Didi & Friends

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Didi and Friends)
Didi & Friends
Pencipta
Dimiliki oleh
Tahun2012–kini
Filem dan televisyen
Filem
  • Konsert Hora Horey Didi & Friends (2018)
  • Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends (2021)
  • Didi & Friends The Movie (2023)
Siri laman sesawang
  • Tudi Didi (2018)
  • Didi & Friends Junior (2022)
Siri animasiCerita-cerita Didi & Friends (2017)
Didi & Friends Rescue Squad (2022–2023)
Lain-lain
Konsert secara langsungKonsert Hora Horey Live Didi & Friends (2019)
Laman web rasmi
www.didiandfriends.com

Didi & Friends ialah siri animasi 3D Malaysia dan francais pendidikan berasaskan hiburan untuk kanak-kanak prasekolah yang berumur 1-6 tahun, dicipta oleh Sinan Ismail dan Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian.[1] Ia berkisarkan tentang tiga ekor ayam serama muda yang bernama Didi, Jojo dan Nana serta kawan-kawan haiwan antropomorfik yang menyanyikan lagu kanak-kanak.[1] Francais ini diterbitkan oleh Digital Durian dari 2012 sehingga 2021.[2] Hak penerbitan dan pemilikannya kemudian dibeli oleh Warnakala Studios yang diasaskan oleh Hairulfaizalizwan.

Francais ini bermula dengan rinitisannya yang bertajuk Didi & Friends: The Science Explorers (2012), kemudian diikuti oleh saluran YouTube rasminya yang menyiarkan video animasi lagu kanak-kanak sejak 16 Mei 2014.[3] Ia juga berkembang sebagai siri animasi, siri filem, siri buku dan pelbagai barangan dagangan. Sejak penampilan sulung rasminya, Didi & Friends menjadi antara salah satu animasi buatan Malaysia terbaik yang pernah diterbitkan. Selain itu, Didi & Friends turut membuat penampilan khas dalam beberapa episod Omar & Hana.

Sejarah

Era di bawah Digital Durian (2012–2021)

Digital Durian ditubuhkan oleh dua rakan karib, Sinan Ismail dan Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian pada tahun 2008 dan tertumpu kepada membuat perkhidmatan multimedia antara perniagaan seperti kandungan e-pembelajaran, video multimedia, animasi 3D untuk industri korporat dan sebagainya.[1][4] Pada tahun 2009, Digital Durian kembali kepada matlamat asalnya apabila mereka menyertai MSC Malaysia Intellectual Property Creators Challenge (IPCC) selama 2 tahun berturut-turut dan memohon geran kerajaan pada tahun 2011 tetapi ditolak. Akhirnya, pada tahun 2012, mereka mengemukakan idea Didi & Friends di IPCC lalu meraih dana RM50,000.[1][5]

Kejayaan ini telah mendorong Digital Durian untuk menyiapkan sebuah cerita rintisan 11 minit mengenai Didi & Friends yang bertemakan penjelajahan sains. Namun, Digital Durian mendapati peluang mereka terhad untuk memasarkan bahan kanak-kanak prasekolah di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Pada masa yang sama, Sinan juga mendapati bahawa kurangnya lagu kanak-kanak berbahasa Malaysia yang berkualiti dalam YouTube, maka masalah-masalah ini mendorong beliau untuk mengalihkan fokus Didi & Friends kepada lagu prasekolah berbahasa Malaysia dan mewujudkan Didi & Friends dalam bentuk saluran YouTube.[1][5]

Didi & Friends akhirnya diperkenalkan buat julung kalinya dalam bentuk saluran YouTube yang menyiarkan video muzik animasi lagu kanak-kanak pada 15 Mei 2014.[3] Walaupun purata video muzik tersebut hanya disiarkan dalam dua minit sahaja, ia bukan sahaja mempersembahkan lagu kanak-kanak rakyat Malaysia, tetapi juga lagu kanak-kanak berbahasa asing yang diterjemahkan dan dilokalisasikan ke dalam bahasa Malaysia seperti "Bingo" dan "Pak Atan Ada Ladang" ("Old McDonald Had a Farm"). Francais Didi & Friends juga mempunyai sedikit video muzik lagu kanak-kanak berbahasa Mandarin, Inggeris dan Thai. Terdapat juga saluran video muzik Didi & Friends yang berasingan dalam bahasa Indonesia. Video-video muzik Didi & Friends juga telah dibawa masuk untuk siaran di Astro Ceria mulai 8 Disember 2015.[1][6]

Pada tahun 2017, kedai pertama Didi & Friends dibuka di Metrojaya, The Curve dengan kolaborasi Digital Durian dan Astro. Kedai ini menempatkan pilihan unik barangan Didi & Friends edisi terhad berkualiti tinggi seperti mainan mewah, pakaian, DVD dan aksesori.[7][8] Francais Didi & Friends mengorak langkah baharu melalui kerjasama dengan Astro, mengeluarkan siri episod yang lebih panjang, iaitu Cerita-Cerita Didi & Friends yang bermula dengan pratayang di pawagam TGV Cinemas, disusuli dengan siaran perdana di Astro Ceria mulai 14 Ogos 2017.[1][9][10]

Pada tahun 2018, sejarah telah dicipta apabila filem pawagam pertama francais tersebut, iaitu filem animasi muzikal Konsert Hora Horey Didi & Friends dikeluarkan pada 10 Mac 2018 bersempena dengan cuti sekolah di pawagam-pawagam seluruh Malaysia dengan penampilan istimewa Dato' Sri Siti Nurhaliza dan Tomok.[1][11]

Francais ini muncul dengan lagu bertajuk "Jom Lawan Coronavirus" dan versi bahasa Inggerisnya, "Fight Coronavirus" hasil nukilan Omar K dalam usaha menyahut saranan kerajaan menyeru rakyat untuk sentiasa mengamalkan langkah pencegahan jangkitan virus COVID-19. Muzik videonya menampilkan 3 langkah mudah untuk mengawal penularan virus itu. Digital Durian dalam satu kenyataan berkata: "Lagu berdurasi dua minit itu menyaksikan Didi, Nana dan Jojo serta rakan-rakan lain menari sambil menyanyi tentang pentingnya menjaga kebersihan dalam memerangi virus dan bakteria merbahaya,". Dikeluarkan pada 24 Mac 2020, ia mendapat lebih 240,000 tontonan di YouTube.[12][13][14][15][16]

Didi & Friends menjalin kolaborasi bersama penyanyi dan juara Big Stage musim pertama, Sarah Suhairi menerusi lagu bertajuk "Takkan Tak Tahu" berserta versi bahasa Inggerisnya, "Even I Know That" yang juga menampilkan kolaborasi bersama Sarah dan dua penyampai Hitz, Ean dan Arnold. Dilancarkan pada Jun 2020 di saluran YouTube rasmi francais ini, muzik video lagu ini berjaya meraih 2 juta tontonan dalam masa 6 hari. Dalam muzik video ini, Sarah digambarkan dalam bentuk watak animasi sebagai anak kuda.[17][18][19]

Pada Julai 2020, Digital Durian telah melancarkan aplikasi Didi & Friends di mana kanak-kanak dapat mengakses kepada pelbagai jenis topik pembelajaran terutamanya STEAM - sains, teknologi, kejuruteraan, kesenian, dan matematik.[20][21]

Didi & Friends menjalin kerjasama dengan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dengan menerbitkan lagu bertajuk "Buatlah Sesuatu" berserta versi bahasa Inggerisnya, "What Would You Do" bersempena dengan sambutan Hari Orang Utan Antarabangsa pada 19 Ogos 2021 bagi tujuan meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar. Watak sampingan francais ini, Pak Atan dipilih sebagai duta untuk mendidik masyarakat mengenai kempen ini.[22][23][24][25]

Pada November 2021, CEO Digital Durian, Sinan Ismail telah mengumumkan bahawa Digital Durian telah melepaskan hak pemilikan mereka terhadap Didi & Friends dan menjualnya kepada Warnakala Studios milik bekas pengasas bersama Digital Durian, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian.[26] Dalam satu coretan panjangnya, Sinan menceritakan jatuh bangunnya bersama Digital Durian dan kenangan pahit manisnya bersama Didi & Friends yang disifatkan telah banyak mengubah kehidupannya dan rakyat Malaysia. Kenyataannya itu menerima banyak liputan meluas daripada media, meskipun berita tersebut tidak mengejutkan banyak pihak.

Era di bawah Warnakala Studios (2021–kini)

Warnakala Studios ditubuhkan pada April 2021 oleh Hairulfaizalizwan selepas beliau meninggalkan Digital Durian dan memperoleh hak penerbitan ke atas Didi & Friends melalui persetujuan bersama.

Di bawah Warnakala Studios, francais ini muncul dengan siri terbitan baharu iaitu Didi & Friends Rescue Squad yang disiarkan di Astro Ceria sebanyak 16 episod.[27]

Filem cereka francais ini, Didi & Friends The Movie ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 22 Februari 2023. Ia menampilkan lakonan suara oleh Awie, Amelia Henderson dan W.A.R.I.S.[28][29][30]

Siri terbaharu francais ini, Didi & Friends: Kembara Muzikal dijadualkan akan ditayangkan di Astro Ceria mulai 3 November 2023.

Filem

Filem Tarikh tayangan Pengarah Penulis skrip Penerbit
Filem pendek
Didi & Friends: The Science Explorers 1 Disember 2012 Sinan Ismail Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian
Filem konsert
Konsert Hora Horey Didi & Friends 10 Mac 2018 Sinan Ismail Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian dan Mardiah Syazwani Md Said
Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends 25 Februari 2021
Filem cereka
Didi & Friends The Movie 22 Februari 2023 Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin Sumie Azil, Roshfaizal Ariffin dan Akmal Aziz Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian dan Raja Jastina Raja Arshad

Didi & Friends: The Science Explorers (2012)

Didi & Friends: The Science Explorers ialah subjek pendek rintisan yang berdurasi selama 10 minit, menampilkan reka bentuk awal watak Didi, Jojo dan Nana. Ia dikeluarkan pada 1 Disember 2012 dengan majalah Pa&Ma sebagai rakan majalah rasmi.

Konsert Hora Horey Didi & Friends (2018)

Dikeluarkan pada 10 Mac 2018, dengan kerjesama Astro dan TGV Cinemas, filem konsert ini menampilkan lagu-lagu baharu serta lagu-lagu popular yang telah disusun semula khas untuknya. Ia juga menampilkan konsep dan jalan cerita baharu serta watak baharu. Siti Nurhaliza, Tomok dan Omar & Hana membuat penampilan khas.[31][32] Ia menjadi kejayaan komersial apabila memperoleh kutipan RM2.7 juta.

Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends (2021)

Dikeluarkan pada 25 Februari 2021 di Astro First tanpa ditayangkan di pawagam, filem konsert kedua dalam francais ini dipersembahkan secara langsung untuk memberi pengalaman konsert muzikal interaktif. Yuna, Hael Husaini dan Altimet membuat penampilan khas.[33][34]

Didi & Friends The Movie (2023)

Didi, Jojo dan Nana diberi tugas oleh Pak Atan untuk menganjurkan Konsert Hora Horey di Pekan Horey. Ketika semua persiapan kelihatannya berjalan lancar, tiba-tiba timbul masalah melibatkan Pak Beruang, menyebabkan Pak Atan dan Pak Beruang terpaksa mengembara ke Pulau Legenda untuk mencari penawar.

Dikeluarkan pada 22 Februari 2023, filem ini ialah hasil kerjasama Astro Shaw, Warnakala Studios dan Digital Durian dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).[28][29][30]

Media lain

Siri televisyen

Cerita-cerita Didi & Friends ialah siri TV yang diterbitkan sebanyak 39 episod dan memiliki tempoh masa siaran selama 7 minit. Ia menggabungkan elemen nyanyian dan penceritaan yang mana setiap cerita pendek juga diselitkan dengan niai-nilai murni, semangat setiakawan dan pembelajaran santai bersesuaian dengan tema lagu. Ia ditayangkan di Astro First dan pawagam TGV Cinemas pada 16 Mac 2017 dan memulakan tayangan perdana di Astro Ceria bermula 14 Ogos 2017.[35][36]

Didi & Friends Rescue Squad ialah siri terbitan turunan dalam francais Didi & Friends, memulakan tayangan perdana di Astro Ceria bermula 8 September 2022 sehingga 26 Januari 2023 sebanyak 16 episod. Ia terdapat dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris.[27]

Siri digital

Tudi Didi disiarkan di saluran YouTube Didi & Friends pada 15 Mei 2018 sebanyak 10 episod. Ia menampilkan watak Didi, Jojo dan Nana serta watak lain dalam animasi 2D.[37]

Didi & Friends Junior ialah versi mesra kanak-kanak dalam francais ini dan diterbitkan hasil kolaborasi antara Warnakala Studios dan Genki Malaysia.

Konsert

Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends ialah konsert muzikal interaktif francais Didi & Friends yang berlangsung dari 15 sehingga 18 Ogos 2019 di Quill Convention Center, Quill City Mall, Kuala Lumpur selepas kejayaan filem konsertnya. Konsert ini mempersembahkan lagu-lagu seperti "Semut Berkawad", "Bingo" dan lagu-lagu Didi & Friends yang lain serta lagu-lagu yang telah diberi nafas baharu. Pelakon, Izzue Islam dipilih sebagai selebriti jemputan untuk konsert ini.[38][39][40]

Cenderamata dan perlesenan

Pada tahun 2017, Didi & Friends didatangkan dalam bentuk buku cerita 3D yang menggunakan konsep realiti berperantara (AR) yang diterbitkan hasil kerjasama Digital Durian dan Karangkraf.[41]

Didi & Friends menjalin kolaborasi bersama jenama susu Summerfield bagi mempromosikan susu sebagai makanan sihat kepada masyarakat terutamanya kepada kanak-kanak.[42]

Episod

Musim Episod Tayangan asal
Tayangan pertama Tayangan terakhir
Didi & Friends
1 24 2014 (2014) 2015 (2015)
2 20 2015 (2015) 2016 (2016)
3 39 2017 (2017) 2018 (2018)
4 48 2019 (2019) 2020 (2020)
5 48 2020 (2020) 2021 (2021)
Cerita-cerita Didi & Friends
1 39 2017 (2017) 2018 (2018)
2 39 2018 (2018) 2019 (2019)

Watak

Watak utama

  • Didi: Watak utama bagi keseluruhan francais. Didi merupakan seekor ayam serama jantan yang berbulu kuning, memakai baju biru dan topi besbol merah berbibir biru yang tertulis nama Didi.
  • Jojo: Sahabat Didi. Jojo merupakan seekor ayam serama jantan yang berbulu putih, memakai baju hijau muda berlengan dan cermin mata ungu bertepi cerancang. "J" pada bajunya berwarna kuning. Dia juga memakai tali pinggang ungu dengan beg.
  • Nana: Sahabat Didi. Nana merupakan seekor ayam serama betina yang berbulu kuning air, memakai gaun merah jambu dan reben kepala merah muda.

Watak sampingan

  • Pak Atan: Seekor orang utan. Pak Atan telah diperkenalkan dalam video muzik "Rasa Sayang". Pada mulanya, Pak Atan berbulu perang pucat dan tidak memakai sebarang pakaian, kemudian beliau telah diolah semula kepada berbulu coklat kemerahan, memakai topi, baju berwarna firus dan seluar panjang biru tua.
  • Pak Beruang: Seekor beruang. Pak Beruang mula diperkenalkan dalam video muzik "Pak Beruang". Dia memakai skaf merah dan jaket biru. Merupakan watak dewasa seperti Pak Atan.
  • Bingo: Seekor kucing kelabu. Bingo telah diperkenalkan dalam video muzik "Bingo". Dia memakai baju biru dengan tulisan "B" putih.
  • Tatak: Seekor katak hijau kecil. Dia memakai baju kuning muda dengan "T" padanya. Dia juga memakai beg galas.
  • Happy Bear: Beruang coklat kecil yang merupakan kawan Nana. Dia memakai skirt merah jambu.
  • Mon: Monyet coklat muda. Dia memakai baju jingga. Dia juga memakai seluar pendek berwarna coklat.

Anugerah dan pencalonan

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan Ruj.
2020 Anugerah Televisyen Asia ke-24 Program Prasekolah Terbaik Didi & Friends Menang [43]
[44]
2021 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 Watak Animasi Popular Tercalon [45]

Rujukan

  1. ^ a b c d e f g h "Di sebalik Didi & Friends". Utusan Malaysia. 27 September 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 November 2017. Dicapai pada 4 April 2018.
  2. ^ Nur Zarina Othman (13 Ogos 2018). "Winning the hearts of children" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 28 September 2018.
  3. ^ a b "Didi & Friends - Lagu Kanak Kanak". Didi & Freinds. Dicapai pada 20 Mac 2018 – melalui YouTube.
  4. ^ Ikhwan Nazri (23 Januari 2016). "Bersama Digital Durian – Pembangun Siri Animasi Didi & Friends". Amanz.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Mac 2018. Dicapai pada 20 Mac 2018.
  5. ^ a b Calyn Yap. "Digital Durian champions local cartoon content" (dalam bahasa Inggeris). Focus Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Mac 2018. Dicapai pada 20 Mac 2018.
  6. ^ Promo Astro Ceria - Didi & Friends - Hokey Pokey. Didi & Friends. Dicapai pada 20 Mac 2018 – melalui YouTube.
  7. ^ "Didi & Friends first store-in-store available at Metrojaya, The Curve" (dalam bahasa Inggeris). The Borneo Post. 9 Januari 2017. Dicapai pada 25 April 2017.
  8. ^ "Mall's new concept store features Didi & Friends rides" (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 19 Jun 2017. Dicapai pada 25 April 2018.
  9. ^ "Cerita-Cerita Didi & Friends disiarkan bermula 14 Ogos ini". Astro Awani. 27 Julai 2017. Dicapai pada 20 Mac 2018.
  10. ^ "JOM BELAJAR DAN BERHIBUR DENGAN 'CERITA-CERITA DIDI & FRIENDS'" (dalam bahasa Inggeris). Astro Malaysia Holdings. 8 Mac 2017. Dicapai pada 25 April 2017.
  11. ^ Rahimah Abdullah (10 Mac 2018). "Konsert 'Hora Horey Didi & Friends' di pawagam bermula 10 Mac". Astro Awani. Dicapai pada 20 Mac 2018.
  12. ^ "COVID-19: Lagu baharu Didi & Friends ajar langkah mudah cegah jangkitan". Astro Awani. 25 Mac 2020. Dicapai pada 29 April 2020.
  13. ^ "Didi & Friends tampil lagu 'Jom Lawan Coronavirus'". BERNAMA. 25 Mac 2020. Dicapai pada 29 April 2023.
  14. ^ Budiey (25 Mac 2020). "JOM LAWAN CORONAVIRUS Didi & Friends Tunjuk Tiga Langkah Mudah Cegah Jangkitan Virus Covid-19". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 29 April 2020.
  15. ^ "COVID-19: DIDI & FRIENDS LANCAR LAGU 'JOM LAWAN CORONAVIRUS'!". Femag Online. 25 Mac 2020. Dicapai pada 29 April 2020.
  16. ^ Mya Amri (24 Mac 2020). "Didi & Friends Tampil Lagu Jom Lawan Coronavirus, Kongsi 3 Langkah Mudah Cegah COVID-19". Astro Gempak. Dicapai pada 29 April 2020.
  17. ^ "'Takkan Tak Tahu' Didi & Friends raih hampir 3 juta tontonan dalam masa seminggu" (Kenyataan Media). Didi & Friends. Dicapai pada 25 April 2021.
  18. ^ Asyraf Roslan (2 Julai 2020). "'Takkan Tak Tahu' Didi & Friends raih hampir 3 juta tontonan dalam masa seminggu". Astro Awani. Dicapai pada 25 April 2021.
  19. ^ Kamaruddin Razal (30 Jun 2020). "Didi & Friends Kolaborasi Bersama Sarah Suhairi Dalam Lagu Takkan Tak Tahu, Raih 2 Juta Tontonan Dalam Masa 6 Hari!". Astro Gempak. Dicapai pada 25 April 2021.
  20. ^ Phic Arman (21 Julai 2020). "Lihat Apa Yang Menarik Dengan Dua Aplikasi Terbaharu Dari Digital Durian". Murai.my. Dicapai pada 19 April 2021.
  21. ^ Kamaruddin Razal (21 Julai 2020). "Digital Durian Lancarkan Aplikasi 'Didi & Friends' dan 'Omar & Hana'". Astro Gempak. Dicapai pada 19 April 2021.
  22. ^ Siti Athirah Dzulkifly (12 Ogos 2021). "Didi & Friends jalin kerjasama dengan WWF Malaysia". Utusan Malaysia. Dicapai pada 25 April 2022.
  23. ^ Hanafis Haris (16 Ogos 2021). "Pak Atan Jadi Duta? Didi & Friends Muncul Lagu Baru Berjudul Buatlah Sesuatu!". Astro Gempak. Dicapai pada 25 April 2022.
  24. ^ "Didi & Friends and WWF Malaysia team up to educate children on saving the orang-utans" (dalam bahasa Inggeris). WWF Malaysia. 11 Ogos 2021. Dicapai pada 25 April 2022.
  25. ^ Arif Zikri (11 Ogos 2021). "Didi & Friends to release a new song in collaboration with WWF Malaysia for Orang Utan Day" (dalam bahasa Inggeris). Yahoo!. Dicapai pada 25 April 2022.
  26. ^ Izwan Isa (14 Disember 2021). "Didi & Friends Kini Diterajui Oleh Warnakala Studios". Astro Gempak. Dicapai pada 1 Oktober 2022.
  27. ^ a b "SAKSIKAN 'DIDI & FRIENDS RESCUE SQUAD' SELAMATKAN PEKAN HOREY". Farhana Jafri. 5 September 2022. Dicapai pada 20 Mac 2023.
  28. ^ a b "Didi & Friends The Movie animasi luar biasa, penuh keseronokan untuk seisi keluarga". Astro Awani. 16 Februari 2023. Dicapai pada 26 Februari 2023.
  29. ^ a b Mohd Haikal Isa (9 Mac 2023). "Berhabuk mata tengok Didi & Friends The Movie". Kosmo!. Dicapai pada 20 Mac 2023.
  30. ^ a b Ahmad Faez (16 Februari 2023). "[Review] Didi & Friends The Movie Bukan Hanya Untuk Kanak-Kanak Tapi Semua Peringkat Umur". The Rakyat Post. Dicapai pada 20 Mac 2023.
  31. ^ Ayden Mikhael (10 Mac 2018). "Siti Nurhaliza, Tomok dan Didi & Friends Bergabung Meletop Dalam Konsert!". Murai.my. Dicapai pada 25 April 2018.
  32. ^ ""Konsert Hora Horey Didi & Friends" tickets almost sold out!" (dalam bahasa Inggeris). Yahoo! News. 13 Mac 2018. Dicapai pada 25 Mac 2018.
  33. ^ Fatin Farhana Ariffin (3 Mac 2021). "Yuna hangatkan Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends". Berita Harian. Dicapai pada 25 April 2021.
  34. ^ Mastura Malek (9 Mac 2021). "Meriahnya Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends!". Getaran. Dicapai pada 25 April 2021.
  35. ^ Michelle Gun (31 Julai 2017). "Bukan sekadar animasi". Harian Metro. Dicapai pada 26 April 2018.
  36. ^ "'Cerita-Cerita Didi & Friends' di Astro, cuti sekolah Ogos ini". Utusan Borneo. 3 Ogos 2017. Dicapai pada 26 April 2018.
  37. ^ "TudiDidi | Didi & Friends versi 2D". Didi & Friends. Dicapai pada 26 April 2020 – melalui YouTube.
  38. ^ Khadijah Ibrahim (4 Julai 2019). "Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends sempena cuti sekolah". Bebas News. Dicapai pada 26 April 2020.
  39. ^ Fiza Kamarudin (16 Ogos 2019). "Konsert Hora Horey Live Didi & Friends, Memang Berbaloi!". Astro Gempak. Dicapai pada 26 April 2020.
  40. ^ Phic Arman (4 Julai 2019). "6 Hal Menarik Yang Dijanjikan Di Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends. Memang Berbaloi!". Murai.my. Dicapai pada 26 April 2020.
  41. ^ Amri Hassan (27 Julai 2017). "Didi & Friends Keluarkan Buku Cerita 3D". Astro Gempak. Dicapai pada 26 April 2018.
  42. ^ "Produk Tenusu Summerfield, Didi & Friends Promosi Susu Sebagai Makanan Sihat" (Kenyataan media). Didi & Friends. Dicapai pada 29 April 2023.
  43. ^ "Didi & Friends rangkul anugerah 'Program Prasekolah Terbaik' di Asian Television Awards ke-24". Didi & Friends. 13 Januari 2020. Dicapai pada 26 April 2020.
  44. ^ Khai Azfar (14 Januari 2020). "Kalahkan China & Jepun! Didi & Friends Menang Asian Television Awards". Murai.my. Dicapai pada 26 April 2020.
  45. ^ "Senarai Pencalonan ABPBH 34". My Infotaip. 12 September 2021. Dicapai pada 25 April 2022.

Pautan luar