Desire (kumpulan muzik)
Desire | |
---|---|
Latar belakang | |
Juga dikenali sebagai | D'Zai |
Berasal dari | Kota Bharu, Kelantan, Malaysia |
Genre | Metal, rock progresif, slow rock, pop rock, balada |
Pekerjaan | Kugiran |
Tahun aktif | 1980–kini |
Syarikat rakaman | Polygram, Universal Music Malaysia |
Pengkarya berkait | Berkumpulan |
Desire merupakan sebuah kumpulan rock Malaysia yang popular pada era 80 hingga 90an yang berasal dari Kelantan. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu rock Melayu.
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]1984-1986 : Penubuhan awal
[sunting | sunting sumber]Desire telahpun diasaskan seawal tahun 1984 oleh empat orang anak muda dari Kota Bharu iaitu Razli (gitar), Ranzmie@Nasran (vokal), Eddie (bes) dan Ali (dram). Pada peringkat awal, mereka menamakan kumpulan ini sebagai D'Zai sempena nama pengurus mereka, Zainon. Seperti kebanyakan remaja dari negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand, anggota-anggota D'Zai lebih dipengaruhi pada muzik metal yang keras disebabkan pendedahan daripada kaset-kaset metal yang mudah didapati dari sempadan Thailand.
D'Zai pada awalnya banyak membawa lagu-lagu cover dari kumpulan thrash luar seperti Metallica dan Sodom setiap kali mereka mengadakan persembahan pentas, sekaligus menjadikan mereka sebagai kumpulan heavy metal paling popular di Kelantan pada ketika itu. Bukan itu sahaja, D'Zai juga pernah menjadi pemuzik back-up kepada artis-artis ternama seperti Ogy Ahmad Daud dan pernah menjuarai pertandingan Juara Rock Negeri Kelantan yang diadakan pada tahun 1985.
Seterusnya pada tahun 1986, mereka menyertai Battle of Rock Malaysia yang diadakan di Merlin Hotel, Johor Bahru sebagai wakil Juara Rock Kelantan dan bersaing dengan beberapa kumpulan muzik dari negeri lain. Dalam pertandingan tersebut, mereka berjaya melangkan ke peringkat akhir dan mendapat tempat keempat. Pada ketika ini, D'Zai dianggotai oleh Razli (gitar utama), Ranzmie@Nasran (vokal), Amir (gitar kedua), Eddie (bes) dan Ali (dram).
1987-1990 : Penjenamaan semula, perubahan anggota & rakaman album
[sunting | sunting sumber]Sepertimana kebiasaan dalam sesebuah kugiran, D'Zai juga mengalami perubahan disebabkan komitmen dan hala tuju yang berlainan. Dengan itu, D'Zai telah dimantapkan lagi dengan kemasukan dua anggota baharu dari kumpulan Nice Guy iaitu Saiful (gitar kedua) dan Zuki (bass) untuk menggantikan Amir dan Eddie. Dengan kemasukan dua anggota baharu ini, nama D'Zai telah ditukar kepada Desire, iaitu perkataan dari bahasa Inggeris bermaksud kemahuan atau keinginan, sebagai simbolik keinginan mereka untuk terus berjaya dalam karier muzik.
Berkat penggunaan nama baharu itu, Desire muncul sebagai juara dalam sebuah pertandingan muzik rock iaitu Juara-Juara Rock Malaysia pada tahun 1987 yang bertempat di Ampang Park, Kuala Lumpur di mana antara pesaing Desire pada ketika itu ialah Medicine, Figures (kemudian menukar nama kepada Gravity) dan Satria. Dengan kejayaan ini, Desire telah dihampiri oleh beberapa syarikat rakaman terkenal tanah air iaitu EMI, WEA (kini Warner Music) dan Warnada. Namun disebabkan Desire masih belum bersedia untuk menjadi artis rakaman, mereka menolak lamaran ketiga-tiga syarikat rakaman ini secara baik. Satu perbezaan Desire dengan kumpulan rock lain pada masa itu ialah mereka lebih selesa untuk menetap di Kota Bharu di kala kumpulan lain memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang rakaman album. Pucuk dicita ulam mendatang, sebuah syarikat rakaman yang berpangkalan di Singapura iaitu PolyGram telah menghantar wakil mereka untuk bertemu sendiri dengan anggota Desire di Kota Bharu. Melihat kesungguhan Polygram berbuat demikian, Desire menerima lamaran tersebut dan menandatangani kontrak rakaman album 3+2 di bawah label tersebut.
Namun disebabkan komitmen, sekali lagi Desire bertukar seorang anggota apabila pemain dram Desire, Ali mengundur diri dan tempatnya digantikan oleh seorang pemain dram berkaliber dari kumpulan The Why iaitu Rosdi. Setelah itu, anggota Desire telah bertolak ke Singapura untuk memulakan proses rakaman album pertama mereka yang bertempat di Lion Studio. Masalah mula berlaku apabila mereka diberi masa hanya 7 hari sahaja oleh PolyGram untuk menyiapkan rakaman 12 buah lagu, sedangkan pada masa itu mereka baru sahaja mencipta beberapa lagu di dalam studio. Keadaan yang agak kelam kabut ini menyebabkan Desire menerima lagu ciptaan komposer dan rakan-rakan Desire serta pihak PolyGram sendiri.
Hasilnya pada pertengahan tahun 1988, album sulung Desire yang berjudul Sumpitan Senja mendarat di pasaran dengan menampilkan enam buah lagu rancak (heavy dan speed metal) serta empat buah lagu berentak perlahan. Album ini telah menaikkan nama Desire sebagai kumpulan rock pertama dari Kelantan yang merakamkan album, sekaligus membanggakan peminat-peminat rock dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Namun, polisi syarikat rakaman PolyGram yang lepas tangan dalam urusan jualan album dan promosi kumpulan menyebakan Desire tidak mendapat undangan persembahan secara meluas di seluruh Malaysia. Kebanyakan persembahan pentas yang disertai oleh Desire hanya tertumpu di negeri Kelantan dan sempadan Thailand sahaja atas inisiatif mereka sendiri. Hal ini menyebabkan vokalisnya, Ranzmie memberi cadangan untuk Desire berpindah ke Kuala Lumpur untuk memudahkan mereka mendapat undangan persembahan pentas dengan lebih meluas sekaligus mengukuhkan lagi nama Desire di seluruh negara. Namun, keputusan anggota Desire yang lain untuk terus menetap di Kota Bharu telah menyebabkan Ranzmie sedikit kecewa lalu beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri demi mencari peluang yang lebih baik di Kuala Lumpur sebagai artis solo. Maka dengan itu, Desire telah melakukan sesi uji bakat untuk mencari vokalis baharu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ranzmie.
Setelah sesi ujibakat dijalankan, Desire telah memilih seorang penyanyi sambilan di majlis-majlis kerajaan Kelantan yang bersuara komersial iaitu Mohd Johan Nordin (Johan) sebagai vokalis Desire yang baharu. Mereka kemudiannya bertolak ke Singapura untuk memulakan proses rakaman album kedua. Namun kali ini, Desire bergerak hanya dengan empat orang anggota apabila Saiful mengundurkan diri atas sebab-sebab tertentu, meninggalkan Razli sebagai satu-satunya anggota Desire yang bermain di posisi gitar. Sungguhpun begitu, Desire dilihat lebih bersedia untuk merakamkan album kedua berbanding ketika merakamkan album pertama apabila mereka berjaya menyiapkan proses rakaman selama 7 hari tanpa sebarang masalah seperti yang ditetapkan PolyGram.
Hasilnya pada tahun 1989, Desire melancarkan album kedua mereka yang berjudul - + × ÷ dengan kualiti dan adunan bunyi yang lebih baik hasil pemantauan pemuzik undangan tetap PolyGram yang juga bekas gitaris utama Search iaitu Hillary Ang. Album ini telah melonjakkan nama Desire ke tahap yang lebih tinggi dalam bidang muzik rock Malaysia dengan mencatatkan jualan sekita 50,000 unit, sekaligus mendapat anugerah Gold Disc dari syarikat rakaman. Dalam album ini, Desire telah memuatkan sebuah lagu berentak blues rock iaitu - + × ÷ dan selebihnya adalah lagu berentak keras dan juga perlahan.
Namun, puncak kegemilangan Desire ketika itu sekali lagi diuji apabila vokalisnya, Johan turut mengambil keputusan meninggalkan Desire untuk mencari peluang rakaman sebagai artis solo di ibu kota. Pada masa yang sama, Rosdi juga telah mendapat pekerjaan tetap sebagai pemain dram sepenuh masa di sebuah kelab malam di Singapura bersama Ramziela yang kemudiannya menjadi artis rakaman. Dengan pengunduran Johan dan Rosdi, dua anggota asal Desire iaitu Razli dan Zuki sekali lagi mengadakan sesi uji bakat untuk mencari vokalis dan pemain dram baharu Desire. Akhirnya, mereka berdua sepakat untuk merekrut Eury Khan (vokal) dan Bidin (dram) yang juga rakan-rakan Desire di Kota Bharu sebagai anggota baharu mereka. Desire dengan barisan anggota baharu kemudiannya terus bertolak ke Singapura untuk merakamkan album studio ketiga di Lion Studio di mana majoriti lagu Desire untuk album kali ini dicipta oleh mereka sendiri.
Akhirnya pada tahun 1990, album ketiga Desire berjudul Kata Kata Kata telah mendarat di pasaran di bawah label PolyGram. Album ini menampakkan susunan muzik Desire yang lebih keras dan matang berbanding dua album mereka yang terdahulu, ditambah lagi dengan suara Eury Khan yang unik dan bersuara jantan memberikan kontra kepada lagu-lagu Desire yang berentak perlahan. Namun begitu, proses adunan lagu yang kurang baik menyebabkan kerja-kerja gitar Razli sedikit kurang jelas terutamanya pada bahagian tremolonya tetapi sedikit baik berbanding album pertama Desire. Selepas album ini dipasarkan, anggota-anggota Desire kemudiannya sibuk dengan urusan masing-masing, menyebabkan pihak PolyGram gagal menjejaki dua anggota asal Desire iaitu Razli dan Zuki.
2007-kini : Perkembangan terkini
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 2007, Desire muncul kembali dengan album ke 4 bertajuk Puteri Saadong. Genre muzik kali ini lebih kepada pop rock dan slow rock mengikut peredaran masa. Mungkin kematangan telah membawa kumpulan ini menerbitkan lagu-lagu yang berentak lebih segar dan relaks. Lagu-lagu di dalam album ini dicipta dan diterbitkan oleh kumpulan Desire sendiri.
Pada tahun 2010, seiring dengan kemajuan teknologi terkini, sekumpulan peminat kumpulan Desire (dikenali sebagai Kelab Peminat Desire - KPD) mencari dan berjaya mengumpul semula ahli-ahli asal Desire (Lie, Saiful, Zuki, Aziz (arwah) dan Johan melalui facebook). Kumpulan Desire bersepakat dan bergabung semula dibawah nama 'Desire Reunion 2010'. Kumpulan Desire telah mengadakan persembahan secara tertutup di Kelab Suara Muda, Kota Bharu pada bulan Oktober 2010. Persembahan ini menampilkan Johan sebagai vokalis rasmi Desire Reunion 2010.
Reunion kumpulan Desire sepatutnya bermain di gig/mini konsert FENOMENA ROCK 1 di One Cafe anjuran Moon E Neil, Eko Reptilia, Abu Kemenyantz & lain-lain.. Akan tetapi, terpaksa ditunda. Di bawah pengurusan saudara Shamsul Ambia Mat Daud, Kumpulan Desire terlebih dahulu mengadakan mini konsert di One Cafe, Kuala Lumpur pada tarikh 18/12/2010.
Sewaktu hampir pada tarikh tersebut, saudara Saiful tidak dapat bersama-sama Desire untuk konsert tersebut kerana masalah mendapat kelulusan cuti dari tempat kerjanya. Oleh sebab itu, tempat beliau telah digantikan oleh saudara Nazri @ Yie sebagai gitaris kedua untuk konsert tersebut.
Selepas berjaya mengadakan konsert tersebut, mereka mengeluarkan DVD, Desire Reunion 2010 - Live @ One Cafe pada awal tahun 2011. Pada bulan Mac 2011, Desire telah bermain di gig/mini konsert FENOMENA ROCK 1 di One Cafe bersama kumpulan Febians (reunion), SYJ, Junction & Rusty Rabak. Kali ini Desire menampilkan vokalis album keempat mereka iaitu saudara Wadi. Kebanyakan lagu dalam persembahan itu dipetik daripada album Puteri Saadong nyanyian Wadi.
Pada pertengahan tahun 2011, berlaku krisis dalaman diantara anggota-anggota Desire dan berlaku perpecahan sekali lagi. Johan dan Saiful (arwah) mengambil keputusan untuk keluar dari Desire dan menubuhkan kumpulan mereka sendiri. Desire dibawah pimpinan saudara Lie bersama Zuky dan Aziz (arwah) meneruskan perjuangan Desire dengan mengambil vokalis lain iaitu Shaq Mentor sebagai vokalis baru untuk persembahan mereka. Dengan Shaq, mereka dijangka merakamkan album terbaru bertajuk Naga vs Ular. Namun projek itu tidak menjadi kenyataan.
Diantara tahun 2011 hingga 2015, bekas vokalis Desire, saudara Ranzmie @ Nasran telah meninggal dunia pada tahun 2012. Saudara Aziz pula meninggal dunia pada tahun 2013. Manakala Saiful Yazan telah meninggal dunia pada tahun 2014.
Pada tahun 2013, Desire kembali menampilkan vokalis Johan setelah mereka berdamai. Desire banyak mendapat undangan untuk mengadakan persembahan di sekitar Terengganu, Pulau Pinang dan Thailand.
Pada bulan Mac hingga Mei 2016, di atas permintaan pengumpul tegar cakera padat, pihak Universal Music Malaysia telah mengeluarkan tiga album Reissue Desire iaitu album Sumpitan Senja (Mac), Kata Kata Kata (April) Tolak, Campur, Kali, Bahagi (-+×÷) (Mei). Pergeluaran CD ini amat terhad.
Pada bulan oktober 2016, Desire telah menerima kembali kepulangan Rosdi (drummer dari album pertama & kedua) kepangkuan Desire. Dan dengan kerjasama Abu Kemenyantz (gitaris kump RUSTY RABAK & juga seorang pelakon), Desire telah beraksi di mini konsert Gegaran Rock 2016 yg berlangsung pada 24 Disember 2016 di Masai, Johor.
Pada tahun 2017, sekali lagi Desire mengalami masalah untuk mengekalkan penyanyi Utama. Saudara Johan sekali lagi mengundur diri disaat-saat akhir persediaan mereka untuk show Hiburan Santai di Panggung Anniversary anjuran DBKL hanya tinggal enam hari.
Atas persetujuan ahli Desire sendiri, beliau telah digantikan oleh seorang penyanyi baru, iaitu saudara Arap Yano yang selama ini bertindak sebagai kru Desire & pembantu Johan. Selepas show berkenaan, suaranya dikatakan oleh peminat seakan-akan suara arwah Nasran dan Johan.
Dari sini, nama Desire kembali meniti dibibir peminat.
Selang beberapa bulan dan di tahun yang sama, beliau muncul bersama Desire buat kali yang kedua di Panggung Anniversery dalam persembahan Hiburan Santai Seniman (2017) di Panggung Anniversdry anjuran Persatuan Seniman Malaysia sehingga mendapat jemputan untuk bersama dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (RTM) dan Malaysia Hari Ini (TV3) dan telah persembahkan beberapa lagu popular.
Dengan Arap, Desire dijangka menyambung kembali projek album Ular vs Naga yang tergendala dahulu. Namun, jodoh Desire bersama Arap jua tidak panjang.
Pada tahun 2020, Desire sekali menampilkan vokalis baru yang bernama Loq. Mereka telah memperkenalkan penyanyi baru ini ketika Showcase di Warisan Hall Sijangkang. Desire juga mengumumkan mereka akan mengeluarkan single terbaru bersama penyanyi Loq ini.
Ketika rakyat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, Desire telah mengeluarkan klip video pendek lagu terbaharu mereka yang bertajuk Kaki Atas Kepala nyanyian Loq. Difahamkan oleh pemain dram mereka, Saudara Rosdi sepatutnya lagu tersebut telah dilancarkan, akan tetapi terpaksa ditunda selepas PKP ini nanti.
Keahlian
[sunting | sunting sumber]Sumpitan Senja (1988) (CD - 2016)
- Allahyarham Ranzmie @ Nasran (vokal, meninggal dunia 2012)
- Razli @ Lie (gitar utama)
- Saiful @ Syzo (gitar kedua)
- Zuki (bes)
- Rosdi (dram)
Tolak, Campur, Kali, Bahagi (-,+,×,÷) (1989) (CD - 2016)
- Johan (vokal)
- Razli @ Lie (gitar utama)
- Zuki (bes)
- Rosdi (dram)
Kata Kata Kata (1990)(CD - 2016)
- Eury Khan (vokal)
- Razli @ Lie (gitar utama)
- Zuki (bes)
- Allahyarham Bidin (dram, meninggal dunia 2021)
Puteri Saadong (2007)
- Wadi (vokal)
- Razli (gitar utama)
- Roy (gitar kedua)
- Atid (bes)
- Aziz/Lan (dram)
Desire Reunion 2010 - Live @ One Cafe Kuala Lumpur (2011)
- Johan @ Joe (vokal)
- Razli @ Lie (gitar utama)
- Nazri @ Yie (gitar kedua)
- Zuki (bes)
Anugerah
[sunting | sunting sumber]- Johan 'Juara Rock Kelantan' (1985)
- Johan 'Juara Juara Rock Malaysia' ke 2 (1987)
Diskografi
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk | Jualan |
---|---|---|
1988 | Sumpitan Senja
|
|
1989 | - + × ÷
|
50,000 unit |
1990 | Kata Kata Kata
|
|
2007 | Puteri Saadong
|
Runut
[sunting | sunting sumber]Sumpitan Senja (1988)
[sunting | sunting sumber]- 1. "Sumpitan Senja"
- 2. "Dian Cinta"
- 3. "Kekejaman"
- 4. "Pemergian"
- 5. "Topeng Wajah"
- 6. "Kerana Cinta"
- 7. "Memoranda Luka"
- 8. "Bersyukur"
- 9. "Berakhir Sebuah Memori"
- 10. "Tinggalkan"
- + × ÷ (1989)
[sunting | sunting sumber]- 1. - + × ÷
- 2. Otak ular
- 3. Bias cinta
- 4. Dosa semalam
- 5. Sentuhan
- 6. Benar tetap benar
- 7. Hakikat cinta
- 8. Angkara manusia
- 9. Dinasti air mata
- 10. Cetusan rindu
Kata Kata Kata (1990)
[sunting | sunting sumber]- 1. Bayang-Bayang
- 2. Kembang Berdarah
- 3. Tarian Gagak
- 4. Hati Menangis
- 5. Perhitungan
- 6. Kata Kata Kata
- 7. Bunga Baldu
- 8. Azazil
- 9. Kenangan Hidupku
- 10. Wau Bulan
Puteri Saadong (2007)
[sunting | sunting sumber]- 1. Puteri Saadong
- 2. Perjuangan
- 3. Lara
- 4. Pelangi
- 5. Khayalan
- 6. Ingat Ingat
- 7. Menanti
- 8. Sesat
- 9. Cara Ku
- 10. Tanpa Mu
Desire Reunion 2010 - Live @ One Cafe (2011)
[sunting | sunting sumber]- 1. Puteri Saadong
- 2. Sesat
- 3. Pemergian
- 4. Angkara Manusia
- 5. Sentuhan
- 6. Hakikat Cinta
- 7. Dinasti Airmata
- 8. Kekejaman
- 9. Pelangi
- 10. Benar Tetap Benar
- 11. Bias Cinta
- 12. Otak Ular
Trivia
[sunting | sunting sumber]- Kesemua album studio Desire telah menampilkan vokalis yang berbeza. Album pertama Desire berjudul Sumpitan Senja menampilkan Ranzmie sebagai vokalis, album - + × ÷ menampilkan Johan sebagai vokalis, album Kata Kata Kata menampilkan Eury Khan sebagai vokalis dan album Puteri Saadong menampilkan Wadi sebagai vokalis.
- Tiga album pertama Desire di bawah label PolyGram telah diterbitkan selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1988 (Sumpitan Senja), 1989 (- + × ÷) dan 1990 (Kata Kata Kata).
- Gitaris utama Desire, Razli Hussain pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dangdut terkenal, Sheeda ketika mereka berdua masih menetap di Kelantan. Hasil perkongsian hidup, mereka berdua dikurniakan dua orang anak dan salah seorangnya ialah Bienda yang juga seorang penyanyi dan pelakon.
- Pemain dram Desire, Rosdi merupakan abang kepada penyanyi Ramziela (kini Datin).
- Sebelum menggantikan Rosdi sebagai pemain dram Desire, Bidin merupakan pemain dram untuk kumpulan Shima & The Boys dan sempat mengeluarkan sebuah album berjudul Kelkatu Gugur Sayapnya.
- Kegagalan pihak PolyGram menjejaki Razli dan Zuki telah menyebabkan kontrak rakaman Desire diberikan kepada Eury Khan dan Bidin. Mereka berdua kemudiannya menubuhkan kumpulan muzik yang mengetengahkan genre funky metal, Nobat (kemudiannya S.O.S.) yang kemudiannya disertai bekas gitaris utama Zodiak, Shah dan Limi (bass) sebagai menyambung baki kontrak Desire bersama PolyGram.