Kekasihku Seru

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Drama Kekasihku Seru)
Kekasihku Seru
Logo bagi siri ini beserta barisan pelakon utamanya.
GenreSeram
Drama
Mistik
Ditulis olehMira Mustaffa
Nik Naemah Najad
PengarahKabir Bhatia
Dibintangi oleh
Emelda Rosmila
Fizz Fairuz
Umie Aida
Hairie Othman
Tengku Sariza
Negara asal Malaysia
BahasaMelayu
Bilangan episod13
Penerbitan
Penerbit eksekutifFrank Lewis
PenerbitFrancis Foo
Kabir Bhatia
Mira Mustaffa
LokasiJanda Baik, Pahang
Syarikat penerbitan
Filmscape
Penyiaran
Saluran asalTV3 (Slot Seram)
Siaran asal24 Julai 2008 – 30 Oktober 2008
Kronologi
MengikutiSaka
Diikuti olehPuaka Niyang Rapik
Rancangan berkaitan
Waris

Kekasihku Seru ialah sebuah drama bersiri genre seram yang dihasilkan di Malaysia. Drama bersiri ini diarahkan oleh Kabir Bhatia dan skripnya ditulis oleh Mira Mustaffa. Drama disiarkan di TV3 pada 24 Julai 2008 [1] hingga 30 Oktober 2008 menerusi slot "Seram". Siri ini diterbitkan oleh Filmscape dan pernah memenangi gelaran Drama Rantaian Terbaik dalam Anugerah Skrin 2009.[2]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Marissa (Emelda Rosmila) merupakan pelajar bidang kedoktoran. Misteri bermula setelah Marissa mengetahui bahawa beliau adalah seorang anak angkat selepas kematian Puan Norin, ibu angkatnya. Keinginan untuk mencari keluarga asalnya membawa Marissa ke Highland Estate.

Rashad (Fizz Fairuz) yang baru sahaja kehilangan isteri dan anaknya dalam kemalangan jalan raya menyedari hijab matanya telah terbuka selepas kemalangan itu. Rashad pergi mencari atuknya, Ustaz Abdul Qadir (Ahmad Mazlan) untuk mendapatkan bantuan.

Ketibaan Marissa di Highland Estate disambut Mak Wan, pembantu rumah di situ yang menyangka Marissa adalah Maryam, jururawat yang diupah untuk menjaga Mas Ayu (Tengku Sariza) yang dalam keadaan katatonik. Yakin bahawa Mas Ayu adalah ibu kandungnya, Marissa kemudian menyamar sebagai Maryam untuk meluangkan masa bersama Mas Ayu.

Marissa bertemu Mas Suri (Umie Aida), kakak kepada Mas Ayu dan mak cik mereka, Mas Lela (Rose Iskandar). Marissa merasa tidak selesa dengan Mas Suri yang tegas dan terlalu banyak berahsia. Dia juga didatangi Dr Hakim (Beto Kusyairy) yang memberitahu bahawa ubat yang diberikan oleh Mas Suri adalah punca Mas Ayu sakit.

Setelah dihalau oleh Mas Suri, Dr Hakim mengugut untuk membawa Mas Ayu keluar dari rumah tersebut. Namun Dr Hakim ditemui mati di kliniknya pada keesokan harinya.

Rashad mula mencari atuknya setelah diberitahu orang kampung bahawa atuknya telah meninggal namun mereka tidak tahu di mana kuburnya memandangkan arwah banyak mengembara di hujung hayat didatangi Ustaz Qadir yang mengatakan beliau masih hidup dan berada di Bukit Jerai. Rashad juga mendapat berita adiknya, Dr Hakim dibunuh dan pergi ke Highland Estate untuk menyiasat kematian adiknya dan disitulah dia bertemu dengan Marissa.

Marissa dan Rashad membuat keputusan untuk mencari Ustaz Qadir (Ahmad Mazlan) bagi merungkai semua persoalan tentang rahsia kelam keluarga Marissa dan mencari pembunuh Dr Hakim. Setelah berjaya menemui Ustaz Qadir di Bukit Jerai, Marissa akhirnya mengetahui akan rahsia keluarganya dan mengetahui siapa Waris (Hairie Othman) sebenarnya melalui Ustaz Qadir.

Waris kini semakin lemah dan terdesak untuk memburu Marissa kerana keadaan Mas Ayu yang semakin uzur dan ini mendesak Waris untuk mendampingi Marissa sebelum kematian Mas Ayu. Namun bukan mudah apabila Ustaz Qadir dan Rashad kini membantu Mas Suri untuk melindungi Marissa daripada ancaman Waris. Bagaimanapun Rashad, Marissa dan Mas Suri berjaya menghapuskan Waris dengan mengebumikan semula sisa rangka Waris ke kubur asalnya. Pada akhirnya Marissa mengetahui bahawa ibu kandung yang dicarinya adalah Mas Suri. Rashad juga mendapati bahawa adiknya dibunuh oleh Mas Lela yang beranggapan Dr Hakim cuba untuk memecahbelahkan keluarga mereka. Bagi melupakan peristiwa hitam mereka bersama Waris, Marissa akhirnya mengajak Mas Suri dan Mas Ayu untuk tinggal di rumah Puan Norin.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Pelakon utama[sunting | sunting sumber]

Pelakon pembantu[sunting | sunting sumber]

  • Rose Iskandar sebagai Mas Lela
  • Ahmad Mazlan sebagai Ustaz Abdul Qadir
  • Halimatussadiah sebagai Che Wan
  • Amanda Misbun sebagai Zura
  • Beto Kusyairy sebagai Dr. Hakim
  • Hanafi A. Rahman sebagai Sarjan Ismail

Pelakon undangan[sunting | sunting sumber]

  • Dira Abu Zahar sebagai Masita
  • Betty Banafe sebagai Mas Juita
  • Raja Ilya sebagai Mas Dahlia
  • Intan Zalina sebagai Mas Lela (muda)
  • Mohd. Yusof Harun sebagai Ustaz Hakim
  • Ed sebagai Ustaz Abdul Qadir (muda)
  • Sam Arif J sebagai Wan Yusoff
  • Riz Black sebagai Syed Ali

Salasilah keturunan Marissa (Wanita Mas)[sunting | sunting sumber]

  • Mastura + Wan Yusoff = Masita
  • Masita + Salahuddin = Mas Juita
  • Mas Juita + Syed Ali = Mas Dahlia & Mas Lela
  • Mas Dahlia + Sulaiman Syah = Mas Suri & Mas Ayu
  • Mas Suri + Abdullah = Marissa

Sejarah Keturunan Wanita Mas[sunting | sunting sumber]

Mastura (1900)[sunting | sunting sumber]

Mastura binti Masahur merupakan satu-satunya anak kesayangan kepada seorang pedagang yang bernama Masahur. Masahur adalah pedagang yang amat kaya dan berstatus tinggi di dalam kalangan masyarakat pada masa itu. Masahur mempunyai beberapa pembantu pedagang untuk membantunya dalam kerja-kerja perdagangan. Waris adalah salah satu pembantu Masahur yang miskin tetapi telah jatuh cinta pada Mastura. Mastura dan Waris saling sayang-menyayangi antara satu sama lain dan cinta mereka telah menjadi cinta yang mengatasi segala-galanya termasuk agama. Masahur mendapat tahu tentang perhubungan antara Mastura degan Waris, lalu cuba meleraikan hubungan tersebut kerana Waris seorang lelaki yang tidak bertaraf dengan statusnya. Waris melarikan Mastura dengan meninggalkan kampung mereka, jauh dari Masahur. Ayah Waris dan adik lelaki Waris, Tok Tuah meminta maaf kepada Masahur kerana malu dengan perbuatan terkutuk Waris. Ayah Waris dan Tok Tuah adalah orang alim dan sangat beriman, tidak seperti Waris. Sementara itu, Mastura dan Waris berjumpa dengan seorang bomoh wanita, untuk mencari penyelesaian sekiranya Masahur berjaya tangkap mereka. Bomoh tersebut mencipta seungkap mantera iblis di atas kain putih dengan menggunakan darah Waris, dan menyuruh Mastura membaca mantera itu untuk menghidupkan balik nyawa Waris sekiranya dia dibunuh oleh Masahur. Tetapi dengan syarat, mantera itu memerlukan nyawa pengganti untuk menyeru balik nyawa Waris. Setelah beberapa hari, Masahur berjaya menemukan lokasi penyembunyian Mastura dan Waris bersama orang-orang suruhan Masahur. Orang suruhan Masahur membunuh Waris dan mengebumikan jasadnya di depan mata Mastura. Mastura dibawa balik ke rumahnya oleh Masahur, yang kemudian mendapat tahu rombongan pengantin lelaki akan datang melamar Mastura keesokan hari,

Mastura membuat keputusan untuk menghidupkan balik nyawa Waris dengan membunuh Masahur, dan menggunakan Masahur sebagai nyawa pennganti untuk menyeru balik nyawa Waris. Waris berjaya dihidupkan semula oleh Mastura. Sebenarnya, yang dihidupkan semula bukan nyawa Waris, tetapi syaitan yang menyamar sebagai Waris. Beberapa bulan kemudian, Mastura mula menyedari siapa Waris sebenarnya lalu dia bertaubat. Dia mula menyesal akan dosa-dosanya yang telah membelakangkan agama, terutamanya dosa yang telah menjadikannya sebagai anak derhaka iaitu membunuh ayah sendiri dan melalukan perbuatan syirik yang melanggar hukum agama. Selepas Mastura bertaubat dan mula mendekatkan diri dengan Allah Yang Maha Esa, Waris mula menjadi lemah. Mastura berjumpa dengan Tok Tuah untuk mohon maaf atas perbuatannya yang syirik itu, lalu menimba ilmu agama Islam dari Tok Tuah. Tok Tuah dan Mastura berjumpa balik dengan bomoh wanita yang sama untuk mencari jalan penyelesaian bagi menghapuskan Waris.

Bomoh Wanita itu memberitahu mereka ada dua jalan penyelesaian untuk hapus Waris, iaitu pertamanya Mastura perlu mati dan dengan itu Waris akan turut dimatikan. Kedua, sisa-sisa mayat Waris perlu digali semula dari kuburnya yang asal dan dikebumikan balik dengan cara pengebumian Islam. Sejak itu, Tok Tuah dan Mastura berusaha untuk mencari kubur asal Waris namun tidak berjaya. Pada suatu hari, Mastura menikam Waris dengan sebilah keris dengan harapan Waris akan hapus selama-lamanya. Waris menghilang tetapi itu adalah tipu daya Waris untuk membuatkan Mastura percaya bahawa dia sudah dihapuskan. Sebenarnya, Waris akan dihapuskan hanya dengan kematian Mastura. Oleh itu, demi memanjangkan hayatnya dan terus kekal hidup, Waris memerlukan anak perempuan Mastura atau darah daging keturunan Mastura sebagai pengganti.

Mastura telah yakin bahawa Waris telah hapus lalu membuat keputusan untuk mengahwini Wan Yusoff, lelaki yang sentiasa setia menunggu Mastura. Pada suatu hari, Wan Yusoff terpaksa meninggalkan isterinya, Mastura yang sarat mengandung di rumah untuk tujuan berdagang di luar negeri. Wan Yusoff menugaskan seorang pembantu rumah untuk menjaga Mastura sementara Mastura menunggu kepulangan suaminya. Beberapa malam setelah pemergian Wan Yusoff, Mastura mengalami sakit batin dan memanggil pembantu rumah untuk membantunya semasa melahirkan anak. Waris tiba di rumah Mastura lalu membunuh pembantunya. Hanya Waris sahaja yang dapat menolong Mastura ketika itu dan Waris memaksa Mastura untuk mengatakan yang dia masih mencintainya, supaya anak yang hendak lahir itu dapat menyambung nyawa Waris dengan serta-merta tidak kira Mastura hidup atau meninggal selepas bersalin. Demi menyelamatkan nyawa anaknya, Mastura terpaksa mengaku palsu bahawa dia mencintai Waris. Mastura melahirkan seorang bayi perempuan dengan bantuan Waris. Akibat komplikasi semasa bersalin, Mastura meninggal dunia. Mastura bersangka dengan kematiannya, dia akan membawa Waris bersamanya, tetapi dia tidak sedar yang anak perempuannya telah menyambung hidup Waris.

Masita (1912)[sunting | sunting sumber]

Masita binti Wan Yusoff merupakan anak perempuan kepada Wan Yusoff dan Mastura. Setelah kematian Mastura, Wan Yusoff menjadi amat sedih dan murung sehingga mula mengabaikan Masita. Wan Yusoff tidak menyayangi Masita dan tidak peduli akan kehadiran anak perempuannya kerana menyangka Masita adalah salah satu sebab kematian isteri kesayangannya, Mastura. Ketika Masita berumur 12 tahun, dia sedar ayahnya tidak menyukai Masita apatah lagi menyayanginya. Masita mula rapat dengan Waris, yang dia kenali sejak kecil lagi. Masita mendapat kasih sayang yang dia merindukan sepanjang zaman kanak-kanaknya daripada Waris. Waris menjadi kekasih yang setia bagi Masita dan Waris memberinya segala keperluan dan kemudahan yang dia minta. Kerana terlalu terpengaruh secara negatif dengan kehadiran Waris, Masita menjadi insan yang tidak mempunyai unsur-unsur positif dan menjadi tidak beriman kepada Islam dan Allah SWT. Masita tidak pernah melakukan apa-apa ibadah termasuk solat, puasa serta mengaji Al-Quran kerana dipengaruh oleh kuasa negatif Waris. Beberapa tahun kemudian, Wan Yusoff mendapat tahu yang Masita mempunyai hubungan yang rapat dengan Waris, lalu memukul Masita atas perbuatannya itu. Wan Yusoff amat kenal dengan Waris dan kisah silam Waris dengan Mastura sebelum mereka berkahwin. Waris membunuh Wan Yusoff dengan izin Masita, kerana dia menjadi halangan bagi perhubungan mereka. Waris mendesak Masita untuk berkahwin atas alasan mengembangkan keluarga Masita, dan menggunakan pemerasan emosi terhadap Masita. Waris memeras ugut Masita secara emosi bahawa dia akan meninggalkan Masita sekiranya dia tidak turut akan kemahuannya. Tujuan sebenar Waris adalah, dia mahukan anak Masita untuk menyambung nyawa dan memanjangkan hayatnya.

Demi Waris, Masita menikah dengan Salahuddin pada tahun yang sama. Selama setahun, Masita hidup sebagai isteri Salahuddin dan selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang cantik paras rupanya. Waris hanya memerlukan suami Masita untuk memberi zuriat kepadanya dan sebaik sahaja bakal penggantinya lahir, Waris membunuh Salahuddin. Kerana menurut Waris, semua keturunan perempuan Mastura yang menerima Waris sebagai "kekasih"nya, adalah milik Waris sahaja dan suami-suami mereka akan dibunuh setelah melahirkan zuriat. Dengan izin Masita, Salahuddin dibunuh oleh Waris kerana dia hanya mencintai Waris. Setelah beberapa tahun, anak perempuan Masita membesar dan menjadi anak dara yang cantik menawan sehingga Waris mula beralih kepadanya. Waris menjadi semakin rapat dengan anak Masita sehingga menimbulkan perasaan cemburu di dalam hati Masita. Masita memberi amaran kepada Waris supaya tidak mendekati anaknya kerana Waris hanya miliknya sahaja dan dia tidak suka berkongsi Waris dengan mana-mana perempuan di dunia ini. Masita mula iri hati dengan anak perempuannya yang kini menjadi tumpuan baru Waris.

Masita akan sentiasa pastikan bahawa Waris tidak mendekati anaknya dan sebaliknya Waris hanya berada disamping Masita. Masita mula sakit dan mengalami kelemahan. Waris memberi tahu Masita bahawa masa untuk pertukaran pengganti sudah tiba kerana jangka hayat Waris semakin pendek. Masita tidak mahu meninggalkan Waris dan pada awalnya tidak setuju dengan pertukaran pengganti tersebut. Kerana mengikut perjanjian sihir yang ditetapkan oleh bomoh wanita di saat awal, dengan setiap pertukaran pengganti, nyawa Waris akan diperbaharui oleh pengganti baru manakala nyawa pengganti lama akan digugurkan iaitu dimatikan. Masita ingin hidup dengan Waris untuk selama-lamanya tetapi Waris mula hilang minat terhadap Masita kerana sudah tiba masa untuk anak Masita menerima Waris sebagai 'kekasih' barunya.

Mas Juita (1935)[sunting | sunting sumber]

Mas Juita binti Salahuddin merupakan anak perempuan kepada Salahuddin dengan Masita, di mana perangai dan tingkah lakunya sangat berlawanan dengan Masita. Mas Juita adalah seorang yang beriman dan kuat agama, insan yang bertimbang rasa, berhemah tinggi dan mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap keluarganya. Juita amat menyayangi ibunya, Masita seperti menatang minyak yang penuh dan selalu mengambil berat terhadap kesihatan ibunya. Seseorang anak keturunan Mastura tidak boleh nampak Waris dengan mata kasar selain masanya tiba untuk pertukaran 'tuan' atau nama Waris disebut oleh mereka. Begitu juga dengan Mas Juita yang pada awalnya tidak boleh nampak Waris dan sering keliru akan perangai ibunya yang selalu bercakap sendiri sambil mengucap nama Waris. Apabila Masita mula sakit dan menjadi tidak bermaya, Waris muncul di depan Juita lalu mencuba untuk memukau Juita tetapi dihalang oleh Masita. Masita akhirnya membongkar rahsia pada Juita tentang perhubungan antara keturunan mereka dengan Waris. Setelah itu, Juita mula menjauhi Waris dan memberi amaran kepada Waris supaya tidak lagi mendekatinya kerana Juita bukan seperti Masita. Juita amat membenci Waris kerana Masita lebih mementingkan Waris daripada anaknya sendiri.

Sementara itu, Mas Juita gemar bergaul dengan orang kampung dan sering menyertai aktiviti-aktiviti penentangan penjajahan British di Tanah Melayu pada masa itu. Semasa Juita sedang menghulurkan bantuan dalam usaha orang kampung menentang penjajah-penjajah British, dia mula tertarik dengan Syed Ali, seorang jejaka muda yang turut menentang penjajahan British ketika itu. Syed Ali amat terkenal dengan hujah-hujahnya yang berunsurkan semangat patriotik lalu membuatkan Juita jatuh cinta dengannya. Syed Ali juga tertarik dengan semangat patriotik Juita dan kemudian mereka berdua pun berkahwin. Selepas perkahwinan Syed Ali dan Mas Juita, kesihatan Masita semakin merosot dan teruk. Sejak perkahwinan Juita, Waris berhenti berjumpa dengan dia dan juga ibunya, Masita. Pada tahun 1941, selepas 6 tahun mendirikan rumah tangga bersama Juita, Syed Ali mendapat berita bahawa keluarga kandungnya dalam bahaya kerana tentera-tentera Jepun bakal menguasai tempat kediaman ibu-bapa Ali. Demi menyelamatkan keluarganya daripada tentera Jepun, Ali terpaksa meninggalkan Juita yang sarat mengandung dan anak perempuan sulung mereka yang berumur 6 tahun. Selepas pemergian Syed Ali, Waris mula muncul dan mendekati rumah Juita kerana jangka hayatnya sudah hampir tamat.

Masita diseksa oleh Waris kerana masa terlalu singkat dan Waris akan mati sekiranya Juita tidak terima Waris lagi dalam beberapa hari. Kerana tidak tahan dengan penyeksaannya, Masita memaksa Juita untuk terima Waris tetapi Juita enggan menerima Waris. Sebaliknya, Juita cuba berdakwah dan mengubah Masita ke arah Islam namun tidak berjaya. Juita terkejut apabila Masita menyuruhnya untuk menerima Waris dan saat itu baru Juita faham yang Waris perlukan anak keturunan Mastura untuk terus hidup. Akhirnya, Masita diseksa kuat oleh Waris supaya Juita menerima Waris untuk menghentikan penyeksaan ibunya. Seperti dirancang oleh Waris, Juita tidak tahan tengok ibunya dalam keadaan sengsara dan akhirnya memberitahu Masita yang dia setuju untuk menerima Waris. Waris diterima oleh Juita dan Masita meninggal dunia serta-merta. Ketika pengebumian Masita, mayat Masita tidak diterima oleh bumi Allah dan mayatnya diazab oleh Allah di tempat pengebumian. Ustaz Hakim, anak kepada Tok Tuah, datang di tempat pengebumian untuk membantu jenazah dikebumikan dengan selamat melalui bacaan doa dan ayat-ayat Al-Quran. Ustaz Hakim memberi tahu Juita yang dia telah memikul "beban" yang berat demi menyelamatkan ibunya. Juita yakin dia takkan mengalah dengan Waris kerana dia lebih kuat dari Masita. Beberapa hari kemudian, Mas Juita menerima berita bahawa suaminya, Syed Ali telah dibunuh oleh tentera Jepun bersama keluarga mertuanya. Juita yang sarat mengandung kemudian selamat melahirkan anak perempuannya yang kedua. Zaman ketika itu ialah zaman peperangan di Tanah Melayu, dan secara langsung menyebabkan Juita dan kedua-dua anaknya hidup dalam keadaan miskin. Waris ingin membantu menaikkan taraf hidup keluarga Juita dengan pelbagai harta benda tetapi ditolak keras oleh Juita. Sejak hari itu, Juita bermula untuk melindungi kedua-dua anak perempuannya daripada pengaruh Waris serta bergabung dengan Ustaz Hakim dalam usaha menghapuskan Waris untuk selama-lamanya. Mas Juita dan Ustaz Hakim berusaha sedaya-upaya untuk mencari kubur asal dan sisa-sisa mayat Waris untuk dikebumikan balik dengan cara pengebumian Islam.

Mas Dahlia & Mas Lela (1957)[sunting | sunting sumber]

Mas Dahlia[sunting | sunting sumber]

Mas Dahlia binti Syed Ali merupakan anak perempuan sulung kepada Syed Ali dan Mas Juita. Mas Dahlia adalah seorang yang sombong, angkuh akan kecantikannya, materialistik dan juga seorang yang gemar dengan pengembaraan. Sejak kecil , Mas Dahlia memang amat meminati bahan-bahan mewah, harta benda dan sering berorientasikan wang duit. Sebelum pemergian Syed Ali, Dahlia akan kerap menyuruh ayah kesayangannya itu untuk membelikannya pelbagai jenis hadiah. Sifat materialistik Mas Dahlia itu tidak langsung berubah walaupun sudah membesar dan sering merungut pada ibunya, bahawa dia sudah tidak suka duduk di rumah lama mereka. Sebaliknya, inginkan rumah yang lebih mewah dan barang-barang moden seperti radio, televisyen, perabot baru serta persalinan dan aksesori mewah. Selain itu, Dahlia juga seorang yang gemar berjalan dan bergaul dengan orang-orang kampung. Pada masa yang sama, Dahlia suka menggoda jejaka-jejaka muda di kampung dengan kecantikannya itu, terutamanya pemuda yang tampan paras rupanya. Walau bagaimanapun, godaan Dahlia hanya sekadar gurauan sahaja dan tidak serius.

Mas Lela[sunting | sunting sumber]

Mas Lela binti Syed Ali merupakan anak perempuan kedua kepada Syed Ali dan Mas Juita. Mas Lela adalah seorang gadis cantik yang pendiam, bersopan-santun serta lemah-lembut dalam perbicaraan dan tingkah lakunya. Mas Lela tidak suka keluar berjalan dan bertemu dengan orang kampung seperti kakaknya, malah memilih untuk berada di dalam rumah sahaja. Mas Lela boleh dikatakan gadis yang kasihan kerana tidak sempat melihat atau bergaul dengan ayahnya yang meninggal dunia pada usia yang awal. Lela amat menyayangi ibunya, Mas Juita dan tidak pernah menyakitkan hati ibunya. Lela selalu bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang ada bersamanya. Tetapi, Mas Lela mempunyai sifat rendah diri yang tinggi yang menyebabkannya untuk menjauhi masyarakat kampung. Disebabkan sifat rendah dirinya itu, Lela sering bimbang akan penampilan diri dan prestasinya jikalau ianya tidak mencukupi atau memuaskan. Mas Lela mudah merasa bahawa dirinya tidak disanjung atau dihargai sekiranya tidak mendapat penghargaan bagi kerja-kerja yang dibuat olehnya.

31 Ogos 1957[sunting | sunting sumber]

Hari kemerdekaan Malaysia menjadi hari yang gelap bagi Mas Juita. Pada hari kemerdekaan itu, Juita, Ustaz Hakim, dan anak lelakinya, Abdul Qadir bergabung meminta petunjuk dari Allah SWT untuk mengesan lokasi kubur atau sisa mayat Waris namun masih gagal untuk mendapat petunjuk. Ustaz Hakim dan Abdul Qadir pulang ke rumah mereka dengan harapan mereka akan mendapat petunjuk suatu hari nanti manakala Mas Juita membuat keputusan untuk memberitahu anak-anaknya tentang perhubungan antara keturunan mereka dengan Waris. Sementara itu, Mas Lela ternampak kakaknya, Mas Dahlia bersama jejaka impian Lela, Zainal Abiddin dan bersangka bahawa mereka sedang bercinta. Lela kecewa dengan sikap Dahlia yang mencuba untuk merampas Zainal Abiddin daripadanya. Sebenarnya, Zainal sukakan Mas Lela dan cuba untuk mendekatinya melalui Dahlia tetapi tersalah sangka oleh Lela. Juita mempertemu Dahlia dan Lela untuk mendedahkan rahsia keturunan mereka supaya mereka berdua bersedia untuk menentang Waris. Juita menegas Dahlia dan Lela untuk jangan panjangkan hayat Waris, jangan berikan padanya pengganti dan paling penting, mereka berdua tidak boleh berkahwin serta tidak boleh melahirkan zuriat. Tetapi Juita tidak sedar yang Waris sedang mendengar perbualan mereka.

Waktu malam tiba, Mas Lela menyeru nama Waris supaya datang kepadanya kerana dia berpatah hati selepas Dahlia 'merampas' Zainal Abiddin daripadanya. Lela sudah membuat keputusan untuk menerima Waris sebagai kekasihnya kerana dia fikir bahawa Waris sahaja lelaki yang boleh menyayanginya. Pada malam yang sama, Juita dirasuk oleh Waris dan Waris cuba untuk membunuhnya kerana tidak mungkin Juita membenarkan anak-anaknya untuk terima Waris. Menurut Waris, satu-satunya cara untuk menyambung nyawa adalah dengan membunuh Juita. Lela takut dengan keadaan ibunya yang dirasuk itu, lalu memanggil Ustaz Hakim dan Abdul Qodir untuk merawat ibunya. Semasa Juita dirawat oleh Ustaz Hakim, Dahlia nampak Waris dengan mata kasarnya tetapi Lela tidak boleh nampak Waris, bermaksud Waris memilih Dahlia sebagai penggantinya dan bukan Lela. Ustaz Hakim berjaya menghalau Waris keluar dari badan Juita tetapi pada masa yang sama, Mas Juita meninggal dunia kerana kesan kerasukan Waris ke atas Juita amat kuat sehingga badannya tidak mampu menahan kesakitan yang amat besar itu. Waris berjaya membunuh Juita seperti dirancangnya. Dengan kematian Mas Juita, Ustaz Hakim bersangka bahawa Waris pun telah turut hapus. Tetapi dia tidak tahu bahawa sebelum kematian Juita, sudah ada pengganti baru yang telah menerima Waris iaitu Mas Dahlia.

Ternyata Waris amat licik dan lebih bijak dari Juita dan Ustaz Hakim sehingga dia berjaya memperdayakan mereka dengan tipu muslihatnya. Selama ini, Waris telah memperhatikan tingkah laku dan minat Mas Dahlia sejak dia kecil lagi. Dia sangat tahu dengan baik bahawa kelemahan Dahlia adalah wang duit dan harta benda serta dia tahu yang Dahlia boleh tertarik dengan mudah melalui kelemahannya itu. Lama sebelum kematian Juita, Waris berjaya menarik Dahlia ke arahnya dengan "pancuran wang duit" yang kemudian menanam keinginan untuk menjadi kaya di dalam hati Dahlia. Dahlia sanggup terima Waris demi memperoleh kekayaan melaluinya walaupun dia tahu yang ibunya akan dibunuh setelah dia menerima Waris. Selepas pengebumian Mas Juita, Ustaz Hakim dan Abdul Qodir menghulurkan bantuan kepada mereka dua beradik tetapi ditolak oleh Dahlia kerana dia sudah ada Waris. Dahlia memberi jaminan kepada Lela yang hidup mereka akan berubah selepas ini kerana Waris, manakala Lela dalam kesedihan kerana Waris juga telah 'dirampas' oleh kakaknya.

Highland Estate[sunting | sunting sumber]

Demi Mas Dahlia, Waris membina Highland Estate, iaitu sebuah rumah besar yang sungguh unik dan mewah infrastrukturnya, dikelilingi taman bunga yang cantik. Permukaan rumahnya mempunyai kecantikan yang luar biasa dan corakan yang menawan. Highland Estate diperbadankan dengan pelbagai kemudahan moden serta mempunyai beberapa buah bilik tidur. Dahlia dan Lela berpindah ke Highland Estate yang terletak agak jauh daripada rumah lama mereka. Dahlia mula bergembira dengan kehidupan kaya dan membeli pelbagai harta benda termasuk kereta-kereta mewah, barang kemas, aksesori berlian serta pakaian-pakaian moden. Selepas beberapa tahun, Waris mendesak Dahlia untuk berkahwin tetapi Dahlia enggan berkahwin kerana dia masih ingat pada amaran ibunya bahawa mesti menahan diri dari perkahwinan. Selepas Dahlia tegas dengan keputusannya untuk tidak berkahwin, Waris menghilangkan kesemua barang kemas Dahlia dengan sekelip mata lalu memberitahu bahawa Dahlia akan hilang segala harta benda yang dimilikinya sekira dia tidak berkahwin dan melahirkan zuriat. Dahlia tidak mempunyai pilihan lain selain berkahwin kerana dia tidak mahu kehilangan harta. Demi memelihara hartanya, Dahlia berkahwin dengan Sulaiman Syah lalu melahirkan dua orang anak perempuan. Lela amat menyayangi anak-anak Dahlia terutamanya anak bongsu dia. Lela turut menjaga dan membesarkan kedua anak buahnya bersama Dahlia dan Sulaiman. Kali ini, Waris tidak membunuh Sulaiman Syah selepas anak sulung mereka lahir dan tunggu sehingga anak kedua pun lahir kerana Waris tidak mahu mengambil risiko selepas peristiwa yang terjadi semasa kehadiran Mas Juita. Waris membunuh Sulaiman Syah melalui kemalangan jalan raya, semasa Sulaiman sedang memandu kereta. Dahlia tidak sangka yang Sulaiman akan dibunuh oleh Waris kerana dia amat menyayangi suaminya itu.

Mas Suri & Mas Ayu (1982)[sunting | sunting sumber]

Mas Suri[sunting | sunting sumber]

Mas Suri binti Sulaiman Syah merupakan anak sulung kepada Sulaiman dan Mas Dahlia. Mas Suri adalah anak yang patuh akan kedua ibu-bapanya dan pintar dalam kemahiran hidup. Suri seorang yang matang, sangat berdisiplin dan kuat beragama. Mas Suri sangat cemerlang dalam pendidikan sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Suri minat dengan bidang perubatan lalu mengambil kursus kedoktoran di universiti. Ibunya, Dahlia mula sakit semasa Suri hendak tamat pengajian kedoktorannya. Suri juga amat mengambil berat tentang keluarganya yang terdiri daripada ibu, makcik dan adik perempuan.

Mas Ayu[sunting | sunting sumber]

Mas Ayu binti Sulaiman Syah merupakan anak bongsu kepada Sulaiman dan Mas Dahlia. Mas Ayu adalah anak yang suka bersantai dan kuat berparti dengan rakan-rakannya, terutama kawan lelaki. Ayu sering keluar berparti dengan rakan-rakan lelakinya sehingga tidak menghiraukan pasal keselamatan diri. Pergaulan antara Ayu dengan rakan lelakinya menjadi bebas serta tiada batasan. Mas Ayu diberi kebebasan penuh oleh ibunya dan tidak mengawasi pergerakannya kerana dia anak kesayangan bongsu di rumah mereka. Ayu juga mempunyai sikap boros yang tidak ada batas dan sering memboros duit dengan membeli solekan, pakaian mewah serta menganjurkan parti untuk kawan-kawannya.

28 Februari 1982 - Mas Suri tidak suka akan perangai dan tingkah laku Mas Ayu lalu menegur perbuatan adiknya itu. Ayu tidak suka akan teguran kakaknya lalu memarahi Suri supaya tidak bercampur dalam hal peribadinya lagi. Kesihatan Mas Dahlia semakin merosot kerana masa untuk pertukaran pengganti sudah tiba. Mas Lela selalu membuatkan ubat untuk Dahlia supaya dia sembuh dari kesakitan, namun masih tidak pulih. Dahlia ingin mendedahkan tentang Waris kepada Suri dan Ayu tetapi dia tak dapat berbicara ketika itu kerana terlalu sakit. Pada suatu malam, Ayu keluar berparti seperti biasa walaupun Suri tidak mengizinkan adiknya keluar rumah kerana ibu mereka masih sakit. Selepas Ayu keluar berparti, Dahlia mengalami kesakitan yang teruk sehingga memanggil Suri dan Lela ke dalam bilik tidurnya. Sementara itu, Ayu dirogol oleh dua orang rakan lelakinya semasa perjalanan pulang ke rumah. Ayu menangis meminta pertolongan selepas dia dirogol oleh mereka. Manakala di Highland Estate, Waris muncul di depan Dahlia untuk menjadikan Suri sebagai 'tuan' barunya. Dahlia menegas Suri untuk tidak terima Waris kerana dia adalah syaitan. Waris mendekati Suri lalu memujuknya untuk terima dia sebagai kekasih barunya, tetapi Suri membaca ayat-ayat Al Quran lalu meminta perlindungan dari Allah SWT. Suri enggan menerima Waris atas desakan ibunya dan perbuatan Dahlia itu membuat Waris marah. Waris memaksa Dahlia untuk berikan Suri kepadanya kalau dia sayangkan Waris. Tetapi Dahlia mendedahkan bahawa dia hanya mempergunakan Waris untuk mendapatkan harta dan dia tidak pernah menyayangi Waris. Waris mula menyeksa Dahlia dan Dahlia menyuruh Suri untuk melarikan diri. Waris teruskan merayu pada Mas Suri tetapi dia masih tegas dengan pendiriannya untuk tidak menerima Waris. Akhirnya, Waris terpaksa berpaling arah ke anak kedua Dahlia, iaitu Mas Ayu. Waris tiba di tempat Ayu dirogol lalu membunuh kedua-dua perogol Ayu. Selepas itu, Waris merayu pada Ayu untuk menerima dia sebagai kekasihnya. Saat itu, Ayu menganggap Waris sebagai penyelamatnya lalu telah terima Waris. Dengan itu, Mas Dahlia meninggal dunia dan kemudian jenazahnya dikebumikan dengan kehadiran Mas Lela dan Mas Suri serta beberapa orang kampung. Suri dan Lela bersangka bahawa Waris telah pergi seiringan dengan kematian Dahlia. Kemudian, Lela dan Suri telah mendapat tahu yang Ayu telah dirogol.

Selepas beberapa bulan, Ayu mengandung dan melahirkan anak luar nikah. Malangnya, anaknya itu mati ketika lahir. Ayu tidak dapat menerima berita kematian anaknya itu lalu menyebabkan Ayu mengalami kemurungan yang teruk. Suri tidak dapat tengok Ayu mengalami kemurungan lalu membuat keputusan untuk berkahwin dan memberi anaknya sendiri kepada Ayu. Tanpa pengetahuan Mas Ayu, Mas Lela mengadakan pernikahan antara Mas Suri dengan Abdullah. Selepas setahun, Suri melahirkan anak perempuannya lalu memutuskan untuk memberikan anaknya kepada Ayu. Abdullah tidak setuju dengan keputusan Suri dan ia membawa kepada pergaduhan dan perselisihan faham di antara mereka. Akhirnya, Abdullah ceraikan Mas Suri. Mas Suri balik ke Highland Estate dan memberi anak perempuannya kepada Mas Ayu dengan menipu bahawa itu adalah anak Ayu sendiri. Suri berkorban demi Ayu untuk mengeluarkan adik kesayangannya dari kemurungan.

Marissa (1988)[sunting | sunting sumber]

Kini, Marissa sudah berumur 6 tahun dan Mas Ayu masih belum tahu bahawa Marissa adalah anak kandung Mas Suri. Suatu hari, Suri mendapat tahu yang Waris masih hidup dan telah diterima oleh Ayu. Waris tentu akan beralih kepada Marissa pada masa akan datang, dan untuk menghalang Waris daripada mendapatkan Marissa, Suri mula buat perancangan. Suri memberikan Marissa kepada satu pasangan suami isteri, Norin dan Abdullah, untuk dijadikan sebagai anak angkat mereka. Suri percaya sekiranya Marissa dibawa jauh daripada mereka, Waris akan jadi lemah dan Marissa dapat diselamatkan sepenuhnya. Waris cuba menghalang perbuatan Suri itu tapi dengan bantuan Ustaz Qodir, Marissa berjaya dibawa jauh daripada Highland Estate. Selepas Marissa pergi, Suri membuat keputusan untuk melemahkan kuasa Waris dengan menjadikan Ayu kurang upaya. Suri sengaja memberikan Ayu ubat-ubatan yang khas untuk ketidakupayaan anggota badan Ayu. Dengan cara ini, kuasa Waris dapat dikawal oleh Suri.

Kemusnahan Waris[sunting | sunting sumber]

Selepas 20 tahun juga pada tahun 2008, Abdullah dengan Norin meninggal dunia dan Marissa mendapat tahu yang dia adalah anak angkat. Setelah beberapa siasatan, Marissa mendapat tahu yang keluarga asalnya berada di Highland Estate. Marissa tiba di Highland Estate dan mula mengenali tentang rahsia keturunannya dengan Waris. Lama-kelamaan, Mas Ayu telah sembuh dari ketidakupayaannya dengan bantuan Marissa. Marissa, Mas Suri, Ustaz Qodir dan cucu Qodir, Rashad bergabung untuk menghapuskan Waris. Manakala Mas Lela dan Mas Ayu tidak mahu Waris dihapuskan kerana mereka berdua sayangkan Waris. Ternyata Mas Lela masih sayangkan Waris dan masih mengenang padanya sejak tahun 1957. Mas Lela sengaja mengganggu proses penghapusan Waris oleh Suri. Semasa suatu pertengkaran, Mas Lela ditembak oleh seorang polis kerana cuba untuk membunuh Rashad. Selepas Mas Lela meninggal dunia, Mas Ayu sedar akan kesilapannya dan membiarkan Waris dihapuskan oleh kakaknya. Ustaz Qodir pun turut terkorban dalam usaha menghapuskan Waris. Kemudian, Marissa, Rashad dan Mas Suri berjaya menemui kubur asal Waris berserta dengan sisa-sisa mayatnya. Dengan bantuan aura Mastura, Marissa berjaya menghapuskan Waris dengan mengebumikan sisa-sisa Waris di kubur asalnya melalui cara pengebumian Islam. Akhirnya, Marissa mendapat tahu yang Mas Suri adalah ibu kandungnya. Mas Ayu jatuh sakit dan terpaksa berada di kerusi roda.

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

80% sesi penggambaran Kekasihku Seru dilakukan di kawasan Janda Baik, Pahang.[3] Emelda Rosmila memikul dua peranan iaitu Marissa dalam latar moden dan Mastura dalam latar 1910-an. Katanya, inilah kali pertama beliau berlakon dalam drama seram. "Saya selalu berhati-hati dan menjaga perlakuan supaya tiada yang datang 'mengganggu'. Selain itu, untuk kebanyakan adegan saya terpaksa berlakon berseorangan. Saya juga terpaksa melakukan banyak adegan lasak untuk menyelamatkan diri daripada Waris yang selalu mengekori saya."[3] Tambahnya lagi, "Sebenarnya sukar hendak mencapai tahap lakonan yang Kabir inginkan. Saya perlu bekerja keras dan akhirnya berjaya juga. Dia bukan setakat mementingkan mutu lakonan tetap kabir juga sangat prihatin mengenai peralatan di set. Jika tertinggal satu barang, dia akan batalkan penggambaran pada hari itu. Jadi setiap orang yang terbabit dalam penggambaran drama itu mesti bersiap sedia. Dia juga mengambil berat mengenai solekan dan pakaian pelakon. Sikap cerewet Kabir itu membuatkan pelakon dan kru perlu bertanggungjawab terhadap kerja masing-masing."[3] kalo tak memang kena penerajanglah dorang termasoklah pelakon2 tu...

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Kamarulzaman, K. (20 Julai 2008). ""Kekasihku Seru dalam slot Seram TV3"". Bintang Popular. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-08-18. Dicapai pada 2008-09-27.
  2. ^ Iktiraf karya unggul di ASK 2009, Utusan Online, 13 Disember 2009.
  3. ^ a b c Emelda pegang dua watak dalam Kekasihku Seru[pautan mati kekal], emedia, 22 Julai 2008.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

TV3: Seram, Khamis, 9.30 malam
Sebelumnya Kekasihku Seru Berikutnya
Saka Puaka Niyang Rapik