuk menyelamatkan anaknya jika dia memberi tubuhnya dimasuki Daimon Germatoid. Anak perempuannya juga dimasuki oleh entiti yang kemudiannya dikenali sebagai Puan 9. Semenjak dari itu, tubuhnya dikawal oleh Germatoid walaupun adakalanya mempunyai sifat seperti seorang manusia biasa.

Selepas Sailor Uranus dan Sailor Neptune berjaya masuk ke bangunan Sekolah Mugen (yang pada masa itu dikelilingi lendiran Daimon), Puan 9 mengarahkan Profesor Soichi (yang pada masa ini digelar Daimon Germatoid) untuk menyerang mereka. Setelah bersemuka dengan Uranus dan Neptune, entiti raksasa berupa makhluk asing bermata satu keluar dari tubuh Profesor Soichi. Uranus memusnahkannya dengan "Gempita Bumi", menghancurkan makhluk tersebut menjadi cebisan kecil. Akan tetapi cebisan-cebisan tersebut masuk ke dalam patung-patung ciptaan Profesor dan menyerang mereka berdua. Pada masa inilah Azimat Uranus dan Neptune muncul dan mereka mengetahui bahawa Azimat tersebut juga adalah senjata utama mereka: Pedang Angkasa milik Sailor Uranus, membelah dan memusnahkan musuh serta Cermin Lautan Dalam milik Sailor Neptune menyatakan kebenaran.

Neptune menggunakan cerminnya untuk menunjukkan patung mana yang perlu dimusnahkan dan Uranus menghunus pedangnya serta menikam mata patung tersebut yang akhirnya memusnahkan Daimon Germatoid. Selepas berakhirnya pertempuran tersebut, Profesor Soichi terselamat namun telah kehilangan semua ingatannya, kecuali ingatannya tentang Hotaru. Dia hidup bersama dengan Hotaru yang dilahirkan semula sebagai bayi sehinggalah di awal siri ke-5 Sailor Moon, di mana Pluto (yang muncul kembali sebagai Setsuna), mengambil Hotaru darinya, kerana tahu para Srikandi Sailor memerlukan kuasanya.

Kaolinite[sunting | sunting sumber]

Kaolinite (カオリナイト, Kaorinaito) ialah pembantu peribadi Profesor Soichi dan sangat menyukainya. Sifatnya di dalam anime dan manga berbeza sama sekali; di dalam manga, dia sangat mengambil berat terhadap Hotaru walaupun Hotaru tidak menyukainya. Akan tetapi di dalam anime, dia tidak begitu menyukai Hotaru.

Asal-usul sifat jahat Kaolinite dinyatakan di dalam manga; semasa insiden panahan petir di makmal Profesor Soichi, dia juga terkena panahan petir tersebut dan selepas terjaga, dia bertukar menjadi "Magus Kaolinite". Dia merupakan ketua bagi 5 Ahli Sihir dan mereka menerima arahan darinya. Gelaran "Magus" merupakan kedudukan yang ingin dicapai oleh 5 Ahli Sihir tersebut; dengan kelebihan boleh berkomunikasi secara terus dengan Tuan Pharaoh 90.

Di dalam anime, kemunculan pertamanya adalah apabila dia menyerang orang yang berpotensi memiliki hati yang suci dan untuk membantunya mencapai tujuan tersebut, dia menggunakan Daimon yang dicipta oleh Profesor Soichi. Pada awal mula siri anime musim ke-3 Sailor Moon, misinya adalah untuk mencari 3 Azimat yang dimiliki oleh Sailor Uranus, Sailor Neptune dan Sailor Pluto, walaupun Uranus serta Neptune tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya memiliki Azimat tersebut. Pluto dikatakan sudah mengetahui dari awal, bahawa dia memiliki Azimat ke-3, iaitu Bebola Delima dari Tongkat Delimanya.

Ketika Kaolinite menjadi watak antagonis utama dalam siri ke-3 Sailor Moon, telur Daimon yang dibawanya akan masuk ke dalam mana-mana objek tak hidup dan bertukar menjadi raksasa. Apabila menemui mangsanya, raksasa Daimon itu akan melancarkan satu pancaran hitam dari bintang hitam yang berada pada tubuh raksasa itu ke arah dada mangsa dan menyebabkan mangsa berada dalam kesakitan.

Kaolinite akhirnya ditewaskan oleh Srikandi Sailor semasa bertarung di atas Menara Tokyo. Semasa cuba membekukan Srikandi Sailor dengan senjata pedang kacanya, Sailor Uranus melancarkan serangan "Gempita Bumi" dan menyebabkan serangan Kaolinite berpatah balik ke arahnya, membekukannya di dalam kaca dan akhirnya dia jatuh ke bawah menara, tanpa diketahui samada dia sudah mati atau sebaliknya.

Kaolinite kemudian dihidupkan semula oleh Profesor Soichi dengan nama baru, iaitu Kaori, namun sebagai seorang setiausahanya. Dia juga menjaga hal ehwal Hotaru dan seringkali menunjukkan ketidaksenangannya terhadap Hotaru. Akhirnya, setelah diminta oleh Profesor Soichi untuk menjalankan tugasnya yang terdahulu, dia akhirnya berjaya mendapatkan hati suci Usagi Kecil, dan membawanya kepada Profesor Soichi untuk dipersembahkan kepada Puan 9. Walau bagaimana pun, setelah Puan 9 dibangkitkan dengan kuasa hati suci Usagi Kecil, dia dipanah petir oleh Puan 9 sekaligus membunuhnya.

Puan 9[sunting | sunting sumber]

Puan 9 (ミストレス9, Misutoresu Nain) adalah entiti jahat dari dimensi lain di alam semesta, iaitu Sistem Bintang Tau Ceti. Dia datang ke Bumi untuk membuka jalan bagi Pharaoh 90 menaklukinya. Dia juga dikenali sebagai "Sang Jahat Penuh Kesepian" dan tinggal di dalam tubuh Hotaru sebelum dibangkitkan.

Manga menceritakan betapa Death Busters cuba sedaya upaya untuk membangkitkan Puan 9 ini. Kehadiran pertamanya di Bumi adalah dalam bentuk telur Daimon yang ditanam ke dalam tubuh Hotaru apabila entiti Death Busters muncul kepada Profesor Soichi. Akibat dari kejadian ini, tubuh Hotaru berada dalam keadaan lemah dan sering mengalami sawan. Kristal Taioron meredakan keadaan sawan tubuh Hotaru, akan tetapi setelah Usagi Kecil mengenali Hotaru dan membantunya melegakan kesakitannya dengan Kristal Perak Lagenda, entiti Puan 9 di dalam tubuh Hotaru cuba memilikinya dan akhirnya memperolehnya, menyebabkan Usagi Kecil berada dalam keadaan koma. Hal ini disebabkan Kristal Perak Lagenda milik Usagi Kecil merupakan sumber tenaga dan hidupnya.

Setelah memperoleh Kristal Perak Lagenda Usagi Kecil, susuk tubuh Hotaru bertukar menjadi seorang wanita dewasa. Akan tetapi, jiwa Hotaru cuba menghalang Puan 9 dari menguasai tubuh Hotaru dan menghalangnya dari menggunakan kuasa Kristal tersebut. Dia kemudian cuba melepaskan dirinya dari tubuh Hotaru (kerana dia sebenarnya adalah satu raksasa yang sangat besar). Akan tetapi, jiwa Hotaru menghalangnya dari terlepas dan kemudian, Puan 9 mengambil jiwa keempat-empat Srikandi Penjaga Sailor Moon. Hotaru merampas kembali jiwa Srikandi tersebut dan keluar dari tubuh Hotaru untuk mengembalikannya ke dalam tubuh mereka, dan pada masa sama mengembalikan Kristal Perak Usagi Kecil ke dalam tubuhnya.

Semasa jiwa Hotaru keluar dari tubuhnya, Puan 9 melepaskan dirinya dan memusnahkan tubuh Hotaru. Akhirnya dia membuka pintu yang membawa kepada kemunculan Pharaoh 90 di Bumi. Pada saat ini, Sailor Saturn muncul dan dengan senjata Sabit Kesepiannya, dia menyerang Puan 9 dan Pharaoh 90 (yang pada masa ini telah bergabung). Serangan Saturn menyebabkan Puan 9 kehilangan kuasa dan cuba untuk lari kembali ke dimensi asalnya bersama Pharaoh 90. Akan tetapi Saturn mengikut mereka dan mengarahkan Pluto menutup pintu yang terbuka ke dimensi mereka untuk selama-lamanya.

Adaptasi anime menceritakan kisah yang hampir sama, di mana entiti Puan 9 masuk ke dalam tubuh Hotaru selepas insiden letupan di makmal Profesor Soichi. Tubuh Profesor Soichi juga dimasuki satu entiti asing, iaitu sejenis Daimon bernama Germatoid. Sebelum kebangkitannya, Puan 9 kadang-kala mengawal tubuh Hotaru dan seringkali membuatkan Hotaru membuat perkara yang menyebabkan orang di sekelilingnya cedera dan menakutkan mereka. Selepas Sailor Moon memperoleh Piala Suci yang menjadi rebutan, misi Death Busters bertukar dari mencari pemilik 3 Azimat kepada mencari sebanyak mungkin hati suci untuk membangkitkan Puan 9. Setelah banyak percubaan dari Mimet, Telulu, Viluy serta Siprin dan Petirol untuk mendapatkan hati suci gagal, akhirnya Kaolinite berjaya menculik Usagi Kecil dan dipersembahkan kepada Puan 9 supaya hati sucinya (iaitu sumber kuasa Kristal Perak Lagenda milik Usagi Kecil) diambil. Kemudian, seperti di dalam manga, dia akhirnya bangkit dengan tubuh Hotaru berubah kepada susuk tubuh wanita dewasa.

Setelah memusnahkan Kaolinite, dia cuba mendapatkan Piala Suci dari Sailor Moon. Dia berpura-pura berada dalam keadaan kesakitan dan memperdaya Sailor Moon supaya dia menyerahkan Piala Suci tersebut kepadanya. Setelah memperoleh Piala tersebut, dia memasukkannya ke dalam mesin yang telah dibina untuk membuka pintu ke Bumi supaya Pharaoh 90 menguasai seterusnya memusnahkannya. Piala tersebut musnah dan semasa Pharaoh 90 membesar, Puan 9 dicederakan oleh letusan tenaga yang dilepaskan oleh Pharaoh 90, namun dilindungi oleh Sailor Moon dan Profesor Soichi.

Jiwa Hotaru yang masih tinggal dalam tubuhnya bertarung dengan entiti Puan 9 yang cuba menghalangnya dari keluar. Akan tetapi keinginan Hotaru untuk melindungi ayahnya dan jiwa Usagi Kecil mengatasi kekuatan Puan 9 dan akhirnya memusnahkannya. Tubuh Hotaru lenyap dengan jiwa Hotaru sebagai Sailor Saturn datang kepada Usagi Kecil (yang pada masa ini tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada kuasa Tuxedo Mask untuk hidup) untuk mengembalikan hati sucinya.

Pharaoh 90[sunting | sunting sumber]

Pharaoh 90 (師ファラオ90(マスターファラオナインティ), Master Pharaoh 90) adalah watak jahat berupa makhluk asing dari Sistem Bintang Tau Ceti. Di dalam anime, ia digambarkan sebagai suatu sfera hitam yang besar dengan sesungut. Manga pula menggambarkan ia sebagai salah satu musuh terkuat yang pernah dihadapi oleh Sailor Moon dan rakan-rakannya.

Di dalam manga, tujuan Pharaoh 90 ialah untuk menggabungkan dirinya dengan planet Bumi dan menjadikan Bumi miliknya. Ia memerlukan bantuan Puan 9 untuk mencapai tujuan ini. Ia juga sering berhubung secara langsung dengan Kaolinite dan Profesor Soichi. Anime pula menggambarkan tujuannya untuk memusnahkan Bumi dengan membawa malapetaka "Kesunyian".

Tidak seperti kebanyakan musuh-musuh lain dalam siri Sailor Moon, ia tidak dimusnahkan oleh Sailor Moon di dalam manga. Walau bagaimanapun, di dalam anime, setelah Saturn masuk ke dalam Pharaoh 90 untuk memusnahkannya, dengan bantuan kuasa para Srikandi Pelindung Sailor Moon, Uranus dan Neptune, Sailor Moon juga dapat masuk ke dalamnya, memusnahkan Pharaoh 90 serta memberi peluang kedua kepada Hotaru untuk dilahirkan semula.

5 Ahli Sihir[sunting | sunting sumber]

5 Ahli Sihir (ウィッチーズ5, Witches 5) adalah konco-konco di dalam Death Busters. Di dalam manga, mereka dikatakan dicipta oleh Profesor Soichi dari telur Daimon dan diketuai oleh Kaolinite. Di dalam anime, mereka diketuai oleh Profesor Soichi sendiri dan menerima arahan darinya. Seperta nama kebanyakan musuh Sailor Moon, nama mereka adalah berdasarkan nama-nama batuan.

Anime menyatakan tugas mereka sebagai penyelidik di dalam makmal bawah tanah Profesor Soichi selain menjadi pelajar di Sekolah Mugen. Mereka kemudiannya diarahkan mencari 3 Azimat, dan kemudian mencari serta mengumpulkan banyak hati suci bagi membangkitkan Puan 9. Setiap dari mereka cuba untuk memperoleh perhatian dari Profesor Soichi supaya dipilih menjadi ketua eksekutif sindiket jahat tersebut, akan tetapi kesemuanya gagal.

Di dalam manga, mereka mempunyai misi untuk mengumpulkan "bekas", iaitu tubuh manusia untuk dijadikan tempat untuk menanam telur Daimon. Setiap dari mereka memiliki tongkat sakti dan mempunyai tahap kekuatan tersendiri. Kekuatan mereka berpadanan dengan kuasa setiap Srikandi Pelindung Sailor Moon, akan tetapi tidak setanding dengan kuasa Srikandi Pelindung Luar Sistem Suria.

Eudial[sunting | sunting sumber]

Eudial (ユージアル, Yūjiaru, disebut Eugeal dalam versi alih suara bahasa Inggeris) adalah yang pertama muncul di antara 5 Ahli Sihir. Namanya berasaskan batuan Eudialit yang berwarna merah. Di dalam anime, dia digambarkan sebagai ahli tertua di kalangan 5 Ahli Sihir, dan sangat diharapkan oleh Profesor Soichi pada mulanya, menyebabkan dia tidak disenangi oleh rakan-rakannya, terutama sekali Mimet.

Sebagai seorang pencipta, dia telah menghasilkan beberapa senjata yang digunakan dalam pertarungannya dengan Srikandi Sailor. Fire Buster adalah antara senjata pertamanya yang ditampilkan di dalam anime. Ia menghasilkan api yang sangat kuat sehingga mampu memantul serangan "Lingkaran Hati Bulan" Sailor Moon. Fire Buster II pula merupakan modifikasi dari senjata pertamanya dan mampu menghasilkan api yang lebih kuat. Ciptaan ketiganya adalah "Pesongan Elektrik Sang Ahli Sihir"; komputer yang membolehkan seseorang masuk ke dalam skrin besar dan kuasa yang dimiliki orang itu meningkat; akan tetapi ciptaan ini tidak digunakan oleh Eudial.

Semasa pertarungannya dengan Srikandi Sailor di Marine Cathedral, Eudial berjaya memperoleh dua Azimat yang telah dikeluarkan dari tubuh Uranus serta Neptune, akan tetapi Pluto mengambil 2 azimat tersebut darinya. Gabungan Azimat Uranus, Neptune serta Pluto membangkitkan "Piala Suci" yang juga dicari oleh Death Busters, dan melihat kemunculan piala tersebut, Eudial serta Sailor Moon berebut untuk memperolehnya. Sailor Moon berjaya mendapatkan piala tersebut dan kuasa dari piala itu menukarkannya kepada Sailor Moon Super serta memberinya lebih kuasa. Eudial cuba menyerang dia dengan senjata Fire Buster II, akan tetapi ditepis oleh Sailor Moon dan api itu mencampakkannya keluar dari tempat pertarungan mereka. Dia melarikan diri dan semasa memandu keretanya, dia mendapati siput makmal telah memusnahkan brek keretanya dan terdapat mesej dari Mimet yang menyatakan bahawa "Eudial harus mati". Akhirnya dia melanggar penghalang jalan dan jatuh ke dalam laut menyebabkan dia terbunuh.

Di dalam manga, nama manusianya ialah Yuko Arimura (有村ゆうこ), dan mengajar subjek Etika di bahagian Falsafah dalam Sekolah Mugen. Tahap kekuatannya adalah berada di Tahap 78. Semasa orientasi pelajar Sekolah Mugen di Gunung M, dia cuba menjadikan mereka sebagai "bekas", akan tetapi Sailor Mars serta Sailor Jupiter muncul untuk menentangnya. Serangan terbaru Mars, iaitu "Api Ular Mars" menyebabkan Eudial bertukar menjadi raksasa. Akhirnya Sailor Moon muncul dan memusnahkannya. Semasa Kaolinite menghidupkan semula 5 Ahli Sihir, dia diarahkan untuk bertarung dengan Sailor Mars.

Mimet[sunting | sunting sumber]

Mimet (ミメット, Mimetto) merupakan watak jahat kedua dari 5 Ahli Sihir yang diketengahkan. Namanya bersempena dengan nama batuan Mimetit yang berwarna kekuningan. Nama manusianya ialah Mimi Hanyu (羽生美々) dan mengajar kelas Lakonan di bahagian Seni Sekolah Mugen. Kekuatannya adalah berada di Tahap 40, dan serangannya ialah "Charm Buster", yang muncul di dalam anime serta manga.

Manga menyatakan bahawa dia merupakan idola pop di sekolahnya dan mengadakan konsert untuk mengumpulkan "bekas" bagi tujuan jahat Death Busters. Pada konsert Mimet, Minako menyamar sebagai pelajar Sekolah Mugen untuk menghadiri konsert tersebut dan setelah mengetahui agenda jahat Mimet, bertarung dengannya. Mimet meminta bantuan Kaolinite untuk membangkitkan raksasa Daimon setelah Srikandi Sailor yang lain muncul tetapi Mimet akhirnya dimusnahkan oleh Sailor Uranus. Semasa dihidupkan semula oleh Kaolinite, dia diarahkan untuk menentang Sailor Venus.

Anime menceritakan tentang tugas Mimet untuk mengumpul hati suci selepas Eudial dimusnahkan. Mangsa utama Mimet adalah selebriti yang kacak dan terkenal. Daimon yang dibawa oleh Mimet berupaya mengeluarkan hati suci mangsa dengan menyedutnya dari mulut mereka. Disebabkan Daimon yang dibawa oleh Mimet lebih kuat dari Daimon sebelumnya, Sailor Moon perlu menggunakan kuasa Piala Suci untuk menumpaskannya. Keupayaan serangan Mimet di dalam anime, iaitu "Charm Buster", menyebabkan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta tidak mampu bergerak.

Setelah beberapa cubaan Mimet untuk memperoleh hati suci gagal, Profesor Soichi telah mengarahkan Telulu untuk meneruskan tugas tersebut. Mimet yang ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan profesor, cuba mengambil hatinya dengan menggunakan ciptaan Eudial yang tidak digunakan, iaitu "Pesongan Elektrik Sang Ahli Sihir". Eudial tidak menggunakan ciptaan ini kerana sekiranya plak elektrik dicabut ketika seseorang berada dalam komputer, dia akan terperangkap di dalamnya untuk selama-lamanya. Mimet membawanya ketika cuba menyerang seorang profesor luar negara yang pada masa itu memberi syarahan perdana di Sekolah Mugen. Srikandi Sailor yang sedang menyiasat sekolah tersebut bertarung dengan Mimet dan Daimonnya (yang bernama Upasocon) dan Sailor Moon Super berjaya memusnahkan Daimon tersebut. Mengetahui bahawa Srikandi Sailor telah menggunakan kesemua tenaga mereka, Mimet mengeluarkan komputer ciptaan Eudial dan muncul di skrin besar dewan syarahan melalui komputer tersebut. Dia mengancam untuk memusnahkan Srikandi Sailor dengan serangan "Charm Buster"nya. Akan tetapi Telulu tiba-tiba muncul dan menarik plak elektrik yang bersambung dengan komputer tersebut. Akibatnya, Mimet jatuh ke dalam gaung khayalan komputer dan lenyap.

Telulu[sunting | sunting sumber]

Telulu (テルル, Teruru) merupakan ahli ke-3 dari 5 Ahli Sihir yang muncul dalam siri ke-3 Sailor Moon. Nama manusianya ialah Lulu Teruno (照野留々) dan mengajar kelas Botani dalam bahagian Fizikal Sekolah Mugen dan juga menjaga kebun sekolah. Namanya berkait dengan nama batuan telurit. Manga menyatakan bahawa dia berada pada Tahap 404, dan serangan terkuatnya ialah "Mandragora Buster". Dia menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk menyerang mangsanya dan semasa Sailor Moon cuba menyerang balas, dia berjaya menepis serangannya. Serangan "Hati Manis Merah Jambu" Sailor Chibi Moon menukarkan Telulu kepada raksasa dan akhirnya, Sailor Pluto memusnahkannya. Ketika dihidupkan semula oleh Kaolinite, dia diarahkan untuk menyerang Sailor Jupiter.

Anime menceritakan bahawa dia telah memusnahkan Mimet dan ditugaskan untuk mencuri hati suci. Dia menggunakan pendekatan berbeza, iaitu menggunakan tumbuhan "Telulun" yang dikatakan mampu tumbuh tanpa disiram. Akan tetapi apabila berbunga, tumbuhan ini mampu mencuri hati suci. Disebabkan tumbuhan tersebut dijual dalam kuantiti yang banyak, Telulu merancang untuk memperoleh banyak hati suci untuk dipersembahkan kepada profesor. Dia juga telah memberi tumbuhan tersebut kepada Hotaru secara percuma, dan Hotaru, yang tidak mengetahui bahawa tumbuhan tersebut berbahaya, merancang untuk memberinya kepada Usagi Kecil sebagai hadiah.

Setsuna yang mengkaji tumbuhan tersebut berasa hairan dengan kemampuan luar biasa tumbuhan tersebut, dan semasa mengkajinya, tumbuhan itu berbunga dan cuba mengambil hati sucinya. Akan tetapi Bebola Delimanya muncul dan menghasilkan medan tenaga yang melindunginya. Semasa melawat Usagi Kecil, Setsuna melihat dia sedang memegang tumbuhan tersebut dan mencampakkannya. Yakin bahawa Hotaru tidak mengetahui akan bahaya tumbuhan tersebut, Sailor Moon, Sailor Chibi Moon dan Sailor Pluto menyiasat kedai tempat menjual tumbuhan itu. Ketika mereka sedang mengintai Telulu, dia memerangkap pelanggan yang ada di dalam kedainya, mencuri hati suci mereka dan mengumpulnya di dalam satu bekas kecil berbentuk bintang hitam. Rancangan jahat Telulu terbongkar dan berlaku pertarungan sengit. Kuasa serangan Sailor Chibi Moon menjadi lebih kuat dari yang biasa, sehingga mampu menghalang serangan Telulu. Ketika Telulu cuba menyerang balas, Pluto menghalang serangan tersebut, menyebabkan dia tidak mampu bergerak.

Tuxedo Mask muncul, menyelamatkan Pluto dan akhirnya Sailor Moon Super memusnahkan semua tumbuhan jahat di kedai tersebut. Marah dengan Sailor Moon, dia menyuntik satu tumbuhan Telulun dengan sejenis bahan kimia yang menukarkan tumbuhan itu menjadi Hyper-Telulun. Ia hanya bergerak balas terhadap hati suci dan memusnahkan pemilik hati suci itu beserta dirinya sendiri. Ketika Telulu cuba beredar dari kedai itu, Tuxedo Mask melemparkan bunga ros menyebabkan bekas kecil berisi hati suci yang dikumpul Telulu pecah. Semua hati suci bertaburan dan menyebabkan Hyper-Telulun menyerang Telulu. Dia cuba membalikkan serangan tumbuhan tersebut akan tetapi tidak berjaya dan akhirnya musnah bersama dengan tumbuhan tersebut.

Viluy[sunting | sunting sumber]

Viluy (ビリユイ, Biriyui) adalah ahli ketiga dalam 5 Ahli Sihir yang diketengahkan dalam siri ini. Namanya bersempena dengan nama sejenis mineral viluit.

Yui Bidoh (美堂ゆい, Bidō Yui)Dia berada pada Tahap 202 dan mengajar kelas Komputer dalam bahagian Sains Sekolah Mugen. Dia juga memprogramkan semua komputer di sekolah tersebut untuk meragut Jiwa penggunanya ketika latihan peperiksaan nasional. Dengan menggunakan robot nanonya melalui serangan "Mosaic Buster", dia cuba menyerang balas serangan "Logamaya Akua Mercury". Akan tetapi Sailor Uranus muncul dan dengan menyerukan Pedang Angkasanya (iaitu Azimat Ke-2), dia memusnahkan Viluy.

Selepas dihidupkan semula oleh Kaolinite, Viluy diarahkan untuk bertarung dengan Mercury dan dia cuba mengalihkan perhatiannya dengan menunjukkan superkomputer yang menggerakkan Sekolah Mugen. Semasa Mercury sedang leka, dia menyerang dengan robot nanonya dan Mercury terperangkap.

Adaptasi anime pula menceritakan bahawa selepas Tellu dimusnahkan, Viluy ditugaskan mengumpul hati suci. Seperti di dalam manga, dia juga menggunakan superkomputer sekolah (yang dikawal oleh gelang tangannya) untuk mencuri hati suci pelajar sekolah ketika peperiksaan nasional sedang berjalan. Dia berjaya menyerang balas serangan "Ilusi Akua Bersinar" Mercury dengan robot nanonya dan cuba memusnahkan tubuh Mercury. Viluy juga berjaya menumbangkan Haruka dan Michiru, tetapi kemudian mereka berdua mengatasi serangan Viluy dan bertukar menjadi srikandi Sailor. Dengan serangan Neptune dan Uranus, Viluy menjadi lemah dan Sailor Moon memusnahkan gelang tangannya yang mengawal seluruh serangannya. Akibat dari serangan Sailor Moon, robot nano tersebut berpaling tadah dan menyerang Viluy. Lama kelamaan, Viluy dimusnahkan oleh robot nanonya sendiri dan para srikandi Sailor melihat dengan sayu saat Viluy musnah dan menghilang.

Siprin Dan Ptilol[sunting | sunting sumber]

Siprin (シプリン, Shipurin) dan Ptilol (プチロル, Puchiroru)adalah ahli ke-5 dalam kumpulan 5 Ahli Sihir. Mereka bertindak bersama-sama dan kuasa mereka adalah satu. Nama mereka adalah bersempena nama mineral siprin dan klinoptilolit.

Anime menceritakan bahawa mereka adalah ahli terakhir dalam 5 Ahli Sihir, dan ahli paling kuat. Pada mulanya, hanya Siprin yang bersemuka dengan Srikandi Sailor, akan tetapi apabila mula bertarung dengan mereka, Ptilol muncul dan mereka mempunyai fikiran yang sama dalam dua tubuh yang berbeza. Serangan mereka berdua ternyata sangat kuat, apabila seorang menghalang serangan Srikandi Sailor, seorang lagi menyerang balas dari belakang. Tambahan pula, tongkat sakti mereka mampu menyerap serangan Srikandi Sailor dan meningkatkan tenaga serangan Siprin dan Ptilol apabila menyerang balas.

Akan tetapi, dengan semangat berpasukan Srikandi Sailor melalui Kabus Shabon Mercury yang mengaburi penglihatan mereka berdua, Srikandi Sailor berjaya memperdaya Siprin dan Ptilol sehingga mereka saling menyerang sesama sendiri dan akhirnya memusnahkan diri mereka sendiri.

Di dalam manga, Siprin dan Ptilol merupakan ahli terkuat dalam 5 Ahli Sihir dengan Tahap 999 dan serangan mereka "Ribbon Buster" mampu mencari perasaan gelap di dalam hati para Srikandi Pelindung dan Srikandi Luar Sistem Suria sehingga mereka menyerang sesama sendiri. Sailor Chibi Moon cuba menghalang mereka tetapi gagal. Akhirnya, Sailor Moon, menyeru semua Srikandi Sailor untuk bersatu hati, dan menyedarkan mereka dari pukauan kuasa jahat Siprin. Tiba-tiba, Piala Suci menjelma dan Srikandi Pelindung meminjamkan Sailor Moon kuasa mereka dan 3 Azimat Srikandi Pelindung Luar Sistem Suria juga memberi kuasanya kepada piala suci tersebut. Sailor Moon "meminum" campuran kuasa-kuasa ini dari piala suci tersebut dan bertukar menjadi Sailor Moon Super. Sailor Chibi Moon terkejut dengan transformasi Sailor Moon dan menyatakan bahawa bondanya, Neo-Queen Serenity, pernah memberitahu, suatu masa nanti, dia akan bertemu Sailor Moon yang lebih berkuasa. Setelah bertukar menjadi Sailor Moon Super, dia menggunakan Tongkat Hati Bulannya dengan serangan "Pelangi Hati Bulan" seterusnya memusnahkan Siprin dan Ptilol.

Daimon[sunting | sunting sumber]

Adaptasi anime menyatakan bahawa Daimon adalah raksasa yang menjelma hasil dari paduan telur Daimon dan apa-apa objek yang ingin digunakan sebagai senjata untuk menyerang Srikandi Sailor. Selain itu juga, Daimon boleh bergabung dengan manusia untuk membentuk raksasa, seperti yang ditunjukkan dalam satu episod di mana tongkat sakti Haruka muncul apabila ia cuba menyerangnya, dan akhirnya membawa kepada tersedarnya jiwa Srikandi Sailor Haruka sebagai Sailor Uranus. Daimon ini mampu mengambil hati suci mangsanya samada dengan cara menembak cahaya terus ke dadanya atau menarik nafas atau mencium mangsa tersebut.

Ketika Eudial ditugaskan mencari hati suci yang mengandungi Azimat, Daimon yang dibawanya tidak mengambil hati suci, sebaliknya pistol Eudial digunakan untuk menembak terus ke dada mangsa dan memaksa hati suci itu keluar. Daimon berfungsi mempertahankannya jika dia diserang Srikandi Sailor.

Ketika kebangkitan Puan 9, semua telur Daimon pecah dan cecair darinya membentuk suatu perisai melindungi bangunan Sekolah Mugen. Srikandi Pelindung dan Sailor Moon cuba menembusi halangan ini dengan kuasa "Sailor Teleport", akan tetapi serangan bertubi-tubi Daimon cecair ini menghalang mereka dari menggunakan kuasa mereka dan terpaksa menggunakannya untuk memusnahkan Daimon tersebut.

Sailor Uranus, Neptune dan Pluto cuba untuk memasuki bangunan Sekolah Mugen melalui udara namun cecair Daimon cuba menyerang mereka dan helikopter yang mereka naiki meletup. Akan tetapi, dengan menggunakan kuasa terlarang Pluto, iaitu dengan menghentikan masa, letupan tersebut membeku untuk seketika dan Sailor Uranus dan Neptune terselamat dari letupan itu. Pluto terkorban dengan letupan itu kerana jika dia menggunakan kuasa terlarangnya, dia akan turut musnah.

Apabila Sailor Uranus dan Neptune bersemuka dengan Profesor Tomoe, entiti Daimon keluar dari tubuhnya dan bertukar menjadi Daimon Germatoid. Uranus memusnahkannya dengan serangan "Gempita Bumi". Akan tetapi, cebisan tersebut masuk ke dalam patung-patung buatan Profesor Tomoe dan cuba menyerang Uranus dan Neptune. Bisikan dari Pluto supaya mereka menggunakan Azimat sebagai senjata mereka menjelmakan azimat tersebut dan akhirnya memusnahkan Daimon Germatoid.

Manga menceritakan asal usul Daimon sebagai makhluk raksasa yang terhasil dari regresi genetik eksperimen Profesor Tomoe. Manusia dan haiwan dijadikan "bekas" untuk ditanamkan benih Daimon tetapi seringkali eksperimen Profesor Tomoe gagal, apabila apa yang terhasil hanyalah raksasa hodoh yang ganas. Akan tetapi, beliau tidak selalu gagal dalam eksperimennya. Dikatakan, 5 Ahli Sihir beliau terhasil dari benih Daimon yang berjaya. Profesor Tomoe juga menjalankan eksperimen ke atas dirinya sendiri supaya dia menjadi seorang manusia agung yang kuat, iaitu Daimon Germatoid.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]