Dialek Melayu Bacan
Dialek Melayu Bacan ialah dialek yang dituturkan di Pulau Bacan di sebelah selatan Pulau Ternate, Maluku Utara. Lebih kurang 6000 orang di Kecamatan Labuha dan dua kampung yang lain berbahasa Bacan sebagai bahasa ibunda mereka. Pada tahun 1914, dua orang sarjana Belanda, N. Adriani dan A.C. Kruijt, menganggap dialek itu sesuatu bahasa dan menggolongkan ‘bahasa’ itu dengan beberapa bahasa di Kepulauan Sula, walaupun mereka sendiri tidak pernah melakukan penelitian lapangan tentang varian itu. Kelompok ‘Sula-Bacan’ itu dipetakan pula oleh S.J. Esser (1938) dan beberapa ahli kartografi bahasa seterusnya. Tetapi pada tahun 1983, J.T. Collins mengemukakan bahawa ‘bahasa’ Bacan itu tidak lain daripada sejenis ragam Melayu yang sudah berkembang dan berubah tetapi masih dapat dikenal sebagai dialek Melayu. Huraian itu memang sejalan dengan pendapat penulis Indonesia, Usdinah (1959), yang menggunakan istilah ‘bahasa Indonesia daerah Bacan … (sebenarnya lebih tepat jika dikatakan bahasa Melayu).’
Fonologi dan Morfologi
[sunting | sunting sumber]Kenyataan hubungan dialek Melayu Bacan (DMB) dengan bahasa Melayu sangat jelas, terutamanya dari segi fonologi dan morfologinya. Setiap inovasi fonologi yang membezakan bahasa Melayu dengan bahasa lain terdapat juga dalam DMB. Tetapi dalam DMB terdapat tiga inovasi tambahan. Inovasi pertama menentukan bahawa vokal purba *ə dalam suku prakhir mesti disesuaikan dengan vokal berikutnya. Rumus asimilasi vokal pepet itu menyebabkan bandingan seperti yang berikut.
| Dialek Melayu Bacan | Dialek Melayu Baku |
|---|---|
| kana | kəna |
| palapa | pəlapah |
| somut | səmut |
| ompu | əmpu |
| betis | bətis |
| petik | pətik |
Selain itu, dalam DMB biasanya /h/ hilang pada semua posisi, misalnya ruma ‘rumah’, jat ‘jahat’ dan ati ‘hati’. Demikian juga semua nasal akhir kata disatukan menjadi -ng, misalnya dalang ‘dalam’, kanang ‘kanan’ dan idung ‘hidung’. Inovasi lain kurang teratur, seperti pelesapan b yang berhampiran dengan u, misalnya ui ‘ubi’ atau mauk ‘mabuk’.
DMB memperlihatkan suatu sistem morfologi yang cukup rencam dan rumit. Namun sebahagian besar imbuhannya dapat dikesan dalam dialek-dialek Melayu yang lain. Yang sangat produktif ialah [ba-] baluda ‘berludah’, {maN-} manycuri ‘mencuri’, [ta-] tatawa ‘tertawa’, {-i} tanyai ‘menanyai’, {-akang} camuniakang ‘sembunyikan’, {pa-} papandaki ‘memperpendek’ dan {-ang} kayuang ‘hutan’. Dalam DMB, terdapat juga suatu sistem imbuhan yang menandakan aspek kata kerja, seperti {mu-} muminyangi ‘telah (?) meminjam’. Sistem kata ganti juga kompleks kerana lebih banyak bentuk klitik yang berfungsi. Selain -ku dan -mu seperti dialek baku, terdapat juga na- ‘-nya’ dan -nta ‘-kita’. Malah bentuk klitik itu berubah sesuai dengan bunyi akhir perkataan yang diimbuhi, misalnya jika berakhir dengan vokal ditambah -na tetapi jika berakhir dengan konsonan, ditambah -nta.
Meskipun morfologinya lebih kompleks kalau dibandingkan dengan dialek baku, lebih kurang 73 peratus kosa kata dasar sama sahaja dengan dialek Melayu baku. Kalau dialek-dialek Melayu lain diambil kira, peratus persamaan itu meningkat sampai hampir 80 peratus. Hal ini hanya menunjukkan kadar retensi dan inovasi yang akan terjadi sekiranya sesuatu dialek terpisah daripada dialek-dialek lain selama jangka waktu yang agak panjang. Misalnya, DMB memperlihatkan banyak perkataan purba yang sudah digantikan dalam dialek baku. Dalam sistem angka satu hingga sepuluh sahaja terdapat tiga retensi perkataan purba:
| Dialek Melayu Bacan | Dialek Melayu Baku |
|---|---|
| tolu | tiga (< bahasa India; bahasa Melayu Purba *telu) |
| dulapang | lapan (< delapan < dua lapan) |
| salapang | sembilan (< se-ambilan; bandingkan dengan sa lapan) |
Kadang-kadang perbezaan leksikal disebabkan inovasi dalam DMB tetapi kebanyakan inovasi itu hanya merupakan lanjutan makna kata Melayu, misalnya, batikang ‘berkata’ berasal daripada ungkapan ‘bertikam lidah’; dan ompu ruma ‘tikus’ berasal daripada ungkapan ‘empu (tuan) rumah’. Tentu ada juga kata-kata lain yang dipinjam daripada bahasa bukan Melayu, terutamanya bahasa di sekitar Bacan di Maluku Utara, seperti baku ‘sejenis makanan yang dibuat daripada tepung rembia’, kado ‘sejenis binatang marsupial’, kolano ‘raja’, yang kesemuanya berasal daripada bahasa Maluku.