Desolasi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Desolasi
PengarahSyafiq Yusof
PenerbitYusof Haslam
PenulisSyafiq Yusof
Dibintangi oleh
Muzik olehSavy Ho
SinematografiAzami Alias
Disunting olehSyafiq Yusof
Syarikat
penerbitan
Mula ditayangkan
8 Disember 2016
Tempoh tayangan
112 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
Inggeris
PerbelanjaanRM 4.5 juta
Pecah panggungRM 1.39 juta

Desolasi (digayakan sebagai DESOLASI)[1] ialah sebuah filem cereka sains misteri Malaysia 2016 yang ditulis dan diarahkan oleh Syafiq Yusof terbitan Skop Productions. Dibintangi oleh Syamsul Yusof, Bella Dally, Dato' Jalaluddin Hassan dan Pekin Ibrahim, filem ini mengisahkan tentang Aiman, seorang pelukis jalanan yang mencari jawapan dalam persoalan hidupnya dan melalui pelbagai ujian serta dugaan sehingga membuatkan dirinya hilang arah dan bertemu dengan seorang wanita misteri bernama Maya.[2]

Penggambaran dijalankan pada November 2014 di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan berakhir pada Januari 2015,[3] filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 Disember 2016 dan menerima ulasan posiitif dari pengkritik filem dan meraih kutipan sebanyak RM1.39 juta.[4][5][6]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Aiman (Syamsul Yusof) ialah seorang pelukis jalanan yang menghidapi penyakit Anton-Babinski sejak lahir. Hidupnya menjadi tidak tentu arah selepas ditimpa pelbagai masalah dalam hidup sehingga dia hampir mengalah dalam kehidupan. Seperti yang kita boleh lihat pada permulaan cerita, Aiman bangun dari tidur dan berjalan di satu tempat demi tempat dan kemudiannya berdiri di hadapan Istana Negara. Dia kemudiannya memandu kereta Lamborghini dan menuju ke kedai pakaian dan memakai kot. Aiman kemudiannya memandu kereta Ferrari dan terus berhenti di pertengahan jalan sambil menghisap cerut. 26 tahun lalu, Aiman dilahirkan dan bapanya, Hassan (Jalaluddin Hassan) dimaklumkan oleh doktor bahawa Aiman hanya boleh hidup selama dua atau tiga tahun sahaja kerana mengalami komplikasi pada organ penderiaan berikutan mempunyai kelainan perilaku.

Aiman yang berkeadaan tidak terurus pergi ke sekolah lamanya dan mengenang zaman persekolahannya. Aiman yang berusia 9 tahun ketika itu menduduki darjah tiga, dipanggil oleh cikgunya dan menunjukkan kepadanya gambar pokok yang dilukisnya, namun mewarnakannya biru, bukannya hijau. Aiman bertanya kepada cikgunya kenapa pokok berwarna hijau? Lalu dirotan oleh cikgunya. Aiman yang kurang bergaul dengan rakan-rakan sebayanya, menyendiri sambil melihat pokok. Cikgunya menerangkan bagaimana pokok berwarna hijau. Aiman baru saja selesai mengaji dan bertanya kepada bapanya kenapa Tuhan tidak mahu manusia hidup bahagia dan kenapa adanya orang miskin. Hassan hilang sabar lalu merotan Aiman.

Di sebuah bangunan kosong, Aiman melukis dinding dengan berus dan mempersoalkan segala-galanya yang belum ada jawapannya. Objek-objek di sekelilingnya (termasuk tayar dan cat) mula terapung. Aiman memberikan ubat untuk ibunya (Aida Khalida) yang sakit tenat, lalu memarahi bapanya kerana menumpahkan secawan kopi pada lukisan kanvasnya. Aiman yang bekerja di galeri lukisan, telah dipanggil oleh bosnya (Razif Salimin) dan memaklumkan kepadanya yang galeri lukisan tempat beliau bekerja akan ditutup dan beberapa pekerja termasuk beliau terpaksa diberhentikan serta-merta. Selepas galeri lukisan ditutup, Aiman tetap meneruskan kerjayanya sebagai pelukis, ketika dia mula hendak melukis, Dr. Yap (Jacky Kam) datang memerhatikannya dan mengambil gambarnya. Beberapa minit kemudian, hujan mula turun. Dan Aiman meneruskan kerjanya seperti biasa selepas hujan reda, namun didatangi oleh pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan cuba meghalang tugas pihak berkuasa, akhirnya barangan hasil seninya telah disita.

Aiman pulang dengan bermotosikal, namun ditimpa kemalangan. Dia kemudiannya bekerja di sebuah syarikat insurans bagi menyara hidup. Selepas mengetahui ibunya jatuh sakit, Aiman terus ke hospital dan ibunya meninggal dunia. Seminggu kemudian, syarikat insurans yang Aiman bekerja telah ditutup dan terdapat sekumpulan lelaki yang mengumpil pintu pejabat syarikat insurans. Lalu mereka mengejar Aiman dan dia bersembunyi. Aiman cuba menghubungi rakannya, namun gagal, lalu dia membaling telefon bimbit. Masalah yang menimpanya membuatkan Aiman selalu bergaduh dengan bapanya, Aiman merenung di atas kondominium memikirkan masalah yang menimpanya, Zahid (Pekin Ibrahim) yang cedera di kaki kanan akibat kemalangan motosikal, datang menghampirinya dan bertanya khabar kepadanya. Satu hari, Aiman berdoa agar masalahnya hilang dalam sekelip mata. Nasib menimpanya lagi apabila Aiman ditahan oleh sekumpulan samseng, lalu dibelasah tanpa belas kasihan. Aiman pengsan di atas jalan, Dr. Yap datang membawanya pulang. Keesokan harinya, apabila dia bangun tidur, dia dapati bahawa dirinya keseorangan. Semua manusia lenyap. Pada mulanya dia mencari orang lain tapi selepas beberapa ketika, dia menjadi seronok kerana dia tidak perlu memikirkan masalah yang ada. Dia boleh melakukan segalanya tanpa perlu berfikir panjang. Dalam masa yang sama, Aiman sebenarnya mencari jawapan kepada setiap persoalan yang hadir dalam hidupnya.

Hassan, ditemani oleh Zahid membuat laporan polis berhubung kehilangan Aiman. Di persimpangan jalan, Hassan dan Zahid mengekori Dr. Yap sehingga ke rumahnya. Hassan memecah masuk rumah Dr. Yap ketika doktor tersebut keluar. Sementara itu, Aiman berdiri di bangunan sebuah bank dan terjatuh, namun ‘ditarik’ oleh kuasa graviti. Aiman ternampak bayangan dirinya, lalu dibawa ke alam halusinasi dan dirawat dalam sel. Dia kemudiannya menyerang dua lelaki yang mirip dengannya dan membawa keluar seorang wanita bernama Maya (Bella Dally), lalu mereka berdua dibawa ke alam fantasi, Aiman dan Maya melihat kawanan ikan yang terapung di langit, dan diikuti oleh seekor dinosaur dan juga kapal angkasa. Mereka berdua naik ke langit. Hassan dan Zahid terbabit dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke balai polis. Aiman dan Maya berjalan-berjalan di sekitar taman, tasik dan kemudian di bandar, mereka berdua menceritakan situasi yang dihadapi dan Aiman ditumbuk oleh bayangannya yang berapi.

Aiman menerima rawatan melalui rawatan mesin dan Dr. Yap menerangkan butiran lanjut kepadanya mengenai penyakitnya. Aiman kini menyedari bahawa dia menghidap sindrom Anton-Babinski sejak lahir. ASP Kumar menunjukkan rakaman CCTV yang menunjukkan tingkah laku Aiman, dan Aiman sekali lagi menjalani rawatan mesin. Dr. Yap mengajaknya ke hospital di mana Aiman akan menerima rawatan sebenar dan dia bertanyakan kepada Dr. Yap di mana bapanya. Dr. Yap membawa Aiman berjumpa dengan bapanya yang dirawat di hospital sama kerana kemalangan, Dr. Yap menjelaskan kepada Aiman yang beliau menyangka Hassan ialah pencuri dan Zahid yang berkerusi roda memanggilnya.

Dr. Yap membawa Aiman di sekitar hospital, namun Aiman melihat bayangan dirinya sendiri dan. Disitulah dia bertemu Maya yang juga menghidap penyakit sama yang dihidapinya. Dr. Yap menasihat Aiman agar mengambil ubat untuk menyembuhkan penyakitnya, namun dia enggan. Dr. Yap berkata kepada Aiman yang dia berkemungkinan akan buta. Aiman dan Maya dibawa ke perkarangan Hospital Putrajaya oleh Dr. Yap yang turut membawa pihak polis. Di dunia imaginasinya, Aiman bertanya kepada Maya yang dia mahu membawanya semula ke dunia nyata. Namun Aiman didatangi oleh bayangannya. Aiman mencederakan dirinya dan terus lari hingga ke jalan raya. Kembali ke dunia imaginasinya, Aiman lari bermotosikal dan dikejar oleh dinasor, dan ditimpa kemalangan di persimpangan dan bayangannya datang kembali serta ingin bersamanya sehingga Hari Pembalasan. Aiman memohon ampun daripada Tuhan dan mengakui semuanya adalah ujianNya. Kembali ke dunia nyata, Aiman sekali lagi menerima rawatan mesin dan menyedari bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Di penghujung filem, Dr. Yap mengadakan sidang media mengenai penemuan ubat untuk Anton-Babinski. Aiman dan Maya, kini mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahayamata. Maya telah pulih sepenuhnya daripada sindrom Anton-Babinski, manakala Aiman kini cacat penglihatan akibat kesan sampingan dari rawatan mesin. Zahid datang ke galeri lukisan Aiman dan bertanyakan khabar. Aiman dan Zahid beristirahat di taman dan berbincang panjang mengenai hala tuju dan kehidupan mereka.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Pembangunan[sunting | sunting sumber]

Desolasi berdasarkan daripada pengalaman peribadi Syafiq Yusof semasa zaman kanak-kanaknya. Ia merupakan filem kelima arahan beliau dan filem ke-37 terbitan Skop Productions dengan kos pembikinan berjumlah RM4.5 juta, Syafiq juga mengarang cerita dan menulis skrip yang mengambil masa 3 bulan untuk disiapkan. Mengarahkan Desolasi bukanlah tugas yang mudah bagi Syafiq, menurutnya, antara cabaran yang dihadapinya ialah beliau dan kru filemnya dihalau oleh pihak pengurusan bangunan berhampiran tempat mereka menjalani penggambaran.[7][8] Bagi menjayakan babak abangnya Syamsul yang menjayakan peranan sebagai Aiman bersendirian, mereka menggunakan teknik kesan khas imej janaan komputer (CGI) untuk ‘memadam’ semua orang awam yang berada di situ. Untuk menjadikan Desolasi lebih realistik, Beliau mengetengahkan penyakit Anton-Babinski sebagai subjek utama Desolasi.[9] Dalam temuramah bersama New Straits Times, Syafiq berkata: "Saya tidak tahu sesiapa yang menderita (penyakit ini) tetapi saya mempunyai seorang rakan doktor yang saya rujuk ketika saya menyiapkan skrip. Saya bertanya kepadanya jika ada keadaan seperti itu, yang dialami Aiman dan dia berkata 'ya' dan memberitahu saya tentang sindrom itu. Gejala-gejala ini adalah sama dengan nyanyuk, di mana orang tua kadang-kadang bercakap dengan diri mereka sendiri, tetapi dalam fikiran mereka, mereka bercakap kepada orang yang sebenar."[10][11]

Filem ini memerlukan beliau ‘mengosongkan’ beberapa kawasan sibuk di Kuala Lumpur dengan menggunakan teknik kesan khas dalam beberapa babak filem itu seperti dalam filem lakonan Will Smith iaitu I Am Legend.[12][13][14][15] Beliau menepis tanggapan ramai yang kononnya beliau menggunakan pengaruh bapanya,[13] Datuk Yusof Haslam untuk menutup jalan-jalan utama di ibu kota yang sentiasa sesak dengan manusia dan kenderaan.[13] Beliau merujuk kepada filem Hollywood, Inception (2010) lakonan Leonardo DiCaprio.[13] Penonton kemudiannya dikeluarkan secara teliti dengan menggunakan kesan komputer dalam tempoh pasca penerbitan. Kesan visual bagi filem ini dihasilkan oleh Viper Studios Sdn Bhd dan terdapat sebanyak 570 syot keseluruhan, menjadikan jumlah 60% CGI digunakan dalam Desolasi. Proses ini mengambil masa 2 tahun (termasuk pra-penerbitan, penerbitan dan pasca) untuk disiapkan. Separuh daripada keseluruhan syot mempunyai elemen 3D.[10]

Filem ini juga mengambil petikan dari hadis Sahih Muslim oleh Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

"Dunia adalah penjara bagi orang-orang yang beriman dan syurga bagi orang-orang yang kafir".[16]

Pemilihan pelakon[sunting | sunting sumber]

Ditanya mengenai pemilihan abangnya Syamsul sebagai teraju utama,[17] Syafiq memberi beberapa kriteria:[17]

"Saya pilih Syamsul atas beberapa sebab. Pertama, dia adalah artis yang mewakili Skop Production. Kedua, dia memiliki aura yang kuat untuk menarik penonton datang menonton dan ketiga, tentunya mudah bekerja dengannya,"[17]

Syamsul pada mulanya enggan berlakon dalam filem ini kerana masih terkejut dengan nasib yang menimpa filem KL Gangster 2 arahannya yang bocor dalam talian, dua bulan sebelum tarikh keluaran rasmi dan mahu Syafiq mengambil pelakon lain yang dirasakan sesuai melakonkan watak Aiman, antara yang dicadangkannya termasuk Aaron Aziz, Ady Putra dan Shaheizy Sam. Namun Syafiq tidak berganjak dan berkongsi bahawa perjuangan Aiman sebahagiannya diilhamkan oleh abangnya.[18] Bella Dally yang terkenal dengan peranannya di drama dan telefilem memegang watak sebagai Maya, wanita misteri yang muncul dalam hidup Aiman.[19] Desolasi merupakan filem ketiga lakonannya.[19][20][21]

Penggambaran[sunting | sunting sumber]

Penggambaran dijalankan selama 55 hari, bermula pada 13 November 2014 di Kuala Lumpur, Bukit Bintang, Jalan Petaling, Batu Caves, Putrajaya dan Cyberjaya dan berakhir pada 6 Januari 2015.[10][22] Syafiq dan tenaga kerja Desolasi berdepan detik sukar dan masalah ketika penggambaran dijalankan, bermula dari hari pertama. Pasukan penerbitan Desolasi merancang untuk memulakan penggambaran di Cyberjaya, di pagi hari tetapi hujan turun dengan lebat sehingga jam 3 petang.[10] Mereka kemudian ke Taman Melawati bagi menjalani penggambaran namun pokok tumbang. Syafiq dan kru penggambaran sekali lagi diuji apabila set janakuasa yang membekalkan tenaga elektrik tiba-tiba meletup.[23] Pada hari ke-10 penggambaran, Desolasi ditangguhkan penggambaran berikutan Syafiq menghidap demam denggi. Beliau dinasihatkan oleh doktor mendapatkan rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.[24]

Gaya dan tema[sunting | sunting sumber]

Desolasi bertemakan Islamik. Syafiq berkata: "Ia mengenai kisah seorang lelaki yang diuji oleh Tuhan dan perlu mencari jalan pulang."[10] Muhammad Yusof menulis untuk The Vocket menghuraikan Desolasi berjaya lari daripada acuan ‘sedia ada’ Skop Productions dan mengajak masyarakat berfikir secara kritikal dan integral tentang konsep ontologi iaitu hakikat ketuhanan, kosmologi dan kemanusiaan. Beliau juga berhujah bahawa filem ini mempunyai acuan filem Inception (2010) dan Lucy (2014), namun diadun dengan nilai artistik berteraskan budaya Malaysia.[25]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Promosi[sunting | sunting sumber]

Treler rasmi filem ini telah dimuatnaik di YouTube rasmi Syafiq Yusof pada pada 10 Oktober 2016.[26] Enam hari sebelum Desolasi ditayangkan, teaser 30 saat bagi treler filem ini telah dimuatnaik di YouTube pada 2 Disember 2016 dan telah meraih 15,918 juta tontonan,[27] diikuti oleh Di Belakang Tabir filem ini disiarkan di semua stesen televisyen seluruh negara sebelum tayangan perdananya.[28]

Bagi mempromosikan Desolasi, pelakon utamanya Syamsul Yusof dan Bella Dally dijemput sebagai tetamu jemputan rancangan meleTOP yang dihoskan oleh Neelofa dan Nabil Raja Lawak pada 6 Disember 2016.

Kutipan[sunting | sunting sumber]

Desolasi telah mengumpul RM1.08 juta dalam 12 hari pertama tayangan. Pada hari terakhir tayangannya, filem ini telah mencatat jualan tiket sebanyak RM2.5 juta.[29] Filem ini juga mengikut jejak langkah filem Munafik menembusi pasaran Indonesia.[30]

Poster[sunting | sunting sumber]

Beberapa bulan sebelum Desolasi ditayangkan, poster filem ini dikatakan mempunyai persamaan dengan filem Inferno, lakonan Tom Hanks.[31] Walaupun dari segi warna latar dan premis filem berbeza, kedua-dua poster menunjukkan dua pelakon utama sedang berlari ke arah sama.[31] Dalam temuramah dengan Harian Metro, Syafiq berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu mengenai persamaan yang wujud dalam poster filem Desolasi dan Inferno.[31] Katanya, sebaik saja poster itu mula tersebar, dia mendapat maklum balas bercampur baur daripada peminat dan netizen.[31] Syafiq berkata poster Desolasi telah direkabentuk oleh Kukubesi yang turut merekabentuk poster filem Mat Moto dan siap sepenuhnya pada Ogos 2016 dan ketika itu poster filem Inferno belum lagi muncul di pasaran filem tempatan.[31] Menurutnya, poster yang tersebar itu bukan poster utama. Poster utama hanya paparkan watak utama berseorangan sahaja manakala poster yang tersebar itu adalah poster kedua.[31]

Ulasan kritis[sunting | sunting sumber]

Desolasi menerima ulasan positif daripada pengkritik filem. Angelin Yeoh dari Star2 yang memberikan taraf 3 daripada 5 bintang daripada 6/10 ulasan, menyifatkan Desolasi dipenuhi dengan kesan visual yang sukar dibayangkan, letupan tidak berpenghujung dan tangisan sayu.[32] Yeoh juga mentakrifkan Desolasi merupakan kisah bapa dan anak yang menang atas paparan kesan khas yang berlebihan.[32] Hamam Abidin pula mengulas "…pertanyaan itulah yang ditekankan oleh filem ini. Kualiti lakonan Syamsul (Yusof) juga saya kagumi, melihat wajahnya saja saya melihat bahawa Aiman ialah anak yang tak pernah bahagia."[33]

Muzik[sunting | sunting sumber]

Runut bunyi rasmi bagi Desolasi ialah "Bukan Propaganda" yang dipersembahkan oleh Syamsul Yusof dan Mawi.[34] Lagu yang dicipta oleh Syamsul dengan liriknya ditulis oleh Hafiz Hamidun, menandakan kali kedua mereka bekerjasama selepas kali pertama bekerjasama menerusi lagu "Kalah Dalam Menang" yang dimuatkan dalam filem Munafik.[35] Muzik video rasmi lagu ini telah dimuat naik di YouTube pada 14 Oktober 2016. "Bukan Propaganda" juga boleh didapati untuk muat turun dan penstriman digital di iTunes dan Spotify.

Tayangan media[sunting | sunting sumber]

Desolasi telah dipertontonkan untuk tayangan media di Astro First pada 29 Disember 2016 dan ditayangkan buat julung kalinya di televisyen menerusi Astro Citra dan Astro Mustika HD pada Ahad, 31 Disember 2017 jam 10 malam.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Penerima Karya tercalon Kategori Keputusan
2017 Festival Filem Malaysia ke-29 Syafiq Yusof Desolasi Anugerah Khas Juri (Kesan Khas Visual) Menang
Anugerah PROFIMA 2017 Pengarah Terbaik Menang

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Aqmar Mustaza (19 November 2016). "Syafiq Yusof kembali dengan Desolasi". Sinar Harian. Dicapai 7 Disember 2016. 
  2. ^ Kamarool Anwar Mohd Nasir (11 Disember 2016). "Desolasi filem amaran dari Syafiq Yusof". Malaysia Gazette. Dicapai 21 Disember 2016. 
  3. ^ Bibi Nurshuhada Ramli (9 Disember 2016). "In a league of its own: Desolasi represents a new direction for M'sian films, banking on CGI". New Straits Times. Dicapai 21 Disember 2016. 
  4. ^ Syed Mussaddad Syed Mahdi (20 November 2016). "Garapan Syafiq". Utusan Malaysia. Dicapai 7 Disember 2016. 
  5. ^ "Desolasi Buah Tangan 'Bijak' Syafiq Yusof". Astro Gempak. 13 Disember 2016. Dicapai 15 Disember 2016. 
  6. ^ Shazryn Mohd Faizal (21 Disember 2016). "'Desolasi' Terus Perkukuhkan Jenama Syafiq Yusof". mSTAR Online. Dicapai 21 Disember 2016. 
  7. ^ Faisal Asyraf (5 Disember 2014). "Syafiq Yusof offers spiritual and horror". New Straits Times. Dicapai 7 Januari 2017. 
  8. ^ Bissme S. (8 November 2016). "A shot at solitude". The Sun, Malaysia. Dicapai 7 Januari 2017. 
  9. ^ Syanty Octavia Amry (7 Disember 2016). "Minda celaru mencari jawapan". Harian Metro. Dicapai 7 Januari 2017. 
  10. ^ a b c d e "Mind-boggling Desolasi takes local CGI films staggering new heights". New Straits Times. 9 Disember 2016. Dicapai 7 Disember 2016. 
  11. ^ "Kosongkan Kuala Lumpur, Filem Desolasi Tampil 60 Peratus Kesan CGI". Astro Gempak. 28 November 2016. Dicapai 7 Januari 2017. 
  12. ^ Angelin Yeoh (6 December 2016). "How did Syafiq Yusof empty the streets of KL for Desolasi?". Star2. Dicapai 7 December 2016. 
  13. ^ a b c d Syafil Syazwan Jefri (2 November 2016). "Syafiq 'kosong' lokasi sibuk KL". Harian Metro. Dicapai 7 Disember 2016. 
  14. ^ "Anak pengarah Yusof Haslam 'kosongkan' Kuala Lumpur dalam Desolasi". Berita MediaCorp. 29 November 2016. Dicapai 7 Disember 2016. 
  15. ^ "Bagaiman Syafiq 'kosongkan' Kuala Lumpur dalam filem Desolasi". Kakimuvee.net. 2 November 2016. Dicapai 7 Disember 2016. 
  16. ^ Muhammad Abduh Tuasikal, MSc (3 Ogos 2015). "Dunia itu penjara bagi orang mukmin". Rumaysho. Dicapai 19 Januari 2017. 
  17. ^ a b c Dennis Chua (18 January 2016). "Syafiq Yusof directs elder brother Syamsul in Desolasi". New Straits Times. Dicapai 19 January 2016. 
  18. ^ "Syamsul Yusof Jadi Gila, Menari Seorang Diri Di Chow Kit". Astro Gempak. 4 Disember 2016. Dicapai 19 Januari 2017. 
  19. ^ a b Aleya Amrio (28 November 2016). "Bella Dally Ambil Masa Kenali Karektor Desolusi". Malaysian Access. Dicapai 19 Januari 2017. 
  20. ^ "Ceritera cinta Syamsul, Bella". Kosmo!. 5 November 2016. Dicapai 19 Januari 2017. 
  21. ^ Feride Himet Atak (28 November 2016). "Bella Dally ambil masa serasi dengan Syamsul". Berita Harian. Dicapai 18 Mei 2018. 
  22. ^ Budiey (29 November 2016). "Yang Anda Patut Tahu Tentang Filem DESOLASI". Sensasi Selebriti. Dicapai 7 Disember 2016. 
  23. ^ Kemalia Othman (27 November 2016). "Syafiq Yusof Berdepan Cabaran Hasil Desolasi". mStar Online. Dicapai 7 Disember 2016. 
  24. ^ Farizan Zainal (27 November 2014). "Syafiq Yusof disyaki denggi, "Desolasi" ditangguh". Yahoo! News. Dicapai 7 Disember 2016. 
  25. ^ Muhammad Yusof (13 Disember 2016). Ini 11 Perkara Yang Dapat Saya Huraikan Selepas Menonton Filem Desolasi The Vocket. Dicapai pada 30 Mac 2017.
  26. ^ "DESOLASI Official Trailer 2016". YouTube. Dicapai 22 April 2017. 
  27. ^ "DESOLASI 30 SEC TEASER". YouTube. Dicapai 22 April 2017. 
  28. ^ "DI SEBALIK TABIR FILEM "DESOLASI"". YouTube. Dicapai 22 April 2017. 
  29. ^ "Tayangan Filem Cereka". FINAS. Dicapai 22 April 2017. 
  30. ^ "Selepas 'Munafik,' 'Desolasi' pula tembus pasaran Indonesia (VIDEO)". KWIK News. 24 Oktober 2016. Dicapai 7 Disember 2016. 
  31. ^ a b c d e f Amirul Haswendy Ashari (30 Oktober 2016). "Poster Desolasi bukan ciplak". Harian Metro. Dicapai 22 April 2017. 
  32. ^ a b Angelin Yeoh (10 Disember 2016). "Review: Desolasi". Star2. Dicapai 22 April 2017. 
  33. ^ Hamam Abidin (16 Januari 2017). "Review Film Desolasi: Sebuah Revolusi Tujuan Hidup Manusia". Mashamam. Dicapai 22 April 2017. 
  34. ^ Zaidi Mohamad (2016-11-22). "Syamsul dedah alasan pilih Mawi rakan duet". Berita Harian. Dicapai 2017-02-27. 
  35. ^ "Bukan Propaganda". iTunes Store (MY). Apple. Dicapai 2017-02-27. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]