Pergi ke kandungan

Dua Wanita

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Representasi animorfik Dua Wanita (model pengukir hieroglif gelaran diraja, batu kapur, antara 332 dan 30 SM. Museo Egizio, Turin)
Pada stele Tuthmosis I
Ureus gabungan
Ureus gabungan

Dalam teks-teks Mesir purba, "Dua Wanita" (Bahasa Mesir: nbtj, kadangkala diinggeriskan sebagai Nebty) merupakan gelaran keagamaan untuk dewi Wadjet dan Nekhbet, dua dewi yang menjadi penaung orang Mesir purba dan disembah oleh semua setelah penyatuan dua bahagiannya, Mesir Hilir dan Mesir Hulu. Semasa dua bahagian Mesir disatukan, dua dewi ini tidak digabungkan seperti yang sering terjadi dengan dewa-dewi serupa dari pelbagai wilayah dan bandar. Kedua-dua dewi dikekalkan kerana kepentingan peranan mereka dan mereka dikenali sebagai Dua Wanita,[1] menjadi pelindung Mesir yang bersatu.

Selepas penyatuan, imej Nekhbet bergabung dengan Wadjet pada ureus, selepas itu, mereka dipamerkan bersama-sama pada mahkota Mesir. Dua Wanita ini bertanggungjawab menetapkan undang-undang, melindungi pemerintah dan kawasan luar bandar Mesir, serta mempromosikan keamanan.

Penggunaan dalam gelaran

[sunting | sunting sumber]

Dewa-dewi paling suci dalam dewata Mesir biasanya dipanggil dengan gelaran mereka atau nama lainkadangkala dengan rangkaian gelaran yang panjanguntuk menyembunyikan nama mereka daripada musuh dan orang yang tidak beragama serta menunjukkan penghormatan terhadap kuasa mereka.

Contoh penggunaan istilah ini dalam rujukan teks boleh ditemui dalam catatan kempen ketenteraan di bawah firaun Amenhotep III yang dirakam pada tiga stele yang diukir daripada batu. Dalam tekstersebut, baginda dirujuk sebagai Nebmaatra. Stele-stele ini dari tahun kelima pemerintahannya dan ditemui berhampiran Aswan dan Pulau Sai di Nubia. Catatan rasmi tentang kemenangan tenteranya menekankan kehebatannya dalam peperangan dengan hiperbola tipikal yang digunakan oleh semua firaun, tetapi menyatakan bahawa Dua Wanita muncul kepadanya untuk memberikan nasihat dan amaran tentang pemimpin tentera Kush.

Tahun Pemerintahan ke-5, bulan ketiga Banjir, hari ke-2. ...muncul dalam kebenaran, [sang] Dua Wanita, Yang [menetapkan] undang-undang dan [mendamaikan] Dua Tanah... [kepada] Raja Mesir Hulu dan Hilir, Nebmaatra, waris Ra, Anak Ra, [Amenhotep, pemerintah Thebes]... datang untuk memberitahu [firaun itu], "Si jatuh dari Kush yang hina telah merancang pemberontakan dalam hatinya." [Firaun pun] memimpin ke arah kemenangan; baginda menyelesaikannya dalam kempen kemenangan pertamanya. [Firaun] mencapai mereka seperti kepakan sayap falkon... Ikheny, si riak di tengah-tengah tentera, tidak mengenali singa yang berada di hadapannya. Nebmaatra ialah singa bermata garang yang cakarnya mencengkam Kush yang hina, yang menginjak-injak semua penghulunya di lembah mereka, mereka ditumbangkan dalam darah mereka, satu di atas yang lain[2]

Imej daripada kalung upacara Menat, menggambarkan upacara dilakukan di hadapan patung Sekhmet di atas takhtanya. Sekhmet diapit oleh dewi Wadjet sebagai ular tedung dan dewi Nekhbet sebagai burung hering griffon, simbol mesir hilir dan hulu masing-masing; pemohon itu memegang menat lengkap dan sistrum untuk upacara, dari sekitar 870 SM (Berlin, Altes Museum, nombor katalog 23733)

"Singa bermata garang" ialah gelaran lain, tentang dewa perang, Sekhmet, dewi pejuang yang garang Mesir yang melindungi firaun dalam pertempuran, menakluk musuh-musuhnya, dan membawa kemenangan. Dia digambarkan sebagai singa betina dan firaun-pejuang itu dikatakan ialah anaknya, makanya juga seekor singa. Bastet ialah dewi sejawatan yang dengan Sekhmet di salah satu antara dua negeri Mesir, tetapi selepas penyatuan, Sekhmet kekal sebagai pejuang garang dan Bastet diberikan tugas lain dalam dewata Mesir.

Ketiga-tiga dewa ini merupakan pelindung terkuat Mesir purba. Mereka tidak pernah digantikan oleh dewa-dewa yang naik dan turun kepentingannya kepada orang Mesir apabila firaun memilih pelindung peribadi khas, sesuatu kuil menjadi sangat berkuasa, atau ibu kota berubah. Penggunaan imej dua dewi pelindung pada ureus dikekalkan walaupun pada zaman pemerintahan Akhenaten, yang menindas penyembahan dewa-dewa selain Aten. Nama Hebty, atau Nebty baginda berasal daripada kata akar yang sama dengan Dua Wanita juga, seperti yang dilihat dalam imej hierografik nama Hebty Akhenaten, Wernesytemakhetaten, dipaparkan dalam kotak maklumat di rencana baginda dan harus diterjemahkan sebagai, Baginda/Dia daripada Dua Wanita, Hebat dalam pemerintahan di Akhetaten. Dengan cara ini baginda tidak berbeza daripada firaun lain dan kepentingan dewa-dewa tradisional ini berterusan dalam diam sepanjang pemerintahannya, ketika baginda cuba mematahkan kuasa kuil Amun. Sebaik sahaja pemerintahannya berakhir, agama purba yang asal dipulihkan sepenuhnya dan malah, kemudian dianuti para pemerintah asing Mesir berikutnya sehingga kejatuhan Empayar Rom.

Pada bahagian tengah kalung Menat yang dipaparkan di atas, Dua Wanita mengapit patung Sekhmet, yang firaun sedang puja dalam upacara kuil. Penempatan mereka bersamanya di kuil dewi singa betina itu, menunjukkan kuasa yang selalu dikaitkan dengannya, dan kepentingan hubungan dengan Dua Wanita.

Nama Nebty

[sunting | sunting sumber]
Pasu pualam bertulis nama Nebty Semerkhet, firaun paling awal yang diketahui yang menggunakan nama ini
G16

Nama nebty, harfiahnya bermaksud "Dua Wanita", merupakan salah satu gelaran firaun Mesir, mengikut konvensi penamaan standard yang digunakan oleh orang Mesir purba. Nama ini dikaitkan dengan dewi pelindung Mesir Hulu dan Hilir:

Kali pertama nama nebty digunakan paling sahihnya[3] adalah sekitar 2920 SM oleh firaun Dinasti Pertama, Semerkhet, namun nama ini hanya menjadi gelaran tersendiri sepenuhnya pada Dinasti Kedua Belas yang bermula pada 1991 SM.

Biasanya, nama ini tidak dibingkai oleh kartusy atau serekh, tetapi selalu bermula dengan hieroglif burung hering dan ular tedung, yang kedua-duanya berehat di atas bakul, melambangkan kata duaan nebty. Gelaran-gelaran selain itu berbeza untuk setiap firaun dan dibaca dia daripada Dua Wanita,[4] diikuti dengan maksud gelaran yang lain. Terjemahan nama nebty untuk firaun seringnya disingkatkan, menggugurkan frasa di atas yang berada di hadapan setiap nama nebty, menyukarkan pemahaman penuh gelaran tersebut.

Representasi antropomorfik Ptolemaik

[sunting | sunting sumber]

Kuil Horus di Edfu ialah kuil yang dibina di atas runtuhan kuil awal semasa Dinasti Ptolemaik antara 237 SM hingga 57 SMhingga pemerintahan Cleopatra VII, firaun terakhir sebelum Mesir diilhakkan ke dalam Empayar Rom.

Di kuil Ptolemaik di Edfu, ukiran timbul menunjukkan Dua Wanita memahkotai firaun

Dalam ukiran timbul di kuil, kedua-dua dewi ditunjukkan memahkotai firaun Ptolemaik dengan mahkota berganda, gabungan dua mahkota Mesir Hulu dan Hilir. Dua Wanita digambarkan sepenuhnya sebagai wanita, sama seperti beberapa dewi Mesir purba lain, tanpa sebarang unsur haiwan yang biasa digunakan dalam seni Mesir purba tradisional.

Hiasan kepala dewi-dewi dalam imej ukiran timbul juga tidak konsisten dengan tradisi. Seekor burung hering digambarkan sebagai dasar kedua-dua hiasan kepala. Burung hering tidak pernah dikaitkan dengan kedua-duanya, hanya dengan Nekhbet, dan ular tedung yang mewakili Wadjet tiada pada hiasan kepalanya. Perincian kecil ini ialah petunjuk halus tentang kurangnya pemahaman tradisi budaya purba oleh pemerintah asing yang, bagaimanapun, ingin dianggap sebagai penyambung budaya Mesir.

Pemerintah-pemerintah Yunani ini memeluk tradisi Mesir purba, namun dengan tafsiran dan gaya mereka sendiri yang berbeza dan, kadangkala memperkenalkan konsep yang tidak direpresentasikan oleh orang Mesir purba, yang berdasarkan persamaan dengan tradisi dan konsep Yunani. Kepercayaan agama Yunani dan Rom jauh kurang zoomorfik berbanding Mesir purba. Dalam tradisi asli Mesir, dewi-dewi ini mungkin digambarkan sebagai wanita dengan kepala haiwan yang lebih biasanya mewakili dewa-dewi itu, sekiranya mereka tidak diwakili sebagai haiwan mereka.

  1. Wilkinson, Toby A. H. (1999). Early Dynastic Egypt. Routledge. m/s. 292.
  2. Urk. IV 1665-66
  3. "dua wanita". www.digitalegypt.ucl.ac.uk. Dicapai pada 2018-03-17.
  4. Wilkinson, Richard H. (2012). Tausret: Forgotten Queen & Pharaoh of Egypt. Oxford University Press. ISBN 978-0199740116. Dicapai pada 24 October 2016.
  • Allen, James P. (1999). Middle Egyptian: An Introduction to the Language and Culture of Hieroglyphs. New York: Cambridge University Press. ISBN 0-521-77483-7.
  • Dodson, Aidan Mark & Dyan Hilton (2004). The Complete Royal Families of Ancient Egypt. Cairo, London, and New York: The American University in Cairo Press and Thames and Hudson. ISBN 977-424-878-3.
  • Gardiner, Alan Henderson (1957). Egyptian Grammar; Being an Introduction to the Study of Hieroglyphs (ed. 3rd). Oxford: Griffith Institute.
  • Quirke, Stephen G. J. (1990). Who Were the Pharaohs? A History of Their Names with a List of Cartouches. London: British Museum Publications Limited.
  • Schneider, Thomas (1993). "Zur Etymologie der Bezeichnung 'König von Ober- und Unterägypten'". Zeitschrift für ägyptische Sprache und Altertumskunde. 120 (2): 166–181. doi:10.1524/zaes.1993.120.2.166. S2CID 193377499.
  • von Beckerath, Jürgen (1999). Handbuch der ägyptischen Königsnamen (ed. 2nd). Mainz am Rhein: Verlag Philipp von Zabern.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]