Dewan Tunku Canselor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian
Dewan Tunku Canselor
Gambar Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.jpg
Pemandangan luar di dataran Dewan Tunku Canselor.
Maklumat umum
StatusBeroperasi (lokasi rasmi Istiadat Konvokesyen)
JenisDewan konvokesyen
Gaya seni bina
Brutalisme, modenisme
LokasiPantai Dalam, Kuala Lumpur
NegaraMalaysia
Koordinat3°07′15″N 101°39′23″E / 3.12083°N 101.65639°E / 3.12083; 101.65639Koordinat: 3°07′15″N 101°39′23″E / 3.12083°N 101.65639°E / 3.12083; 101.65639
Pembinaan bermula1965
Pembinaan berhenti1966
Pembukaan25 Jun 1966
Diubah suai pada
Ogos 2001
PemilikUniversiti Malaya (UM)
Butiran teknikal
Bilangan tingkat
2 tingkat setengah
Reka bentuk dan seni bina
ArkitekKington Loo
Firma arkitekBEP Arkitek
Pereka bentuk lain
CHR Bailey

Dewan Tunku Canselor (DTC) ialah dewan konvokesyen milik Universiti Malaya (UM).[1] Ia merupakan salah satu daripada 47 bangunan yang disenaraikan di bawah senarai Warisan Kebangsaan,[2] serta Bangunan Warisan UNESCO. Bangunan itu dinamakan dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 25 Jun 1966 yang merupakan canselor universiti ketika itu.[1]

Dibina pada 1965,[3] bangunan ini, dengan seni bina tersendiri dalam pengaruh seni bina Brutalisme, membangkitkan nostalgia dalam kalangan generasi graduan yang telah melalui pintunya. Ia telah menjadi tempat konvokesyen, konsert, peperiksaan semester, persembahan teater, seminar dan persidangan. Bangunan dua tingkat setengah itu, dibina dengan konkrit luar bentuk, merupakan mercu tanda penting dalam pembangunan sejarah Universiti Malaya.[1][4]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dewan Tunku Canselor (DTC) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan Canselor pertama Universiti Malaya, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 25 Jun 1966. Sempena perasmiannya, Dewan yang dinamakan sempena nama beliau buat pertama kali menjadi tempat berlangsungnya istiadat konvokesyen untuk sesi 1965/66 dengan 587 orang graduan menerima ijazah pertama, sarjana dan kedoktoran manakala 115 orang graduan menerima Diploma Pendidikan.[1][4]

Rekabentuk[sunting | sunting sumber]

Dewan hasil rekaan oleh Dato' Kington Loo dan Chris Bailey, arkitek moden dari firma BEP Arkitek (asalnya Boothy Edwards & Partners) ini telah mengambil masa satu setengah tahun untuk disiapkan. Ia merupakan antara beberapa struktur pertama di negara ini yang mengikut pengaruh tokoh Arkitek Moden berbangsa Switzerland-Perancis, Le Corbusier. Beliau ialah antara tokoh arkitek moden yang amat mementingkan kesesuaian rekabentuk mengikut kegunaan, selain penggunaan bahan binaan yang sesuai dan tidak mengenakan sebarang hiasan pada sesuatu binaan. Rekabentuk DTC hampir menyamai bangunan Bank Negara Malaysia yang menggunakan konsep kemodenan simen yang tidak bercat.[1][4] Ia direka dengan pengaruh seni bina Brutalisme dan Gerakan Modenisme yang kuat. Dewan ini dibina terutamanya dengan struktur konkrit kosong menggunakan peti telur konkrit bertetulang dan imej 'beton brut'.[3]

Bangunan ini terdiri daripada dewan yang hebat dan kawasan ruang legar serta dihubungkan ke Panggung Eksperimen. Sebuah pentas terletak di dalam dewan Besar di aras tanah. Kawasan ruang legar berfungsi sebagai pintu masuk ke dewan besar. Lantai mezanin sebenarnya ialah galeri tontonan yang membentuk bentuk ‘U’. Tiga bilik projektor pada asalnya terletak di tingkat satu, sebahagiannya menyimpan jubah dan aksesori tamat pengajian. Bumbung dewan besar terdiri daripada struktur berkuda keluli dan papak konkrit bertetulang dengan rasuk tegak yang membentuk sistem bumbung perimeter. Akses ke aras lantai yang berbeza disediakan oleh dua tangga konkrit lingkaran yang terletak di dalam bujur dinding berbentuk ricih.[3] Ia mampu memuatkan kira-kira 3,000 orang. DTC terkenal di kalangan pelajar secara umumnya sebagai "Dewan Besar".[1]

Istiadat konvokesyen[sunting | sunting sumber]

Sebelum penubuhan DTC, Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya telah berlangsung di beberapa tempat lain seperti Dewan Tuanku Abdul Rahman di Jalan Ampang (kini Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia) pada 1961, (konvokesyen pertama UM di Kuala Lumpur), Stadium Negara (1962), Dewan Bahasa dan Pustaka (1963), Stadium Chin Woo (1964) dan Bangunan Parlimen (1965). Dewan yang boleh memuatkan seramai 25,000 orang ini merupakan dewan yang terbesar di Kuala Lumpur ketika itu.[4][5]

Pada peringkat awal, DTC tidak mempunyai pentas seperti sekarang, yang terdapat hanya sebuah platform kecil. Sekitar tahun 1969-1971, pihak British Council ingin mengadakan satu persembahan Balet di Kuala Lumpur dan memerlukan dewan yang agak besar. Pihak British Council sanggup mengeluarkan kos mengadakan sebuah pentas dan kemudiannya dihadiahkan kepada UM.[4][5]

Dengan adannya DTC, Universiti Malaya pada masa itu telah mempunyai tempat yang tetap bagi istiadat konvokesyen dan lain-lain majlis seperti persidangan dan seminar selain persembahan seni kebudayaan dan peperiksaan akhir semester. Tahun demi tahun, DTC terus menempa sejarah dalam kegemilangan akademik dengan pertambahan graduan yang menerima ijazah masing-masing sehinggalah pada tahun 2000.[4]

Insiden kebakaran[sunting | sunting sumber]

Pada 29 Jun 2001, jam 3:45 pagi, hampir 90 peratus Dewan Tunku Canselor musnah akibat kebakaran sebelum subuh dan telah menyebabkan kerugian sebanyak RM12.4 juta.[6] Kerugian akibat kebakaran tidak dapat dinilai dengan wang ringgit kerana kenangan, sentimental nostalgia terhadap DTC itu sendiri yang telah menyaksikan seribu satu kenangan manis dan pahit yang mewarnai warga kampus.[7][8][9] Ia telah dilaporkan di media bahawa beberapa pengawal keselamatan cuba memadam kebakaran yang dikesan di kiri pintu 'M' sebelah pentas Dewan Tunku Canselor sebelum menghubungi bomba apabila api semakin marak.[10] Polis mengklasifikan kejadian itu disyaki sebagai perbuatan khianat.[11][12]

Akhirnya, setelah mendapat restu pihak berwajib, kerja-kerja pembinaan semula telah dijalankan dan memakan masa selama empat bulan dan tiga minggu, menelan belanja kira-kira RM13.5 juta. DTC telah dibina semula kepada keadaan asal dengan lebih sempurna dan lebih canggih. Untuk itu, Tabung Pembinaan Semula DTC telah ditubuhkan oleh Universiti Sains Malaysia (UM) bersama warga UM dan New Straits Times.[13][14]

Insiden yang menimpa Dewan Tunku Canselor mengakibatkan pihak pentadbiran Universiti Malaya menerima teguran hebat daripada pelbagai pihak.[15]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f "Dewan Tunku Canselor". Fakulti Seni Kreatif (dalam bahasa Inggeris). Universiti Malaya. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  2. ^ "Senarai 173 Warisan Kebangsaan 2009, Malaysia". Building Conservation. 1 Februari 2009. Dicapai pada 16 Mei 2022.
  3. ^ a b c "REHABILITATION OF THE TUNKU CANSELOR HALL, UNIVERSITY OF MALAYA, KUALA LUMPUR, MALAYSIA" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). CIPA Heritage Documentation. Dicapai pada 16 Mei 2022.
  4. ^ a b c d e f A. Kadir Jasin (1 Julai 2001). "A place many have cherished" (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  5. ^ a b Dewan Tunku Canselor. Universiti Malaya. 1998. Dicapai pada 16 Mei 2022 – melalui Google Books.
  6. ^ "Siapa bakar UM?". Harian Metro. 30 Jun 2001. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  7. ^ Mazlan Hasan (29 Jun 2001). "Dewan UM terbakar". Harian Metro. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  8. ^ Eddie Chua (29 Jun 2001). "Fire at Dewan Tunku Canselor" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  9. ^ Jalina Joheng; Azura Abas (30 Jun 2001). "UM landmark razed" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  10. ^ "Pengawal cuba padam api". Harian Metro. 30 Jun 2001. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  11. ^ Mohd Azis Ngah; Tuan Nazuri Tuan Ismail (30 Jun 2001). "Kebakaran dewan UM disyaki angkara khianat". Berita Harian. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  12. ^ "Trial by fire?" (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. 1 Julai 2001. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  13. ^ "DTC: Rakyat digalak beri sumbangan". Berita Harian. 5 Julai 2001. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  14. ^ "USM turut wujudkan tabung". Berita Harian. 5 Julai 2001. Dicapai pada 15 Mei 2022.
  15. ^ "UM dapat teguran hebat". Metro Ahad. 1 Julai 2001. Dicapai pada 15 Mei 2022.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]