Der Fuehrer's Face

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Der Fuehrer's Face
Siri Donald Duck
Donald Duck dalam Der Fuehrer's Face.
PengarahJack Kinney
PenerbitWalt Disney
Penulis ceritaJoe Grant
Dick Huemer
SuaraClarence Nash
Billy Bletcher
PemuzikOliver Wallace
JuruanimasiBob Carlson
Les Clark
Bill Justice
Milt Neil
Charles Nicholas
John Sibley
Reka letakDon DaGradi
Andy Engman
StudioWalt Disney Productions
PengedarRKO Radio Pictures Inc.
Tarikh keluaran1 Januari 1943 (AS)
Proses warnaTechnicolor
Tempoh8 minit
NegaraAmerika Syarikat
MenyusuliSky Trooper
DisusuliFall Out Fall In

Der Fuehrer's Face merupakan kartun animasi terbitan Walt Disney Studios pada tahun 1943 yang dibintangi oleh Donald Duck. Filem arahan Jack Kinney ini keluar pada 1 Januari 1943 dalam bentuk bahantara propaganda Nazi untuk usaha perang Amerika Syarikat. Filem ini memenangi Anugerah Akademi untuk Filem Pendek Animasi 1943, dan juga satu-satunya kartun Donald Duck yang menjulang anugerah Oscar. Pada tahun 1994, ia diundi ke tangga #22 dalam senarai "50 Kartun Teragung" sepanjang zaman oleh para penggiat bidang animasi.

Plot[sunting | sunting sumber]

Donald menabik "Führer".

Kartun bermula dengan muzik opera komedi Wagner yang bertajuk Die Meistersinger von Nürnberg sebelum bersambung ke lagu judulnya.

Sebuah pancaragam oom-pah yang terdiri daripada para pemimpin Paksi, iaitu Hirohito bermain sousafon, Göring bermain pikolo, Goebbels bermain trombon, Mussolini bermain dram bes, dan seorang lelaki yang tidak dikenali namanya bermain dram getar, mendendangkan dakyah Nazi sambil berarak sepanjang sebuah pekan di Jerman, di mana segalanya, termasuk awan dan pohon pun, berhiaskan swastika. Ketika melalui rumah Donald (yang dihiasi oleh wajah Hitler di merata-rata), pancaragam itu menggunakan bayonet untuk menojahnya agar bangun dan bersiap sedia untuk bekerja. Disebabkan pencatuan waktu perang, sarapannya hanya terdiri daripada roti kayu yang menyebabkan pemakannya tersedu, kopi yang dibancuh dari sebiji kopi tunggal yang disorok, dan semburan yang berbau bacon and eggs. Pancaragam itu memantakkan senaskhah buku Mein Kampf di depan Donald untuk dibaca sekejap, kemudian berarak ke dalam rumahnya untuk membawanya ke kilang.

Setibanya di kilang (sambil diacukan bayonet), Donald memulakan syif 48 jam sehari memasang tutup peluru meriam dalam barisan pemasangan. Sejajar dengan peluru itu adalah sebarisan gambar potret Führer, jaid suka atau tidak, Donald mesti menabik Hitler setiap kali potretnya muncul sambil memasang semua tutup peluruh. Setiap kelompok peluru baru berbeza-beza saiznya, dari yang kecil hingga yang raksasa, lebih kurang sebesar badan Donald. Barisan pemasangan bergerak semakin cepat sehingga menyebabkan Donald semakin susah untuk menyiapkan semua tugasnya. Pada masa yang sama, Donald dihujani oleh mesej dakyah tentang ketuanan kaum Arya dan kemegahan kerana berkhidmat untuk Führer.

Selepas "cuti berbayar" yang terdiri daripada kerja membentuk swastika dengan badan sendiri untuk seketika sahaja di hadapan lukisan Alps, Donald diarah untuk bekerja lebih masa. Donald mengalami gangguan jiwa dengan halusinasi peluru meriam yang berupa dan berlagu sama seperti pancaragam di awal kartun, sambil berkeliaran di merata tempat. Selepas habis berhalusinasi, Donald bangkit atas katilnya — di Amerika Syarikat — dan menyedari bahawa pengalaman tadi hanya igauan. Donald memeluk Patung Liberty kecil dalam biliknya sebagai tanda syukur atas kerakyatan Amerikanya.

Filem pendek ini berakhir dengan karikatur wajah Hitler yang bengis. Selepas kedengaran dua kali "Heils", sebiji tomato dilontarkan ke arah muka Hitler.

Lagu[sunting | sunting sumber]

Sebelum filem ditayangkan, kugiran terkenal Spike Jones and His City Slickers yang terkenal kerana mengajuk lagu-lagu popular ketika itu, mengeluarkan satu versi lagi tema Oliver Wallace yang bertajuk "Der Fuehrer's Face" (juga dikenali sebagai "The Nazi Song"). Berbeza dari versi yang diperdengarkan dalam kartun, sesetengah versi Spike Jones mengandungi kesan bunyi seakan kentut hasil alat yang dipanggil "birdaphone" yang dibunyikan dengan setiap laungan "HEIL!" sebagai tanda kebencian terhadap Hitler. (Versi dalam kartun pula menggunakan tuba sahaja.) Bunyi seakan kentut itu (yang juga dihasilkan dengan menggetarkan lidah yang terjelir) merupakan salah satu cara menyatakan rasa meluat. (Kulit buku lembaran muzik bergambar Donald melontarkan tomato ke arah muka Hitler sampai memercik.) Jones merakamkan dua versi lagu ini atas permintaan RCA Victor Records yang mengeluarkan lagu itu di bawah label Bluebird — satu dengan tiupan trombon selepas setiap laungan "HEIL!", dan satu lagi dengan birdaphone tersebut.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Young, Jordan R. (2005). Spike Jones Off the Record: The Man Who Murdered Music. Albany: BearManor Media ISBN 1-59393-012-7 3rd edition.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]